T |
anah yang beberapa puluh meter di belakang rumah Cikgu Ara itu memang penuh dengan tanaman nanas. Tanah gambut itu sesuai hanya ditanam nanas. Anehnya tanah tapak rumah Cikgu Ara adalah tanah keras dan liat. Bukannya tanah gambut seperti itu. Sebab itu rumah pusaka yang sejak beberapa puluh tahun itu tetap teguh berdiri.
“Muna!”
Terdengar suara orang memanggil nama Muna. Muna yang sedang menakik batang buah nenas berpaling mencari arah suara tersebut. Tidak ada sesiapa pun?
Ahh... perasaan dia agaknya. Mona tunduk semula.
“Muna!”
Sekali lagi Muna cuba mencari-cari dari mana datangnya suara tersebut. Dia bercekak pinggang seketika. Dia tahu ada orang cuba menakut-nakutkannya.
“Weh! Siapa?”
Mata Muna tertancap pada pokok jambu air yang tumbuh merimbun tidak jauh di belakang rumah. Suara tersebut datang dari situ.
Tetapi tidak ada jawapan walaupun Muna berjeda beberapa minit menunggu-nunggu kalau dia nampak kelibat sesiapa di belakang pokok tersebut.
“Weh... siapa? Jangan nak main-main. Karang aku tebas dengan parang ni!”
Garang sahaja Muna menggertak. Namun dia tidak bergerak dari tempat dia berdiri.
“Ahh... akulah!”
Tuminah keluar sambil bercekak pinggang kemudian ketawa terkekeh-kekeh. Muna merengus sebaik sahaja melihat wajah manis sahabatnya itu.
“Aku dah agak mesti ada orang yang nak usik aku.”
Muna sudah tunduk, memangkas sekali lagi dan buah nanas sudah terkulai di perdunya.
“Kau tak takut ke?”
“Apa nak takut pulak...?”
Balas Muna sambil matanya meliar di batas pokok nanas tersebut.
“Kau tak takut, sebulan dua dulu ada orang jumpa lembaga di belakang rumah kau ni. Pakai baju berwarna putih, jalan terapung-apung. Dia orang cakap hantu penanggal.”
Muna ketawa. Memang ada cerita yang sampai ke telinganya begitu. Tetapi Muna tidak takut. Kata abah jangan takut apa-apa kecuali ALLAH. ALLAH sahaja yang perlu kita takuti.
“Orang saja je buat cerita. Kau ingat hantu penanggal nak lalu di kebun nenas? Abislah perut dia tersangkut duri pokok nenas...”
Muna sudah ketawa-ketawa. Tuminah juga ketawa sambil menggaru kepalanya. Kata-kata Muna logik juga masuk ke dalam benaknya.
“Umi aku cakap, orang dulu-dulu selalu letak pokok berduri di tingkap dan di pintu masuk rumah orang yang nak bersalin. Tak mahu hantu penanggal masuk hisap darah. Umi aku kata, hantu penanggal takut dengan duri. Cuba kau fikir, belakang rumah aku ni penuh dengan pokok nenas. Berani ke hantu penanggal tu?”
Di akhir kata-katanya Muna sambung ketawa lagi, Tuminah pun begitu. Ya... kata-kata Muna memang cukup logik. Mana hantu penanggal nak lekat di rumah Muna. Nak dekat pun takut. Depan belakang rumah Muna penuh dengan pokok nanas.
“Kau datang ni apa hal?”
Tanya Muna selepas ketawa mereka berdua usai. Tuminah tersengih sambil bibirnya menunjukkan ke arah pokok nanas.
“Mak aku mintak nenas sebiji dua, aku dah cakap dengan mak kau tadi...”
“Nah!”
Muna meletakkan parang yang dipegang sebentar tadi ke tangan Tuminah.
“Kau cari sendiri...”
Sambung Muna lagi. Mata Tuminah terkebil-kebil merenung parang yang sudah berada di tangannya.
“Kau tolonglah petikkan...”
“Banyak cantik muka kau! Dahlah mintak, nak suruh aku petik untuk kau pulak? Kau ingat aku ni kuli kau?”
Kasar sahaja kata-kata Muna tetapi Tuminah tidak kisah. Dia bukan baru kenal Muna sehari dua, dia sudah kenal Muna 15 tahun. Bahkan mereka pergi sekolah sama-sama.
Cuma ketika bersekolah menengah Muna agak pandai sedikit daripada Tuminah. Jadi bila Muna di kelas B, Tuminah berada di kelas C.
“Teruklah kau, Muna...”
“Apa pulak teruknya? Kau yang teruk. Sudahlah mintak percuma, lepas tu suruh aku petikkan. Nasib tak suruh aku kupaskan sekali, tak suruh aku masakkan...”
Tuminah tersengih lebar mendengar perlian Muna itu. Muna memang selalu bercakap lepas dengannya. Mungkin juga kerana sikap dia sendiri yang keterlaluan. Mahu nanas main minta sahaja dan suruh Muna petikkan sekali. Sebab itu kadangkala Muna kata, orang Melayu ini kadangkala sudah terlampau.
Semua benda hendak dimintanya. Hendak cili apilah, hendak buah jambulah. Mahu umbut kantanlah. Tetapi bukan mahu ambil sendiri, suruh tuan rumah ambilkan. Banyak lemak sungguh!
“Bapak kau ada rumah?”
“Takkkk...”
Panjang ‘tak’ Muna. Tuminah tidak menjawab. Dia sudah cuba menakik batang buah nanas. Muna hanya memerhatikan.
Tuminah juga budak kampung sepertinya, tetapi cara Tuminah menakik batang buah nanas macam orang tidak tahu sahaja. Macam orang bandar yang tidak kenal pokok nanas! Ah... biarkan. Tak kuasa aku menolong. Muna mencemuh dalam hati.
“Hmm... aku hairan sungguh!”
Tuminah yang tercungap-cungap mahu memetik buah nanas itu mengerling Muna. Muna pura-pura tidak melihat waima mendengar.
“Apalah bapak kau kejarkan ustazah tu. Umi kau bukan tak cantik. Cantik walaupun badan dia besar sikit. Bukan tak pandai, pandai. Dia cikgu. Bukan tak baik, baik! Budak-budak kat sekolah semua suka dengan umi kau yang pandai ambik hati. Apa yang bapak kau kejarkan perempuan lain?”
Muna tidak menjawab. Bosan dia mendengar kata-kata Tuminah yang sudah berulang kali itu. Bukan sahaja dia ganar, tetapi hatinya sudah naik menyampah!
“Mak kau nak buat apa nenas ni?”
“Masak asam nenas ekor lembu.”
“Wah! Mana dapat ekor lembu?”
Tanya Muna, besar matanya. Masak asam nanas ekor lembut? Lama sungguh rasanya dia tidak makan daging.
“Hmm... bapak akukan meniaga di pasar. Janganlah kau tanya dari mana dia dapat.”
Muna tersengih. Dia menyeringai. Memang dia tahu ayah Tuminah bekerja di pasar. Macam-macam ikan dibawanya balik dari pasar. Selalu kalau ikan tidak habis, emak Tuminah akan hantar ke rumah Muna.
“Hmm... iye tak ye jugak.”
“Esok aku nak pergi Muar...”
Teringat Muna akan janji uminya mahu ke pekan Muar esok dan makan mi di tepi sungai Muar itu.
“Wah...! Buat apa?”
“Hmm... nak beli kasut adik aku...”
Balas Muna perlahan. Tuminah sudah selesai memetik sebiji buah nanas. Muna melihat kepala buah nanas itu. Masih lagi muda!
“Kau petik buah nenas mudalah!”
Mata Muna terjegil. Tuminah panar. Penat lelah dia menakik batang buah nanas sebentar tadi, baru sekarang Muna beritahu nanas itu muda?
“Hesy... buat nama aje duduk kat kampung Parit Kejora ni! Tapi tak tahu nak pilih buah nanas...”
Muna mengambil parang dari tangan Tuminah dan tidak lama kemudian bergolek beberapa biji buah nanas yang sudah hampir masak dan sedap untuk dimasak pajeri ataupun daging masak asam nanas.
No comments:
Post a Comment