PROLOG
Dia melihat, berbondong-bondong yang datang mengunjungi pusara itu. Rata-rata yang hadir berpakaian serba putih. Sekali-sekala haruman wangi bertiupan menusuk deria bau. Suasana di tanah perkuburan itu begitu nyaman, tidak panas malah sejuk berangin. Ternyata yang pergi itu bukan sembarangan orang, begitu ramai memberi penghormatan terakhir kepada si arwah. Sebaik tujuh langkah beredar meninggalkan pusara si mati, berzikrullah dada langit. Bergema kalam-kalam ALLAH seisi alam.
Dia mengalirkan air mata.
Ditahan sebaknya yang menyesak di dada, makin menjadi-jadi kesedihannya tidak terbendung. Dia harus kuat semangat, dia tidak boleh berputus harap. Entah kenapa, di dalam mimpi-mimpinya berulang kali bacaan talkin sayup-sayup kedengaran menusuk hati. Apabila nama lelaki itu diseru ke telinga, berdegup kencang jantungnya seperti mahu pecah saluran darahnya. Ya ALLAH, aku tahu ini semua mainan tidur yang mahu aku menyerah kalah. Astaghfirullahalazim.
Bingkas dia mengambil wuduk, sejadah dibentangkan di sebelah katil pesakit. Telekung putih disarungnya dengan tangisan yang tidak henti-henti jatuh ke pipi, kerana lelaki itulah dia mengenal ALLAH TAALA. Dia mengakui dirinya bukanlah perempuan yang baik, tidak terhitung betapa banyak kewajipannya sebagai seorang Muslimah diabaikan begitu sahaja. Lelaki itulah yang membimbingnya dan dia mengharapkan bimbingan itu berterusan. Janganlah dibawa pergi lelaki mulia ini, Ya ALLAH.
Solat taubat di hening malam didirikan penuh khusyuk dan tawaduk. Dia mahu ALLAH memperkenankan doanya, mahu dimakbulkan doanya. Lelaki itu acap kali berpesan kepadanya, doa yang diterima ALLAH datangnya dari hati yang bersih. Bertaubatlah selalu, kerana kadangkala manusia itu tidak menyedari akan perbuatannya itu mendatangkan dosa dan setiap calitan dosa itu menggelapkan hati. Hati yang kotor, tidak dipandang ALLAH akan doa-doanya.
Di sujud terakhirnya, dia bersungguh-sungguh berdoa. Memohon dosa-dosanya yang lalu diampunkan. Seusai salam diberi, disatukan telapak tangannya menadah doa kepada Al-Tawwab yang Maha Penerima Taubat.
Berjejeran air matanya sekali lagi, begitu kerdil dirasakan dirinya ketika itu. Mengharap doanya diperkenankan sedangkan siapalah dirinya, seorang perempuan yang baru mengenal sejadah. Semakin diramas-ramas hatinya mengenangkan kekhilafan lalu.
Dia menyeka air matanya, dia tidak mahu emosi menguasai ibadahnya. Ditariknya nafas dalam-dalam dan bangkit berdiri di atas sejadah penuh tertib menunaikan solat hajat kemudiannya. Dua rakaat yang membuatkan seluruh anggotanya menggigil ketakutan seusai memberi salam. Kepada Al-Samik dia terus berdoa dan mengharapkan lelaki itu bangun dan sedar. Dahi lelaki itu dikucup penuh kasih sayang. Berdenyut-denyut jantungnya melihat insan yang dicintai terkedang kaku berserkup bekalan oksigen.
“Sayang... sayang ingat tak saat-saat indah di awal perkenalan kita dulu? Kalau diingat balik, lucu, kan sayang?”
Dia ketawa dalam tangisan. Saban malam tidak jemu-jemu dia bercerita ke telinga lelaki itu, kisah percintaan mereka. Dia tahu lelaki itu mendengar, mendengar dalam komanya. Sambil bercerita, tangan lelaki itu digenggam erat. Dibawakan tangan itu ke pipinya, dicium lembut mendambakan belaian seorang lelaki bergelar suami. Dia terlalu menyayangi lelaki itu lebih daripada dia menyayangi dirinya sendiri.
“Sebenarnyakan, sayang... sejak kali pertama terpandang sayang, isteri sayang ni dah jatuh cinta. Nakal betulkan isteri sayang ni? Ramai orang cemburu bila melihat penyatuan kita dan Qis tahu sebabnya. Siapalah Qis ni kalau nak dibandingkan dengan sayang? Bertuahnya badan menjadi isteri sayang....”
Dia tertewas sekali lagi, hatinya tersentuh dan sebutir demi sebutir cecair jernih mengalir dari tubir matanya. Lepas satu, satu lagi dugaan perlu diharungi lelaki itu. Sebagai isteri, dia tidak mampu untuk melihat kesengsaraan lelaki pelindungnya itu berterusan. Seandainya boleh dialihkan sakit dan perit lelaki itu ke dalam tubuhnya, dia sanggup menerimanya dengan reda. Kenapalah ada yang sanggup berlaku kejam terhadap lelaki sebaik itu? Kenapa...?
“Sayang nak tahu, manusia tak berhati perut yang buat sayang begini dah ditangkap pihak polis semalam. Padan muka dia meringkuk dalam penjara. Setiap perbuatan jahat, kalau tak dibalas di dunia, di akhirat sana ALLAH membalasnya, kan sayang?”
Dia bercakap seolah-olah lelaki koma yang terbaring di hadapannya itu mampu berinteraksi dengannya. Luka-luka yang sudah kering dan meninggalkan parut kecil di wajah suaminya itu diusap-usapnya penuh rasa cinta yang mendalam. Sebagaimana peritnya luka dan lebam yang dialami lelaki itu, begitu jugalah parah dan tercedera hatinya.
Seboleh-bolehnya dia tidak mahu menyimpan dendam terhadap manusia kejam itu, tetapi melihat suaminya yang sedang koma, perasaan amarahnya hadir menerpa. Cuba dialihkan fikirannya dari mengingatkan perkara-perkara yang menyakitkan itu dengan membayangkan kemanisan hidup bersama si suami.
Apabila teringat saat-saat indah sewaktu berbulan madu, terasa menebal rasa malunya terhadap ALLAH SWT. Malu apabila mengenangkan si suami mengajaknya untuk membaca Al-Quran bersama-sama sedangkan dirinya seperti anak kecil yang merangkak-rangkak bacaannya.
Namun lelaki itu sedikit pun tidak mengecilkan hatinya, malah diajar dirinya mengaji saban hari. Hatinya semakin sayu mengingatkan pengorbanan si suami membimbing dirinya mengenal huruf sehingga dalam masa yang singkat, dia sudah boleh mengaji. Sudah boleh merasai nikmat manisnya menyebut kalam-kalam ALLAH di hujung lidah.
Surah Yasin dibacanya perlahan. Walau masih bersimpang-siur makhrajnya tetapi dia bersungguh-sungguh membacanya dengan linangan air mata. Terkial-kial dia menyempurnakan bacaannya, namun sudah ada kelancaran sedikit demi sedikit.
Waktu terus berputar, berdenting menghampiri detik 3:00 pagi. Dia tertidur di kerusi di sebelah katil suaminya. Pipinya kebasahan dengan air mata yang mengalir. Tersedu-sedan dia dalam tidurnya. Mudah-mudahan lenanya tidak lagi diganggu dengan mimpi-mimpi. Surah Yasin yang dibaca tidak sempat dihabiskan, terberhenti pada ayat 51.
“Dan sudah tentu akan ditiupkan sangkakala (menghidupkan orang-orang yang telah mati; apabila berlaku yang demikian) maka semuanya segera bangkit keluar dari kubur masing-masing (untuk) menghadap Tuhannya.”
Puput bayu malam menyelimuti isteri solehah itu.
1 comment:
whooossshh~ baru awal2 ni dah best.. aduh kesiannya si suami tu
=(
Post a Comment