PEMBERITAHUAN

Para pembaca boleh memesan buku yang diminati melalui nbkara.com.my atau email kepada admin@nbkara.com.my


Pembayaran boleh melalui pembayaran ke account no.

Maybank Norhayati Berahim 164267408855 Alliance bank account NBkara 120340010015114 Segala maklumat pembelian/transaksi perlu di e-mail kepada nbkara@yahoo.com atau admin@nbkara.com.my dan jangan lupakan sertakan alamat pembeli atau dengan menggunakan wangpos/cek/kiriman wang yang dialamat kepada

D26-GB Jalan Prima Saujana 2/B Taman Prima Saujana 43000 Kajang Selangor


Semua penghantaraan di Semanjung akan mengunakan pos laju dan tidak dikenakan sebarang bayaran.

Senarai Harga Novel boleh anda lihat di column sebelah kanan 'HARGA NOVEL' Untuk Sabah Sarawak harus mengikut harga asal SABAH/SARAWAK penghantar adalah percuma







BUNGA DI RIMBA

BUNGA DI RIMBA
RM21/RM24

PESTA BUKU SELANGOR

PESTA BUKU SELANGOR
Di Gerai N23, SACC Convec, Shah Alam Selangor

RESIPI HATI-IEJAY ZAKARIA




Prolog


Dia hanya terkedang di atas katil hospital. Dia sudah tiada daya untuk berbuat apa-apa lagi. Dia yang dahulunya lincah ke sana ke mari menikmati keseronokan mengelilingi dunia, kini hanya mampu terbaring lemah. Sesekali apabila rasa sakit yang mencucuk-cucuk pada bahagian abdomennya menyerang, dia hanya mampu menangis dan mengerang sahaja.
Doktor telah pun mengesahkan dia menghidap penyakit radang pelvis ataupun singkatannya PID (pelvic inflammatory disease). Menurut pemerhatian doktor yang merawatnya, penyakitnya ini bermula daripada jangkitan kuman gonorrhea iaitu salah satu jenis penyakit kelamin yang menyerang wanita mahupun lelaki secara senyap dan tanpa sebarang simptom.
Dia sendiri pada mulanya hanya mengalami tanda-tanda biasa sahaja seperti berasa pedih semasa membuang air kecil, sakit kerongkong dan terdapat lelehan daripada serviks. Lelehan itu kemudian berhenti selepas beberapa minggu. Ketika itu dia ingat dia mungkin tidak ada apa-apa penyakit merbahaya.
Tetapi rupa-rupanya penyakitnya itu masih kekal dan telah berjangkit ke bahagian sistem reproduktif di bahagian pelvisnya pula. Dia mula merasakan kesakitan pada kedua-dua belah abdomennya.
Kata doktor, pada dasarnya penyakit radang pelvis boleh diubati dengan antibiotik sahaja. Tetapi dalam kes dirinya ini, jangkitan kuman gonorrhea yang tidak pernah dirawat itu juga telah mengakibatkan penghalangan pada sebahagian tiub falopionya oleh tisu parut.
Rasanya inilah akibat daripada cara hidup dia yang cukup bebas sebelum ini. Hidup yang bertongkatkan dunia!
Dia lupa segala dosa pahala. Semua perkara menjadi halal dan tidak ada hal baginya. Dia bertukar pasangan kelamin saban minggu seperti bertukar baju sahaja.
Biarpun masih bujang, dia sudah merasa begitu banyak pengalaman dalam melayani lelaki di ranjang berbanding orang yang sudah berkahwin.
Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Namun dia tidak pernah ambil peduli kata-kata orang-orang tua dahulu. Bagi dia itu hanya bidalan lapuk.
Dan kini dia memang menyesali apa yang telah dilakukan sebelum ini. Namun apa yang telah berlaku, tidak mungkin akan dapat diputar kembali.
Sepertimana pesanan Imam Ghazali kepada anak-anak muridnya; yang paling jauh di dalam dunia ini adalah masa lalu. Sedetik kita terleka, tidak mungkin kita akan dapat menggantikan masa yang telah tersia-sia itu.
Dia telah banyak menganiayai dirinya sendiri. Dia telah melukakan hati orang lain. Terutama kakak iparnya.
Dia sedar, kakak iparnya tidak pernah bersalah padanya. Sebaliknya dia yang sebenarnya banyak melakukan kesalahan demi kesalahan. Walau kakak iparnya itu adalah teman yang telah dikenalinya semenjak mendaftarkan diri di sebuah sekolah berasrama penuh di Utara tanah air dahulu.
Dia yang sebelum ini adalah anak yang cukup baik sekalipun terlalu manja. Dia mula berubah menjadi liar bila mama dan papanya bercerai.
Daripada seorang pelajar yang agak cemerlang, dia mula buat hal di sekolah. Dia suka sangat memberontak, melawan cakap guru-guru, termasuklah cakap mama.
Tetapi masa itu tidak ada sesiapa pun di dalam keluarganya yang peduli akan perubahannya itu.
Mama sendiri pada masa itu tengah tenggelam dalam kesedihannya kerana penceraiannya dengan papa. Papa pula sememangnya sudah tidak kisahkan lagi hal keluarganya. Masa itu dia tentu sahaja tengah seronok mengelek isteri barunya. Abangnya, masa itu masih belajar di UK
Entahlah, abangnya juga mungkin terluka dengan penceraian mama dan papa mereka. Tetapi mereka adik-beradik tidak pernah berkongsi apa yang mereka rasa. Abangnya melayan perasaan marah dengan caranya sendiri. Dan dia pula terus hanyut dengan dunianya sendiri juga.
Setelah hampir sepuluh tahun berlalu, dia benar-benar tidak menyangka akan berjumpa dengan sahabatnya semula. Malah kali ini mereka akan sebumbung apabila abangnya telah memilih sahabatnya itu sebagai isterinya.
Saat itu dendam yang telah lama terpadam mula marak kembali. Rasa marah pada si sahabat kerana peristiwa dia dibuang sekolah dahulu mula menjadi duri dalam hatinya.
Dia benci melihat kebahagiaan hidup si sahabat bersama abangnya. Kerana itu dia sanggup melihat perkahwinan abangnya sendiri hancur semata-mata untuk melunaskan rasa sakit hatinya. Penganiayaan demi penganiayaan dilakukannya supaya bekas sahabatnya, yang juga kakak iparnya itu menderita.


















1


Apakah itu cinta? Kalau kita ‘Google’ seluruh Internet apa itu erti cinta, kita akan mendapati ada lebih 36,600,000 pautan laman sesawang yang membicarakan tentang cinta.
Namun tidak ada satu pun yang akan dapat memberikan kita jawapan yang jitu tentang apa itu cinta. Setiap manusia di muka bumi ini ada jawapan mereka masing-masing dalam mendefinisikan erti cinta yang sebenar.
Menurut Pablo Picasso…
Love is the greatest refreshment in life.
Tetapi kata Plato pula…
Love is a serious mental disease.
Manakala Albert Einstein si ahli fizik yang telah menemukan formula atom E=mc2 mengatakan...
Gravitation cannot be held responsible for people falling in love. How on earth can you explain in terms of chemistry and physics so important a biological phenomenon as first love? Put your hand on a stove for a minute and it seems like an hour. Sit with that special girl for an hour and it seems like a minute. That's relativity.
Pada si pemuisi terkenal bernama Kahlil Gibran pula…
Kita akan mengetahui itu adalah cinta bila kita melepaskan orang yang kita cintai itu pergi, si dia tetap kembali kepada kita. Tetapi sekiranya si dia tidak kembali, selama-lamanya dia tidak akan sesekali menjadi cinta kita.
Dan… kata salah satu contoh seorang hamba yang begitu hebat rasa cintanya pada ALLAH SWT dan Rasulullah s.a.w iaitu Khalifah Sayidina Umar Al-Khatab r.a...
Sesungguhnya orang yang mencintai akhirat, dunia pasti menyertainya.
Hmm... itu semua adalah kata-kata daripada para sejarawan yang terkenal.
Lalu dia ini; yang menurut lirik lagu Dato’ Siti Nurhaliza bertajuk ‘Wanita’ sebagai ‘wanita yang punya hati nurani yang tak dapat dibohongi pabila cinta telah membutakan mata dan mentulikan telinga’ ini mahu mentafsirkan cinta itu sebagai apa ya?
Cinta itu adalah seperti...
Seperti... hmm...
Hah, cinta itu adalah seperti kita mencuba sesuatu resipi masakan.
Isy, nak tahu kenapa pula dia kata begitu?
Yalah, Picaso mentafsirkan cinta berdasarkan kehebatannya dalam bidang seni. Einstein pula mendefinisikan cinta berdasarkan ilmu sainsnya.
Jadi mestilah dia yang suka mengumpul resipi dan memasak ini mahu metafora cintanya juga berkaitan dengan bidang kesukaannya itu.
Apabila kita hendak mencuba menyediakan sesuatu jenis hidangan, kita perlulah meneliti dahulu segala bahan yang diperlukan dalam resipi tersebut, masa keseluruhan yang diperlukan untuk penyediaannya dan juga langkah demi langkah untuk memasak terlebih dahulu dengan teliti.
Begitulah juga dengan cinta. Sebelum kita hendak bercinta, kita mestilah dahulu meneliti orang yang mahu menjadi pasangan kita itu sama ada sesuai atau tidak orangnya.
Walaupun orang kata cinta itu buta; masa bila kita hendak bercinta itu juga kenalah diperhatikan sama. Cinta itu bukan untuk suka-suka. Cinta itu adalah tanggungjawab. Maka kalau boleh biarlah bila kita rasa kita sudah mampu untuk memikul tanggungjawab, barulah kita boleh mula menggatal hendak bercinta. Kita ni kalau duit belanja pun masih emak ayah yang beri, tidak usahlah mengada-ada hendak bercinta lagi.
Cinta itu juga terdapat pelbagai fasa dan mesti dilalui mengikut turutannya. Bermula daripada berkawan kemudian berkasih. Setelah mengenali hati budi sang kekasih barulah bertunang sebelum disusuli dengan ikatan perkahwinan.
Tidak bolehlah kalau hari ini kita ternampak si dia, esoknya kita terus terjah ajak si dia tu jumpa tok kadi. Bukankah dalam Islam juga telah dijelaskan adab-adab antara hubungan lelaki dan wanita?
Islam telah memberikan garis panduan, bila seseorang lelaki itu terasa berkenan dengan mana-mana gadis, hantarlah rombongan merisik; bertanya dahulu sama ada si dia sudah berpunya atau belum.
Kemudian barulah diaturkan pertemuan di mana si lelaki bolehlah datang ke rumah keluarga si perempuan dan melihat auratnya yang dibenarkan sahaja iaitu wajah serta pergelangan tangan. Bila kedua-duanya sudah bersetuju barulah diikat tali pertunangan sebelum disusuli dengan pernikahan.
Eh, tapikan... Chef Wan selalu sahaja kata di dalam rancangan memasaknya di televisyen tu...
Nak menyediakan hidangan ni Leha, kau tak payah nak ikutkan sangat resipinya, bahan-bahannya ni kau campak-campak aja Senah’.
Hmm... boleh dipakaikah cara chef yang telah pun ditauliahkan dengan Ritz Escoffeir Diploma daripada Ritz Hotel di Paris itu?
Setahu dia, kalau hendak menyediakan pancake daripada tepung yang ready mix pun tidak boleh main campak-campak sahaja. Hendak memasaknya pun ada caranya supaya pancake yang kita buat itu akan naik cantik seperti dalam gambar yang ada pada paketnya.
Dan bila dia mengaplikasikan segala resipi-resipi memasaknya kepada perasaannya sendiri pula; bolehkah dicampak-campak sahaja perasaan itu bila hatinya ini mula mencintai dan dicintai seseorang?





PANCAKE

http://images.damiacyan.multiply.com/image/1/photos/upload/300x300/SdsTlQoKCG4AAC8bVA41/hotkeki.jpg?et=GspczJdzTXp2pyJZ4YLUZw&nmid=0

Bahan-bahannya:
1 peket (200 gram) pancake (hotcake mix)
1 biji telur
100 ml susu segar
3 sudu besar yogurt

Cara-cara membuatnya:
1.   Mula-mula campurkan susu segar, telur dan yogurt kacau sebati. Akhir sekali barulah masukkan 1 peket pancake mix dan kacau menggunakan whisker sahaja(tidak perlu gunakan mixer). Kemudian perapkan dalam 15 30 minit barulah sedia untuk dimasak.
2.   Panaskan kuali leper (fry pan) dan letakkan sedikit mentega. Ambil sesenduk bancuhan dan letakkan di tengah-tengah fry pan. Terbalikkan pancake sekali-sekala sehingga permukaannya perang. Angkat dan bolehlah dimakan bersama sos coklat ataupun madu.
















2


“Ni, macam mana ni? Takkanlah adik saya nak pakai kemeja ni tanpa butang? Kalau saya bagi awak pakai baju tanpa butang, awak nak pakai ke?”
Pembantu jualan yang mendengar herdikan pelanggan lelaki itu hanya mampu menggeleng-gelengkan kepalanya pada soalan yang diajukan padanya.
Rasa kecut sungguh perutnya ketika ini apabila terpaksa melayan pelanggan yang sedang naik angin sebegini. Harap muka sahaja kacak tetapi panas baran sungguh. Sempat lagi pembantu jualan tersebut mengomel di dalam hatinya.
Bila sahaja dia cakap tadi yang baju kemeja tersebut tidak boleh ditukar, terus lelaki itu marah-marahkannya. Bukannya dia tidak mahu beri tukar, tetapi sudah sememangnya baju ini tidak ada stok lagi, hendak buat macam mana?
Masa beli hari itu tidak mahu tengok betul-betul. Hari ini sibuk hendak buat kecoh. Walaupun sudah diberitahu tadi alasannya mengapa baju itu tidak dapat ditukar pun, masih lagi pelanggan seorang ini tidak faham-faham juga.
“Saya tak kira. Saya nak baju ni ditukar jugak!”
Nada suara lelaki itu masih lagi keras dan tinggi.
“Tapi encik... baju ni memang dah tak…”
Excuse me... ada apa-apa yang boleh saya bantu?”
Belum sempat pembantu jualan tadi mengulang semula alasannya tadi buat kali yang entah ke berapa kepada lelaki itu, terdengar ada suara lembut yang menyampuk percakapannya.
Di saat mendengar suara itu, pembantu jualan tersebut segera mengalihkan pandangan pada empunya suara dan mengeluh lega. Alhamdulillah, penyelamatnya sudah datang.
Pada saat yang sama, pelanggan lelaki yang tadinya meninggi suara kepada pembantu jualan itu turut berpaling pada empunya suara lembut tersebut.
Terkedu sebentar lelaki itu apabila melihat senyuman manis yang terpamer pada wajah lembut wanita si empunya suara tadi. Dengan berbaju kemeja warna biru air dan seluar panjang warna hitam yang sepadan dengan kot yang disarungkan, wanita yang berdiri di sebelahnya ini tampak sungguh manis dan sofistikated pada mata lelakinya.   
“Kenapa ni Fatin? Ada masalah apa-apa ke?”
Apabila tiada balasan daripada kedua-duanya,
wanita itu bertanya terus kepada pekerja bawahannya.
Err… Cik Adriana… pelanggan ni… dia nak tukar baju yang dibelinya kelmarin… sebab…` sebab katanya baju yang dibelinya itu kurang satu butang. Tapi baju macam yang dia beli tu dah tak ada lagi dekat rak. Dalam stor pun tak ada.”
Adriana memandang lembut pada wajah pembantu jualan bernama Fatin yang teragak-agak menjawab di hadapannya. Kasihan pula rasanya tengok muka serba salah gadis itu. Baru sahaja semalam dia mula bekerja sebagai pembantu jualan di sini, hari ini sudah merasa kena maki hamun dengan pelanggan.
Namun hanya sekejap sahaja pandangan matanya singgah kepada Fatin. Seketika kemudian dia mengalihkan pula pandangan matanya kepada pelanggan lelaki yang sedang berdiri di sebelahnya dan menegur lelaki itu.
“Maaf ya encik, boleh saya lihat baju yang encik beli tu?”
Dalam terkebil-kebil pelanggan lelaki itu memandang Adriana di sebelahnya, tangannya tetap menyerahkan baju kemeja yang sejak tadi berada di tangannya.
Hmm…”
Hanya itu yang terluah pada bibir Adriana kala dia membelek-belek baju kemeja berjenama ‘The Excutive’ tersebut.
“Baju ni, adik saya beli kelmarin. Bila nak pakai tengok-tengok satu butangnya hilang. Sudahlah butang spare pun tidak disertakan. Dia suruh saya tukarkan sebab dia ada kerja. Tapi your sales assistant ni tak mahu tukarkan pula. Hah, saya masih ada resitnya lagi ni.”
Tanpa dipinta pelanggan lelaki itu menerangkan masalahnya. Nada suaranya tidak lagi setinggi tadi. Matanya masih lagi asyik memerhati wajah Adriana yang khusyuk membelek setiap sudut baju kemeja yang diberinya tadi.
Fatin yang memerhati arah mata lelaki itu, mencebik bibirnya sedikit tanda meluat melihat tingkah lelaki itu. Tadi, masa bercakap dengan Fatin sikit punya garang. Macam singa lapar sahaja gayanya.
Tetapi bila bercakap dengan Adriana yang merupakan floor executive ladies department yang cantik molek ini, tahu pula dia hendak berbahasa.
“Fatin, baju ni memang sah dah tak ada stok lain ke?”
Adriana memusatkan pandangannya kepada Fatin semula meminta penjelasan. Namun gadis tersebut hanya menggeleng sahaja sebagai jawapannya. Tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberi, Adriana bertanya sekali lagi.
“Tak ada langsung dah? Saiz lain ke? Warna lain ke?”
Err... ada satu saja yang saya jumpa sama jenis. Itu pun warna lain dan saiz XL. Baju ni dah letak dalam rak fifty percent tu, Cik Adriana.”
Adriana mendengar Fatin menjawab perlahan. Patutlah sudah tidak ada stok lain baju kemeja ini sebab sudah masuk dalam kumpulan baju yang diberi diskaun.
Biasanya baju yang diberi diskaun sehingga lima puluh peratus ini adalah baju yang sudah out of season atau tiada stok lagi. Kalau ditanya pada supplier pun pastinya mereka juga tidak mempunyai stok lagi.
Jadi sekarang ini memang salah pembeli di sebelahnya ini pun sebab tidak lihat betul-betul sebelum membeli baju kemeja tersebut. Sepatutnya sebelum membeli, pembeli kena perhati betul-betul sama ada baju ini masih sempurna atau tidak keadaannya. Lebih-lebih lagi pada barang yang diberi diskaun.
Selalunya peruncit yang besar dan mempunyai nama tidak akan sesuka hati memberi diskaun pada barang mereka. Contoh terdekat adalah syarikat tempat dia bekerja ini, Parkson KLCC. Peruncit lain yang besar seperti Metrojaya dan Isetan pun begitu. Kalau Carrefour dan Giant, itu lainlah ceritanya. Sudah memang konsep perniagaan mereka itu menawarkan barangan pada harga murah.
Peruncit yang mempunyai nama seperti yang disebutnya tadi hanya akan memberi diskaun apabila musim jualan tahunan atau sambutan ulang tahun sahaja. Itu pun biasanya diskaun hanya diberi pada barang-barang yang telah agak lama berada di pasaran. Kalau barang yang masih baru jangan haraplah akan diberi diskaun. Kalau ada pun mungkin setakat sepuluh hingga dua puluh peratus sahaja.
Melihat pada wajah pelanggan lelaki di sebelahnya itu dan berdasarkan pada kekecohan yang ditimbulkannya tadi memang payah rasanya hendak memahamkan si pelanggan.
Nampaknya dia kena cuba mencari jalan lain untuk menyelesaikan masalah ini.
Tengok sahaja pada lagaknya tadi semasa meninggikan suara pada Fatin. Hampir satu tingkat Parkson KLCC ni boleh dengar suara dia. Kerana itulah tadi Adriana cepat-cepat datang ke bahagian ini dan cuba meredakan kekecohan tersebut daripada terus berlanjutan.
Lagipun ini memang sudah menjadi salah satu tugasnya sebagai Floor Executive Ladies Department of Parkson. Parkson KLCC ini cawangan Parkson dalam kategori A. Jadi sebagai salah seorang eksekutif yang berkuasa di sini, kenalah dia membantu untuk menjaga nama baik dan status yang dipegangnya.
“Fatin, tolong ambilkan untuk saya baju kemeja yang awak kata sama jenis tapi lain saiz dan warna tadi.”
Pantas sahaja Fatin berpusing dan mengambil baju yang dinyatakannya tadi untuk diberi kepada Adriana. Fatin tidak pasti apa yang ketuanya itu mahu buat, tetapi diikutkan sahaja arahan yang diberi.
Setelah dua hari bertugas di sini ada juga dia terdengar cerita-cerita daripada pembantu jualan yang lebih senior bahawa Cik Adriana ini memang baik dan tangkas bekerja orangnya walaupun masih lagi muda.
Adriana ini juga jenis yang lembut dan tidak suka marah-marah pada pembantu jualan yang bertugas di bawah seliaannya. Dia juga seorang yang sentiasa rasional dalam melaksanakan tugasnya.
Adriana membelek baju yang diberi oleh Fatin dan kemudiannya tersenyum lebar. Saat melihat butang pada baju yang diberi oleh Fatin sama sahaja warnanya dengan butang pada baju yang telah dibeli oleh pelanggannya, timbul satu idea dalam kepalanya untuk menyelesaikan masalah pelanggannya itu.
Seraya itu dia memandang pelanggannya dan menghadiahkan senyuman sebelum berkata-kata.
“Okey macam nilah… saya akan selesaikan masalah baju yang tak ada butang ni. Tapi boleh tak encik beri saya masa satu jam? Nanti encik datanglah balik ke sini dan ambil semula baju encik ini, boleh?”
Selepas melihat seketika jam yang terletak pada pergelangan tangannya, baru lelaki itu memberikan keputusannya.
“Kalau macam tu nanti selepas waktu pejabat saya tamat sajalah saya datang semula. Pukul enam petang. Sekarang ni saya nak kena masuk ke pejabat semula. Waktu rehat saya pun dah tamat.”
“Oh… kami minta maaf kerana terpaksa menyusahkan encik. Boleh saya tahu pejabat encik di mana? Rasa-rasanya jauh tak untuk encik datang semula ke sini?”
Sekadar berbasa-basi, Adriana bertanya. Hati pelanggan sememangnya harus dijaga sentiasa. Dalam bidang perniagaan ada falsafah yang harus sentiasa diingati. Apabila ada seorang pelanggan tidak puas hati, dia akan memberitahu sepuluh orang yang dikenalinya tentang apa yang dialaminya. Ini bermakna sekiranya seorang pelanggan melangkah keluar daripada Parkson ini dengan rasa tidak puas hati, ada kemungkinan mereka akan kehilangan sebelas orang pelanggan di masa hadapan.   
“Tak apa. Pejabat saya dekat tower two tu saja.”
“Oh, tak jauhlahkan kalau nak datang sini semula? Kami minta maaf sekali lagi ya di atas kesulitan ini.”
“Never mind, it’s okay.”
Akhirnya lelaki itu berlalu pergi daripada situ dengan sebuah senyuman yang dihadiahkan kepada Adriana. Adriana membalas senyuman lelaki itu seadanya. Setelah lelaki itu melangkah pergi, Fatin hanya mencebik. Adriana yang melihat cebikan di mulut Fatin itu pantas menegur gadis tersebut.
“Fatin, kenapa mencebik? Tak elok tahu buat pelanggan macam tu.”
“Dia tu banyak songehlah, Cik Adriana. Saya cakap langsung tak nak dengar. Masam aje muka tu. Sesuka hati dia aje nak marah-marah saya. Tapi bila Cik Adriana yang bercakap, pandai pulak dia nak senyum. Menyampah saya.”
Adriana tergelak mendengar olah Fatin, gadis yang baru berusia 18 tahun itu.
“Sabarlah Fatin. Awak pun baru dua hari dekat sini. Banyak lagi yang awak nak kena belajar. Tak apa, saya tak salahkan awak pun. Saya faham awak dah beri alasan yang sepatutnya, cuma pelanggan tu saja nak naik angin tak tentu pasal. Kesian awak, baru dua hari bekerja dah kena maki hamun. Lama-lama nanti awak biasalah menghadap orang macam tu. Pelanggan ni macam-macam rupa yang ada. Dahlah saya nak uruskan baju ni dulu. Nanti kalau pukul enam tak siap jugak, mahunya runtuh pulak satu Suria KLCC ni lelaki tadi buat.”
Err... macam mana Cik Adriana nak betulkan baju yang tak ada butang tu? Kedua-duanya tukan berlainan warna dan saiz?”
Adriana hanya tersenyum mendengarkan pertanyaan Fatin itu.
“Saya nak buat magic!”
Sebuah kenyitan dihadiahkan kepada Fatin sebelum Adriana pantas berlalu daripada bahagian itu bersama kedua-dua baju kemeja tadi di tangannya.















3


“Adriana…”
Langkah Adriana yang sedang menuju ke stesen PUTRA LRT terhenti di hadapan kios Cinnabon yang sedang dikemas untuk ditutup.
Cinnamon Roll yang selalunya semerbak baunya menusuk hidung dan membuatkan Adriana serta-merta merasa lapar setiap kali dia melalui hadapan kios itu, kelihatannya sudah pun habis dijual.
Hatinya merungut sendirian mendengar panggilan tersebut. Siapalah yang sibuk-sibuk memanggil dia ni? Dia sebenarnya sudah terlalu letih hari ini kerana terpaksa bekerja melebihi masa.
Hari ini waktu kerjanya bermula daripada jam 8.30 pagi dan sepatutnya tamat pada jam 6.00 petang. Tetapi memandangkan Mohammad Zaini yang merupakan floor executive gents department, tidak dapat hadir hari ini kerana ada hal kecemasan dan Mrs Chua yang merupakan assistant manager juga bercuti, maka dalam keadaan paksa rela dia melanjutkan waktu kerjanya.
Ini pun Alhamdulillah kerana pengurusnya bermurah hati membenarkan dia cabut seawal jam 10.00 malam.
Kalau diikutkan sepatutnya apabila dia menggantikan Mohammad Zaini, dia kena menunggu sehingga Pasar raya Parkson KLCC ini ditutup dan segala urusan mengemas serta balancing selesai.
Biasanya kalau hendak menunggu penutup, jawabnya pukul 11.30 malam atau 12.00 tengah malamlah baru dia akan dapat pulang ke rumah. Namun memandangkan esok juga dia terpaksa masuk kerja pagi seperti hari ini dan menghadiri solution meeting dengan pengurus stor, pengurusnya telah menawarkan dirinya untuk mengawasi urusan closing tingkat satu Parkson KLCC bagi pihaknya.
“Cik Adriana…”
Dengan rasa malas Adriana menoleh ke belakang untuk melihat gerangan pemilik suara yang memanggilnya buat kali kedua. Berkerut-kerut dahinya melihat lelaki yang berkemeja kuning dengan lengan yang disingsing hingga ke paras siku itu. Puas dia cuba mengecam lelaki yang kini sudah pun berdiri di sisinya ketika ini.
Err... encik ni…”
“Ingat tak semalam kita ada jumpa dekat Parkson?”
Jumpa dekat Parkson? Isy... lelaki ni cubalah beri maklumat yang lebih terperinci sedikit. Sah-sah dia bekerja di Parkson, jadi pastinyalah tiap-tiap hari dia akan jumpa orang yang tidak dikenali dekat Parkson itu.
“Semalamkan Adriana yang tolong saya berkenaan masalah baju kemeja yang tak ada butang tu?”
Adriana tersenyum apabilateringat peristiwa semalam..
“Ohh… baru saya ingat. Ya… ya… betullah encik ni lelaki yang semalam tu.”
Hmm... Adriana baru balik kerja ya?”
“Ya. Saya baru aje habis kerja. Nak balik rumah. Rasa macam dah melepek sungguh.”
“Kebetulan saya pun nak balik jugak ni. Baru lepas habis temankan bos dinner dengan client dekat Madam Kwan’s tadi.”
Adriana hanya mengangguk. Tidak tahu hendak komen apa. Lagipun dia hanya kenal lelaki ini sebagai seorang pelanggan Parkson KLCC.
“Aaa... saya balik dululah ya. Nanti terlepas LRT pulak.”
Adriana menyatakan hajatnya untuk berlalu pada lelaki yang tidak diketahui namanya itu. Rasanya tidak perlulah dia berlama-lama di sini sekadar untuk bersembang dengan lelaki yang asing pada dirinya ini.
Namun baru sahaja dia mahu melangkah, lelaki itu memanggilnya sekali lagi.
“Nantilah dulu. Boleh kita jalan sama-sama? Kebetulan saya pun nak menuju ke arah yang sama sebab saya park kereta dekat seberang KLCC.”
Oh, sure... no problem.”
Itu sahaja yang mampu dijawabnya. Biarlah kalau lelaki itu hendak jalan bersama-samanya sekalipun. Lagipun lorong yang dilaluinya ini adalah hak milik pengurusan KLCC. Adriana bukannya ada kuasa untuk melarang lelaki itu daripada berjalan di sebelahnya.
“Dah lama Adriana kerja dengan Parkson?”
Sambil melangkah lelaki itu cuba untuk menjalinkan kemesraan dengan meluahkan pertanyaannya kepada Adriana. Pelik pula rasanya bagaimana lelaki ini boleh tahu namanya? pada lelaki ini..
“Macam mana awak tahu nama saya Adriana?”
Hmm… semalam bukan ke salesgirl tu sebut nama Adriana depan saya? Lagipun memang jelas pada name tag yang saya nampak dekat baju yang Adriana pakai semalam tertulis nama Adriana.”
“Ya ke? Hmm... Tapi tak acilah sebab saya tak tahu pun nama awak...”
Adriana hanya mampu menggigit-gigit bibirnya tanda kecuaiannya. Dia tidak kisah sebenarnya kalau orang yang tidak begitu dikenali seperti lelaki di sebelahnya ini hendak berbual dengannya dan tahu namanya.
Oops… lupa pulak saya nak kenalkan diri saya tadi. Nama saya Erdyzuan. Awak boleh panggil saya Zuan aje. Tapi tak perlulah nak berencik-encik dengan saya, Adriana. Kita bukannya tengah berurusan secara formal pun sekarang ni, kan?”
‘Zuan? Hmm... sedap jugak nama dia. Muka pun boleh tahan kacak. Ada iras-iras Cina dan Inggeris sikit. Tinggi pun boleh tahan. Rasanya lebih daripada 185 cm dia ni. Tengok pada pakaian yang dipakainya pun nampak hebat. Mesti kerja dahsyat ni.’
Hati kecil Adriana menakal meneliti fizikal teman yang baru dikenalinya itu. Sempat lagi dia membandingkan ketinggian Erdyzuan dengan dirinya yang macam langit dengan bumi sahaja rasanya. Tinggi Adriana baru 158 cm sahaja.
Namun kemudiannya Adriana tersentak apabila Erdyzuan menyoalnya semula.
“Adriana tak jawab soalan saya tadi lagi, kan?”
“Hah, soalan? Soalan apa?”
“Tadikan saya tanya dah berapa lama Adriana bekerja dengan Parkson tu?”
“Oh... dah masuk tiga tahun. Lepas graduate saya terus bekerja dengan Parkson. Kenapa tanya?”
“Tak ada apa-apa. Saja aje tanya. Mungkin sebab semalam saya tengok Adriana nampak cool saja masa deal dengan saya. Tapi salesgirl yang jaga tempat tu awal-awal lagi dah kalut.”
“Yalah, sayakan dah lama kerja dekat situ. Jadi saya dah teramat biasa hadapi situasi-situasi macam tu. Tapi Fatin baru aje dua hari bekerja dekat situ semalam. Mungkin sebab tu dia menggelabah bila layan Zuan. Lagipun saya ni sememangnya dah diajar untuk sentiasa berdiplomasi bila berdepan dengan pelanggan walau secerewet mana pun yang datang.”
“Maaf ya pasal semalam tu. Saya jadi naik angin pulak bila tak puas hati dengan cara budak salesgirl tu layan saya. Lagipun saya malas nak menjawab dengan adik saya nanti kalau saya tak dapat tukar baju tu.”
“Oh... baju tu untuk adik. Saya ingatkan semalam untuk isteri atau kekasih. Tak apa. Saya faham situasi Zuan. Bertuah sungguh adik Zuan tu sebab dapat abang yang cukup prihatin.”
“Eh, saya belum kahwin lagi. Girlfriend pun tak ada lagi. Kalau Adriana nak jadi girlfriend saya apa salahnya. Kecil tapak tangan, satu pemeluk tangan pun saya sanggup tadahkan.”
Terbeliak mata Adriana mendengar kata-kata Erdyzuan tu. Isy... gatal jugak lelaki sorang ni. Tapi yalah dah namanya lelaki, nak buat macam mana bila dah sebati dengan unsur-unsur gatal ni sejak zaman dinosaur lagi. Mana boleh dipisahkan. Sudah elok-elok berbual pun boleh melencong juga ke arah bab-bab itu.
“Heh… don’t feel offended okay. Saya bergurau saja tadi. Tapi Adriana ni bukan isteri orang atau tunang orang pun, kan?”
“Kenapa pulak kalau saya tunang orang atau isteri orang sekalipun?”
“Kalau hak orang tak mahulah saya kacau. Nanti tak pasal-pasal lebam biji mata saya ni.”
“Taklah, saya masih lagi single but I might be and might not be available. Tengok pada situasinyalah.”
“Ada macam tu pulak?”
Adriana hanya tertawa dan tawanya itu kemudian disambut oleh tawa Erdyzuan. Apabila berjalan sambil berbual, terasa sekejap sahaja mereka sudah sampai di hadapan stesen PUTRA LRT.
“Hey! Macam ada yang tak kena aje?”
Tanpa sedar kata-kata tersebut terpancul dalam nada perlahan dari mulut Adriana!



CINNAMON ROLL

Cinnamonroll

Bahan-bahannya (lebih kurang 10 biji):

Bahan untuk roti:
300 gram tepung roti
50 gram mentega
1 biji telur
50 gram gula halus
100 ml susu segar / air (suhu badan)
8 gram yis kering
1 sudu kecil garam
Filling:
2 - 3 sudu kecil serbuk kayu manis (ikut suka )
60 gram gula perang
20 gram mentega (suhu bilik)
Aising:
50 gram krim keju (suhu bilik)
20 gram mentega (suhu bilik)
100 gram gula halus
secubit garam
beberapa titik esen vanila

Cara-cara membuatnya:

Cara menyediakan doh roti:
1.   Gaulkan mentega dengan tepung sehingga jadi macam serbuk roti

2.   Kemudian masukkan gula dan yis kering. Kacau dengan sudu sehingga bergaul rata.
3.   Masukkan pula garam, telur dan susu. Uli sehingga tidak melekat di tangan atau sehingga licin.
4.   Tutup mangkuk adunan dengan plastik / kain lembap. Biarkan naik sehingga 1.5 kali ganda. Bila sudah naik, buatkan bentuk bulat sekali lagi dan rehatkan selama 10 minit.

Cara menyediakan doh Cinnamon roll:
1.   Bahagikan doh kepada 2 bahagian. Ambil 1 bahagian dan canaikan lebih kurang 20 cm x 25 cm. Letakkan bahan-bahan filling. (Gaul rata semua bahan filling dalam satu mangkuk)
2.   Kemudian gulung. Bahagikan pula kepada 4 bahagian kecil ( lebih kurang 4 cm panjang). Ulang untuk doh yang sebahagian lagi.
3.   Lapikkan roti dengan muffin cup. Biar naik 1.5 kali ganda lagi. Bakar dengan suhu 180C selama 15 minit.

Cara menyediakan aising:
1.   Sementara itu sediakan aisingnya. Masukkan semua bahan-bahan untuk aising ke dalam mangkuk. Pukul sehingga jadi bentuk krim.
2.   Apabila roti sudah masak( ketika masih panas lagi), letaklah aising 1 1/2 sudu besar ke atas setiap roti. Jangan letak terlampau banyak aising. Aising yg banyak boleh menghilangkan kesedapan rasa roti.
















4


Adriana terasa pelik apabila melihat begitu ramai orang yang berkumpul di hadapan mesin slot tiket stesen LRT itu tetapi tidak nampak langsung pula ada orang yang masuk ke dalam kawasan selepas mesin slot tiket.
Biasanya waktu-waktu macam ni LRT KLCC akan agak penuh kerana pada waktu beginilah kebanyakan orang yang bekerja di kedai-kedai di dalam Suria KLCC sepertinya akan pulang dari tempat kerja. Baru sahaja dia berniat untuk bertanya pada pengawal yang bertugas di stesen itu apa yang sebenarnya berlaku, kedengaran sebuah pengumuman dibuat.
‘Harap maaf. Perjalanan sistem LRT sedang tergendala. Anda diminta menggunakan perkhidmatan pengangkutan alternatif untuk meneruskan perjalanan anda.’
Aduh... macam mana nak balik ni?
Tergendala pulak. Sudahlah dah malam ni. Mana ada bas yang terus ke rumahnya daripada KLCC ni. Jawabnya dia kenalah ambil teksi untuk pulang ke rumah ataupun ambil bas ke Lebuh Ampang dahulu sebelum menukar bas ke laluan rumahnya pula. Dalam tengah penat macam nilah LRT nak buat hal...



“Kenapa Adriana?”
Adriana terkejut apabila terdengar Erdyzuan bertanya begitu dekat dengan telinganya. Rasa hendak luruh jantungnya apabila disergah secara tiba-tiba begitu.
Ingatkan lelaki ini tadi sudah terus jalan dan menaiki eskalator untuk ke keretanya yang dikatakan diletakkan di seberang Jalan Ampang. Rupanya lelaki ini masih ada lagi di.sisinya.
Kus semangat... Awak ni Zuan buat saya terkejut je. Ingatkan awak dah balik.”
Sorry  saya memang nak balik dah, tapi nak ucap selamat tinggal dulu pada Adriana. Kenapa mereka semua ni dan Adriana pun tak naik LRT lagi?”
“Zuan tak dengar pengumuman tadi ya? LRT rosaklah.”
“LRT rosak? Habis macam mana Adriana nak balik ni?”
“Saya naik teksi atau naik bas sajalah rasanya. Okeylah, saya nak naik eskalator tu pergi cari teksi atau bas.”
“Saya pun nak ke sana. Jom kita sekali.”
Kali ini sepanjang menaiki eskalator mereka berdua hanya diam sahaja. Adriana masih sibuk berfikir-fikir cara terbaik untuk sampai ke rumahnya dengan segera. Namun sampai sahaja di atas, sekali lagi Adriana terkejut.
Dilihatnya begitu ramai sekali orang yang tengah beratur untuk menaiki teksi. Teksi yang datang pula tidak banyak mana. Kalau macam ini gayanya hendak menunggu teksi, jawabnya entah jam berapa baru dia boleh dapat teksi.
Baru sahaja dia hendak menukar pelannya untuk balik menaiki bas, dilihatnya bas yang datang di seberang jalan sana juga semuanya sarat dengan penumpang. Pening pula rasanya melihat semua orang berebut-rebut hendak balik ke rumah masing-masing.
Erdyzuan yang masih di sebelah Adriana terkejut sama!
“Ramainya yang nak naik teksi... Habis macam mana awak nak balik ni, Adriana?”
“Entahlah... jalan kaki kut?” 
Adriana mengeluh berat melihat situasi di hadapan matanya ini.
“Jalan kaki? Rumah Adriana dekat mana?”
“Desa Setapak.”
“Isy… jauh jugak tu. Ada ke nak jalan kaki? Mahu patah kaki dibuatnya.”
“Taklah, bergurau aje. Saya pun tak sanggup nak jalan kaki sampai ke rumah. Apa nak buat lagi, beratur ajelah dan tunggu teksi sampai datang.”
“Panjang tu barisan yang beratur. Tu tak termasuk lagi yang potong barisan nak tahan teksi. Apa kata saya hantarkan Adriana? Kebetulan kita sehala. Rumah saya dekat Wangsa Maju Seksyen Lima. Tak jauh mana pun daripada Desa Setapak tu, kan?”
“Hah... Zuan nak hantarkan saya? Err… tak apalah Zuan. Saya tak nak susahkan Zuan.”
Adriana terkejut apabila menerima pelawaan daripada lelaki yang baru sahaja dikenali namanya sebentar tadi. Mereka baru sahaja berbual beberapa patah perkataan, lelaki ini sudah mengajak dia menumpang keretanya?
Seram pula rasanya!.
 Walaupun sudah mengenali namanya, dia belum betul-betul kenal sifat Erdyzuan yang sebenarnya. Dibuatnya dia ni kerja part-time sebagai ejen pada bapak ayam dekat Bukit Bintang atau Lorong Haji Taib tu, haru dibuatnya.
“Adriana takut saya buat tak senonoh ya? Saya jamin saya akan hantar Adriana ke rumah dengan selamat tanpa sebarang sentuhan pun. Saya cuma nak tolong Adriana saja. Saya bukannya nak buat jahat. Kalau Adriana nak tahu, setakat ini rekod saya memang bersih. Kalau Adriana tak percaya, ambil telefon bimbit saya ni dan telefon kawan serumah ataupun keluarga di rumah dan katakan Adriana akan pulang dengan saya. Kalau Adriana tak sampai lagi di rumah lebih daripada sejam, suruh mereka buat laporan polis. Beri sekali nombor pendaftaran kereta saya. WGP 6524. Kereta jenis Honda CR-V blue metallic color.”
Adriana rasa hendak tergelak sahaja apabila mendengar jaminan kata-kata Erdyzuan itu. Siap beri nombor pendaftaran dan jenis kereta sekali.
Selepas berfikir seketika, akhirnya Adriana mengambil keputusan menelefon seseorang untuk meminta bantuan. Kalau orang itu tidak dapat membantu, barulah Adriana akan pertimbangkan cadangan Erdyzuan tadi.
Selepas mengeluarkan telefon bimbitnya, Adriana mula mendail nombor yang sudah cukup dihafal di kepalanya. Di saat panggilannya disambungkan, Adriana menjauhkan sedikit dirinya daripada Erdyzuan. Dia tidak mahu lelaki itu mendengar perbualannya itu.
“Helo... Kerol kau dekat mana?”
“Aku dekat JB. Ada kerja. Kenapa Ary?”
“JB? Alahai... aku baru nak mintak tolong kau ambil aku dekat Jalan Ampang ni. LRT rosak malam ni. Teksi pulak ramai sangat yang tengah beratur tu.”
“Habis nak buat macam mana? Aku suruh papa aku ambik kau nak ke? Kalau nak, aku telefon papa aku tu sekarang. Rasanya dia ada dekat KL aje, dia tak ada ke mana-mana pun minggu ni.”
“Papa kau? Tak payahlah Kerol. Segan pulak aku nanti. Tak apalah, nanti aku cuba tanya kawan-kawan aku yang lain kut-kut ada yang boleh tolong.”
“Nak segan apa kebendanyalah kau ni. Macam tak biasa aje dengan papa aku tu. Tapi kalau kau dah kata macam tu, tak apalah. Hati-hati balik tu. Nanti dah sampai rumah jangan lupa call atau SMS aku.”
“Okey. Bye… Kerol.”
Bye…”
Adriana mengeluh. Kerol tidak dapat tolong dialah pula. Kenapalah saat-saat macam ini dia kena ke Johor Bahru? Tidak ada pula temannya itu memberitahu Adriana yang dia hendak ke Johor Bahru. Biasanya kalau dikehendaki bekerja ke luar daerah, Kerol pasti akan memberitahu Adriana terlebih dahulu.
Nak minta tolong pada Uncle Kamarul, papa Kerol itu, segan pulalah rasanya.
Hendak minta tolong kawan-kawan lain seperti yang dikatanya pada Kerol tadi, siapa sahaja yang dia ada? Dia bukannya ramai kawan rapat yang lain. Kawan biasa-biasa ramailah.
Mahu tak mahu, rasanya terpaksalah dia terima pelawaan Erdyzuan itu.
Tawakal sahajalah pada ALLAH agar tidak akan ada apa-apa yang buruk terjadi pada dirinya nanti. Hendak buat macam mana lagi?
Err… Zuan, okeylah saya ikut Zuan aje. Zuan janjikan, akan hantar saya ke rumah dengan selamat?”
Akhirnya dia menyatakan persetujuannya apabila dia merapati semula tempat lelaki itu sedang berdiri sedari tadi.
“Ya… saya janji. Jomlah ikut saya. Saya park kereta dekat bangunan Public Bank tu.”
Erdyzuan memulakan langkah kakinya dengan hati yang lapang apabila Adriana akhirnya bersetuju mengikutnya. Nampaknya selepas ini ada harapanlah untuk dia mengenali Adriana yang manis ini dengan lebih dekat lagi.
















5


Adriana menghempaskan tubuhnya di atas katil bujang miliknya setelah tudungnya ditanggalkan. Dia amat kepenatan.
Jam di sisi meja menunjukkan waktu sekarang ialah 12.30 tengah malam. Perutnya terasa lapar tetapi dia sudah tidak larat untuk bangun semula dan mencari sesuatu untuk dimakan di dapur.
Tadi ada Erdyzuan mengajak dia singgah makan dahulu, tetapi dia telah menolak dengan alasan sudah kenyang.
Terasa tidak patut pula mahu menerima tawaran lelaki itu kerana mereka baru sahaja berkenalan. Menumpang lelaki itu sebentar tadi untuk pulang ke rumah pun sudah seperti memperjudikan nasibnya sahaja rasanya.
Dia masih tidak tahu bolehkah lelaki yang semalamnya mengamuk di Parkson macam singa lapar dan tampak baik di hadapannya hari ini dipercayai sepenuhnya?
Kalaulah Kerol tahu dia seberani ini menumpang Erdyzuan iaitu lelaki yang baru sahaja dikenalinya tidak sampai dua jam, mahunya teman itu mengamuk dengannya.
Baru sahaja dia mengingatkan tentang Kerol, kedengaran telefon bimbitnya berbunyi.
“Assalamualaikum, Kerol.”
“Waalaikumussalam, kau dah sampai ke Ary?”
“Dah, aku baru aje sampai.”
“Kau balik dengan siapa tadi?”
Err… aku tumpang kawan aku. Dia kerja dekat Tower KLCC. Kebetulan aku terserempak dengan dia tadi.”
“Okeylah, kalau macam tu. Aku balik KL hujung minggu ni. Maaflah tak sempat nak beritahu kau awal-awal yang aku nak pergi JB. Pagi tadi aku dapat arahan mengejut untuk ke JB.”
“Tak ada apalah Kerol. Jaga diri kau baik-baik. Okeylah aku nak tidur dah. Esok aku kena kerja pagi.”
“Okey, selamat malam.”
Kerol telah memutuskan taliannya. Sesungguhnya ada rasa bersalah terselit di sudut hati Adriana kerana tidak menjelaskan dengan sepenuhnya siapa yang menumpangkannya tadi.
Selama mereka bersahabat, dia tidak pernah menyorokkan apa-apa daripada Kerol. Tetapi kali ini, kerana lelaki bernama Erdyzuan itu dia sanggup menipu Kerol buat.
Dia sendiri tidak pasti istimewa sangatkah Erdyzuan yang baru dikenalinya sebentar tadi sehingga dia sanggup menyorokkan perihal lelaki itu daripada Kerol.
Tetapi setiap kali dia menyebut nama lelaki itu ketika ini, ada suatu rasa nan indah yang berkembang di taman hatinya ini.
Hendak kata dia sudah jatuh cinta pada Erdyzuan, macam tidak masuk akal pula rasanya kerana tempoh perkenalan mereka tidak sampai pun satu malam lagi.
Lalu di saat-saat dia menantikan matanya untuk terpejam ketika ini, dia kembali mengingatkan perbualan mereka berdua di dalam kereta lelaki itu tadi...



“Adriana tinggal dengan siapa?”
Ketika ini, Erdyzuan baru sahaja menggerakkan keretanya keluar daripada tempat parkir bangunan Public Bank dan memandu tenang dalam kesesakan kecil di Jalan Yap Kwan Seng.
“Dengan kawan-kawan. Saya menyewa bilik saja dekat sana. Tapi hubungan dengan teman serumah kira baiklah juga.”
“Habis tu, kampung Adriana dekat mana?”
“Saya mana ada kampung halaman.”
“Tak ada kampung? Habis, ibu bapa Adriana duduk dekat mana?”
“Saya anak yatim piatu. Dah tak ada ibu bapa lagi. Dari kecil saya tinggal dekat rumah anak yatim di Ipoh. Kata penjaga di sana, ibu bapa saya dah meninggal dunia sejak saya kecil lagi. Semasa saya di universiti, rumah anak yatim tu ditutup. Sejak tu saya hidup bersendirian dan belajar berdikari.”
“Oh, maafkan saya ya sebab bertanya.”
“Tak apa, saya tahu Zuan bukannya sengaja pun. Lagipun Zuan tak tahu. Saya tak kisah sangat sebab dah biasa sejak kecil dengan situasi macam ni.”
“Adriana tak ada keluarga angkat ke?”
“Tak ada. Ada tak ada pun keluarga kawan-kawan masa di universiti dulu saja. Itu pun secara tak rasmi saja sebab saya selalu ikut dia orang balik ke kampung mereka.”
“Tak apalah, suatu hari nanti bila Adriana kahwin tentu saja Adriana akan dapat keluarga sendiri masa tu.”
“Jauh lagi rasanya. Tak terfikir lagi pun nak kahwin dalam masa terdekat ni.”
“Jodoh kita bukan boleh diduga. Entah-entah lagi dua atau tiga bulan, tiba-tiba Adriana dah hulur kad jemputan kahwin dekat saya. Hmm… umur Adriana berapa ya?”
“Tahun ni umur saya dua puluh…”
“Dua puluh tahun? Isy, mudanya… Takkanlah baru umur dua puluh tahun Adriana dah boleh dapat jadi floor executive dekat Parkson tu?”
“Tadi saya tak habis cakap lagilah. Umur saya tahun ni dua puluh campur enam.”
“Dua puluh enam tahun? Oh, sama baya dengan adik perempuan sayalah ni. Dulu Adriana belajar dekat mana?”
“Dekat Institut Teknologi Mara. Mula-mula buat Diploma Pengajian Perniagaan dekat ITM Melaka. Habis diploma terus sambung Diploma Lanjutan Pengurusan Perniagaan dekat ITM Shah Alam dengan pengkhususan dalam bidang Peruncitan. Masa tahun akhir saya buat praktikal dekat Parkson Grand Klang Parade dan lepas habis aje belajar terus dapat tawaran jadi eksekutif dekat Parkson Grand Plaza Metro Kajang. Tahun lepas saya dipindahkan ke Parkson KLCC pulak.”
“Amboi, saya tanya sikit aje tapi dia terus jawab selengkap-lengkapnya.”
Adriana hanya tergelak kecil mendengar komen Erdyzuan itu. Lidahnya terjelir sedikit tanda dia sudah tersilap kata. Sememangnya sudah menjadi tabiatnya; lidahnya akan terjelir sedikit apabila dia tersilap cakap sesuatu.
Erdyzuan turut tertawa apabila sekilas matanya dia dapat menangkap telatah Adriana itu.
“Yalah, Zuan tanya saya satu per satu macam soalan temu duga kerja aje gayanya. Ary tolong permudahkan saja.”
“Ary?”
Erdyzuan bertanya meminta kepastian apabila tiba-tiba terdengar Adriana membahasakan dirinya sebegitu.
“Kawan-kawan semua panggil saya macam tu. Singkatan pada nama Adriana.”
“Kalau Zuan panggil Adriana dengan nama Ary jugak boleh?”
“Boleh, apa salahnya. Bukan kena bayar pun.”
“Oh, eksekutif Parkson ni pun pandai loyar buruk, ya? Ary ni orang apa ya sebenarnya? Sebab muka Ary ni Zuan tengok tak nampak macam orang Melayu sangat pun?”
Erdyzuan bertanya soalan yang paling ingin diketahuinya sejak memandang wajah Adriana buat pertama kalinya semalam.
Wajah gadis yang duduk di sebelahnya ini sememangnya nampak unik. Matanya agak kecil tetapi bukanlah sepet. Anak matanya pula berwarna seakan-akan perang dan dia amat pasti bukannya kerana penggunaan kanta lekap.
Kulitnya cerah, tetapi bukanlah macam kulit kebanyakan orang Cina mahupun Melayu yang berkulit putih.
“Ary pun tak tahu Ary ni bangsa apa sebenarnya. Kalau mengikut surat beranak, bangsa ibu Ary dalam tu ditulis Kadazan. Ayah pulak tak ada tertulis apa bangsanya. Cuma ada tertulis namanya Ahmadi Edward bin Abdullah. Gambar mereka satu pun Ary tak pernah tengok. Kata umi, penjaga rumah anak yatim tempat Ary menetap dulu, Ary dihantar ke situ sejak Ary berumur tiga tahun lagi.”
Dalam nada lirih Adriana bercerita tentang asal usulnya. Tanpa sedar, begitu mudah dia bercerita dengan Erdyzuan tentang sejarah hidupnya yang samar-samar itu..
“Kesian Ary ya, dari kecil lagi tak kenal siapa ibu bapa Ary. Zuan doakan satu hari nanti Ary akan mempunyai keluarga sendiri seperti orang lain.”
“Insya-ALLAH. Memang itulah yang Ary harapkan.”
Semenjak umur dia semakin meningkat dewasa, memang itulah doa Adriana setiap hari. Semoga suatu hari nanti dia akan berpeluang untuk merasai mempunyai keluarganya sendiri.
Hmm... Kalau hari cuti Ary selalu buat apa?”
Tidak mahu keputusan bicara antara mereka berdua, Erdyzuan menyambung sesi soal jawabnya lagi. Dalam masa yang singkat ini dia mahu mempergunakan peluang yang dia ada untuk mengenali sepuas-puasnya gadis manis yang sedang duduk di sebelahnya ini.
“Kalau cuti Ary lebih suka duduk di rumah aje. Buatlah apa yang patut. Baca buku ke, cuba-cuba memasak ke. Nak pergi berjalan-jalan pun bosan jugak sebab enam hari seminggu dah asyik menatap pusat membeli-belah.
“Hei, daripada tadi kita ni asyik bercerita pasal Ary saja. Ary tak tahu apa-apa pun pasal Zuan. Mana aci kalau macam ni.”
Erdyzuan tergelak kecil apabila mendengar Adriana membantah kerana asyik bercerita fasal dirinya sahaja. Nada suaranya kedengaran sedikit manja dan begitu memikat di telinganya.
“Okey sekarang ni Zuan ceritakan pasal diri Zuan pulak. Hmm... nak mula daripada mana ya? Sekarang ni Zuan menetap dengan emak dan sorang adik perempuan di Seksyen Lima Wangsa Maju. Zuan memang dua beradik aje. Kerja dekat menara dua macam yang Zuan cakap semalam. Jurutera kanan di Murphy Sarawak Oil Company Ltd. Sebuah syarikat oil and gas yang beribu pejabat di USA. Ofis Zuan dekat tingkat dua puluh enam. Dulu belajar dalam bidang O&G juga dekat University of Teesside, Middlesbrough United Kingdom. Umur Zuan sekarang tiga puluh tiga tahun. Masih bujang dan masih lagi mencari. Apa lagi ya nak cerita?”
“Nak cerita apa lagi? Dah nak sampai pun rumah Ary. Zuan berhenti tepi kedai tu ajelah. Nanti dari situ Ary jalan kaki saja.”
“Eh, tak apalah. Ary tunjuk aje arah sampai rumah. Dah malam sangat ni. Bahaya pulak kalau Ary jalan sorang diri nanti.”
Mendengar alasan Erdyzuan itu, Adriana hanya mengangkat bahunya tanda malas hendak bertelagah lagi. Pada Adriana, tidak ada bahaya mana pun kawasan ini kalau berjalan ketika lewat malam sekalipun kerana kawasan rumahnya ini begitu dekat dengan gerai-gerai makan yang akan beroperasi sehingga jam 2.00 atau 3.00 pagi. Tambahan lagi kawasan perumahan di Desa Setapak ini sememangnya sentiasa hidup kerana sebahagian besar penduduknya adalah pelajar daripada Kolej TAR.
Seketika setelah menunjukkan jalan yang perlu dilalui, kereta Erdyzuan akhirnya berhenti betul-betul di hadapan rumah Adriana. Baru sahaja Adriana mahu melangkahkan kakinya keluar daripada kereta Honda CR-V Erdyzuan, lelaki itu menegurnya.
“Ary, boleh kita berjumpa lagi lain kali?”
Adriana hanya menghadiahkan senyuman nipis pada lelaki itu sebelum membalas ringkas.
“Zuan tahu dekat mana nak cari Ary di KLCC tu, kan? Terima kasih ya, sebab tumpangkan Ary tadi. Selamat malam.”
Erdyzuan hanya memandang Adriana berlalu keluar daripada keretanya dan terus masuk ke dalam rumahnya. Sempat hati Erdyzuan berbisik nakal sendirian...  
‘Kasihmu kuterima, Adriana...’















6


Erdyzuan memarkir keretanya di tepi jalan betul-betul sebelum simpang jalan masuk ke pejabat ibu sawat Telekom Malaysia Wangsa Maju. Dia sudah berjanji dengan Adriana untuk berjumpa petang ini di kaki bukit yang terletak bersebelahan dengan bangunan Telekom tersebut. Hari ini kalau mengikut perancangannya, mereka akan joging bersama-sama hingga ke puncak bukit tersebut.
Tempat yang mereka akan tuju itu bukanlah sebuah bukit rekreasi pun. Di atas puncak bukit itu sebenarnya terletak rumah simpanan takungan air. Tetapi atas inisiatif seseorang, jalan ke atas bukit yang sederhana curam dan bertar itu telah menjadi tempat rekreasi tidak rasmi bagi kebanyakan penduduk di sekitar Wangsa Maju ini.
Sementelah kawasan bandar baharu ini memang tiada sebarang taman rekreasi untuk dikunjungi oleh penduduknya. Kawasan rekreasi berhampiran dengan Wangsa Maju ini pun hanyalah Taman Tasik Titiwangsa sahaja.
Dari dalam keretanya, Erdyzuan nampak Adriana sudah pun sedia menunggu di kaki bukit tersebut dan sedang bercakap-cakap dengan seorang lelaki yang sedang berdiri di sisi sebuah kereta Proton Saga Aeroback berwarna putih.
Melihatkan situasi itu, ada rasa cemburu yang terselit di sudut hatinya. Hatinya tidak senang melihat Adriana yang telah mula mendapat tempat di hatinya itu berbual mesra dengan lelaki lain.
Kini sudah masuk tiga bulan dia mengenali Adriana semenjak peristiwa di Parkson KLCC itu. Perhubungan mereka berjalan agak lancar atas dasar persahabatan. Sekiranya kebetulan waktu rehat Adriana sama dengan waktu rehatnya iaitu pada jam 12.30 tengah hari, pastinya mereka akan pergi makan tengah hari bersama-sama di Picnic ataupun Warung KLCC. Malah Adriana tidak lagi segan-segan untuk menerima pelawaannya menumpangkan gadis itu balik sekiranya waktu pulangnya sama dengan Erdyzuan iaitu jam 6.30 petang.
Saban hari dia selalu berharap akan dapat menatap wajah Adriananya. Sekiranya jadual mereka berdua tidak bertembung iaitu apabila tiba giliran Adriana bekerja waktu petang, Erdyzuan pasti akan singgah ke Parkson KLCC selepas waktu kerjanya untuk berjumpa dengan Adriananya.
Tidak cukup dengan itu, pantang ada masa terluang pasti mereka akan berbalas SMS atau berbual di telefon untuk bercerita tentang apa sahaja.
Namun Adriana adalah tetap Adriana seperti yang pertama kali dikenalinya dahulu. Gadis itu cukup bersahaja dan masih menjaga batas perhubungannya dengan mana-mana lelaki termasuk Erdyzuan sendiri.
Tidak pernah sekalipun mereka berbicara soal hati sepanjang tiga bulan usia perkenalan mereka. Malah tangan berkulit mulus milik Adriana juga tidak pernah sekalipun berjaya disentuhnya. Gadis itu sememangnya berbeza daripada kebanyakan gadis lain yang pernah dikenalinya sebelum ini.
Dalam sejarah perhubungan dia dengan kebanyakan kaum wanita sebelum ini, selalunya baru sahaja sebulan dua dia berkenalan dengan seseorang gadis itu, pantas sahaja soal hati dan perasaan akan mula dibicarakan. Malah walaupun baru sekali dua keluar berdua berjanji temu, tanpa segan-silu gadis-gadis yang pernah dikenalinya itu sudah menyentuh tangannya.
Rasanya kalau dia mahu beraksi lebih-lebih daripada itu atau meneroka ke daerah larangan gadis-gadis itu sekalipun, dia pasti mereka langsung tidak akan melarangnya. Tetapi tidak sama sekali dengan Adriananya. Ah, gadisnya itu sememangnya berbeza.
Dia yang masih berada dalam keretanya semenjak tadi, merasa terkejut apabila tingkap keretanya tiba-tiba sahaja diketuk. Di sisi tingkapnya itu Adriana sedang berdiri. Senyuman manis penyeri wajah gadisnya itu seperti biasa tidak pernah lekang daripada bibirnya.
Tanpa menunggu lebih lama, pantas pintu kereta dibuka dan Erdyzuan melangkah keluar merapati Adriana yang setia menanti di luar.
“Kenapa dari tadi Zuan duduk dalam ni aje? Tadi dalam telefon punyalah beria-ia kata nak joging sama-sama Ary. Ni dah sampai sini, ada ke duduk dalam kereta aje?”
Tanpa menjawab persoalan Adriana, pantas dia bertanya pada gadisnya pula soalan yang telah bermukim di hatinya semenjak tadi lagi.
“Siapa lelaki yang dengan Ary tadi?”
“Lelaki? Lelaki mana pulak ni?”
Adriana bertanya dengan dahi berkerut. Cuba mengingati lelaki mana yang ada bersamanya tadi. Erdyzuan memandang wajah Adriana yang masih tetap cantik pada mata lelakinya sekalipun sedang berkerut dahi.
Gila! Sememangnya dia sudah gilakan Adriana. Wajah si gadis yang sedang berkerut itu pun boleh nampak cantik laksana bulan empat belas pada matanya.
“Lelaki yang naik kereta Proton Saga Aeroback tu!”
Nada suara Erdyzuan sememangnya sudah berbunyi cemburu.
“Oh, lelaki tadi tu ya? Zuan nampak ke? Hmm... lelaki tu bekas kekasih pada kawan sekuliah Ary dulu. Mereka berpisah bila kawan Ary tu kena kahwin dengan orang lain. Kebetulan terjumpa dengan dia tadi. Katanya tadi dia dari atas bukit tu. Dia kerja dengan Syarikat Celcom. Ada kerja yang dibuatnya di menara pemancar dekat atas tu.”
Bersahaja Adriana menerangkan tentang Umar, jejaka yang ditemuinya tadi sambil menunjukkan arah puncak bukit yang bakal dinaikinya bersama Erdyzuan sebentar lagi.
Masuk kali ini, sudah tiga kali Adriana dan Erdyzuan berjumpa di sini.
Tempat ini suasananya agak redup dan menjadi tumpuan orang ramai. Jadi pada pandangan mata Adriana, cukup selamat untuk dijadikan tempat mereka bertemu memandangkan Erdyzuan itu lelaki dan dia perempuan yang ada batasan harus dijaga antara mereka berdua.
“Habis tu sekarang ni bila mereka dah berpisah, Ary pulaklah yang nak masuk jarum mengurat lelaki tu?”
“Isy, Zuan ni kenapa? Mana ada Ary nak mengurat Umar tu.”
“Umar?”
“Ya, nama lelaki tadi tu Umar. Zuan... tadi kebetulan sajalah kami terjumpa. Itu yang Ary berbual-bual sekejap dengan dia sementara tunggu Zuan sampai. Berbual-bual kosong aje. Bertanya perkembangan terkini diri masing-masing. Ary tak pernah ada hati pada dia pun. Dulu Ary selalu jadi tukang teman kawan Ary tu bila mereka buat janji temu. Jadi Ary ni kiranya dah kenal rapatlah dengan Umar tu.”
“Betul Ary tak ada apa-apa dengan dia?”
“Betul!”
Akhirnya Erdyzuan tersenyum semula setelah yakin akan alasan yang diberikan oleh Adriananya itu.
“Okeylah kalau macam tu. Jom, kita pergi joging sekarang.”
Oops, nanti dulu. Simpanlah biskut ni dalam kereta dulu. Takkan nak bawa pergi joging sekali. Tadi dalam telefon beria-ia suruh Ary bawakkan.”
Adriana menyerahkan sebalang kecil biskut yang dibuatnya tengah hari tadi kepada Erdyzuan. Tengah hari tadi ketika Erdyzuan menelefonnya untuk mengajak bertemu pada petang ini, dia sedang sibuk membakar biskut coklat cip.
Sememangnya bila ada kelapangan, Adriana lebih suka duduk di rumah dan mencuba pelbagai resipi yang akhirnya jadi santapan rakan-rakan serumahnya sahaja kerana dia bukannya jenis yang suka makan sangat apa yang dimasaknya.
Tetapi kini dia sudah ada tukang rasa baru untuk setiap resipi yang dicubanya selain daripada rakan serumahnya. Tukang rasa tersebut tidak lain tidak bukan ialah Encik Erdyzuannya ini.
“Ini dia ke Urban Legend Chocolate Chips Cookies yang Ary cakap tu?”
“Ya, inilah dia biskutnya. Apa macam, sama tak dengan apa yang Ary ceritakan pada Zuan tadi?”
Erdyzuan melihat pada biskut coklat cip yang Adriana berikan kepadanya itu. Bentuknya memang nampak serupa macam biskut coklat cip yang biasa dijual di kios Famous Amos tu. Kemudian Erdyzuan terus membuka bekas itu dan mengambil sebiji biskut tersebut lalu disuapkan ke dalam mulutnya.
Hmm... rasanya juga boleh tahan, sama macam biskut yang terkenal dan mahal harganya itu.
Teringat dia pada cerita Adriana lewat panggilan telefon mereka tengah hari tadi.
Kata Adriana resipi biskut yang dibuatnya ini digelar Urban Legend Chocolate Chips Cookies kerana resipinya telah disebarkan melalui Internet oleh seorang wanita yang rasa dirinya tertipu apabila dia dicaj dengan harga 250 dolar pada kad kreditnya ketika meminta untuk membeli resipi biskut tersebut daripada sebuah kios biskut terkenal yang tidak diketahui di mana letaknya.
Ceritanya lagi, wanita tersebut menyangka ketika bertanyakan caj harga resipi tersebut pada pembantu kedai, two fifty yang dimaksudkan itu ialah 2 dolar and 50 cents. Rupa-rupanya two – fifty yang dimaksudkan itu ialah bersamaan dengan 250 dolar.
“Betullah, rasa biskut ni lebih kurang sama aje dengan biskut dekat Famous Amos tu. Terima kasih sayang sebab bagi Zuan biskut yang sangat sedap ni.”
Adriana hanya menjuihkan bibirnya apabila mendengar Erdyzuan memanggilnya sayang!.




URBAN LEGEND CHOCOLATE CHIP COOKIES

1804

Bahan-bahannya:

1 cawan mentega yang telah dilembutkan
1 cawan gula pasir
1 cawan gula perang
2 biji telur
1 sudu teh esen vanila
2 cawan tepung serba guna
2 1/2 cawan oat / Nestum yang dikisar halus
1/2 sudu teh garam
1 sudu teh serbuk penaik
2 cawan coklat cip
4 auns kepingan coklat masakan / coklat susu yang diparut
1 1/2 cawan badam yang dicencang

Cara-cara Membuatnya:
1.   Dalam satu mangkuk besar, pukul mentega dan gula sehingga sebati. Masukkan telur satu per satu dan campurkan esen vanila.
2.   Di dalam mangkuk yang berasingan, campurkan tepung, oat / Nestum, serbuk penaik dan garam. Kemudian campurkan bahan kering ini ke dalam bancuhan mentega dan gula tadi.

3.   Tambahkan coklat cip, kepingan coklat yang telah diparut dan badam. Gaul sebati semua bahan.
4.   Ambil sesudu teh adunan dan letakkan di atas dulang pembakar yang telah dilenserkan dengan mentega. Tekan sedikit supaya biskut yang dibentuk mampat.
5.   Bakarkan dalam ketuhar yang telah dipanaskan pada suhu 190 darjah Celsius 6 – 8 minit.
















7


Setelah Erdyzuan menyimpan biskut yang diberi Adriana ke dalam kereta dan mengunci pintunya, mereka memulakan aktiviti petang mereka itu dengan berjalan-jalan sahaja menaiki cenuram bukit itu. Di kiri dan kanan mereka manusia-manusia lain sama ada secara berkumpulan mahupun berseorangan sibuk turun naik bukit tersebut sebagai acara bersenam mereka. Ada yang hanya setakat berjalan-jalan seperti mereka dan ada juga yang berlari-lari anak.
“Siapa yang rajin sangat tanam pokok-pokok bunga ni dekat sini, ya?”
Suasana yang senyap antara Adriana dan Erdyzuan sejak mereka memulakan aktiviti berjalan menaiki bukit itu akhirnya dipecahkan oleh pertanyaan daripada Erdyzuan.
Sesungguhnya Erdyzuan benar-benar tertarik dengan suasana jalan menaiki bukit itu, di mana tepi jalannya yang kecil itu ada pokok-pokok bunga yang ditanam di situ. Pokok serai dan daun pandan juga turut ditanam.
“Entahlah, tapi memang bagus pun ada orang yang rajin tolong tanam pokok-pokok macam ni dekat sini. Cantik sikit jadinya. Kalau tidak kosong aje kawasan ni. Sudahlah belah kiri ni pokok hutan aje yang ada. Zuan tahu tak, bila kita tolong tanamkan walaupun hanya sepohon pokok renek, ianya merupakan satu amal jariah jugak. Setiap haiwan yang mendapat manfaat daripada pokok tu, contohnya semut yang berteduh di bawahnya nanti akan bertasbih memuji ALLAH dan pahala itu akan diserahkan pada kita. Eh, apa pasal Zuan pergi tarik daun pandan tu? Marahlah tuan pokok ni nanti.”
Adriana pantas menegur apabila dilihatnya Erdyzuan tiba-tiba menarik sehelai daun pandan yang tertanam di situ. Erdyzuan tergelak kecil. Tanpa menjawab dia meneruskan sahaja langkah kakinya menuju ke puncak bukit sambil tangannya melilit-lilit daun pandan tersebut pada jari sendiri.
Sesampainya mereka di puncak bukit di mana terletaknya rumah takungan air dan menara pemancar Celcom, dilihatnya terdapat agak ramai orang yang masih berpusing-pusing di sekeliling tempat itu sambil berlari-lari anak. Sekumpulan dua remaja lelaki dan perempuan pula dilihatnya sudah memanjat dan duduk di atas bumbung rumah takungan air itu. Berani sungguh mereka itu. Langsung tidak takut kalau-kalau mereka bakal terjatuh ke bawah.
Setelah sekali berpusing di sekeliling rumah takungan air itu, Erdyzuan mengajak Adriana duduk di atas rumput di salah satu sudut berhampiran dengan pagar yang memagari sekeliling kawasan perbukitan tersebut. Pagar tersebut mungkin dibina untuk menghalang penceroboh ke kawasan itu atau mengelakkan daripada ada yang terjatuh ke bawah bukit tersebut.
Sudut yang tidak ditumbuhi sebarang lalang mahupun pokok itu membolehkan mereka melihat daripada atas sekitar kawasan Wangsa Maju dan sebahagian kawasan Melawati yang terletak bersebelahan dengan Wangsa Maju.
Kereta-kereta di jalan raya nampak sungguh kecil seperti tikus sahaja. Subhanallah, pemandangan ini sememangnya amat cantik pada pandangan mereka berdua.
Erdyzuan hanya merenung wajah Adriana yang begitu khusyuk memerhatikan pemandangan yang saujana mata memandang itu.
“Kalau waktu malam mesti lagi cantik, kan? Tengok pemandangan lampu yang berkelip-kelip dari atas ni. Ary pernah dengar orang kata kalau pakai teropong, puncak Genting Highlands tu pun boleh kita nampak dari sini. Bila malam mesti lampu-lampu yang bergemerlapan daripada puncak Genting tu kita boleh nampak dari sini, kan?
Kalaulah Ary ni ada banyak duit, Ary nak letak dua tiga buah teropong peninjau dekat kawasan ni macam yang ada di Menara KL tu. Jadi semua orang boleh tengok pemandangan yang cantik dekat sini. Nanti Ary kutiplah bayaran. Sekali tengok, kita cajlah seringgit ke. Bagus jugakkan buat perniagaan macam ni?” 
“Kita?”
Erdyzuan tersenyum senang mendengar perkataan ‘kita’ yang keluar daripada mulut Adriana itu. Terasa begitu dekat hatinya ini dengan Adriana. Saat-saat itu hatinya teringin bertanya pada si gadis adakah dia merasakan apa yang ada di hati Erdyzuan ini.
“Hahaha... maksud Ary sebenarnya nanti bila Ary dah buat perniagaan macam tu, Zuan bolehlah tolong Ary. Zuan tolong kutip duit untuk Ary.”
Adriana menjelirkan sedikit lidahnya tanda tersilap kata. Dalam asyik memerhati keindahan di hadapan mata dan mencanai impian yang mengarut, tidak sangka dia boleh tersebut perkataan ‘kita’ pula. Aduh, Adriana berkata macam dah sah-sah sahaja lelaki kacak di sebelahnya ini sukakan dirinya.
Saat Adriana mengalihkan pandangan matanya pada wajah Erdyzuan pula, dilihatnya lelaki itu sedang merenung tajam dirinya. Tusukan renungan daripada mata coklat indah sang arjuna itu tampak begitu romantis sekali dan benar-benar membuatkan dada Adriana terasa bergetar hebat. Entah mengapa pipinya terasa panas apabila direnung sebegitu sekali.
“Kenapa pandang Ary macam tu?”
“Saja-saja. Tak boleh ke?”
“Janganlah. Malulah bila Zuan pandang Ary macam ni.” Adriana menegah.
 “Ary...”
Adriana hanya memandang wajah Erdyzuan saat mendengar namanya disebut oleh lelaki itu. Malah di saat itu terasa tangannya digapai si lelaki yang semakin mendapat tempat di hatinya itu buat pertama kalinya dalam sejarah perhubungan mereka.
Entah mengapa dia bagaikan tidak berdaya langsung untuk membantah sentuhan itu walaupun
selama ini dia seorang yang benar-benar menjaga auratnya daripada disentuh sesuka hati oleh lelaki yang bukan mahramnya dan Erdyzuan juga cukup faham akan pendiriannya yang satu ini.
“Adriana Ahmadi Edward, sudi tak Adriana jadi isteri kepada Erdyzuan?”
Adriana benar-benar terkesima saat mendengar lamaran yang tiba-tiba keluar daripada mulut Erdyzuan itu. Terasa rahangnya bagaikan hendak jatuh sampai ke tanah kerana terkejut dengan lamaran yang datang secara tiba-tiba ini. Seriuskah lelaki ini dengan lamarannya ini? Atau dia sekadar bergurau sahaja?
“Zuan sedar tak apa yang Zuan cakap ni?”
“Ya, Zuan sedar, sayang. Zuan benar-benar serius mahu memperisterikan Ary.”
Lantas daun pandan yang tadinya diambil dari tepi jalan tadi dan telah digulung-gulungkannya seperti cincin, disarungkan ke jari manis Adriana. Muat-muat sahaja daun itu tersarung di jari Adriana.
Adriana yang melihat perlakuan Erdyzuan itu, semakin rasa sesak nafasnya. Lantas tangannya ditarik daripada pegangan lelaki itu dan segera dia bangkit dari duduknya.
“Ary nak balik! Tolong jangan cari Ary lagi.”
Selepas berkata-kata sebegitu Adriana terus sahaja berlari selaju mungkin menuruni bukit untuk berlalu daripada situ. Wajah Erdyzuan langsung tidak dipandangnya lagi. Erdyzuan hanya memerhati langkah panjang Adriananya berlalu dari sisinya. Dia tahu seharusnya dia mengejar gadis itu tetapi dia juga tahu dia harus membiarkan gadis yang sedang terkejut dengan lamarannya secara tiba-tiba itu menenangkan diri dahulu.















8


“Kau dari mana, Eddy? Aku ingatkan tadi nak ajak kau pergi makan asam pedas sardin dekat BSN sana tu.”
Charles menegur Erdyzuan yang tampak agak sugul menapak masuk ke dalam ruang pejabatnya.
Sebentar tadi, dia ingatkan hendak ajak teman sekerjanya ini pergi makan di seberang KLCC iaitu gerai-gerai yang terletak di sebelah bangunan BSN itu.
Tetapi menurut pembantu Erdyzuan, seawal jam 12.15 tengah hari lagi temannya ini sudah menghilangkan dirinya daripada pejabat.
“Aku pergi Parkson tadi.”
“Parkson? Kau pergi jumpa awek Parkson kau tu ke?”
Hmm… aku pergi cari Ary tadi tapi dia tak ada. Masuk hari ni dah tiga hari dia tak masuk kerja.”
Lemah sahaja suara Erdyzuan menjawab. Sememangnya sudah tiga hari dia cuba mencari Adriana di Parkson bila sahaja ada kesempatan untuk dia melarikan diri seketika daripada pejabatnya, tetapi bayang gadis itu langsung tidak kelihatan.
Hari pertama dia diberitahu Adriana demam dan mengambil cuti sakit. Hari kedua Adriana dikatakan masih menyambung cuti sakitnya dan hari ini pula gadis itu mengambil cuti kecemasan.
Hari pertama dia masih boleh percaya yang mungkin benar Adriana memang tidak sihat. Hari kedua dia mula terasa ragu bila Adriana masih tidak lagi kelihatan di Parkson .
Tetapi hari ini, di hari ketiga dia memang sudah tidak percaya lagi Adriana masih sedang bercuti seperti yang dikatakan oleh pembantu jualan di bahagian pakaian wanita Parkson itu.
Oleh sebab itu sejak jam 12.15 tengah hari lagi dia sudah merayau di sekitar Parkson untuk mengintai bayang Adriana. Entah mengapa dia merasakan Adriana kini sebenarnya sedang cuba melarikan diri daripada dirinya.
Maka kerana itulah gadis itu menyorok bila dia datang ke Parkson dan menyuruh pembantu jualannya mengatakan pada Erdyzuan yang dia masih bercuti lagi.
Namun sangkaan bodohnya itu ternyata meleset kerana sememangnya semenjak jam 12.15 tengah hari sehingga jam 2.00 petang dia cuba mengintai bayang Adriana di sekitar Parkson, langsung tidak kelihatan wajah gadis itu ada di mana-mana.
“Kenapa lemah aje suara kau ni? Macam orang putus cinta aje gayanya. Kau gaduh dengan dia ke sampai tiga hari kau asyik cari dia? Macam mana kau tak tahu langsung dia sedang bercuti? Kau tak cuba telefon dia ke?”
Mendengarkan soalan itu Erdyzuan merenung tampang Charles, anak Bumi Kenyalang keturunan Iban di hadapannya itu dengan pandangan tajam.
“Hei, kenapa kau pandang aku macam tu sekali? Aku dah salah tanya soalan ke?”
Charles yang perasan renungan tajam Erdyzuan bertanya. Namun Erdyzuan hanya mengeluh perlahan sebelum lambat-lambat menjawab soalan Charles tadi.
“Kami tak ada bergaduh apa pun. Cuma lepas daripada aku melamar dia petang Ahad tu, dia terus menyepi. Aku telefon dia pun, langsung tak dapat. Aku rasa dia matikan talian telefon bimbitnya.”
“Kau melamar dia? Melamar jadi isteri kau ke?”
Rasa tidak percaya Charles dengan cerita rakan sejawatannya itu.
“Yalah, takkanlah aku nak lamar dia jadi orang gaji aku pulak.”
Erdyzuan merenung dengan sedikit marah pada Charles yang bertanyakan soalan bodoh itu padanya. Sebagai teman rapatnya di pejabat ini, Charles memang sudah maklum akan hubungannya dengan Adriana yang selalu dirujuknya sebagai awek eksekutif Parkson itu. Segala cerita tentang bagaimana perkenalannya dengan Adriana bermula ada dalam poket temannya itu.
“Wau! Kau ni memang dah nekad nak kahwin ke?”
“Ya, memang aku dah nekad walaupun kami baru saja berkenalan tak sampai tiga bulan. Pada aku, Ary tu lain daripada kebanyakan gadis yang aku pernah kenal. Dia unik dengan caranya yang tersendiri. Dia sentiasa menjaga kelakuan dia, kata-kata dia dan maruah dia sebagai wanita.
“Dia bukannya gadis jenis bimbo. Tahun ni aku dah masuk tiga puluh tiga tahun, Charles. Sepatutnya aku dah mula mempunyai keluarga sendiri saat ini. Ada isteri dan anak-anak. Salah ke Charles kalau aku lamar dia walaupun kami kenal tak sampai tiga bulan?”
Rasa bengang pula Erdyzuan apabila hasratnya itu dipersendakan Charles.
“Tak… tak salah pun. Alah, ada sesetengah orang tu baru sehari jumpa dah boleh jatuh cinta dan minggu depannya dah ambil keputusan nak kahwin. Tiga bulan tu, aku kira dah cukup untuk diri kita mengenali dan menyukai seterusnya menyayangi seseorang. Lagipun kalau memang hubungan kau dan dia menjadi, kau ada seumur hidup untuk lebih mengenali dia. Tapi, aku yakin lepas ni mesti semua awek-awek dekat KLCC ni akan hantar petisyen tanda bantahan pada kau bila tahu kau nak kahwin dengan awek Parkson kau tu.”
Seraya itu kedengaran Charles ketawa besar selepas meluahkan pendapatnya itu.
“Hah, apa ke hal pulak sampai nak hantar petisyen bantahan pada aku? Apa kena-mengena aku nak kahwin dengan perempuan-perempuan di KLCC ni?”
“Kaukan Don Juan yang terkenal dekat KLCC ni… Lepas ni habislah merana Si Amy, Sheila, Tina, Bella, Minah...” Usik Charles.
Woi... woi... bila masa pulak aku ni jadi Don Juan, hah? Entah siapa-siapa punya nama yang kau sebut tu pun aku tak kenal. Kau ingat aku ni duta KLCC ni ke sampai semua perempuan dekat KLCC ni kononnya kenal dan suka dekat aku?”
Belum sempat Charles habis menyebut nama barisan wanita yang entah siapa-siapa itu, Erdyzuan sudah memotong kata-katanya itu dengan rasa sedikit geram. Bengang dan geram dibuatnya kerana digelar sebagai Don Juan oleh sahabatnya sendiri.
Namun Charles hanya tergelak-gelak sahaja melihat wajah Erdyzuan yang sudah mula merah bagaikan udang dibakar kerana terasa dengan kata-katanya itu.


ASAM PEDAS SARDIN

Sardine

Bahan-bahannya:

1 tin besar sardin
1 biji bawang besar (hiris)
3 ulas bawang putih (hiris)
2 batang serai (titik)
garam dan perasa
1/2 cawan air asam jawa
2 biji tomato (dibelah 4)
2 tangkai lada hijau
(dibelah 2 atau potong serong)
2 tangkai daun sup dan daun bawang (hiris 1 inci)
1 biji terung (potong ikut suka)
minyak untuk menumis
air

Bahan-bahan kisar:
10 15 tangkai cili kering
1 biji bawang besar
5 ulas bawang putih
1/2 inci halia
sedikit belacan
1 sudu besar lada hitam

Cara-cara membuatnya:

1.   Panaskan minyak di dalam periuk, tumis bahan-bahan hiris dan serai sehingga wangi. Masukkan bahan kisar dan tumis lagi sehingga terbit minyak. Masukkan 1 cawan air dan gaul rata. Biarkan mendidih.
2.   Masukkan sardin dengan sosnya sekali, air asam jawa, perasa, terung, lada hijau dan kacau perlahan-lahan. Tambah air jika perlu dan biarkan mendidih sekali lagi.
3.   Akhir sekali masukkan tomato, daun sup dan daun bawang. Kacau sekali lagi dan renehkan dalam 10 minit sebelum matikan api.

















9


Erdyzuan tahu yang dia bukanlah seorang kaki perempuan. Ya… memang sebelum-sebelum ini dia pernah keluar dengan pelbagai jenis perempuan. Daripada yang kerja biasa-biasa hinggalah yang berpangkat tinggi daripada dirinya sendiri. Daripada yang berasal dari kampung hinggalah kepada yang anak raja sekalipun.
Namun semua hubungannya itu tidak pernah menjadi. Seminggu dua atau paling lama sekalipun sebulan atau dua selepas berkenalan dengan perempuan-perempuan itu dia sudah tiada hati hendak meneruskan hubungan dengan mereka itu lagi.
Lagipun dia lelaki. Tentulah dia perlu mencari calon kekasih dan seterusnya calon isteri untuk dirinya sendiri. Maka kerana itulah dia perlu cuba berkenalan dengan seramai gadis yang mungkin untuk mencari seseorang yang boleh dijadikan teman hidup sepanjang hayatnya, menantu kepada ibunya, kakak ipar kepada adiknya dan ibu kepada anak-anaknya kelak.
Entah mengapa setiap kali dia berkenalan dengan mana-mana perempuan, dia hanya asyik cuba mencari di mana sifat negatif si wanita itu yang boleh dijadikan alasan untuknya memutuskan hubungan mereka. Tetapi tidak pula dia sebegitu bila mula mengenali Adriana.
Dengan Adriana, dia sentiasa memandang akan kesempurnaan si gadis dan ingin menonjolkan yang terbaik tentang dirinya supaya dia akan kekal menjadi sebahagian daripada hidup Adriana.
“Relakslah kawan, aku gurau saja tadi tu. Muka kau tu aku tengok macam tengah tension sungguh. Kalau ya pun dah tiga hari kau tak dapat jumpa dan tak dapat hubungi awek kau tu, janganlah tension sangat. Paling-paling awek kau tu masih lagi kerja dekat Parkson, kan? Lainlah kalau kau lamar dia, terus dia berhenti kerja, tukar nombor telefon dan pindah rumah.”
“Kau tak faham perasaan aku. Kalau kau dekat tempat aku ni Charles, kau akan faham apa yang ada dalam hati aku ni. Perit rasanya hati ni bila kita dah pilih seseorang wanita itu untuk diletakkan di tempat yang khas di hati kita tapi dia hanya menyepi saja tanpa sebarang jawapan mahupun petanda sama ada nak terima atau tak.”
“Ho... ho... kau ni apa hal melankolik sungguh, hah? Tahulah kau dah betul-betul tangkap cintan dengan awek tu, tapi janganlah jiwang karat sampai macam ni sekali...!
“Heh, setahu aku Erdyzuan yang aku kenal selama ni tak pernahnya nak layan blues. Tak sangka betul kuasa cinta awek kau tu boleh buat kawan aku yang sangat-sangat macho ni jadi lembik macam ni sekali.”
“Suka hatilah kau nak kata apa. Nak kata aku ni lembik ke, aku ni dah tak macho ke, aku tak ada masa nak ambil peduli semua tu. Aku tengah pening ni fikir dekat mana aku nak cari Ary.”
Erdyzuan hanya menjawab lirih tempelakan Charles. Dia sendiri sudah rasa macam hendak demam sahaja sejak dua tiga hari ini. Dia benar-benar sudah rasa lemah badan dan juga perasaan mengenangkan kesenyapan Adriana sejak tiga hari yang lalu.
Biarlah Charles hendak kata dia lemah atau apa sekalipun hanya kerana cintanya pada Adriana, dia tidak akan kisah.
“Alah, apa yang kau nak susah hati sangat. Kau tak dapat cari dia dekat Parkson tu, kau telefon pun tak dapat, kau pergi ajelah ke rumah dia tu. Kau tahu awek kau tu tinggal dekat mana, kan?”
Bila mendengar saranan Charles itu, Erdyzuan terasa macam hendak hantuk kepalanya ke dinding sahaja. Kenapalah dia tidak pernah terfikir cara itu sejak tiga hari lalu? Telah beberapa kali dia menghantar Adriana sampai ke hadapan rumah sewaan si gadis itu, jadi sudah tentu dia tahu di mana Adriana tinggal.
Tetapi macam mana pula kalau Adriana tidak mahu juga berjumpa dengannya bila dia sudah ada di hadapan rumah gadis itu nanti? Lalu… apa yang perlu dibuatnya?
“Kalau aku pergi rumah dia sekalipun, dia tak mahu jugak jumpa dengan aku macam mana?”
Erdyzuan bertanya pada Charles. Meluahkan keraguan yang bermain di hatinya seketika tadi.
“Kalau dia mengelat tak mahu jumpa kau jugak, kau tunggulah depan pintu rumah dia sampai dia keluar. Takkanlah dia nak menyorok selama-lamanya dalam rumah dia tu. Nak tak nak dia kena keluar jugak untuk pergi kerja. Tak pun kau bunyikan hon kereta kau sepanjang masa dan ugut kata kau tak akan berhenti buat macam tu selagi dia tak mahu jumpa kau. Amacam idea aku tu?”
“Gila! Silap-silap dia dengan teman serumahnya panggil polis pulak sebab kata aku ni mengganggu ketenteraman dia orang. Balai Polis Wangsa Maju dengan rumah dia dekat Desa Setapak tu bukannya jauh mana sangat pun.”
“Itu cadangan aku aje. Kau pun janganlah terus jadi gila pergi membabi buta ikut cadangan aku tu. Itu hanya pelan kecemasan aje. Cubalah dulu pergi rumah dia. Mungkin dia betul-betul ada masalah lain sebab itulah tak datang kerja sampai tiga hari. Aku rasa kau ni semenjak dua ni asyik pesimis aje. Setahu aku, Erdyzuan ni seorang yang sentiasa optimis dalam hidupnya. Lebih-lebih lagi dalam bab perempuan.”
“Kau tu tak pernah jatuh cinta macam aku, bolehlah mengata aku macam-macam. Esok-esok bila kau dah benar-benar jatuh cinta macam mana aku ni sayang sangat dekat Adriana tu, kau sendiri akan pelik dengan apa yang dah jadi pada kau. Kau akan rasa sendiri masa tu yang kau tiba-tiba aje berubah tiga ratus enam puluh darjah semata-mata kerana cinta seorang wanita, tahu tak?”
“Hahaha... aku akan tunggu ketibaan hari tu. Aku pun teringin jugak nak rasa macam yang kau rasa. Lebih-lebih lagi kalau dapat rasa jatuh cinta dengan seorang perempuan yang sesopan awek eksekutif Parkson kau tu.”
“Hei, kau nak jatuh cinta dengan orang lain aku tak kisah. Tapi kalau dengan Adriana aku tu, jangan sesekali nak bermimpi. Langkah mayat aku dulu kalau kau nak mengurat dia tu.”
“Apalah kau ni, aku cuma buat perumpamaan aje... bukannya aku betul-betul nak rampas awek eksekutif Parkson kau tu. Tapi kalau betullah dia nak jatuh cinta pada aku, seluas lautan aku sanggup tadahkan untuk cinta dia tu. Sudahlah tu, aku nak balik bilik aku buat kerja. Lagi berfaedah aku habiskan kerja aku tu daripada layan orang angau macam kau ni. Kau tu, habis waktu pejabat karang, pergi ajelah ke rumah dia. Tanya dia elok-elok, pujuk dia baik-baik. Perempuan, bukankah orang kata hatinya tu macam kerak nasi. Lama-lama lembutlah hatinya tu bila disiram dengan kata-kata romantis. Lagi-lagi ayat jiwang karat Don Juan macam kau ni.”
Selepas berkata begitu, Charles terus berlalu dengan gelak tawanya sendiri. Sempat dihadiahkan sebuah kenyitan buat temannya itu, sengaja untuk mengusik. Erdyzuan pula hanya mampu mengetap bibirnya tanda geram dengan usikan temannya itu.
Mendengarkan kata-kata Charles tadi hendak mengurat Adriananya walaupun sekadar mengusik sahaja membuatkan dia terasa seperti hendak menghadiahkan sebiji penumbuk sahaja pada muka teman baiknya itu.
Selepas Charles berlalu daripada biliknya, Erdyzuan cuba menghadap kerja-kerja pejabatnya yang agak menambun dan tertangguh sejak dua tiga hari lalu kerana asyik memikirkan Adriana yang tiba-tiba menyepi daripada dirinya.
Walaupun Adriana mengatakan jangan cari dia lagi, dia tetap akan mencari gadis itu. Dia tidak sanggup kehilangan Adriana daripada hidupnya. Dia sayangkan Adriana sungguh-sungguh.
Ketika ini dia sudah nekad, walau apa pun yang terjadi dia tetap akan memastikan Adriana menjadi isterinya. Untuk itu sebagai langkah pertama, dia mesti berjumpa dengan Adriana hari ini juga.
Selepas waktu pejabat nanti dia akan ke rumah Adriana dan berjumpa dengan gadis itu. Tidak kira apa caranya pun, hari ini Adriana tidak boleh lagi mengelat daripada dirinya.
Let it be by hook or by crook. Hari ini Erdyzuan akan membuat perhitungan dengan Adriana. Hari ini akan dipastikan Adriana menerima lamarannya. Itu tekad seorang Erdyzuan.















10


“Zuan! Apa awak buat dekat sini? Awak gila ke masuk bilik saya ni?”
Adriana yang tadinya sedang leka membaca novel sendirian, benar-benar terkejut apabila baru terperasan akan kehadiran Erdyzuan di dalam bilik di rumah sewaannya. Lelaki itu dilihatnya sedang berdiri sambil bersandar pada muka pintu biliknya ini sambil merenung dirinya dengan tajam.
Adriana tiba-tiba menyedari yang rambutnya kini sedang terdedah pada pandangan Erdyzuan, pantas ditarik hood baju sejuk yang dipakainya itu untuk menutup helaian-helaian rambutnya.
Jantung Adriana ketika ini berdetak dengan keras sekali melihatkan kedatangan Erdyzuan secara mengejut. Malah lebih menakutkan dan menambahkan lagi kelajuan degupan jantungnya ini adalah apabila dia menyedari lelaki itu kini sedang berdiri di dalam biliknya.
Sudahlah kesemua teman serumahnya ketika ini sudah pun keluar ke Jusco Alpha Angle sejak lepas sembahyang fardu maghrib. Lalu kalau terjadi apa-apa nanti, pada siapa dia mahu meminta pertolongan?
Apa agaknya yang lelaki ini hendak buat padanya, hah? Bagaimana kalau mereka berdua tiba-tiba ditangkap kerana berkhalwat oleh Jabatan Agama Islam Wilayah?
Lagipun bukankah kalau hanya seorang lelaki dan seorang perempuan sahaja yang berada dalam satu ruang, akan ada syaitan sebagai orang ketiga di antara mereka? Bukankah syaitan itu kerjanya hanyalah menyesatkan anak-anak Adam? Ya ALLAH, tolonglah jangan dirinya ini diapa-apakan oleh Erdyzuan...
“Zuan... to...tolonglah keluar... Nanti apa kata orang lain kalau tengok Zuan ada dalam bilik Ary ni…”
Suara Adriana sedikit merintih bunyinya. Meminta Erdyzuan segera keluar daripada bilik. Sebelum terjadi apa-apa yang tidak diingini.
“Zuan datang sini nak jumpa Ary. Tapi tadi masa Zuan sampai ke sini dan bagi salam, tak ada orang pun yang jawab. Pintu utama rumah pulak tak berkunci. Jadi Zuan cuba jenguk ke dalam, tapi tak nampak jugak orang.
“Bila dah tak ada orang dekat ruang tamu, Zuan main masuk ajelah nak tengok ada orang ke tak dalam rumah ni. Yalah, manalah tahu kalau-kalau semua orang dekat rumah ni dah kena ikat dengan perompak ke, dah pengsan kena gas beracun ke...”
“Sekalipun tak ada orang jawab salam, tak ada orang dekat ruang tamu, tak bermakna Zuan boleh sesuka hati menceroboh masuk ke dalam rumah ni. Ini rumah anak dara. Orang lelaki langsung tak dibenarkan masuk. Ary boleh telefon polis dan tuduh Zuan menceroboh rumah ni, tahu tak? Zuan tolonglah keluar...”
Sekali lagi Adriana merayu pada Erdyzuan supaya keluar sekali gus keluar daripada rumahnya. Suaranya kali ini sedikit keras nadanya kerana menahan rasa amarah yang mula menguasai diri. Apatah lagi apabila melihatkan kedegilan Erdyzuan yang tidak mahu berganjak-ganjak daripada tadi lagi.
Dia sudah duduk sambil memegang lutut demi mempertahankan tubuhnya daripada kemungkinan diserang secara tiba-tiba oleh Erdyzuan.
Lelaki… bukannya boleh dipercayai apa tindakan mereka nanti. Sekalipun mereka mempunyai hanya satu nafsu berbanding perempuan yang mempunyai sembilan nafsu, satu nafsu itulah yang digunakan sebaik-baiknya oleh kebanyakan lelaki zaman sekarang ini.
“Zuan tak akan keluar selagi Zuan tak dapat jawapan daripada Ary.”
“Jawapan apa?”
Adriana bertanya dengan wajah penuh keliru. Apa semua ini? Tiba-tiba sahaja Erdyzuan main ceroboh, lepas itu hendak menagih pula jawapan kepada persoalan yang dia sendiri tidak tahu-menahu langsung apakah ia.
“Jawapan untuk soalan hari tu. Ary tahu tak, dah tiga hari Zuan macam orang bodoh merayau dekat Parkson tu mencari Ary? Tiga hari jugak mereka kata Ary konon cuti sebab demam. Bila Zuan telefon pulak Ary langsung tak nak angkat. Ary ingat Zuan ni budak kecik ke boleh diperbodohkan dengan alasan macam tu?”
Suara Erdyzuan sedikit melengking meluahkan perasaannya yang terbuku selama tiga hari itu. Dengan perlahan-lahan langkah kakinya semakin mara merapati katil bujang Adriana.
Adriana semakin ketakutan melihat tindakan Erdyzuan itu. Pelukan tangan pada lututnya semakin dikejapkan.
“Zu...Zuan... tol...tolonglah ja...jangan buat macam ni...”
Suara Adriana tertahan-tahan merayu Erdyzuan menghentikan perbuatannya itu yang semakin merapati katil bujangnya. Tika ini dia semakin ketakutan.
Matanya melingas sedikit memerhati sekeliling bilik sempitnya itu, mencari ruang untuk dia berlari sekiranya Erdyzuan benar-benar merapati dan cuba menghimpit tubuhnya. Juga mencari apa-apa senjata yang boleh digunakan untuk mempertahankan dirinya.
Lebih kurang jarak satu setengah meter daripada kedudukan tubuhnya kini, dia dapat lihat ada sebiji seterika dan beberapa batang penyangkut baju berada di atas lantai yang dibiarkannya di situ selepas menggosok pakaian kerjanya untuk esok sesudah sembahyang fardu maghrib tadi.
Akal Adriana dalam diam cuba bekerja memikirkan sama ada dia sempat atau tidak untuk bergerak secara senyap dan pantas ke situ, lalu mencapai penyangkut baju atau seterika itu supaya dapat dijadikan alat pelindung kepada dirinya ini daripada diserang oleh Erdyzuan nanti.
“Jangan buat apanya sayang? Mana ada Zuan buat apa-apa. Zuan cuma nak bercakap dengan Ary aje. Itulah siapa suruh tak kunci pintu rumah dari dalam.”
Ada tawa kecil di hujung kata-kata Erdyzuan itu. Ketika ini punggungnya sudah pun dilabuhkan pada bucu katil bujang Adriana.Sesungguhnya dia tidak pernah berniat untuk mengapa-apakan Adriananya. Dia masuk ke rumah ini dan juga ke bilik Adriana ini pun hanya secara spontan sahaja setelah salamnya daripada luar untuk penghuni rumah ini tidak berjawab langsung tadi.
Melihatkan ruang tamu dan dapur yang kosong sahaja, entah mengapa kakinya ini laju sahaja mendahului akalnya cuba mencari bilik Adriana di tingkat dua rumah tiga tingkat ini.
Mungkin sudah memang rezekinya kerana bilik pertama yang dia nampak di tingkat dua rumah ini adalah bilik Adriana, berdasarkan pada gantungan ukiran nama yang terdapat di pintu luar bilik itu. Rezekinya juga rasanya kerana dia dapat melihat Adriana seketika tadi tanpa tudung kepalanya itu seperti biasa.
Rambut Adriana cantik sangat pada mata lelakinya ini. Rambut berwarna perang gelap dan separas bahu itu nampak sedikit ikal beralun. Agak seketika juga dia dapat merenung sepuas-puas hatinya pada wanita yang semakin mendapat tempat di hatinya itu sebelum kehadirannya di bilik ini mula disedari oleh si gadis.
Sekalipun nafsu lelakinya sedikit teruja melihatkan kecantikan Adriana, dia langsung tidak berniat untuk menyentuh wanita itu sebelum si dia menjadi haknya yang sah.
Tetapi sengaja dia berolok-olok mendekati Adriana. Dengan langkah yang perlahan-lahan seperti lelaki yang sudah tidak tertahan nafsunya mahu membaham tubuh Adriana yang sangat-sangat cantik itu; sekadar untuk menakutkan si gadis sahaja.
Melihatkan pada wajah ketakutan dan reaksi Adriana yang sungguh defensif sejak menyedari kehadirannya di bilik ini, hatinya ini semakin menggeletek untuk terus berlakon sebegitu. Padanya, Adriana itu nampak semakin menawan sahaja rasanya bila bereaksi sebegitu.
“Zuan nak cakap apa dengan Ary?”
Hati Adriana mendongkol sungguh kerana melihatkan Erdyzuan yang boleh selamba sahaja berkata-kata sambil ketawa riang sedangkan dirinya ini sedang ketakutan yang amat ketika ini.