Makan malam siap dihidangkan. Masakan nenek malam itu ringkas sahaja. Pisang muda dimasak lemak, daging masak asam dan juga ikan goreng bertepung. Jaliha makan dengan perlahan-lahan. Bukan kerana dia tidak suka dengan lauk yang dimasak, tetapi fikirannya diasak dengan pertanyaan demi pertanyaan.
Kata nenek, orang perempuan banyak keistimewaannya. Sedangkan setahu dia, orang lelakilah yang banyak keistimewaan. Emak membenarkan banyak perkara dilakukan oleh abang. Tetapi dia? Banyak perkara yang emak larang dan bantah.
“Macam mana sekolah?”
Pertanyaan emak tidak dijawab oleh sesiapa pun. Setiap kali makan, itulah pertanyaan emak. Macam mana sekolah? Jawab dengan tidak, sama sahaja. Kalau menjawab, emak akan berleter. Kalau tidak dijawab pun emak berleter juga.
“Mak tanya, Jaliha… Macam mana sekolah?”
Mata Jaliha terkebil-kebil merenung emaknya yang sedang memandang dengan mata mencerlung. Mata emak macam mata helang dan agak menakutkan.
“Okey aje, mak.”
“Apa yang okey? Jangan main-main di sekolah, Jaliha. Emak tak suka. Susah payah emak besarkan kamu, bagi kamu pelajaran.”
“Jaliha anak yang baik. Keputusan peperiksaan dia dari dulu amat bagus. Tak payahlah kamu berleter setiap kali waktu makan. Putus selera budak tu.”
Pantas sahaja nenek memintas. Membuatkan wajah Jaliha berseri. Jaliha tidak tahu kenapa setiap kali ditanya, emak akan bertanya dia dahulu. Bukan bertanya Juriah atau Johari.
“Tengok mak! Mak menangkan dia, sukalah dia...”
Kerlingan emak menakutkan. Namun apabila terpandang wajah nenek yang senyum, hilang segala gerun menghadap wajah tersebut.
“Kamu dengan anak, berlembutlah sikit. Bertanya pun macam gergasi menyerang kampung, tahu?”
Baik Johari atau Juriah, sudah ketawa. Tetapi tidak Jaliha. Bagi Jaliha, kata-kata emak tidak ada yang kelakarnya. Emak selalu mengeluarkan kata-kata yang memedihkan hatinya dan entah mengapa, dia sebenarnya tidak suka menghadap wajah emak.
“Kalau Ram berlembut, dia orang pijak kepala Ram, mak…”
Tegas sahaja kata-kata Puan Ramona. Jaliha tidak kisah. Dia merenung nasi yang sudah disimbah dengan kuah lemak pisang. Seingat dia, dia amat jarang merasa masakan emak sebab nenek sahaja yang memasak.
“Apa yang difikirkan tu? Fikir boyfriend agaknya?”
Sergah emak apabila melihat Jaliha termenung. Jaliha menangkap mata emak yang merenungnya garang. Seperti mata helang!
Mendadak sahaja dia terfikir. Kenapa emak tidak pernah tersenyum? Apa menyebabkan emak selalu garang dalam setiap tutur katanya?
“Kamu ni… ada saja nak cari pasal. Budak tu diam, kamu yang terlebih-lebih. Jangan bangkitkan perkara yang tak benar depan anak-anak...”
Puan Ramona mendiamkan diri. Jaliha tidak menjawab sedikit pun. Dia sebenarnya sudah lelah untuk menjawab pada setiap leteran emaknya.
Dia tidak bersalah! Emak sengaja mereka kesalahan dirinya! Bukan emak tidak tahu dia sekarang bersekolah di sekolah yang semuanya perempuan. Mana ada budak lelaki?
“Hah, habiskan nasi tu! Ingat senang emak cari duit? Siang malam mak cari duit, tau!”
Emak memetir lagi apabila nasi Jaliha tidak habis di pinggan. Nenek menjadi hairan.
“Nenek masak tak sedap ke, Jaliha?”
Jaliha menggelengkan kepalanya. Entah mengapa sejak akhir-akhir ini selera dia menjadi tumpul. Apatah lagi apabila makan menghadap wajah emak! Peristiwa dipukul dan ditendang oleh emak sebenarnya tidak pernah habis pergi dari ingatan.
“Habis, kenapa tak habis makan? Nenek tengok Jaliha makan sikit aje. Habiskan makan. Nak nenek gorengkan telur?”
“Emak jangan nak manjakan dia, mak. Bukan main banyak lauk atas meja, kenapa nak goreng telur pulak?”
Pantas sahaja emak memintas. Jaliha memandang wajah emak kosong. Lama. Sehingga emak sendiri menjadi gusar.
“Apa pasal kamu tenung muka mak?”
Sergah emak garang. Jaliha tidak berkata apa-apa. Dia membawa pinggan ke singki. Membuang nasi yang tidak habis ke dalam tong sampah. Dengan senyap dia membasuh pinggan di tangan.
“Hairan sungguh emak dengan kamu ni. Dengan Jaliha, keras sangat kamu. Tengok budak tu, dia dah merajuk.”
Jaliha mendengar nenek bersuara. Nenek memang selalu mempertahankannya. Bahkan dalam segala hal, nenek sentiasa berdiri di sebelahnya. Tidak macam emak. Emak yang selalu menjerkah dan marah-marah.
“Merajuk dia yang emak tahu, angin saya, mak tak tahu. Tengoklah perangai dia. Dia tenung muka saya lama-lama. Tak ke kurang ajar tu? Kita tanya, dia mana ada pernah jawab.”
Emak pasti akan memberi alasan sendiri bagi mempertahankan diri.
“Budak tu takut nak menjawab. Kamu garang sangat.”
Tingkah nenek. Berbunga hati Jaliha dengan kata-kata nenek.
“Benci sungguh saya dengan dia!”
“Astaghfirullahalazim… mengucap Ramona, mengucap! Kalau kamu tak suka dia, biar mak bela dan bawak balik dia ke rumah mak!”
Jaliha yang baru mahu keluar dapur, terhenti langkahnya. Dadanya berdebar dan dia rasa mahu menangis!