PEMBERITAHUAN

Para pembaca boleh memesan buku yang diminati melalui nbkara.com.my atau email kepada admin@nbkara.com.my


Pembayaran boleh melalui pembayaran ke account no.

Maybank Norhayati Berahim 164267408855 Alliance bank account NBkara 120340010015114 Segala maklumat pembelian/transaksi perlu di e-mail kepada nbkara@yahoo.com atau admin@nbkara.com.my dan jangan lupakan sertakan alamat pembeli atau dengan menggunakan wangpos/cek/kiriman wang yang dialamat kepada

D26-GB Jalan Prima Saujana 2/B Taman Prima Saujana 43000 Kajang Selangor


Semua penghantaraan di Semanjung akan mengunakan pos laju dan tidak dikenakan sebarang bayaran.

Senarai Harga Novel boleh anda lihat di column sebelah kanan 'HARGA NOVEL' Untuk Sabah Sarawak harus mengikut harga asal SABAH/SARAWAK penghantar adalah percuma







BUNGA DI RIMBA

BUNGA DI RIMBA
RM21/RM24

PESTA BUKU SELANGOR

PESTA BUKU SELANGOR
Di Gerai N23, SACC Convec, Shah Alam Selangor

NB-PESANAN QADIR JILANI





PROLOG


Suatu masa dahulu ada seekor kerbau yang setiap pagi dibawa oleh seorang anak penggembala menuju ke sawah untuk dibajak. Jika tidak ada apa-apa kerja, kerbau tersebut dibawa ke tempat yang banyak rumputnya. Ke mana pun kerbau itu dibawa, dia tidak pernah membantah mengikut tuannya yang hanya seorang kanak-kanak.
Seorang wanita bertubuh sederhana, baru sahaja menanggalkan telekung dan duduk di hujung kaki suaminya sambil memicit kaki tersebut.
Suatu saat, sedang si kerbau bersendirian, seekor harimau datang menghampirinya. Si harimau berkata kepada kerbau…
“Hei kerbau, aku sudah beberapa hari mengawasi engkau. Kau selalu menuruti sahaja kehendak tuan kau walau tuan kau lebih kecil daripada engkau. Jika dia suruh kau membajak, kau membajak. Majikan kau itu kecil saja, kenapa tidak kau tanduk dia dan melarikan diri?”
Lelaki yang dipicit kakinya, merenung wajah si isteri yang baru sahaja dikahwininya.
“Menarik cerita tu, sayang.”
Iye… itu cerita abah. Abah selalu ceritakan kepada saya. Bukan sekali dua, bahkan berkali-kali. Dan setiap apa yang abah ucapkan, saya masih ingat…”
Lelaki itu tersenyum, menenang wajah isteri dengan perasaan kasih.
“Sambunglah…” suruh si suami.
Isteri yang budiman itu akur lalu menyambung cerita.
“Saya takut kepada tuan saya itu walaupun dia bertubuh kecil,” jawab si kerbau.
“Haha haha, bodohnya kau! Masakan badan kau yang besar takut kepada anak kecil?” ejek si harimau sambil ketawa terbahak-bahak.
“Kau jangan ketawa. Kau juga akan takut jika kau mengetahui kelebihan manusia,” si kerbau menjelaskan.
“Apa kelebihan manusia itu sampai membuat kau begitu takut sekali?” tanya si harimau.
Tidak lama kemudian, anak penggembala tersebut datang. Pantas sahaja si harimau menyapanya.
“Hei anak manusia! Kata si kerbau, kamu mempunyai kelebihan yang membuat dia takut. Apakah itu?”
“Saya sebagai manusia diberikan kelebihan oleh Pencipta, iaitu berupa akal yang tidak dimiliki oleh makhluk lainnya.”
“Akal itu apa? Boleh saya lihat akal kamu? Jika kamu tidak menunjukkan, saya akan memakan kamu,” tanya harimau sambil mengancam. Namun anak penggembala itu sedikit pun tidak gentar.
“Maaf, saya tak boleh tunjukkan kepada kau sebab akal saya tertinggal di rumah.”
Wanita yang bertubuh sederhana itu memberhentikan picitannya.
“Sudahlah sayang, cukuplah. Berehat dan saya mahu mendengar awak bercerita.”
Si isteri akur lalu duduk di sebelah si suami. Wangi bilik pengantin masih lagi jelas dapat ditangkap oleh hidung kedua-dua mereka.
“Menariklah cerita tu. Ayah saya dulu selalu juga bercerita, tapi tak pernah pun cerita tentang cerita ni.”
Si isteri tersenyum mendengar kata-kata suaminya. Dia mengambil sebiji bantal lantas memeluknya. Kepalanya diletak di bahu suaminya yang seraya memeluk pinggangnya.
“Kalau begitu, kau pergi ambil dulu,” kata si harimau dengan nada mendesak.
“Saya boleh pergi mengambilnya, tetapi saya takut kau akan lari, harimau,” balas kanak-kanak itu.
“Saya janji, saya tidak akan lari,” kata harimau dengan penuh yakin.
“Kau cakap saja, nanti bila aku datang balik membawa akal, mesti engkau lari. Aku rasa, baik aku ikat kau supaya kau tak lari, harimau.”
“Setuju!” jawab harimau.
Kemudian si anak penggembala mengikat harimau tersebut di sebatang pokok. Bukan sahaja tidak boleh lari, bahkan tidak boleh bergerak.
Kerbau yang dari tadi melihat, ketawa besar melihat nasib harimau.
“Sekarang apa yang kau boleh lakukan?” tanya si kerbau.
Harimau cuba meronta-ronta dan melepaskan diri, tetapi tidak boleh.
“Kalau kau nak tahu, itulah akal manusia. Manusia mempunyai akal yang kita binatang tidak memilikinya,” kata si kerbau sambil berlalu pergi mengikut tuannya.
Lelaki itu tersenyum sambil mencium rambut isterinya. Di dalam hati dia gembira kerana dia sedar, dia sudah mengahwini seorang wanita yang bukan sahaja cerdik, tetapi sentiasa mengingati cerita-cerita abahnya.



 












1


A
ngin semilir berpuput lembut. Seorang gadis sunti leka mengulit buku di pangkin bawah pokok cempedak yang baru berputik. Sesekali daun pokok tersebut bergoyang dan bergeselan antara satu sama lain. Matahari yang semakin menurun ke barat, mencuri-curi masuk dari celahan daun pokok cempedak yang rimbun di tengah halaman rumah.
“Assalamualaikum…”
Terdengar seseorang memberi salam. Gadis sunti yang sedang asyik tenggelam dalam bacaan, mengangkat wajahnya.
“Abah! Abah dah balik?”
Girang sahaja suara tersebut. Namun dia tetap tidak bergerak daripada pangkin tempat punggungnya berlabuh.
Hemm… baru balik. Lambat sikit hari ni. Tok Saat mahu rumah tu siap dua minggu lagi. Tak lama lagi anak dia nak kahwin.”
Balas lelaki yang dipanggil abah itu. Bercerita seperti anak itu sudah dewasa. Ya, dengan Hajar dia sentiasa bercerita. Tidak kira apa topiknya, Hajar mendengarnya dan seperti memahami setiap apa yang diperkatakan oleh si abah.
“Kenapa orang nak kahwin buat rumah, abah ya?”
Tersenyum Pak Cik Jilani merenung wajah anaknya. Pertanyaan itu memang kedengaran ringan sahaja. Tetapi mahu menjawabnya agak sukar.
“Orang ramai nak datang, kenalah tambah rumah, perbaiki rumah…”
“Bukan sebab nak tunjuk rumah baru pada orang datang ke, abah?”
Haha haha… Pak Cik Jilani sudah ketawa besar. Hajar memang lucu. Tetapi kalau diamat-amati, seperti sinis pun ada.
“Besar nanti Hajar nak jadi apa?”
Usai sahaja ketawa, Pak Cik Jilani bertanya anak kesayangannya. Pertanyaan yang bukan sekali dua diaju, acap kali. Tetapi aneh, si anak tidak pernah marah. Bahkan akan menjawab dengan lapang dada.
“Nak jadi penulis.”
Mendadak sahaja Pak Cik Jilani tersenyum mendengar kata-kata anaknya itu. Wajah mungil yang berusia 10 tahun itu memang cukup rajin membaca. Karya-karya penulis besar seperti Arenawati, Shahnon Ahmad, Khadijah Hashim, memang sering dibawanya ke sana ke mari.
Biasanya budak seusianya amat berminat membaca buku-buku terjemahan dari penulis seperti Enid Blyton. Tetapi tidak bagi Hajar. Buku itu bagi Hajar, terlalu mudah dan bahasanya tidak begitu menarik.
“Kenapa nak jadi penulis?”
Pertanyaan itu entah pertanyaan yang ke berapa puluh atau mungkin beratus kali. Bukan apa, setiap kali mendengar jawapan yang keluar daripada mulut Hajar itu, Pak Cik Jilani akan berasa begitu gembira sekali.
“Nanti orang boleh baca karya kita, kan abah? Lagi satu seronok, kalau satu masa nanti di buku tu ada tulis nama Hajar Jilani, kan?”
Pak Cik Jilani mengusap rambut anaknya. Telapak tangannya yang keras itu beberapa kali mundar-mandir di kepala si anak.
“Hajar tak mahu pakai nama samaran? Penulis sekarang ramai pakai nama samaran, kan?”
“Hesytak mahulah, abah. Hajar nak pakai nama Hajar dan Hajar mesti letak nama abah sekali sebab abah yang selalu belikan Hajar buku. Walau kadang tu Hajar tahu abah tak ada duit!”
Kembang dada Pak Cik Jilani mendengar kata-kata anaknya itu. Ya, memang itu harapannya. Kalau boleh, dia mahu anak itu menjadi penulis yang terkenal dan ternama.
“Nak jadi penulis bukan mudah…”
Pak Cik Jilani yang baru balik daripada membuat rumah sebentar tadi, sudah duduk di sebelah Hajar.
Lelaki itu memang bekerja mengambil upah membuat rumah. Syukur kerana sejak akhir-akhir ini tanah orang kampung dibeli oleh kerajaan untuk dibuat jalan. Jadi, dialah yang dipanggil orang kampung untuk membesarkan rumah dan juga membina rumah yang baharu.
“Susah ke abah?”
“Susah. Menulis ni tak boleh sesuka hati. Penulis ada tanggungjawabnya sendiri yang perlu dipikul. Mereka membawa amanah ALLAH. Kadangkala satu perkataan yang ditulis, akan membawa kegembiraan dan ada juga yang akan membawa kemusnahan.”
Terkebil-kebil mata Hajar mendengar kata-kata abahnya itu. Memang abah selalu mengatakan susah sebenarnya untuk menjadi seorang penulis. Sangka Hajar, susah itu lebih kepada mencari idea dan juga menyusun ayat. Rupanya definisi susah abah itu amat berbeza sekali.
“Musnah macam mana, abah?”
Hajar tahu, penulisan merangkumi macam-macam genre. Novel, skrip drama, skrip filem, buku cerita kanak-kanak dan bermacam-macamlah. Hajar tidak mahu menjadi penulis buku kanak-kanak. Dia tidak suka. Dia lebih suka menulis seperti Arenawati, Shahnon Ahmad, Usman Awang dan Khadijah Hashim. Sekarang tidak ramai penulis wanita dan dia mahu menjadi penulis wanita yang berjaya.
“Kadangkala penulis memfitnah orang melalui tulisannya kerana mahu popular dan melariskan tulisannya. Sudah sifat semula jadi manusia, suka mendengar fitnah sedangkan apa yang ditulis belum tentu betul. Inilah tugas penulis. Mereka tak boleh menulis untuk menjatuhkan orang lain, jauh sekali menyakiti hati individu yang tertentu.”
Lembut sahaja kata-kata Pak Cik Jilani. Hajar menganggukkan kepalanya tanda faham.
“Tapi Arenawati menulis mengenai pengalaman dia balik kampung di Makassar, abah. Kita tahu macam mana orang-orang Makassar menyambut tetamu. Hajar suka baca.”
Terang Hajar. Tersenyum Pak Cik Jilani mendengar kepetahan si anak bercakap. Anak yang lebih suka membaca dan setiap hari ada sahaja bahan bacaan di tangannya.
“Yang macam tu, tak apa. Bagus menulis macam tu. Mengajar orang berbuat baik dengan tetamu. Memberi pengetahuan kepada orang lain yang tak tahu bagaimana keadaan di Makassar. Hajar tahu tak, penulis ini mempunyai pengaruh yang cukup besar. Orang yang suka dengan isi bacaan mereka akan mengikut apa sahaja yang ditulis oleh penulisnya. Tulisan yang baik akan diingati walau penulisnya sudah meninggal dunia.”
Walau abah cuma seorang pembuat rumah, tetapi amat bijak. Kata-kata abah yang tersusun dan jelas itu sering membuat Hajar berfikir mahu menjadi sebijak abah.
“Nanti kalau Hajar jadi penulis, abah bangga tak?”
“Bangga, Hajar… sudah pasti! Kerana Hajar anak abah dan abah selalu mendoakan apa yang Hajar cita-citakan akan tercapai. Dan abah mahu satu masa nanti walau sudah berjaya, Hajar kena ingat pesan abah ni… jadilah padi yang semakin tunduk semakin berisi. Jadilah juga seperti lidi, bila sebatang akan mudah patah. Bila dikumpul banyak-banyak, semua kerja akan menjadi mudah!”

 












2


P
etir berdentam-dentum di udara. Sesekali kilat sambar-menyambar mencuri-curi masuk di celah-celah bilah tingkap. Hadi memeluk kedua-dua adiknya, berharap petir akan segera reda. Dan apabila terdengar pintu dibuka, tiga pasang mata terpaku di muka pintu. Menanti siapakah gerangan yang membuka pintu tersebut.
“Hadi…”
Satu suara menegur. Hadi yang duduk di katil, berselimut bersama dengan adik-adiknya, terasa lega. Suara tersebut seperti penguat semangat buatnya yang sedang ketakutan menanti redanya petir berdentum.
“Ya, ayah…”
“Takut ke?”
Pertanyaan itu dijawab dengan anggukan oleh Hadi walau dia sedar, ayah tidak dapat melihat di dalam gelap begitu.
“Tum!”
Petir menjerit lagi dan serentak itu ketiga-tiga kanak-kanak lelaki itu berpikauan dan berpelukan sama sendiri.
“Ya ALLAH, anak-anak ayah… takut rupanya?”
Serentak itu lampu di dalam bilik terpasang. Sekarang dengan jelas Hadi dapat melihat wajah ayah yang berdiri di muka pintu sedang merenung mereka bertiga dengan perasaan simpati.
“Nak tidur dengan ayah tak? Emak tak ada malam ni. Dia outstation.”
Walau sudah berusia 12 tahun, memang Hadi takutkan petir yang berdentum itu. Dahulu emak pernah bercerita mengenai seorang anak sahabatnya yang disambar petir ketika bermain bola di padang. Sampai sekarang Hadi masih ingat cerita tersebut.
Bahkan setiap kali petir memancar di langit, emak pasti akan meluru ke tengah halaman. Mencari-cari kalau anak-anaknya ada di situ.
“Mahu ayah! Mahu!!!”
Sekali lagi jerit pikau anak itu terjun dari katil dan mendapatkan si ayah. Dalam beberapa minit, empat susuk tubuh sudah berada di atas katil di bilik si ayah.
“Bila emak nak balik, ayah ya?”
Hadi bertanya, mewakili adik-adiknya. Memang emak selalu outstation. Kadangkala dua hari, kadangkala tiga hari. Pernah juga sampai seminggu, tetapi tidak selalu.
Hmm… dua malam lagi emak balik.”
“Kenapa emak selalu tak ada di rumah, ayah ya?”
Si adik yang bongsu bertanya. Matanya terkedip-kedip di dalam selimut menunggu jawapan si ayah.
Walau petir masih berdentum, tetapi kehadiran si ayah menenangkan mereka.
“Emak bekerja, emak cari duit untuk kita.”
“Ayah pun cari duit untuk kita, kan?”
Anak yang tengah pula mencelah. Dalam kelam malam dan hanya ada cahaya dari lampu tidur sahaja, si ayah menganggukkan kepalanya.
“Memanglah. Tapi gaji ayah tak besar. Gaji emak lebih besar. Emak lebih banyak tanggungjawab di pejabatnya. Jadi kita kenalah berkorban…”
Lembut sahaja suara si ayah. Ketiga-tiga anak lelaki itu hanya diam sahaja. Kalau orang lain hairan melihat emak mereka selalu tidak ada di rumah kerana bekerja, tetapi mereka bertiga sudah tidak hairan lagi. Walau kadangkala hati tertanya-tanya juga sampai bila emak akan bekerja begitu, namun tidak tergamak pula untuk bertanya.
Emak bukan tidak balik langsung. Emak tetap akan balik ke rumah. Setiap kali balik, emak sering membawa makanan yang sedap-sedap untuk mereka, terutamanya rojak ayam. Bukan setakat makanan yang sedap-sedap, emak juga suka membawa balik buku cerita dengan gambar yang cantik-cantik.
Kalau emak ada di rumah, emak rajin memasak walaupun agak jarang. Ayah yang selalu memasak untuk mereka. Masakan ayah memang sedap. Tetapi masakan emak sedap juga.
“Emak kawan Ilham tak pergi mana-mana pun. Tak kerja pun, ayah.”
Lama sepi mengisi ruang dan tiba-tiba Ilham, anak yang tengah, memecahkan kesunyian.
“Oh… itu mak kawan Ilham. Emak Ilham pandai, dia dapat kerja yang bagus. Semua orang percayakan dia. Sebab itu dia harus bekerja luar.”
Ayah menjawab. Lelaki itu memang sudah terbiasa ditinggalkan. Sudah terbiasa menjaga anak-anak. Dia terpaksa akur yang si isteri lebih tinggi pangkatnya. Bukankah sebelum berkahwin dahulu mereka sama-sama sudah berbincang?
Perbezaan pangkat bukan bermakna si isteri harus berbangga diri dan melupakan tanggungjawab. Si suami pula tidak seharusnya merasa rendah diri.
Ianya hanya perbezaan kecil yang tidak seharusnya diambil peduli dan sehingga sekarang kedua-dua suami isteri itu dapat menyesuaikan diri.
“Ramai yang puji emak Hadi, tahu tak ayah? Kata mereka, mak Hadi orang terpelajar, sedangkan emak mereka hanya duduk di rumah je. Ada tu emak kawan Hadi, kerja cuma sapu sampah saja. Kesiankan, dapat emak macam tu?”
Ya, Hadi bangga mempunyai emak sebijak emaknya. Wanita itu bukan sahaja bijak, tetapi dihormati orang. Memang emak selalu cakap, belajarlah bersungguh-sungguh. Orang yang mempunyai pelajaran selalu mendapat tempat di dalam masyarakat.
“Memang kita harus bangga dapat emak seperti emak Hadi. Tapi macam kawan Hadi tu, dia harus bangga mendapat emak seperti emak dia jugak. Walau cuma menyapu sampah, tapi dia tetap sayangkan anak-anaknya.”
Suara yang lembut itu menerobos masuk ke telinga Hadi. Di luar, hujan semakin lama semakin lebat. Tetapi petir sudah beransur pergi.
“Ayah, ceritalah pada kami…”
Si kecil Hamdan yang sedari tadi berdiam diri kerana rasa takut, menyebabkan dia tidak dapat membuka mulut.
“Nak cerita apa, sayang?”
“Ceritalah apa-apa cerita. Ayahkan pandai bercerita…”
Celah Hadi. Si ayah yang sedang dikelilingi oleh anak-anak, terkebil-kebil merenung lampu tidur di sudut bilik.
Hmm… kalau ayah cerita pasal sapi betina, macam mana?”
“Sapi betina, ayah?”
Ilham bertanya. Apa itu sapi?
Iye… kisah sapi betina.”
“Sapi tu apa, ayah?”
Tanya si kecil yang tidak tahu apa sebenarnya makna sapi. Ilham berasa lega kerana sebelum dia bertanya, si adik sudah bertanya terlebih dahulu.
“Oh… sapi tu lembu.”


 












3


H
adi menanti dengan sabar si ayah bercerita. Begitu juga Ilham. Tetapi tidak Hamdan. Hamdan sudah tidak dapat menahan kantuknya. Dalam usia tujuh tahun, minatnya untuk mendengar cerita masih belum wujud lagi. Apatah lagi cerita yang berat begini.
“Suatu ketika dahulu ada seorang kanak-kanak lelaki. Dia anak tunggal dari kalangan orang yang kaya-raya. Mendapat harta peninggalan daripada ayahnya yang telah meninggal dunia. Saudara-mara putera tunggal itu terasa amat iri hati kerana kanak-kanak lelaki ini mendapat harta daripada ayahnya.
Si Ayah memulakan mukadimah. Anak-anak yang bertiga itu mendengar dengan begitu tekun sekali. Memang setiap kali emak berpergian, si ayah pasti akan bercerita mengenai sirah nabi.
“Saudara-mara dia siapa, ya ayah?”
Tersenyum si ayah mendengar pertanyaan anak sulungnya itu. Walau duduk berempat di atas katil berhimpit-himpit begitu, tetapi nyaman rasanya.
“Saudara-saudara sepupu dialah. Mereka iri hati dan ingin menguasai harta peninggalan yang amat banyak itu. Setidak-tidaknya sebahagian daripadanya. Waktu itu belum ada hukum yang membolehkan mereka mendapat harta-harta tu.”
“Oh… mesti rumah besar, kereta besar, kan ayah?”
“Abang, mesti ada bas jugak, kan?”
Ilham mencelah kata-kata si abang. Kedua-dua mereka mengangguk. Hamdan yang duduk di celah ketiak si ayah hanya diam. Dia sebenarnya sudah rasa mengantuk dan mahu tidur.
“Dulu tak ada kereta, tak ada bas. Mungkin banyak unta, lembu dan kambing.”
Si ayah membetulkan. Memang setiap kali bercerita, setiap kali itulah banyak pertanyaan yang timbul dari anak-anaknya.
“Oh… unta. Wah! Unta tu, besar jugak, kan ayah? Kalah kereta! Lagi bagus unta dari kereta, kan abang?”
Ilham sudah teruja. Si adik sudah terlentok kepalanya, sudah tidak boleh menjawab. Kantuknya lebih daripada rasa mahu mendengar.
“Nak dengar tak cerita ayah ni?”
“Nak… nak.”
Hanya dua suara sahaja yang menyahut, yang seorang sudah tidak dapat membuka matanya.
Hmmm… dan kerana mereka tak dapat harta, mereka semua berpakat untuk membunuh pewaris harta ni.”
“Jahatnya mereka!”
“Manusia memang begitu, selalu tamak. Boleh berbunuhan kerana harta. Ingat Hadi, Ilham… harta tak boleh membawa kita ke mana-mana. Harta boleh membunuh kalau kita tak dapat mengawalnya.”
Hadi tidak faham akan kata-kata ayahnya, apatah lagi Ilham. Bagaimana harta boleh membunuh? Ada pistolkah? Tetapi mereka tidak bertanya.
“Mereka kemudiannya membunuh pewaris yang sah itu. Setelah itu, mereka pergi berjumpa Nabi Musa, melaporkan bahawa mereka menemui pewaris harta kekayaan itu telah mati dibunuh oleh orang yang tidak dikenali.”
“Kanak-kanak lelaki yang kaya-raya tu pewaris, kan ayah?”
“Ya… ya, Hadi. Betul. Pandai pun Hadi.”
Ayah tersenyum, Hadi juga. Gembira kerana dikatakan pandai.
“Tapi ayah…”
Kata-kata Ilham terhenti. Dia merenung ke luar. Sesekali sahaja kelihatan kilat sambar-menyambar. Kepalanya sedang ligat berfikir.
“Tapi apa, Ilham?”
“Kenapa bila dia dah bunuh budak lelaki tu, dia pergi berjumpa dengan Nabi Musa? Bodohlah dia.”
Kata-kata Ilham itu mendadak sahaja membuatkan si ayah tersenyum lebar.
“Ya, betul Ilham. Tak ke bodoh namanya, ayah?”
Hadi menyokong pendapat adiknya.
“Manusia memang sentiasa bertindak bodoh. Dia rasa dengan pergi kepada Nabi Musa, memberitahu dia berjumpa dengan mayat tu, nabi akan percaya cakap-cakap dia?”
“Ohhhh…”
Serentak Ilham dan Hadi bersuara. Hamdan sudah tidur tanpa menghiraukan cerita si ayah.
“Habis, apa Nabi Musa buat, ya ayah?”
Tidak sabar pula Hadi mahu mendengar cerita daripada ayahnya itu.
“Kalau kita buntu, kita tak dapat petunjuk, pada siapa kita mintak tolong?”
Tanya si ayah. Dia gembira sekali anak-anak suka mendengar cerita seperti itu.
“Kalau kes bunuh, kita lapor polislah, ayah. Polis siasatlah, kan? Kemudian polis tangkaplah orang yang bunuh tu.”
Pantas sahaja si abang menjawab. Cerita polis yang menangkap pencuri acap kali disiarkan di televisyen dan dia amat gembira kalau penjahat dapat ditangkap polis.
“Oh… itu betul. Tapi waktu dulu tak ada polis macam sekarang ni… Tak ada pistol. Tapi bila Nabi Musa buntu, tak tahu bagaimana mahu menyelesaikan masalahnya, sudah pasti Nabi Musa memohon petunjuk daripada ALLAH.”
Sunyi sahaja. Baik Ilham mahupun Hadi, tidak bertanya apa-apa kali ini.
“Nabi Musa memohon pertolongan ALLAH yang segera mewahyukan perintah kepadanya agar dia menyembelih seekor sapi. Dan dengan lidah sapi yang disembelih itu, dipukullah mayat kanak-kanak lelaki yang terkorban itu. Dengan izin ALLAH, maka kanak-kanak lelaki itu bangun, kembali hidup dan memberitahu siapakah sebenarnya yg telah melakukan pembunuhan ke atas dirinya. Hmm… dah malam dah ni. Esok nak sekolah. Apa kata kita sambung lagi nanti, ya…!”

 












4

B
uku yang hampir lusuh di tangan, diselak-selak beberapa kali oleh Hajar. Buku itu sudah habis dibacanya sejak malam tadi. Buku yang sudah lama itu, ditemuinya dan dibelek-belek.
Pada mulanya dia tidak teragak untuk membacanya. Tetapi apabila bahan bacaannya sudah habis, jadi dia mengambil buku tersebut dan membacanya.
“Abah…”
Hajar memanggil abah yang sedang sibuk menganyam sampul sarung cempedak daripada daun kelapa. Nenek yang sedang menyapu juga turut memusingkan kepalanya. Mungkin suara Hajar memanggil abah agak kuat, biarpun kedudukan abah dengan Hajar tidaklah terlalu jauh.
“Ya…”
Abdul Qadir Jilani ni siapa, abah ya? Nama dia macam nama abah aje. Cakap-cakap dia pun macam cakap abah aje. Tapi… bukan abah yang tulis buku ni, kan?”
Aik, mana Hajar tahu?”
Kepala Pak Cik Jilani terpusing melihat ke arah Hajar yang sedang membelek-belek sebuah buku yang bertulisan jawi. Dia mahu ketawa sahaja mendengar kata-kata si anak.
“Ini, di dalam ni ada ditulis pasal wasiat dia.”
“Oh… dia ulama yang dilahirkan di Kota Baghdad. Hmm… apa wasiat dia?”
Walau tahu apa yang ditulis di dalam buku itu, sengaja Pak Cik Jilani mahu menduga anaknya itu. Anak yang suka membaca. Anak yang suka bercerita tentang apa yang dibacanya.
Melaksanakan perintah ALLAH, menjauhi larangan-NYA dan kena reda atas ketentuan ALLAH…”
“Maksudnya bagaimana?”
Duga si ayah lagi. Mata Hajar terkebil-kebil, merenung sawah padi di hadapannya. Sekarang padi masih muda. Sudah pasti banyak ikan sepat di dalamnya. Kalau ajak kawan-kawan menangkap sepat pun seronok juga. Tetapi sudah pasti ayah tidak membenarkan. Nanti rosak pula padi!
“Hajar, abah tanya tadi, apa maksud dengan melaksanakan perintah ALLAH, menjauhi larangan-NYA dan kena reda atas ketentuan ALLAH?
Hmm… kalau ALLAH suruh solat, kita solat. Suruh puasa, puasalah abah. ALLAH cakap jangan mencuri, jangan mencurilah. Masakan itu abah tak tahu?”
Haha haha… nenek yang sedang menyapu, memasang telinga. Ketawa besar dia mendengarnya. Mungkin geli hati dengan jawapan si cucu.
“Padan muka kamu! Bertanya yang bukan-bukan lagi…”
Tukas nenek, merenung Hajar yang tersengih-sengih. Dia bukan mahu berkurang ajar dengan si abah, tetapi hanya bergurau sahaja. Dia tahu abah bertanya kerana mahu menduganya.
“Yalah… kemudian apa wasiat dia lagi?”
Sedar kerana salah bertanya, si abah mengaju tanya lagi. Tidak mahu mengalah.
“Banyaklah abah, termasuk menyuruh mengikut sunnah Nabi, tinggalkan bidaah. Hmm… sunnah Nabi tu macam mana, abah ya?”
Mata Hajar merenung abah yang sudah menyiapkan beberapa sampul sarung cempedak. Memang cantik!
Kadangkala hairan juga Hajar, buat apa cempedak disampul dengan begitu susah payah? Esok kalau cempedak tersebut sudah masak dan ditanggalkan dari pokoknya, sudah pasti yang tinggal hanya sarungnya sahaja.
Apakah orang sudah tidak ada kerja sehingga cempedak pun perlu disarungkan?
“Sunnah Nabi adalah sesuatu yang diriwayatkan Rasulullah Sallallahualaihiwasallam, merupakan perkataan, perbuatan, peribadi, akhlak mahupun perilaku. Macam mana Nabi makan, Nabi tidur, Nabi cuci gigi…”
“Nabi kahwin lebih pun sunnah, kan abah?”
Tersentak si abah mendengar. Matanya berlaga dengan mata Hajar dan kedua-duanya kemudian ketawa besar.
“Mana Hajar tahu?”
“Alah, hari itu kat sekolah ada ustaz kahwin dua. Bila orang tanya kenapa ustaz kahwin dua, dia cakap, ikut sunnah nabi.”
Abah sudah ketawa. Ustaz mana yang berkahwin dua? Mungkin Ustaz Ali. Lelaki yang mengajar Hajar pelajaran agama Islam. Ustaz yang berjambang itu memang beristeri dua.
Kenapa kalau ustaz sahaja harus beristeri dua? fikir Pak Cik Jilani dalam diam. Tetapi tidak mahu disuarakan, takut Hajar yang suka bertanya itu akan bertanya dengan lebih lanjut lagi. Padahnya, dialah nanti yang terpaksa menjawabnya.
Hmm… bidaah pulak, apa abah?”
Pertanyaan Hajar membuat abah tersenyum. Akibat terlalu banyak membaca, maka banyaklah pertanyaan terbit daripada mulut Hajar.
“Bidaah adalah sesuatu perkara yang direka yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah. Bidaah juga sekiranya mengadakan pembaharuan dalam agama yang tiada nas dalam Al-Quran, hadis, amalan para sahabat dan ijmak ulama.”
“Bidaah ni kadangkala sudah menjadi budaya dalam masyarakat kita.”
Nenek yang menyapu sebentar tadi tumpang mendengar, mencelah. Seronok pula dia mendengar perbualan anak-beranak itu. Penyapu sudah disandarkan di tiang rumah.
“Macam beduk yang dipukul sebelum azan, ianya bukan sunnah Rasulullah. Sesetengah pendapat mengatakan ianya sudah jadi bidaah.”
“Oh, iyelah mak, ya… sebab beduk tu adalah sejenis peralatan untuk bermain-main, maka tidak boleh digunakan untuk menginformasikan kepada orang tentang tibanya waktu solat, bukan begitu?”
Hajar hanya mendengar perbualan tersebut dengan begitu berhati-hati. Dia memang mengagumi nenek dan juga abahnya yang boleh bercerita mengenai apa sahaja.
“Paling penting atau wajib adalah, mengalunkan azan seperti yang telah ditetapkan oleh syariat.”
Hajar merenung buku di tangannya. Sebenarnya buku tersebut dijumpai di atas meja. Dia yang memang lancar membaca Jawi, mengambilnya lalu membaca. Seronok juga walaupun ada perkara yang tidak diketahui maknanya.
“Apa lagi yang ditulis dalam buku tu?”
Nenek pula mengambil bahagian bertanya. Nenek pandai membaca, baik Jawi mahupun Rumi. Nenek bukan sebarang nenek. Nenek pandai segala perkara.
“Memohon pertolongan daripada ALLAH.”
“Oh, iyelah… kita harus berusaha kemudian memohon daripada ALLAH. Kalau ada masalah, kita harus berusaha terlebih dahulu dengan sedaya upaya diri sendiri. Jika tak mampu mengatasi sendiri, kita hendaklah meminta pertolongan daripada orang lain, misalnya dengan jiran, kerajaan dan sebagainya. Kalau sakit, pergi ke doktor. Tapi dalam masa yang sama, jangan lupa mintak pertolongan ALLAH. Berusaha dan pertolongan ALLAH juga harus kita mintak. Jangan berusaha tapi kita sombong, kita tak mintak pada ALLAH dan di masa yang sama jugak, jangan pulak mintak pada ALLAH saja tapi kita tak berusaha.”
“Abah…”
Iye?”
“Qadir Jilani ni pun cakap sama macam abah cakap, tau!”


 












5


E
mak pergi lagi. Kali ini selama seminggu. Kata ayah, emak terpaksa mengikut menteri wanita yang membuat lawatan ke luar negara. Hadi dan adik-adik sudah tidak kisah. Emak berjanji bila emak balik nanti, emak akan belikan Hadi dan adik-adik coklat berbentuk kereta. Ada macam-macam bentuk. Hadi sukakan bentuk kereta klasik, tetapi adik-adiknya suka coklat berbentuk kereta lumba.
“Ayah!”
Hadi teringat sudah beberapa minggu ayah tidak berpeluang bercerita. Bila ada emak, ayah memang sibuk. Sibuk bersama dengan emak di dalam bilik. Dia pula tidak berpeluang bersama-sama ayah satu katil.
Bila emak pergi, barulah mereka berpeluang tidur bersama dengan ayah. Kalau emak ada, jangan harap dapat tidur dengan ayah dan emak. Kata emak, anak-anak yang sudah besar tidak elok tidur bersama emak dan ayah. Malu.
Sebenarnya Hadi tahu, emak tidak selesa tidur ramai-ramai begitu.
Yalah… lima orang satu katil. Sudah pasti kalau tidak emak, ayahlah yang terpaksa beralah.
“Eh! Hadi, kenapa? Nak tidur dengan ayah ke?”
“Hari tu ayah cerita tak habis…”
Sebenarnya Ilham dan Hamdan sudah tidur. Siang tadi Ilham ada latihan bola sepak. Adik yang cuma bezanya dua tahun daripada Hadi itu sudah kepenatan. Begitu juga dengan Hamdan.
“Cerita pasal apa?”
“Cerita pasal sapi betina la, ayah.”
Si ayah termangu-mangu dan kemudian baru menyedari cerita yang pernah diceritakan kepada si anak rupanya masih belum selesai.
“Oh, iye… Sampai mana ya ayah cerita?”
Hadi sudah merangkak naik ke katil si ayah. Seronok juga mendengar cerita tanpa adiknya yang berdua itu. Sekurang-kurangnya dia terasa rapat dengan si ayah.
“Alah… yang ALLAH beritahu Nabi Musa supaya cari sapi betina dan lidahnya dipukul pada mayat tu…”
Si ayah tersenyum. Hadi memang suka mendengar dia bercerita. Ceritalah apa sahaja, anak itu akan pasang telinga.
“Oh, iye… Ayah dah lupa yang ayah pernah bercerita dengan Hadi cerita tu. Hmmm… ketika Nabi Musa menyampaikan cara yang diwahyukan oleh ALLAH itu kepada kaumnya, dia ditertawakan dan diejek kerana akal mereka tak dapat terima perkara yang sedemikian itu boleh terjadi. Mereka lupa yang ALLAH telah berkali-kali menunjukkan kekuasaan-NYA melalui mukjizat yang diberikan kepada Nabi Musa, yang kadangkala lebih hebat dan lebih sukar untuk diterima oleh akal manusia.”
“Orang-orang Nabi Musa adalah keturunan Bani Israel, kan ayah?”
“Ya, Hadi.”
“Patutlah jahat, degil! Orang Israel dan Yahudi memang jahat, kan ayah? Orang bangsa lain dan agama lain boleh hidup aman damai. Tapi bangsa itulah yang suka memporak-perandakan hidup orang lain.”
Geram sahaja bunyi kata-kata Hadi. Banyak sangat yang didengarnya mengenai kedegilan orang-orang Yahudi ini. Dari dahulu sampailah sekarang.
“Betul Hadi, orang Yahudi adalah orang-orang yang bukan sahaja jahat, tapi juga tak tahu bersyukur. Macam kita, kita bersolat tunduk pada ALLAH, sujud pada ALLAH. Mereka sampaikan mati pun ditanam secara berdiri kerana tak mahu sujud pada ALLAH. Sampaikan apabila Nabi Musa menyuruh mencari seekor sapi atau lembu pun, mereka mengejek Nabi Musa.”
Si ayah bercerita dengan tekun sekali, Hadi yang mendengar juga dengan cara yang sama. Tekun.
“Mereka ejek nabi apa, ayah?”
“Oh… kata mereka, apakah cara yang engkau usulkan itu, engkau bermaksud hendak menjadikan kami bahan ejekan dan ketawa orang? Akan tetapi kalau memang cara yg engkau usulkan itu adalah wahyu, maka cubalah tanya kepada Tuhanmu, sapi betina atau jantan yang harus kami sembelih? Dan apakah sifat-sifatnya serta warna kulitnya agar kami tidak salah memilih sapi yang harus kami sembelih?”
“Dia orang ni banyak sangat tanyanya, ya ayah?”
“Ya Hadi, mereka tak berpuas hati dengan apa yang Nabi Musa arahkan. Bagi mereka, Nabi Musa hanya main-main.”
Orang-orang Yahudi adalah manusia yang tidak pernah berpuas hati dengan orang lain! Sungut Hadi dalam hati.
“Lepas tu Nabi Musa cakap apa, ayah?”
“Jawab Nabi Musa, menurut petunjuk ALLAH, yang harus disembelih itu ialah sapi betina berwarna kuning tua, belum pernah dipakai untuk membajak, tidak cacat dan tidak pula ada belangnya.”
“Jumpa ke lembu macam tu?”
Perlahan kepala si ayah mengangguk. Mengiakan pertanyaan si anak.
“Orang yang ada lembu tersebut adalah seorang anak yatim piatu. Ayah anak yatim itu adalah seorang yang sangat miskin tetapi beramal soleh. Lembunya dibeli dengan harga yang mahal dan berlipat ganda.”
“Wah! Kenapa mahal, ayah ya?”
Hadi begitu teruja sekali. Ya, dia memang bercita-cita mahu menjadi seorang usahawan suatu masa nanti.
“Sebab tidak ada lembu lain yang serupa dengan lembu tersebut. Hmm… Hadi tahu tak apa cerita seterusnya?”
“Manalah Hadi tahu, ayah. Ayah tak cerita…”
Ya, Hadi selalu gembira mendengar cerita si ayah.
“Setelah disembelih sapi yang dibeli dari anak yatim itu, diambillah lidahnya oleh Nabi Musa lalu dipukulkannya pada tubuh mayat yang ketika itu bangunlah dia, hidup kembali dengan izin ALLAH. Lalu dia menceritakan kepada Nabi Musa dan para pengikutnya bagaimana dia telah dibunuh oleh saudara-saudara sepupunya sendiri. Demikianlah kuasa ALLAH yang ditunjukkan kepada Bani Israil yang keras kepala dan keras hati itu. Kalau Hadi nak tahu, ayat-ayat Al-Quran yang mengisahkan cerita tu tadi terdapat dalam surah al-Baqarah ayat enam puluh tujuh sehingga tujuh puluh tiga.”
“Oh… ini cerita dalam Al-Quran, ya ayah?”
“Ya Hadi, Al-Quran penunjuk jalan, Al-Quran yang kekal sepanjang zaman. Apa-apa terjadi, Hadi kena rujuk pada Al-Quran. Dari Al-Quran kita akan dapat macam-macam pedoman.”