“Aida!”
Aida terlupa dirinya tidak lagi di asrama atau pejabatnya. Dia kini sudah menjejakkan kaki di rumah keluarganya sendiri, di Petaling Jaya.
Tadi sesampainya di rumah, dia bergegas menunaikan solat Maghrib dahulu di biliknya. Selesai, emaknya memanggil turun ke ruang tamu, ayah serta Abang Kamil turut menunggunya di situ.
“Kenapa ni mak, ayah. Macam penting saja. Abang Kamil nak kahwinkah?”
Aida cuba mengurangkan ketegangan, suasana tidak seperti biasa. Bagai ada yang tidak kena.
Ayah, emak dan Abang Kamil saling berpandangan. Baru Aida perasan mata emak bengkak dan merah. Emak menangis? Kenapa?
“Aida, ayah... er... kami ada sesuatu nak beritahu Aida.”
Ayah memula bicara. Dalam tetapi perlahan nada suara ayah.
“Beritahu apa, ayah? Mak, kenapa ni? Kenapa emak menangis ni?”
Hati Aida mula berdebar-debar. Apa yang sedang terjadi pada keluarga kesayangannya? Adakah emak atau ayah atau Abang Kamil ditimpa musibah? Sakitkah?
Semua mata tertumpu pada dirinya.
“Kenapa ni ayah? Cepatlah cakap! Jangan buat Aida risau begini!” Pinta Aida.
Emak mula menangis.
“Aida, sebelum tu, ayah, emak dan seluruh keluarga kita harap Aida tabah dengan apa yang nak kami katakan ini. Aida anak kesayangan kami jadi kami tak mahu perkara ini berlanjutan tanpa Aida mengetahui kebenarannya. Aida pun sudah 23 tahun jadi sudah tiba masanya Aida dan kami saling bertanggungjawab. Ayah... er... ayah dan emak sudah fikir panjang lebar... Kami pun dah semakin tua, entah esok atau lusa...”
“Ayah, mak... apa ni? Ayah sakitkah? Atau emak...”
“Kami tak sakit, Aida. Cuma... cuma sedih…”
Suara emak tersekat-sekat. Pipinya basah. Sedih betul emak. Dia merenung ayah bagai menyuruh lelaki itu meneruskan kata-katanya. Ayah mengangguk tanda mengerti.
“Aida... dalam dunia ini, hidup ayah dan emak tak akan lengkap tanpa kamu bertiga, Kamil, Aida dan Aini. Kamu bertigalah nyawa kami, yang menggembirakan kami setiap hari. Aida tahu kan semua ni... Betapa kasih sayang kami pada setiap kamu semua menggunung tinggi, tiada tolok bandingannya pun...”
“Aida tahu, ayah. Aida pun begitu juga. Tapi kenapa tiba-tiba saja ayah dan mak beritahu semua ini pada Aida? Semua ni memang Aida sudah tahu dan sedar. Tanpa kasih sayang emak dan ayah, Aida tak mungkin jadi begini... Tapi... tapi kenapa... kenapa ni?”
“Aida..,” ayah lagi yang bersuara.
“Walau apa pun Aida mesti ingat satu perkara, ke mana pun Aida pergi atau bagaimana keadaan hidup Aida nanti, kamilah orang yang paling menyayangi Aida. Ayah dan emak harap Aida tak akan lupakan kami.”
“Ayah... kenapa cakap begini? Kalau Aida sudah bekerja pun, sudah ada kerjaya atau kalau takdirnya Aida jadi kaya raya sekalipun, Aida tidak mungkin lupa emak dan ayah. tak mungkin lupa asal usul dan keluarga kita. Kenapa ayah cakap begini? Ayah risau bila sudah bekerja, Aida tak perlukan keluarga kita lagi?”
Sedu emak semakin kuat.
Abang Kamil yang selalunya suka bergurau dan mengusik tidak seperti perangainya yang selalu. Wajahnya mencuka, serius dan diam membatu. Keadaan yang lagi membuatkan Aida bertambah resah.
“Bukan fasal kamu sudah bekerja…”
“Fasal apa, ayah?”
Ayah menarik nafas panjang-panjang.
“Err... susahnya ayah nak cakap ini tapi, aya kena cakap juga…”
“Cakaplah, ayah!”
“Aida, kami perlu jelaskan suatu perkara. Walau Aida anak kesayangan kami tetapi sebenarnya... sebenarnya... dari segi hukum, Aida bukan anak kami... bukan anak kandung kami...”
No comments:
Post a Comment