1
Hujung minggu merupakan hari yang dinanti-nantikan oleh Yuni untuk membalas dendam dan berehat secukupnya di rumah. Selalunya usai solat subuh, dia akan mencuri masa untuk melelapkan diri sekitar jam 8 pagi.
Tetapi tidak pada hari ini. Aroma inti karipap sardin kegemarannya yang berapungan di udara, menyegarkan mata Yuni.
Yuni menyelak akhbar hari Ahad. Helaian demi helaian padat dengan cerita-cerita sensasi artis dan selebriti tanah air. Lekas sahaja tangan Yuni melangkau lembaran yang menyiarkan cerita-cerita sebegitu.
Dalam banyak-banyak tajuk berita, mata gadis comel itu tertancap pada satu artikel yang menarik minatnya untuk membaca.
Mahkamah Siber Perlu Diwujudkan.
Malaysia memerlukan Mahkamah Siber bagi mengadili kes-kes berkaitan jenayah siber di negara ini. Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi Datuk Shaziman Abu Mansor berkata, penubuhan mahkamah itu perlu dipertimbangkan dengan mengambil kira akan berlaku peningkatan kes melibatkan jenayah siber di negara ini.
Sungguhpun Malaysia mempunyai peruntukan undang-undang untuk mendakwa pesalah jenayah siber, tetapi masih lemah daripada segi penguatkuasaan. Oleh itu, Malaysia perlu memberikan lebih tumpuan kepada penguatkuasaan undang-undang siber sedia ada bagi membendung aktiviti berkaitan jenayah siber.
Malaysia telah memperkenalkan beberapa undang-undang siber, termasuk Akta Jenayah Komputer 1997, Akta Tandatangan Digital 1997, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Peraturan Tandatangan 1998.
Mengenai kewujudan sebuah laman blog yang didakwa menghina Nabi Muhammad S.A.W, Shaziman berkata pihaknya dengan kerjasama polis masih menjalankan siasatan berhubung perkara itu.
“Macam-macam! Sepatutnya makin canggih sesuatu teknologi, makin dimanfaatkanlah sebaiknya. Ini tidak, disalahgunakan pulak. Memang patut pun mahkamah siber diwujudkan!”
Yuni mengomel seorang diri, tidak menyedari akan kelibat ibunya yang sudah berada di belakangnya menjenguk inti pati artikel yang sedang dibebelkan anaknya.
“Yuni baca apa tu?”
“Eh, ibu... Patutlah bau karipap je kat belakang tadi. Hehehe... Paper ni bu, cerita tentang dunia blog.”
“Blog tu apa, Yuni?”
“Kalau ibu nak gambaran secara ringkas, blog ni macam ibu tulis diari tu. Cuma blog ni boleh dibaca seluruh dunia. Itu jelah bezanya.”
“Isy, kalau itu bezanya, bermakna Yuni tak boleh samakan blog dengan diari. Diari adalah satu coretan yang menjadi rahsia untuk diri sendiri dan selamat dari pengetahuan orang lain. Kalau dah boleh baca seluruh dunia, itu dah kira menjaja kisah peribadi. Maknanya penulis blog ni sama taraf dengan artis jugaklah, kan? Bezanya artis, wartawan yang dedahkan kisah hidup mereka tapi penulis blog dedahkan dengan kerelaan sendiri. Begitu?”
Wah! Pandai sungguh ibu memberi komen-komennya.
“Err... mmm... entahlah bu. Ibu ni sekali tembak dengan soalan, tak mampu Yuni nak jawab tau! Hehehe...” Yuni mengalah.
Ada kebenaran pada kenyataan spontan yang keluar dari mulut ibunya itu.
“Mahkamah siber tu apa pulak? Tak sempurna lagi ke sistem kehakiman Malaysia kita ni?”
Rajin pula wanita separuh umur itu menduga. Sekadar mahu mendengar buah fikiran anak kesayangannya itu.
“Bukan tak sempurna, bu... tapi mahu lebih menyempurnakan sistem yang sedia ada. Mahkamah siber ni spesifik kepada perlakuan jenayah yang dilakukan oleh pesalah siber. Lebih fokus dan khusus, jadi undang-undang itu lebih mantap. Satu lagi kalau diwujudkan mahkamah siber ni, penjenayah maya ni boleh dijejak dan diberkas. Tak adalah mereka senang-lenang buat tak tentu hala dalam Internet.”
Terang Yuni, tidak tahulah ibunya akan faham ataupun tidak.
“Yuni ada terbaca di forum-forum ilmiah yang menyatakan sekarang ni, banyak laman blog disalahgunakan untuk menyerang keperibadian seseorang, menyebar bahan pornografilah, menipu orang ramailah dan macam-macam tujuan negatif yang lain. Di Malaysia, selain dari kementerian, kita ada MIMOS untuk memantau semua laman sesawang yang boleh datangkan mudarat. Walaupun bukan seratus peratus boleh dikawal tapi sekurang-kurangnya itu lebih baik daripada tak ada.”
Panjang lebar Yuni mengulas kepada Seri. Ibunya itu mengangguk tanda memahami. Anak-beranak itu rancak bersembang sambil menjamah karipap yang masih panas.
“Oh ya Yuni, ni kad kahwin Soraya. Dia sebaya dengan Yuni, kan?”
Sebaik sahaja menghabiskan sarapan, Seri menghulurkan sekeping kad jemputan kepada Yuni.
“Haah. Awalnya Soraya kahwin, bu? Dengan orang mana?”
“Orang KL jugak, kenal menerusi Internet katanya...”
Jawab Seri seraya tersenyum.
“Internet? Hehehe... tu salah satu kebaikan dunia siber jugak tu, bu.”
“Pandailah anak ibu... Silap-silap nanti, ibu dapat tahu Yuni jatuh cinta dengan penulis blog pulak...”
“Hehehe... ada-ada je ibu ni tau!”
“Oh ya Yuni, ni kad kahwin Soraya. Dia sebaya dengan Yuni, kan?”
Sebaik sahaja menghabiskan sarapan, Seri menghulurkan sekeping kad jemputan kepada Yuni.
“Haah. Awalnya Soraya kahwin, bu? Dengan orang mana?”
“Orang KL jugak, kenal menerusi Internet katanya...”
Jawab Seri seraya tersenyum.
“Internet? Hehehe... tu salah satu kebaikan dunia siber jugak tu, bu.”
“Pandailah anak ibu... Silap-silap nanti, ibu dapat tahu Yuni jatuh cinta dengan penulis blog pulak...”
“Hehehe... ada-ada je ibu ni tau!”
2
Yuni mempercepatkan langkah meluru ke bilik pejabatnya di Muzika Entertainment. Dia mahu segera sampai sungguhpun waktu bertugasnya hanya akan bermula pada jam 8.30 minit pagi.
Menyandang jawatan sebagai pereka grafik di syarikat tersebut merupakan satu kelebihan pada dirinya yang masih muda. Dalam usia 24 tahun, dia sudah pun berkerjaya tetap, sedangkan teman-temannya yang lain masih lagi tercari-cari pekerjaan yang bersesuaian dengan diri mereka.
Mungkin sudah rezeki Yuni. Terbersit rasa syukur kepada ALLAH SWT di dalam hati gadis comel itu setiap kali mengenangkan pencapaian diri sendiri.
“Jom sarapan, Rabbit!”
Tegur satu suara. Pelawaan klise setiap pagi yang menyinggahi pendengaran Yuni. Mahu menolak selalu, tidak manis pula sedangkan mereka sebumbung mencari rezeki. Andai menerima ajakan itu selalu, dikhuatiri timbul pula gosip-gosip liar di kalangan Muzikers.
Istilah yang diguna pakai dalam Muzika Entertainment di mana staf-staf yang bekerja di situ digelar ‘Muzikers’. Pada awal kemasukannya dalam syarikat itu dahulu, Yuni agak canggung dengan gelaran tersebut. Sewenang-wenangnya merosakkan bahasa, getus Yuni dua tahun lalu.
Namun sekarang ini, dia sendiri sudah terbiasa menggunakannya dalam e-mel-e-mel ofis.
“Berry, belikan breakfast untuk Yuni, boleh?”
Balas Yuni acuh tak acuh namun sempat menghadiahkan senyuman sekadar pemanis perbualan dengan lelaki di hadapannya.
Berry, unik bukan nama lelaki itu? Anak kelahiran bumi kenyalang. Lima tahun lebih tua usianya berbanding Yuni. Bertubuh tegap dan acap kali menjadi orang pertama keluar apabila tamat waktu pejabat. Takut terlambat ke gimnasium katanya setiap kali rakan pejabat bertanya.
Yuni sudah menghidupkan komputer ribanya. Wallpaper gambar arnab menampakkan gigi dua batang seolah-olah tersengih, menjadi penghias komputer riba Yuni.
Atas sebab itulah, Berry menegurnya sebagai ‘Rabbit’ sebentar tadi. Berry sudah lesap, Yuni sendiri tidak menyedarinya. Mungkin dalam perjalanan membeli sarapan di kafe tingkat bawah, Yuni mengagak sendiri.
Talian Internet automatik disambungkan kerana di situ menggunakan rangkaian wayarles di seluruh bangunan empat tingkat itu. Ikon Mozilla Firefox dikliknya.
Laju capaian Internet awal pagi itu dan dalam masa beberapa saat sahaja sudah terpapar laman sesawang Google. Pantas jari-jemari runcingnya menaip url, http://priasetia.blogspot.com.
“Eh, lagu background dia dah tukarlah!”
Teriak kecil Yuni spontan. Cepat-cepat Yuni mengecilkan volume komputer ribanya yang secara tiba-tiba menjerit kuat dari muzik yang datang dari laman blog itu.
Lagu band mana ni ya? Band Indonesia rasanya. Rancak tapi best! Seronok pula Yuni melayan lagu itu. Dipetik-petik jarinya sambil mulut comelnya terkumat-kamit mendendangkan sama.
Segera Yuni membuka tetingkap baru bagi mencari lirik lagu itu pula. Gigih sungguh perempuan ini. Berkerut-kerut dahinya menaip perkataan ‘lirik Jatuh Cinta Lagi’ di laman Google. Sebaik sahaja matanya menangkap result carian yang bertepatan, pautan itu diklik pantas. Satu laman lirik-lirik lagu yang memaparkan lirik lagu ‘Jatuh Cinta Lagi’ terbuka di hadapan mata. Tidak puas dengan itu, dicetaknya pula.
Nama Band: Matta
Judul Lagu: Jatuh Cinta Lagi
Pertama kumelihat mu bergetar rasa hatiku,
Berdebar-debar jantungku mungkin kusuka padamu
Ketika kumelihatnya berdetak-detak di dada,
mungkin itu suatu pertanda bahwa kusuka padanya
Dia atau dia,
kupilih yang mana,
aku pusing, untuk memilihnya
(Korus)
Jatuh cinta lagi,
lagi-lagi kujatuh cinta,
aku jatuh cinta,
kepada setiap wanita
Jatuh cinta lagi,
lagi-lagi kujatuh cinta,
harus bagaimana,
kubingung memikirkannya
Layaknya seorang pria kucoba untuk setia,
mencintai satu wanita tetapi aku tak bisa
Dia atau dia, yang harus kucinta,
aku pusing untuk memilihnya
Ralit Yuni menyanyi-nyanyi riang sambil kepalanya ke kiri ke kanan mengikut alunan muzik. Sungguh comel Yuni dengan matanya tertutup rapat menghayati lagu. Tidak sedar akan Berry yang sudah terpacul di muka pintu bilik pejabat Yuni yang memang terbuka semenjak tadi.
“Wah! Wah! Wah...! Bukan main Si Rabbit berangan! Hahaha...”
Gelak besar Berry melihat keletah Yuni. Merona merah wajah Yuni menahan malu.
‘Macam mana aku boleh tak perasan mamat ni tercegat depan aku?’ Getus hati Yuni geram.
“Nah, air kotak Milo dengan enam biji karipap untuk Rabbit kesayangan aku. Eh, bukan ke rabbit sepatutnya makan lobak saja?”
Berry sekadar menyakat. Yuni menerima bungkusan plastik dari tangan Berry seraya mencebikkan mulutnya. Panjang muncungnya.
“Lah, semua karipap kentang ke? Karipap sardin tak ada ke?”
“Dah habis. Makcik Sakinah kata dia ada nampak kau datang ofis awal pagi tadi tapi bukan nak singgah pun kafe bawah tu. Waktu tu, panas-panas lagi karipap sardin kesukaan kau tu. Sekarang dah pukul lapan dua puluh minit pagi, semua kuih-muih dah habis. Padan muka!”
“Wekkk...”
Yuni memuncungkan mulut lagi pada Berry. Geram Berry melihatnya. Mahu saja diciumnya gadis itu.
Usia persahabatan mereka baru dua tahun. Namun persahabatan mereka cukup sekadar sebagai kawan sepejabat. Tidak lebih daripada itu. Banyak kali Berry mengajak Yuni keluar berlibur di luar bersama-sama namun ditolak secara baik oleh Yuni.
Berry bertugas sebagai ketua pegawai pemasaran di Muzika Entertainment. Segala urusan keluar masuk instrumen-instrumen muzik antara pembekal dan pelanggan adalah di bawah tanggungjawabnya. Setiap tahun lelaki itu perlu mencapai target jualan yang tinggi dan perlu memastikan staf pemasaran di bawahnya turut mencatat jualan yang baik juga.
Bermula sebagai seorang pegawai pemasaran di peringkat rendah dan kini menjawat tugas ketua, Berry sudah masak dengan perangai sebahagian besar pelanggan yang berkunjung ke showroom Muzika Entertainment. Ada yang datang berjam-jam lamanya mencuba gitar, bertanya spesifikasi itu ini tetapi belinya tidak.
Ada pula yang sudah meletakkan deposit lebih seribu ringgit untuk sebuah piano yang berharga mencecah RM4000 tetapi berubah fikiran tidak jadi membelinya. Malah menuntut pula wang deposit itu dikembalikan.
Paling tidak dapat dilupakan oleh Berry ialah peristiwa setahun lepas apabila ada sebuah studio jamming yang baru dibuka oleh dua remaja lelaki yang mahu membeli kelengkapan instrumen muzik bagi melengkapkan studio mereka.
Punyalah bersemangat Berry mencadangkan apa yang perlu dan apa yang tidak perlu, berserta quotation harga yang minimum. Namun bila sampai masa, mereka kata premis studio mereka terbakar. Mujur instrumen-instrumen muzik seperti set amplifier berjenama Hartke, set pembesar suara berjenama Wharfedale Pro dan beberapa buah gitar handmade yang dibeli belum dihantar ke studio mereka yang terbakar itu.
Atas dasar kemanusiaan, Berry menerangkan pada pihak pengurusan Muzika Entertainment apa yang telah berlaku dan syarikat memulangkan RM20,000 kepada dua remaja lelaki terbabit. Macam-macam!
“Kau tak ada bilik sendiri ke Berry? Sibuk je tiap pagi melepak dalam bilik aku sampai pukul sembilan. Huh!”
“Amboi! Terima kasih pun tak susah payah kita beli dia sarapan, dihalaunya pulak kita. Tiap pagi aku nampak kau datang ofis awal dan setiap kali itulah kau menghadap Internet. Website apa yang kau buka?”
“Blog...”
Ringkas jawapan Yuni. Segera Yuni menekan butang close apabila dirinya nampak bayangan kepala Berry di skrin komputer ribanya, cuba mengintai laman blog yang dibuka itu. Namun Berry berjaya menangkap sepotong nama – PRIASETIA. Habislah Yuni jadi bahan!
“Blog lelaki Indon mana kau bukak tu? Oh... inilah kerja kau ya setiap pagi datang awal ofis sebab nak menghadap blog. Aku inform Abang Mizi.”
Sakat Berry lagi sambil berpura-pura membuat muka serius. Mizi adalah majikan mereka semua di Muzika Entertainment. Namun Muzikers memanggilnya dengan gelaran abang, tidak berencik-encik. Lebih santai menurut Mizi.
“Alah, aku bukak blog pun bukan dalam waktu kerja. Time awal pagi dengan time lunch saja.”
Ada getar dalam penjelasan Yuni. Mungkin takut dengan ancaman Berry yang sengaja ingin mengusiknya. Maklumlah, Yuni merupakan Muzikers yang paling muda di situ, asyik kena sakat sahaja apatah lagi dirinya seorang perempuan.
“Oh, itu yang sanggup menghadap blog sampai tak makan tu ya? Pagi petang suruh aku tapaukan. Mujur aku ni lelaki budiman. Hehehe.”
Berry gelak kecil. Puas hatinya dapat menyakat si comel arnab bernama Yuni itu. Dia lantas beredar dari bilik itu memandangkan waktu kerja sudah bermula.
3
Terdapat tiga atau empat poster iklan sebesar saiz A1 yang perlu disiapkan dalam tempoh seminggu. Memandangkan banyak produk baru masuk minggu hadapan untuk dipamerkan di showroom, maka setiap produk terkini perlu ada papan iklan bagi menerangkan kepada pelanggan yang berkunjung tentang spesifikasi dan cara berfungsi gajet muzik tersebut. Yuni menerima tugas itu dengan hati terbuka. Mentelah lagi memang sudah menjadi tanggungjawabnya di bahagian grafik.
Kereta Suzuki Swift berwarna biru metalik sudah pun diparkirkan di hadapan rumah. Dari luar lagi, Yuni sudah terhidu aroma masakan ibunya yang membangkitkan seleranya. Yani amat bangga dengan ibunya. Selain pandai memasak, ibunya juga seorang yang cantik. Yuni mewarisi kecantikan dan ketenangan wajah ibunya yang berkulit putih merah.
“Assalamualaikum Puan Sri. Eh, Tan Sri pun ada...? Tan Sri Tajul Zakaria tak outstation?”
Seri dan Tajul menjawab salam anak mereka dengan senyuman. Yuni berjenaka dengan kedua-dua orang tuanya tatkala menyedari ibu dan ayahnya berganding bahu menyediakan hidangan makan malam di dapur. Aduhai romantis sungguh mereka. Ada rasa syukur menyelinap ke dalam hati Yuni melihat kebahagiaan Seri dan Tajul.
Seri tidak pun berpangkat ‘Puan Sri’, begitu juga dengan Tajul. Yuni memang suka mengusik mereka berdua dengan memanggil gelaran itu. Lebih-lebih lagi nama ibunya Seri, apabila ditambah ‘puan’ di awalannya maka timbullah pangkat ‘Puan Sri’ itu. Senang-senang boleh dapat title tanpa perlu sebarang pengiktirafan atau penganugerahan. Ada-ada saja Yuni.
Tidak mengambil masa yang lama untuk membersihkan diri, Yuni kembali segar usai mandi. Selesai bersolat isyak, Yuni segera menerpa ke dapur ingin menghulurkan bantuan.
“Ada apa-apa yang Yuni boleh tolong, yah?”
“Tolong makan. Mari duduk sebelah ayah.”
Selamba sahaja Tajul memberi respons. Yuni tersenyum lebar. Pelbagai lauk-pauk terhidang di atas meja. Ikan bawal masak kerisik menjadi kepala hidangan. Kerang goreng ada, kerabu mangga pun ada. Cacamerba konsepnya. Namun Yuni tidak pernah kisah walau apa juga konsep masakan mereka sekeluarga, janji menunya menggembirakannya.
Sementara Seri menyenduk nasi ke pinggan mereka anak-beranak, Yuni mula berkerut dahi.
“Aik, tiga pinggan je? Satu lagi mana? Ayoi tak ada dalam bilik dia ke bu?”
Yuni teringatkan adiknya, Azroi yang muda setahun daripadanya.
“Katanya main futsal dengan kawan-kawan.”
Ringkas jawapan Seri menaruh seratus peratus kepercayaan kepada anak tunggal lelakinya itu.
Azroi masih belajar di peringkat diploma, dalam bidang hospitaliti. Tidak seperti Yuni, dalam usia 24 tahun sudah memegang ijazah dalam bidang Teknologi Maklumat pengkhususan kepada Kepintaran Buatan, tetapi cenderungnya tidak pada programming tetapi lebih kepada grafik dan multimedia.
Malah kerjayanya sekarang pun tidak melibatkan programming seperti yang dipelajarinya di universiti.
Azroi agak lewat memulakan pembelajaran di IPTA kerana sebaik sahaja menerima keputusan yang tidak memberangsangkan dalam Sijil Pelajaran Malaysia, lelaki itu bekerja sebagai pelayan di sebuah hotel lima bintang di kota Kuala Lumpur. Katanya mahu mencari pengalaman pada awalnya tetapi dari setahun meleret ke setahun sehinggalah ke tahun yang keenam. Bukan lekat pada satu-satu hotel, tetapi berpindah-randah tempat kerjanya. Dari hotel-hotel di Kuala Lumpur ke hotel-hotel di Shah Alam.
Apabila Yuni bertanya atas alasan apa gemar bertukar-tukar tempat kerja, Azroi tidak pula menjawab. Namun Yuni mengetahui sesuatu tentang adiknya di mana sampai sekarang rahsia itu disimpan dari pengetahuan kedua-dua orang tuanya.
Yuni pernah mendapat maklumat daripada teman-teman adiknya yang memberitahu bahawa Azroi ada masalah disiplin. Pabila ditanya masalah disiplin apa, sepakat teman-temannya menjawab hampir serentak - DADAH!
Nyaris sahaja Yuni tidak terkena serangan jantung ketika mendengarnya. Sejurus mendengar perkhabaran kurang enak tentang Azroi yang keluar dari mulut-mulut bekas teman sekerja adik lelakinya itu, Yuni berkali-kali membuat spot check di bilik Azroi ketika ketiadaannya. Tetapi, gagal menjumpai apa-apa.
Cuma Yuni menyedari perubahan pada diri Azroi, agak kurus dan cengkung lebih-lebih lagi mata putihnya selalu merah. Azroi selalu memberi alasan mata merah sebab berjaga sehingga larut malam. Entahlah. Makin difikir, makin berat kepala Yuni menanggung beban.
Yuni tidak putus memanjatkan doa pada ALLAH SWT agar satu-satunya adik yang dia ada ini tidak terlibat dalam sebarang perkara yang boleh merosakkan masa depan diri sendiri. Insya-ALLAH. Yuni cuba mengumpul semangat!
4
Selepas makan Yuni merehatkan diri di hadapan televisyen. Matanya agak mengantuk, tetapi apabila memikirkan banyak kerja yang dibawanya pulang, dia terus bertahan.
“Amboi, terus berangan lepas kekenyangan. Ayah tengok Yuni bawak banyak barang kerja tadi, tak penat ke bawak balik kerja ke rumah? Kerja biarlah di ofis saja Yuni, di rumah manfaatkan masa yang ada bersama keluarga.”
Yuni mengakui akan kebenaran kata-kata ayahnya. Namun sudah tabiatnya membawa kerja sampai ke rumah.
Mahu cepat siap! Mahu kejar masa! Itulah prinsip tidak sihat yang dipegang oleh Yuni walau berkali-kali disumbat nasihat demi nasihat daripada ibu dan ayahnya.
Seri yang mendengar perbualan antara Tajul dan Yuni mendekati anak-beranak itu.
“Yuni, ibu dengan ayah mahu ke Berlin minggu depan.”
Lebar senyuman Seri menatap pandangan anak gadisnya dengan lembut.
“Ke Berlin? Amboi, bukan main jauh lagi! Melancong?”
“Menyelam sambil minum air...”
“Hah? Menyelam di Berlin? Puan Sri biar betul?”
Ada nada terkejut di situ, namun cuba disembunyikan dengan usikan title itu. Seri dan Tajul gelak serentak.
“Maksud ibu kamu tu Yuni, melakukan dua perkara serentak dalam satu masa. Kami sebenarnya mahu ke sana atas jemputan Dr. Xavier. Alah, kawan ayah yang pernah ke kampung kita di Melaka dulu tu. Ada simposium berkaitan kesihatan.”
Terang Tajul dengan panjang lebar. Tajul mengenali Xavier sejak tiga tahun dulu. Ketika itu Tajul tidak mengetahui Xavier seorang doktor, lebih tepat lagi doktor kecantikan dan kesihatan. Pertemuan yang berlaku secara tidak sengaja.
Pada masa itu Xavier dan isteri berserta anak lelakinya, Richard - seusia dengan Yuni malah boleh berbahasa Melayu kerana isteri Xavier berasal dari Indonesia, datang ke kota Melaka Bandaraya Bersejarah itu untuk melancong. Kejadian kemalangan beca bertembung beca andai dibayangkan dalam kotak fikiran sesiapa jua, bunyinya agak kelakar. Namun itulah yang terjadi dan ekoran kejadian itu merapatkan dua buah keluarga dari dua benua.
Yuni pun masih ingat lagi akan peristiwa lucu itu ditambah lagi apabila mendengar orang putih melatah di hadapan mata.
Jelas terngiang-ngiang di telinganya perkataan, ‘Aduh mak!’ yang terpacul keluar dari mulut Richard. Slanga Inggerisnya yang membuatkan Yuni tidak lupa sampai bila-bila, menahan tawa dalam perut.
Roda beca keluarga Xavier yang dibawa oleh seorang pakcik tua, tertanggal rantainya lantas melanggar beca yang sedang melalui jalan itu dari arah bertentangan yang kebetulan dinaiki oleh Yuni dan Tajul.
Tiga tahun dulu Tajul masih belum pencen, masih bertugas sebagai seorang penyelidik makmal di sebuah syarikat berasaskan minuman bertenaga orang kampung yang telah dikomersialkan ke luar bandar dengan jayanya.
Tertarik dengan kehebatan Eurycoma Longifolia, Labisa Pumila, Piper Betle dan beberapa lagi spesies tanaman herba yang boleh dijadikan sebagai produk minuman isotonic dan kesihatan, Xavier lantas memperkenalkan dirinya sebagai doktor dalam bidang yang sama di negaranya, Jerman.
Antara Dr. Xavier dan Tajul, mereka saling berkomunikasi menerusi e-mel. Malah Dr. Xavier sendiri pernah ke kampung halaman Tajul untuk melihat sendiri dengan lebih dekat apa itu pasak bumi, apa itu kacip fatimah.
“Iyalah simposium berkaitan kesihatan but please be more specific ayah, bu...”
Yuni agak tidak puas hati mendengar penerangan ayah dan ibunya yang dirasakan agak kurang lengkap. Yuni pun tidak tahu kenapa perlu dia beria-ia mahu mengambil tahu.
“Kamu bersungguh mahu tahu tentang simposium atau tentang Richard?”
Tajul mengusik. Serta-merta darah merah berlumba-lumba naik ke muka, bertindak balas dengan pertanyaan Tajul itu tadi. Mujur ada Seri menyelamatkan keadaan. Seakan mengerti perasaan anak gadisnya itu tidak selesa dengan usikan Tajul yang sekadar basa-basi sebenarnya.
“Menurut Auntie Dewi kamu, simposium di Berlin tu nanti berkaitan satu usaha oleh sekumpulan penyelidik termasuk Dr. Xavier sendiri berkaitan sejenis ramuan semula jadi yang diharap dapat menandingi kehebatan Viagra dalam merawat impotens. Rawatan yang dikenali sebagai Plantagrar itu menggunakan koktel tumbuhan Tribulus terrestris dan ekstrak jus anggur. Tapi ibu tak pasti sama ada ramuan tu dikapsulkan atau dalam bentuk cecair seperti minuman tenaga Tongkat Ali yang dipasarkan di sini. Mungkin di sana nanti kami diberi jawapannya.”
Panjang lebar keterangan Seri hingga berkerut dahi Yuni mendengarnya, cuba menghadamkan maklumat. Seri yang tidak punya latar belakang tentang ilmu perubatan herba dan tumbuhan lagaknya seperti pakar di dalam bidang itu. Ke sana ke sini mengikut suaminya, Tajul membuka minda Seri mengenali dunia baru berkaitan herba.
Yuni tergelak kecil tiba-tiba. Rasa lucu mencucuk-cucuk tangkai hatinya. Seri dan Tajul kehairanan.
“Ibu kalau bercakap mengalahkan profesor. Ibu tak kesian ke dengan anak ibu yang terkial-kial nak faham ni?”
Yuni mencebikkan bibirnya seraya disambut gelak tawa Seri dan Tajul.
Mana tidaknya, masing-masing berlainan latar belakang pendidikan. Tajul ke arah phytotherapy, Yuni pula menjurus artificial intelligence dan Azroi dalam bidang hospitality. Itu pun setelah di‘brainwash’ oleh Yuni untuk menyambung kembali pembelajaran yang terkandas sebelum ini.
Pengalaman selama hampir enam tahun bekerja dalam industri perhotelan bagi Yuni, satu kelebihan kepada adik lelakinya untuk meneruskan pengajian dalam bidang itu secara profesional.
Dia sering berdoa di dalam hati mengharapkan Azroi akan berjaya dan lebih fokus dalam kehidupan. Insya-ALLAH.
Tiba-tiba Yuni terfikirkan Richard. Sebenarnya, Yuni sendiri kurang pasti dengan status pegangan agama keluarga Dr. Xavier dan Dewi. Xavier menganut Kristian, Dewi seorang Muslim maka anak tunggal dalam keluarga itu mengikut fahaman yang mana satu? Nama pun Richard, nama Inggeris.
Entahlah. Kusut pula Yuni memikirkan status agama lelaki tampan kacukan Jerman -Indonesia itu.
Namun Richard lebih berat gennya ke arah Asia mengikut gen Dewi, berambut hitam berkilat dan bermata coklat gelap. Cuma susuk tubuhnya yang tegap tinggi lampai dan berkulit putih merah mengidentifikasikan lelaki itu bukan berdarah Asia sepenuhnya.
Hubungan Yuni dan Richard tidak semesra hubungan Tajul dan Xavier. Mungkin kerana mereka berlainan jantina, maka timbul rasa malu untuk Yuni mendekatkan diri dengan anak lelaki teman baik ayahnya itu. Ketidakramahan Richard turut membantutkan hubungan persahabatan di antara mereka.
Apa yang Yuni tahu, Richard punya kekasih hati, gadis dari Malaysia. Barangkali sudah menjadi trend atau memang cita rasa orang putih memilih perempuan Asia untuk dijadikan pasangan. Yuni tidak ambil pusing semua itu.
Bunyi skuter memasuki laman rumah memecahkan lamunan Yuni. Azroi berkemeja petak-petak berwarna biru sedondon dengan skuter birunya, mampir ke arah Yuni.
‘Monyok aje muka adik aku ni,’ tukas Yuni di dalam hati.
“Ibu kata kau main futsal. Dah makan?”
“Kak Yun, Ayoi nak pinjam duitlah...”
Belum sempat masuk ke dalam rumah malah pertanyaan Yuni pun tidak dijawabnya lagi, Azroi sudah buat muka ‘seposen’ di hadapan kakaknya.
“Duit? Berapa banyak kau nak pinjam?”
“Tak banyak... lima ratus aje. Please sis...”
Ayoi sedikit merayu dengan mimik muka penuh mengharap. Terkasima Yuni mendengar amaunnya. Bukan tidak mampu, tetapi fikirannya sudah terlintas imej-imej yang tidak baik. Dipujuk akalnya untuk tidak berfikir yang bukan-bukan.
“Kau nak guna duit banyak tu buat apa? Beli buku? Bukan ke loan masuk setiap semester?”
Bertubi-tubi Yuni menggasak dengan soalan. Agak tinggi nada suaranya.
“Pinjamkan jelah kak, jangan banyak soal macam mak nenek pulak! Nanti Ayoi bayarlah balik!”
Raut wajah Azroi sudah mencuka. Hilang mimik muka separuh merayunya sebentar tadi. Nampak sangat Azroi sekadar berlakon untuk memancing simpati Yuni.
“Iyalah, akak boleh pinjamkan tapi akak berhak tanya duit tu kau nak gunakan atas urusan apa? Mahu beli dadah?”
Yuni tidak mampu mengawal diri. Terus dia berserkap jarang! Berat tuduhan Yuni ke atas adiknya itu. Azroi naik darah kerana ditembak dengan pertanyaan tersebut.
“Kak Yun jangan memandai-mandai nak menuduh pulak!!!”
Azroi merempuh masuk ke dalam rumah tanpa mempedulikan Yuni yang masih tercegat di muka pintu. Terhuyung-hayang tubuh Yuni ke belakang diasak sebegitu. Yuni beristighfar di dalam hati, menahan sabar.
Api andai dilawan dengan api, marak jadinya. Yuni menarik nafas sedalam-dalamnya. Sikit-sikit memberontak, getus Yuni seorang diri. Kelibat Azroi sudah tidak kelihatan lagi sebaik meluru masuk ke bilik yang tertulis ‘No Woman Allowed’ di pintunya.
5
Tajul dan Seri sudah dua hari berada di Berlin menghadiri Anthropology of Beautyism: Body & Mind Symposium 2009. Acara itu berlangsung selama dua hari sahaja, selebihnya Tajul dan Seri mahu menghabiskan masa berdua melancong ke tempat-tempat menarik di Jerman. Dalam usia emas sebegitu, kasih sayang di antara mereka makin kukuh dan utuh.
“Ayah jangan lupa belikan dozens of postcards untuk Yuni tau. Yuni mahu poskad ada gambar Charlottenburg Palace, Potsdamer Platz, Brandenburg Gate... pendek cerita semua landmark kat sanalah. Hehehe...”
Setiap kali Tajul menelefon, itulah pesanan Yuni pada Tajul. Sudah menjadi kelaziman, setiap kali ibu ayahnya keluar negara bercuti, poskadlah yang Yuni minta.
Koleksi poskadnya sudah berkotak-kotak disimpan dengan baik. Andai mereka satu keluarga bercuti, pasti Yuni mengheret kedua-dua orang tuanya singgah ke kedai cenderahati untuk memborong poskad sebelum pulang ke tanah air.
Pernah satu ketika di mana mereka empat beranak bercuti di Canberra, berpeket-peket poskad negara kanggaru itu dibelinya. Terkasima pemilik kedai cenderahati tersebut melihat kerenah pelancong dari Malaysia itu.
Yuni memandang kosong banglo hasil perkongsian pasangan bahagia Tajul dan Seri yang tersergam indah dari luar. Sunyi sahaja suasana di dalamnya. Timbul pula rasa terpinggir menjeruk hatinya tatkala keseorangan.
Ibu ayahnya sudah keluar negara, seminggu dua lagi baru pulang. Adik lelakinya pula bagaikan panas punggung andai melekat di rumah itu. Tidak sampai 15 minit, sudah lesap entah ke mana. Andai ditegur, mulalah memberontak. Jam 2-3 pagi barulah nampak batang hidung.
“Priasetia!”
Spontan terpacul nama itu dalam ingatan Yuni. Sudah lima hari rasanya (sambil Yuni menghitung menggunakan jari) dia tidak menjengah laman blog kesukaannya itu. Ini gara-gara deadline task di Muzika Entertainment yang perlu diberikan fokus dan keutamaan terlebih dulu.
Alhamdulillah, semua siap sepertimana yang dikehendaki oleh bahagian pemasaran. Berry juga kelihatan gembira melihat hasil grafik ‘rabbit’nya itu yang kini dalam proses pencetakan sebelum dipamerkan dalam showroom Muzika Entertainment.
Yuni sudah menaip url http://priasetia.blogspot.com. Laman blog yang wujud semenjak tahun 2007 itu sudah bertukar templatenya malah latar yang lima hari lalu berwarna hijau lembut sudah bertukar menjadi hitam kelam.
Kalau lima hari lalu, lagu rancak ‘Jatuh Cinta Lagi’ menjadi lagu tema blog tersebut, namun kini lagu ‘Cobalah Untuk Setia’ dendangan diva Indonesia, Kris Dayanti.
‘Aku hafal lirik lagu ni,’ desis hati Yuni. Lagu sedihlah pulak, desisnya lagi.
Yuni merupakan pembaca setia blog (atau lebih tepat lagi sebagai ‘silent reader’) Priasetia sejak awal kemunculannya. Walaupun identiti Priasetia tidak diketahuinya kerana dalam setiap entri yang ditulis oleh lelaki itu tidak pernah sekalipun memaklumkan namanya yang sebenar dan gambar-gambar yang dimuat naik dalam blog itu tidak pernah memaparkan gambar empunya tuan blog itu sendiri.
Blog lelaki bergelar Priasetia itu bagi Yuni sangat istimewa kerana penulisannya kedengaran jujur dan luhur sekali. Kadangkala Yuni merasakan Priasetia terlalu peka orangnya dan sensitif jiwanya.
Jika ada entri yang menceritakan dirinya dalam kegembiraan, Yuni turut merasa kebahagiaannya dan jika ada entri yang menceritakan dirinya dalam kesedihan, terpalit rasa pedih di jiwa Yuni seolah-olah berkongsi perasaan yang serupa. Sampai begitu sekali!
Aku lali mendengar kata-kata ‘setiap yang berlaku nescaya ada hikmahnya’. Mana hikmahnya? Bersembunyi dari aku? Mungkin bunyinya agak skeptikal atau jelas benar aku seperti sudah putus harap tetapi itulah realiti. Bukan mahu pesimistik tetapi tidak salah jika aku menjatuhkan hukuman ni ke atas semua kaum Hawa. Hipokrit! Marahku pada Dewi Krisya masih belum luput walau sudah berpuluh-puluh tahun berlalu... kini dendamku kepada perempuan meluap kembali.
Dewi Krisya? Siapa pulak tu? Yuni berbisik seorang diri di hadapan skrinnya. Sempat lagi Yuni mencapai bertih jagung madu yang disimpan di dalam balang kaca berbentuk silinder di meja komputernya. Mengunyah perlahan-lahan. Lagaknya seolah-olah di dalam panggung wayang! Asyik sungguh Yuni membaca entri terbaru Priasetia.
Perangai Lola Kesandra saling tak tumpah dengan perangai Dewi Krisya. Kedua-dua mereka persis seekor kucing Persian! Terlalu manja dengan manusia sekeliling dan rela diri dibelai, diusap, didukung oleh sesiapa jua! Menjilat-jilat bulu yang lebat setelah puas dan kekenyangan diberi makan. Mengiau lembut dan tertidur di kamar mewah.
Aku masih ingat lagi ketika usiaku baru menginjak tujuh tahun. Petang itu dada langit berlaku gerhana matahari. Kejadian alam yang seakan-akan simbolik pada kehidupanku yang turut dilanda gerhana. Aku baru balik dari bermain bola di padang. Kerna suasana sudah gelap, aku senyap-senyap masuk ke rumah menggunakan pintu belakang. Takut kelibatku dikesan Dewi Krisya yang garangnya bukan kepalang. Aku cepat-cepat menyusup ke dalam kamar mandi membersihkan diri.
Detik itulah pendengaranku menangkap satu bunyi. Pelik bunyinya. Terjengket-jengket kaki aku mampir ke arah bunyi itu. Datangnya dari kamar beradu Dewi Krisya. Makin diamati, makin lantang bunyinya. Aku cuba menolak daun pintu perlahan-lahan. Sedikit terbuka. Penglihatanku tidak jelas kerana kamar itu tidak dipasang lampunya. Bergelap. Akan tetapi, aku bisa melihat ada dua tubuh manusia sedang berhimpit-himpitan di dalam kelambu mewah itu. Aku kenal suara Dewi Krisya. Bunyi aneh itu datangnya dari perempuan itu. Hati aku sangat kuat debarannya.
Alamak! Sampai situ je, keluh Yuni. Bagaikan membaca e-novel pula lagaknya. Siapa pula Lola Kesandra? Yuni dapat menangkap apa yang cuba disampaikan Priasetia menerusi perenggan terakhir entri lelaki itu. Dari gaya bahasanya, Yuni membuat kesimpulan yang Dewi Krisya melakukan maksiat di hadapan mata Priasetia. Namun, apa hubungan mereka?
Yuni gigih membelek-belek older post di laman blog Priasetia. Tiada pula nama Lola Kesandra atau Dewi Krisya disebut-sebut dalam blognya sebelum ini. Cuma apa yang Yuni tahu, Priasetia rapat dengan bapanya yang selalu dipanggil ‘daddy’ sepertimana yang tertaip pada beberapa entri terdahulu.
Yuni meraba-raba bertih jagung madu dalam balang kaca yang sudah habis dimakannya tanpa sedar. Mata ralit membaca dan dalam masa yang sama mulut laju mengunyah.
Balang kaca kosong itu hampir terlepas dari genggaman bila mendengar bunyi pintu terkatup kuat di luar. Azroi sudah pulang. Detik 10:14 minit malam. Segera Yuni berlari menuruni tangga ke tingkat bawah.
“Ya ALLAH, Ayoi!!!”
Yuni menjerit kuat. Azroi sudah tersembam di muka lantai. Tubuh badan lelaki itu menggigil-gigil menggelupur. Yuni yang tidak segagah mana, sedaya upaya memapah tubuh adiknya dan diletakkan atas sofa panjang di ruang tamu rumah tersebut.
‘Apa dah jadi dengan adik aku ni?’ Yuni hilang punca.
Yuni berlari ke biliknya mengambil telefon bimbit. Siapa yang nak aku hubungi? Dalam keadaan cemas seperti itu, Yuni mati akal. Masakan mahu menghubungi ayah dan ibu di Berlin? Kalau diberitahu sekalipun, penerbangan dari Berlin Tegel Airport ke KLIA memakan masa beberapa jam.
Yuni bertawakal di dalam hati. Dia berlari sekali lagi, namun kali ini ke dapur pula. Dia mengambil tuala bersih di kabinet dan direndamnya dalam bekas plastik berisi air suam. Dia segera meletakkannya ke atas meja ruang tamu dan kemudian kelam-kabut berlari pula ke bilik Azroi untuk mencapai selimut tebal dan bam gamat pandan.
Yuni menyelimuti tubuh badan Azroi. Tuala yang direndam tadi diperah dan ditekapkan ke muka Azroi beberapa ketika. Hilang haba panas itu, diulanginya lagi berkali-kali sehingga badan Azroi tidak lagi menggigil kuat seperti tadi.
Yuni mencuit sedikit bam gamat pandan dan meletakkan di hidung Azroi. Tujuannya supaya Azroi dapat sedar kembali apabila terhidu aroma yang kuat dari bam tersebut.
Kelopak mata Azroi terbuka setengah. Redup sahaja pandangannya. Tidak larat sebenarnya, tetapi tetap digagahkan diri cuba duduk menyandar di sofa itu. Diselubung badannya dengan selimut kemas-kemas.
Yuni cuba membantu, tetapi ditolak tangan kakaknya itu. Sakit-sakit pun masih begini perangainya, getus Yuni geram.
“Kenapa ni? Kena pukul dengan samseng? Selak baju kau, akak nak tengok. Mana tahu lebam sana sini.”
Yuni bertegas. Azroi tetap membatu.
“Sebab akaklah, Ayoi jadi camni!!! Hari tu orang nak pinjam duit, kedekut sangat!”
“Kau tak beritahu untuk tujuan apa, mana boleh senang-senang akak nak kasi.”
“Ayoi pinjam duit kawan beli barang tapi tak mampu nak bayar balik...”
“Barang apa???”
6
Tajul dan Seri sudah kembali dari Berlin. Sudah dua hari mereka berada di rumah, tidak ke mana-mana. Hanya merehatkan diri dari perjalanan yang jauh tetapi menyeronokkan.
Seri bercakap tidak henti-henti seolah-olah tiada esok lagi. Sekecil-kecil perkara sehingga sebesar-besar isu yang dibincangkan sepanjang simposium itu pun dilambakkan kepada Yuni selaku pendengar setia – sekadar mendengar, memahami belum tentu.
Andai diikutkan hati, ingin sahaja Yuni memaklumkan kejadian yang menimpa Azroi malam beberapa hari lalu tanpa berlengah lagi. Namun tidak sampai hati pula apabila melihat ibunya yang begitu bersemangat bercerita itu dan ini.
“Yuni nak tahu, tribulus terrestris dan ekstrak jus anggur yang dijadikan bahan kajian para penyelidik di sana tu akan ditinkan dalam bentuk minuman dan akan berada di pasaran Eropah tahun 2010. Ayah kamu dah minum. Sedap katanya! Macam minum Ribena. Tapi kesannya, badan rasa panas sikit dan bertenaga. Tak ubah macam ginseng tongkat ali, cuma tongkat ali rasanya berbeza.”
“Ibu kalau bercakap macam dia pulak pernah minum tongkat ali. Hehehe...”
Yuni lantas melambakkan tawanya.
“Untuk kaum perempuan macam kita tak ada ke Puan Sri?”
Tanya Yuni apabila tawanya reda.
“Eh siapa cakap tak ada. Dr. Xavier siap kasi ibu minum, tau! Kalau di sini orang panggil kacip fatimah, di sana orang panggil Krisya Juice. Padahal kandungan dalam minuman tu sama saja...”
Krisya Juice? Seakan pernah hadir perkataan itu dalam perbendaharaan kata mindanya. Melirik mata Yuni memandang jam di pergelangan tangannya. Sudah jam 7:50 minit pagi. Bergegas Yuni menghabiskan secawan Milo yang sudah hilang panasnya ekoran mendengar ceramah kesihatan ibunya di pagi hari.
Roti bakar ibunya dicubit sedikit lalu masuk ke dalam mulut sebagai syarat. Yuni bersalam dengan ibunya. Dahi Seri diciumnya lembut. Kelibat Tajul tidak pula kelihatan, barangkali masih terlelap selepas menunaikan solat subuh awal pagi tadi. Kekalutan ingin segera tiba di Muzika Entertainment membuatkan dirinya terlupa akan dua perkara. Pertama tentang Azroi, kedua tentang Krisya Juice.
“Bismillahirahmanirahim...”
Sementara menunggu enjin keretanya panas, mulut Yuni sudah terkumat-kamit membaca doa naik kenderaan di dalam hati. Amalan itu bagaikan sudah sebati dalam dirinya acap kali mahu mula memandu.
Yuni sampai di Muzika Entertainment lima minit sebelum waktu operasi perniagaan bermula. Yuni lantas meluru ke bilik pejabatnya dan meletakkan beg komputer riba yang digalasnya ke atas meja.
Sedikit senaman bahu dilakukannya berulang kali sebelum mata tertancap pada satu plastik di tray in. Aroma karipap sardin sudah menerawang masuk ke deria baunya. Ada nota kecil tertampal di plastik itu.
‘Rabbit lambat! Wekkk!’
Yuni tersengih lebar.
‘Ada-ada saja Berry ni...’
Terbit ceria dalam hati Yuni. Belum sempat mahu menjamah, terdengar bunyi ketukan di pintu. Eliza menyeringai di muka pintu.
“Masuklah Liz. Yuni tak bismillah lagi, awak dah masuk ya. Efisien betul Muzikers ni.”
Ada gelak kecil di hujungnya. Eliza kurang pasti sama ada Yuni memerlinya atau memujinya.
Eliza merupakan front line (sebab duduknya di kaunter pembayaran) di Muzika Entertainment. Skop tugasnya bukan sekadar sebagai cashier, malah gadis itu bertanggungjawab meneliti aliran keluar masuk kewangan di syarikat itu. Andai ada aktiviti aliran keluar wang pejabat, Eliza akan menyediakan laporan untuk dihantar pada Abang Mizi untuk disemak.
“Maaflah, pagi-pagi lagi dah kacau Yuni. Abang Mizi, bos kita tu tanya pada Liz kelmarin tentang kos pencetakan poster-poster iklan yang Yuni buat tempoh hari. Dia tanya kenapa mahal sikit berbanding sebelum ni. Yuni berurusan dengan Digix Printing lagi atau sudah dengan kompeni lain?”
“Oh tentang hal tu rupanya. Yuni masih dealing dengan Digix Printing, cuma kosnya up sikit sebab Yuni guna glossy paper pada poster-poster tu. Tak apa-tak apa... nanti Yuni buat checklist setiap bahan berserta harga, then you can attach it with your report, okay dear.”
Lega Eliza mendengar jawapan Yuni yang sentiasa senyum bila berbicara. Eliza berlalu pergi dan berselisih dengan Berry yang mahu masuk.
“Thanks for the curry puff...”
“Welcome dear. Lambat kau hari ni? Selalu sebelum jam lapan dah tercongok depan komputer.”
“Aku lambat tapi bukanlah sampai terlewat. Ada beza di situ, ya. Hehehe. Orang tua aku baru balik dari Jerman. Melayan mereka bersembang awal pagi hingga tak sedar masa berlalu.”
“Wow! Jerman? Any gift for me? Key chain maybe?”
“Sorry Berry... Orang tua aku hadiri simposium di sana, bukan berjalan sangat. Poskad yang aku pesan pun sekadar sepeket je. Geram tau!”
“Tetap kan, kau! Tak habis-habis dengan poskad dia. Nanti kau bukak muzium poskadlah kat Kuala Lumpur ni. Hehehe...”
Sambil bersembang, sudah dua biji karipap sardin Yuni jamah. Suka benar dia dengan karipap sardin. Kalau inti lain, tidak begitu digemarinya.
“Yuni, kau dah bukak e-mel ofis?”
Yuni menggeleng. Komputer ribanya dihidupkan. ‘Apa sajalah yang penting sangat tu,’ fikir Yuni.
“Oh tentang ini ya... Ada sebulan lebih lagi, kan? Jenuhlah aku nak siapkan brosur berpuluh-puluh keping to tell the youngster.”
Beberapa bulan dari sekarang, Muzika Entertainment akan menerima kunjungan tetamu istimewa dari Amerika, Rasheed X yang merupakan pemain gitar terkemuka di sana. Beliau akan berkunjung ke showroom Muzika Entertainment dan pada masa itu nanti beliau akan mengadakan bengkel bermain gitar di tingkat satu dalam bangunan Muzika. Hanya 50 orang anak muda yang berbakat dalam bermain gitar akan dipilih untuk menyertai sesi bengkel selama sejam itu.
Tugas Yuni adalah untuk menyediakan brosur yang akan menguar-uarkan kehadiran Rasheed X di Muzika Entertainment berserta borang pendaftaran kepada remaja yang berminat untuk menyertai.
Kebiasaannya, Yuni sudah selesa berurusan dengan ICOM – International College of Music yang terletak di Jalan Pahang Kuala Lumpur. Sebarang aktiviti berkaitan muzik yang dianjurkan oleh Muzika Entertainment, ramai pelajar dari kolej muzik itu yang turut serta turun padang. Yuni hanya perlu berjumpa dengan pihak pengurusan dan menyampaikan brosur-brosur itu kepada mereka untuk diserahkan kepada para pelajar.
“Orang Amerika tapi kenapa namanya Rasheed X? Islam ke dia, Berry?”
“Yup, he’s Muslim. Kau ni Yuni... kalau bab mereka grafik, hebat! Tapi bila bercakap tentang muzik zero.”
“Wah bukan main kata aku zero muzik, ya? Manalah aku tahu tentang muzik ni, Berry. Aku tahu mereka apa yang diminta untuk direka. Nama pun pereka, kan? Oh ya, ada softcopy gambar pemain gitar tu? Senang aku design nanti...”
“Abang Mizi ada attachkan sekali dalam e-mel tu. Cuba kau klik pautan imej...”
Yuni menggerakkan kursornya. Mengambil masa sedikit lama untuk dimuat turun berikutan saiz imejnya yang agak besar.
Downloading finished – terpapar di skrin komputer riba Yuni. Imej jpeg itu dikliknya pantas.
“Hey, Richard!!!”
7
Jeritan Yuni membuatkan Berry yang duduk di hadapannya tersentak. Berry menjenguk kepala menghadap skrin komputer riba Yuni.
“Richard? Who’s Richard? He’s Rasheedlah...”
“No no... he’s Richard! Aku kenal lelaki ni, Berry!”
Bersungguh-sungguh Yuni cuba meyakinkan Berry. Mata Yuni tidak lepas memerhati penuh teliti imej lelaki yang diyakininya sebagai Richard itu. Berambut hitam berkilat akan tetapi mata coklat gelapnya tidak kelihatan dek memakai kaca mata hitam di dalam imej berdimensi 2485 x 1756 piksel itu. Sekali imbas, Yuni sudah mengecam figura lelaki tersebut walaupun imej itu imej pegun. Mentol akal Yuni berkelip mendapat idea. Laman sesawang Google dibukanya. Dalam ruang carian, dia menaip nama Rasheed X dan klik pada ‘images’.
Sesaat dua, terpapar hasil carian.
‘Punyalah ramai dalam dunia ni nama Rasheed!’
Getus hati Yuni tatkala melihat lambakan imej seluruh dunia yang memaparkan gambar lelaki bernama Rasheed. Tetapi dalam banyak-banyak itu tidak ada satu pun Rasheed X yang dicari. Yuni mengeluh.
Jika ada, boleh Yuni memastikan sama ada Rasheed X adalah Richard ataupun tidak. Ini kerana imej yang di-melkan Abang Mizi, lelaki itu memakai kaca mata hitam dan wajahnya memandang ke sisi.
Tiba-tiba Yuni mula tidak pasti akan kesahihan tekaannya tadi.
“Kau kata dia pemain gitar terkenal di Amerika, bukan? Masakan tak ada gambar dia dalam Internet?”
“Rasheed X baru setahun dua terkenal di sana. Itu pun setelah dia berkolaborasi dengan Sting, musician yang pernah menang Grammy tu untuk projek filem animasi Bee Movie sekitar tahun 2007. Rasheed X ada sumbangkan lagu untuk soundtrack filem tu. Dari situ, dia dikenali. Kejap... kejap, aku penat menceceh semua ni, kau tahu ke Sting tu siapa? Kaukan zero muzik. Hahaha... Lagi satu, Richard tu siapa pulak?”
Tiada respons dari Yuni. Tidak berkutik pun hati gadis itu dengan usikan berbaur perlian Berry. Otaknya ligat berfikir itu dan ini.
Jika benar Rasheed ini adalah Richard, maka dia anak kepada Dr. Xavier, kawan baik ayahnya sendiri, Tajul. Tetapi kenapa jauh benar menyimpang latar belakang mereka anak-beranak? Dr. Xavier seorang doktor, mana mungkin Richard pula seorang pemuzik?
Mungkin bunyinya agak tidak logik tetapi bila memandang akan diri sendiri, Yuni seakan boleh menerima teori yang dibuatnya. Sedangkan dirinya seorang pereka grafik tetapi Tajul. ayahnya pula seorang penyelidik di makmal. Dua dunia berbeza.
Argh! Kenapa perlu beratkan kepala memikirkan semua ini? Yuni tersandar di kerusi pejabat sambil memicit-micit dahi walaupun tidaklah pening sebenarnya. Sekadar tindak balas spontan tika berfikir.
“Okeylah Yuni, aku balik bilik aku. Jangan lupa siapkan brosur tu. Karipap tu jangan lupa habiskan. Ada empat ketul lagi tu. By the way, nanti dua puluh lima April datang Rasheed X tu kat sini, kau jangan terlopong pulak tengok mamat tu perform. Ni baru tengok gambar, dah tak berkelip mata tu! Hahaha...”
“Wekkk!”
Yuni menjuihkan mulut kepada Berry yang sudah pun angkat kaki. Berry seperti biasa kalau tidak pukul 9 pagi, usah harap akan tinggalkan bilik Yuni. Suka benar lelaki itu bersembang dengan Yuni dan gadis itu hendak tidak hendak, terpaksa melayan.
Ternyata hari ini hari yang penuh misteri bagi Yuni. Dari rumah hinggalah ke pejabat, ada saja poin-poin yang mendesak kepalanya untuk tidak berhenti berfikir. Yuni cuba mengingati kembali akan perkara-perkara yang berlegar dalam mindanya sehari dua ini.
Azroi yang dibelasah sampai lebam-lebam perutnya. Siapa memukul dan kenapa adiknya dipukul, masih menjadi rahsia.
Minuman Krisya Juice yang dicipta Dr. Xavier juga masih menjadi tanda tanya. Kini timbul pula Rasheed X yang wajahnya persis Richard, anak kepada Dr. Xavier. Lepas ini, apa pula yang bakal menyusul tiba?
Yuni memejamkan mata rapat-rapat apabila matanya terlihat silau tiba-tiba. Berdepan skrin komputer riba terlalu lama memang tidak baik untuk kesihatan mata.
Yuni mencapai Eye Mo Moist dan dititisnya pada bebola mata. Segar. Tiada silau lagi.
Masa untuk bekerja. Doa melakukan kerja dibacanya di dalam hati. Rajin benar Yuni mengamalkan doa-doa seperti ini. Seri yang melatihnya semenjak kecil lagi.
Ibunya sering menasihati Yuni. Katanya kalau sunnah nabi yang besar-besar kita tidak berupaya mengikutinya, mengikut sunnah nabi yang kecil-kecil seperti berdoa ini pun tidak apa. Besar rahmatnya.
“Ya ALLAH ya Tuhanku, aku memohon kepada-Mu akan kebaikan pada pekerjaan ini dan apa-apa kebaikan yang ada padanya. Dan aku berlindung kepada Engkau dari keburukan pada pekerjaan ini dan apa jua keburukan yang ada padanya.”
8
Nestor International College of Hospitality Tourism – di sinilah Yuni mendaftarkan nama Azroi sebagai pelajar bagi mengikuti pengajian peringkat diploma. Azroi pada awalnya menghamburkan bermacam-macam alasan untuk mengelak. Otaknya sudah beku untuk menerima pelajaran lagi.
Ketegasan Yuni atau lebih tepat lagi ugutan Yuni menyebabkan Azroi rela dalam paksa bergelar pelajar semula setelah hampir enam tahun, mengusik buku pun tidak pernah.
“Ayoi kalau tak mahu sambung belajar, akak akan minta ayah tak payah lagi kasi elaun bulanan... Nak macam tu?”
“Mana adil macam tu, kak! Belajar mana boleh paksa, kak!”
“Wah! Pandai Ayoi menjawab, kan? Kalau tak paksa, Ayoi mahu sampai bila jadi penghidang minuman orang? Dalam enam tahun Ayoi bekerja, ada Ayoi menyimpan? Akak tengok, skuter tu sajalah dari dulu sampai sekarang aset Ayoi. Ayoi tak ada inisiatif untuk majukan diri sendiri? Tak malu tengok kawan-kawan lain sebaya Azrul dah di tahun akhir ijazah?”
“Akak ingat dengan paksa Ayoi untuk belajar, Ayoi boleh berjaya? Membuang duit ayah je beribu-ribu ringgit tampung pengajian Ayoi dan penghujungnya kecundang juga.”
“Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih, dik! Jadilah manusia yang berfikiran terbuka dan sentiasa memandang positif!”
“Akak cakap senanglah! Akak pandai, Ayoi bodoh! Sebab tu ibu ayah sayang akak lebih. Apa-apa saja mesti akak yang didulukan. Ayoi ni tak tahulah sampai bila mahu dipandang ibu ayah! I do not feel i’m in this family anymore!”
“How could you, Azroi! Sampai hati cakap macam tu pada ibu ayah! Mereka tak pernah beza-bezakan kita adik-beradik. Ayoi yang buat telahan sendiri. Ayoi yang selalu mengasingkan diri dari kami. Bila tanya ada masalah ke tak, Ayoi senyap terperap dalam bilik! Lepas tu kalau ditegur, terus keluar rumah jumpa kawan-kawan. Tell me, with that attitude how can I understand my own brother?”
“Bisinglah akak ni!”
“Hah, dah kalah? By hook or by crook, minggu depan Ayoi sambung belajar. Akak dah daftarkan nama Ayoi di kolej tu. Kos pengajian tak payah risau, akak dah berbincang dengan ibu ayah dan mereka dengan senang hati ingin melihat anak tunggal lelaki mereka ni berjaya. Ayoi ke sana hanya perlu belajar saja. Kalau perkara sekecil itu pun Ayoi tak boleh buat, tak tahulah akak!”
“Mumbling nanny! Elaun poket dapat tak?”
“Three hundred every month, satisfy?”
Azroi akhirnya mengalah.
‘Tak lama mana pun, cuma dua tahun dan setiap bulan duit tetap masuk dalam poket aku. Walau tak banyak, tapi bolehlah dari satu sen pun tak dapat nanti...!’
Azroi mengomel seorang diri cuba menyedapkan hati.
Azroi baru sahaja selesai kelas subjek elektif Introduction to German. Seorang pensyarah berdarah Dutch yang mengajar subjek itu menggunakan dwibahasa, Inggeris dan Jerman sepanjang kelas berlangsung. Menurut Mrs Adora, bahasa Jerman dan bahasa Belanda ada sedikit persamaan kerana bahasa Belanda adalah sebahagian daripada bahasa Jerman itu sendiri. Satu rumpun.
Mrs Adora membuka cerita tentang maksud di sebalik namanya sendiri. ‘Adora’ merupakan istilah Jerman kuno yang membawa maksud penyayang dan dipuja. Azroi tersengih mendengarnya. Bertepatan nama Adora itu dengan keperibadian pensyarah wanita tersebut. Azroi menyenangi Mrs Adora kerana pensyarah itu begitu santai dalam mendidik, tidak keras metodenya seperti tenaga pengajar yang lain.
“Allein? Bereits das abendessen?”
(“Seorang diri? Sudah makan malam?”)
Lunak suara itu menegur Azroi dari belakang. Mendengar soalan itu Azroi mula-mula mengangguk namun kemudian menggeleng pula. Azroi memahami tetapi kurang yakin untuk menjawabnya dalam bahasa itu kembali.
Kebetulan itu kelas terakhir Azroi dan sedikit lewat petang habisnya, tidak teragak-agak Azroi untuk mengajak gadis di hadapannya itu untuk makan bersama sementelahan pula jam hampir berdetik 7 malam. Sesuailah untuk makan malam sedikit awal kerana Azroi tahu, di rumah Yuni mesti tidak masak kerana Tajul dan Seri menghadiri jamuan makan di hotel lagi.
Azroi memimpin gadis itu ke restoran Secret Recipe bagi menjamu selera. Ditariknya kerusi sedikit ke belakang untuk memberi laluan kepada gadis itu melabuhkan punggung di kerusi tersebut. Lagaknya seperti lelaki budiman.
Apabila kedua-duanya sudah duduk, seorang pelayan menghampiri mereka berserta buku menu. Tidak lama mereka membuat pilihan, terus menyuarakan menu yang dikehendaki. Azroi memesan set grilled black pepper chicken dan minuman oreo milkshake manakala gadis itu memesan spaghetti bolognese chicken, jus tembikai dan brownies walnut sebagai pemanis mulut.
“Thanks Roy, for the dinner tonight...”
“Terlalu awal you ucapkan terima kasih, makanan pun belum terhidang lagi...”
“Mmm... Roy suka kelas tadi?”
“Sukalah jugak. Benda baru, so quite interesting for me to learn.”
“Roy nak belajar benda baru lagi?”
“Nak...”
“I teach you this phrase then you follow what I say, okay? Ich liebe dich...”
“Ich – liebe – dich...”
“Pandai pun. Hehehe. You tak mahu tahu maksud dia?”
“Mestilah mahu tahu... Apa maksudnya?”
“Maksudnya, saya – suka – kamu...”
Satu per satu perkataan itu disebut di hadapan Azroi sambil sebuah senyuman menggoda dihadiahkan gadis itu.
Bergetar jiwa Azroi mendengarnya. Suasana sekeliling bagaikan pegun tiba-tiba. Masa seolah-olah berhenti detiknya. Pucat muka Azroi bila pertama kali ucapan sebegitu dilafazkan di hadapannya oleh seorang perempuan. Bukan sembarangan perempuan. Perempuan seksi lagi menggiurkan.
“Hey you! You diam tiba-tiba ni kenapa? You malu? Hahaha. Jomlah makan... Nanti I ajar you benda baru lagi, okey?”
Gadis itu lagaknya biasa-biasa sahaja, Azroi pula yang malu-malu kucing. Berselera masing-masing menyentuh hidangan. Belum pun habis menikmati makanan, Azroi disergah oleh sekumpulan lelaki. Kumpulan sama yang membelasahnya tempoh hari.
Sehingga kini ayah dan ibu tidak tahu akan kejadian malam itu. Yuni tidak memaklumkan kepada orang tua mereka kerana Azroi mengugut kakaknya andai isu itu dilanjutkan pada pengetahuan ibu dan ayah, dia akan tinggalkan kolej tanpa berfikir panjang.
“Hoi budak! Duit bila mahu bayar?”
Terkocoh-kocoh Azroi bingkas bangun dari kerusi lantas menepuk-nepuk bahu salah seorang lelaki bertubuh tegap berketul-ketul di hadapannya. Dirangkul bahu lelaki berwajah berang itu dan membawanya jauh dari meja makan. Cuba berdiplomasi di situ. Dia tidak mahu gadis itu mendengar perkara yang dikecohkan oleh lelaki-lelaki terbabit. Sudah agak jauh dari restoran itu, Azroi baru berani bersuara.
“Nanti aku bayarlah wei! Kau ingat aku nak lari ke? Aku kan student lagi, pusing-pusing korang jumpa aku punya!”
“Itu aku tahu! Kalau kau lari sekalipun, aku akan jejak kau hingga ke lubang cacing sampai kau bayar duit tu!”
“Yelah-yelah, nanti aku bayarlah bila aku ada duit! Barang baru bila sampai?”
“Ceh! Ada hati tanya barang baru! Barang lama tak mampu bayar lagi! Kau dah jelaskan semua hutang piutang kau, baru aku bagi stok yang lain. Ingat! Seminggu dari sekarang!”
Keras bunyi amaran itu. Kecut perut Azroi dibuatnya. Mujur kali ini dirinya tidak dibelasah. Lelaki itu hanya mengacah-acah mahu menumbuk kemaluan Azroi. Tertutup-tutup tangan Azroi melindungi bahagian tersebut. Lelaki-lelaki itu tergelak besar sebelum beredar meninggalkan Azroi yang berpeluh gentar.
Azroi kembali ke meja makan. Melihatkan spageti gadis itu sudah licin di pinggannya, Azroi pun ke kaunter bayaran tanpa mahu menghabiskan makanan yang masih berbaki. Seleranya sudah mati.
“Siapa tadi tu? Along? You pinjam duit dari lintah darat ek?”
Azroi cuba mengelak dari menjawab soalan itu. Masakan mahu beritahu, jatuhlah sahamnya di hadapan perempuan seksi lagi menggoda itu. Lebih-lebih lagi dia baru sahaja mencucuk jarum. Berjaya tembus atau tidak, itu belakang kira.
Dia tidak mahu mempersia-siakan peluang menjadi kekasih kepada gadis itu. Gadis itu baru sahaja dikenalinya. Bukan pelajar kolej tetapi seorang pengurus perhubungan awam di hotel tempatnya belajar. Masih muda tetapi jawatan yang disandang bukan calang-calang! Kolej Azroi letaknya di dalam bangunan hotel yang sama.
“Kalau tentang duit, I boleh tolong you...”
Gadis itu menawarkan bantuan. Pucuk dicita ulam mendatang. Terpamer sedikit riak ceria dan kelegaan pada raut wajah Azroi. Dulu dia pernah meminta pertolongan dari Yuni tetapi dek banyak sangat soal jawab, membuatkan Azroi bengang. Elaun poket RM300 yang diberi ayahnya tidak mencukupi kerana duit itu digunakan untuk minyak skuternya, makan minumnya lagi dan aktiviti clubbing malam minggunya.
“Are you serious? Thank you so much, dear!”
Tanpa malu-malu Azroi sudah awal-awal berterima kasih. Gadis itu memaut lengan Azroi kemas. Dibisiknya sesuatu pada telinga Azroi.
“Tapi dengan satu syarat...”
“Apa dia?”
“You kenalah ambil duit tu sendiri di kondo I...”
9
Gadis itu tinggal Bidara Condo Apartment di Bukit Bintang. Kondominium mewah itu sangat eksklusif pada pendapat Azroi. Perabot serba-serbi lengkap dengan set teater rumah yang amat mengagumkan. Terkasima Azroi tatkala melangkah masuk ke dalam.
“Buatlah macam kondo sendiri...”
Gadis itu tersengih melihat Azroi yang masih berdiri sambil matanya melilau ke sana ke sini. Gadis itu menuju ke kamar beradunya dan tidak beberapa lama kemudian keluar dengan lima keping not seratus. Dibuatnya duit itu macam bentuk kipas.
“Lima ratus ringgit, cukup? Atau Roy mahu lebih daripada tu?”
Buntang mata Azroi. Begitu mudah gadis itu mahu meminjamkan duit sebanyak itu kepadanya tanpa sebarang soal jawab. Dia sendiri belum memberitahu sebab-musabab dia memerlukan duit tersebut.
“Lebih daripada cukup tapi... I tak pasti lagi bila I boleh bayar balik duit ni pada you.”
“Sekarang pun you boleh bayar balik...”
Dahi Azroi berkerut. Tidak faham dengan apa yang dimaksudkan oleh gadis itu. Gadis di hadapannya ketawa besar. Tubuh Azroi ditolak ke sofa secara tiba-tiba. Direntapnya kemeja petak-petak berwarna biru kegemaran Azroi hingga tercabut butangnya.
Berahi gadis itu sudah tidak terbendung lagi. Tangannya yang berkuku panjang meraba-raba setiap lekuk badan Azroi. Walau sedikit cemas, Azroi seperti merelakannya. Dia sendiri tidak tahu apa perasaannya kala itu.
“You, I tak biasalah... I tak pernah buat...”
Jujur Azroi cuba menolak ciuman demi ciuman. Namun gadis itu terus mengasak hingga Azroi lemas dalam pelukan. Azroi hilang terunanya malam itu. Syaitan bertepuk tampar kegirangan!
“See, you just paid it to me. So, no need to pay the money okay, dear... From now on, you are Lola Kesandra’s boyfriend. You are totally mine!”
Azroi senyap sahaja. Terlintas wajah Yuni, kakak kandungnya.
‘Kalau Yuni tahu ni, habis aku!’ Gundah bersarang dalam jiwanya. Argh! Let it be! Mana mungkin Yuni boleh tahu apatah lagi ayah dan ibu. Senyap-senyap sudah!
Lola Kesandra sudah tidur. Berkeruh. Berlainan personaliti perempuan ini, fikir Azroi. Jika di luar perilakunya dijaga kononnya mahu menjaga standard, tetapi bila di atas katil, tidur siap berkeruh kuat mengalahkan jantan!
Telefon bimbit Azroi bergetar. Sudah diset mod getaran. SMS dari Yuni.
Ayoi dekat mana? Dah lupa jalan pulang? Pukul berapa dah ni?
Melirik mata Azroi melihat jam digital di telefon bimbitnya. Pukul 11 malam! Skuternya ditinggalkan di kawasan parkir kolej pula. Macam mana mahu balik? Dia menjawab SMS kakaknya itu.
Ayoi bermalam di rumah kawan. Night sis! Don’t worry!
10
Yuni, Tajul dan Seri sedang bersantai di ruang tamu, mengikuti ‘Buletin Utama’ yang baru sahaja tamat. Berita hangat sebentar tadi menyorot isu dadah di kalangan muda-mudi. Entah kenapa Yuni pula tidak senang duduk menatapnya.
Menurut sumber yang didedahkan wartawan dalam televisyen tadi, sindiket dadah kini menggunakan pelajar-pelajar sebagai medium dalam pengedaran barang-barang larangan bagi mengelakkan aktiviti mereka dapat dihidu oleh pihak berkuasa. Licik!
“Ayoi semalaman tak balik, dia ada telefon kamu, Yuni?”
Tajul bersuara. Tidak ada tanda-tanda kerisauan dalam nada itu. Bertanya kerana melihatkan skuter biru Azroi tiada di laman rumah. Bagi Tajul, dia memberi kebebasan sepenuhnya kepada Azroi kerana padanya anak lelaki pandai menjaga diri. Berlainan pula dengan anak perempuan yang perlu dibimbing sentiasa.
“Yuni ada SMS dia semalam. Katanya tidur rumah kawan. Agaknya dari rumah kawan, dia terus ke kolej. Yuni tengok schedule dia hari ni pack dengan kelas sampai ke malam. Kejap lagi baliklah tu agaknya.”
Yuni cuba berfikiran positif dan cuba menerima alasan adiknya semalam walau dalam hati merasakan ada sesuatu yang tidak enak telah berlaku. Naluri seorang kakak. Yuni sangat menyayangi adiknya tetapi tidak tahu bagaimana dia mahu tunjukkan pada Azroi. Sifat ambil berat pada adiknya sering disalahertikan oleh Azroi sebagai busybody.
Seri yang sedang duduk bersenang-lenang di sisi Tajul bingkas ke dapur dan beberapa minit kemudian mampir ke ruang tamu dengan sedulang minuman panas. Berkepul-kepul wap liuk lentok keluar dari cawan yang dihidang.
“Dua cawan je Puan Sri? Yuni punya tak ada?”
“Memang untuk kita berdualah ni Yuni oi. Ini minuman untuk kaum perempuan. Tan Sri ambil bau saja ya... Hehehe...”
Aroma yang terbit dari minuman itu sungguh mengasyikkan. Harum sekali! Cawan berisi air berwarna merah jambu pekat itu amat menarik pada pandangan mata Yuni. Tidak pernah dia nampak air berwarna sedemikian. Dihirupnya perlahan-lahan sambil hatinya sudah berbisik lafaz bismillah.
“Sedap sungguhlah air ni, bu! Rasa dia lemak-lemak macam minum Milo susu tapi bau dia yang tak tahan tu! Macam bau buah pun ada, bau bunga pun ada! Dark pink colour lagi!”
“Ibu ada simpan tiga empat peket sampel lagi bawa balik dari Berlin dulu tu. Sedap, kan Krisya Juice ni...?”
Hampir tersedak Yuni mendengar. Nama yang sama disebut dalam blog Priasetia. Yuni cuba menyelidik.
“Kenapa Dr. Xavier letak nama minuman ni Krisya Juice bu? Macam tak komersial je Yuni dengar...”
Yuni cuba berdalih. Niat sebenarnya mahu memancing ibunya agar bercerita. Mana tahu, ada signifikan tertentu di sebalik nama itu sehingga Dr. Xavier mengabadikan pada produk ciptaannya itu.
“Dr. Xavier letak nama tu sempena nama isterinya. Tak silap ibulah... Betul tak Tan Sri?”
Paha Tajul dipukul manja. Sedikit tersentak Tajul yang sedang leka melayan cerekarama di televisyen. Dia tidak mendengar apa yang disembangkan Yuni dan Seri sebentar tadi. Tercengang-cengang Tajul bila diajukan soalan secara tiba-tiba.
“Bukan main Tan Sri melayan drama! Khusyuk betul. Saya tanya awak, Krisya tu nama isteri Dr. Xavier, kan?”
“Dewi Krisya tu bekas isteri...”
Pendek jawapan Tajul. Matanya beralih ke layar televisyen semula. Tidak mahu terlepas babak di mana watak heroin dihalang oleh orang tuanya dari berjumpa kekasih hatinya. ‘Klise drama Melayu!’ Desis hati Tajul.
Yuni sudah mendapat jawapan yang diingini walaupun dia sendiri tidak mengerti gerak hatinya yang suka mengaitkan segala yang berlaku ada kaitannya dengan blog Priasetia. Entah-entah persamaan nama itu hanya suatu kebetulan. Siapa dia untuk menyelidik kehidupan orang lain yang tidak punya hubungan darah dengannya.
Bunyi skuter Azroi diparkir di laman rumah. Seperti biasa, lelaki teruna yang sudah tidak teruna lagi itu memasuki rumah dengan muka selamba. Sekadar mengangkat tangan kepada Tajul dan Seri dan terus meluru ke dalam biliknya.
Yuni membuntuti Azroi. Belum sempat Azroi menutup daun pintu, Yuni sudah ada dalam bilik adiknya.
“Tak nampak sign kat depan pintu tu? No woman allowed!”
“Ayoi ke mana semalam? Akak hubungi Arshad, Bob dengan Christopher. Semua kawan-kawan Ayoi kata Ayoi tak tidur rumah mereka. Ayoi bermalam di mana ya?”
“Kaki sibuknya akak aku ni! Rajin betul jadi spy ya?”
“Kamu darah daging akak, mestilah akak ambil berat.”
Azroi melemparkan beg dan beberapa fail serta buku yang dijinjingnya tadi ke atas katil. Dikeluarkan segala barang yang terdapat di dalam kocek seluar jeannya. Kunci skuter, dompet, resit kafe dan beberapa lagi barang dicampaknya ke atas katil juga.
Mata Yuni menangkap satu benda. Tangannya cuba mengambil benda tersebut. Azroi tangkas mencapai benda itu terlebih dulu dan memasukkan ke dalam seluar dalamnya. Yuni tidak boleh berbuat apa-apa.
“Benda apa tadi tu? Keluarkan! Kasi akak tengok!”
“Benda apa? Sibuk jelah!”
“Ayoi ingat akak ni tak tahu benda-benda tu semua?”
Yuni tahu benda itu walaupun tidak pernah menyentuhnya apatah lagi memiliki. Internet yang meluas gerbang maklumatnya memungkinkan Yuni untuk mengenal benda kecil berbentuk empat segi kecil itu yang agak berkilat peket plastiknya.
“Itu kondom, kan? Macam mana boleh ada dalam seluar jean Ayoi? Cakap jujur dengan akak! Kalau tidak, akak tak ada pilihan lain selain beritahu perkara ni kat ibu dengan ayah!”
Azroi sudah mati kutu. Silapnya juga tidak berhati-hati tadi. Aduh! Bagaimana sekarang ni? Bebel Azroi di dalam hati. Yuni sudah bercekak pinggang. Matanya mencerlung!
Azroi tiba-tiba mendapat idea bernas. Harap kakaknya terpedaya dan mempercayai akan ceritanya itu nanti.
“Haah kondom. Tapi akak jangan salah sangka pulak. Kondom tu bukan Ayoi punya. Kawan Ayoi di kolej, nama dia Steven. He’s an Indian guy. Dia malu nak beli, disuruhnya Ayoi beli kat Seven Eleven sebab dia kata muka Ayoi macam budak Cina. Dia nak pakai, Ayoi pulak jadi mangsa kena beli. Akak mahu percaya atau tidak, terpulang.”
Beria-ia Azroi cuba meyakinkan Yuni yang masih berkerut dahi. Azroi keluarkan peket kondom itu dari seluar dalamnya dan dilontarkan ke arah Yuni. Sempat Yuni mengelak. Geli-geleman dia akan benda itu.
Sekali pandang, Azroi kelihatan seperti pemuda berbangsa Cina. Kulit putih kuning. Tinggi lampai tetapi kurus. Matanya yang sepet, mengikut genetik keluarga sebelah Tajul yang ada bau-bau bacang dengan keturunan Baba dan Nyonya di Melaka. Ditambah lagi rambutnya yang sudah berwarna kuning. Menggeleng-geleng Yuni ketika pertama kali melihat rambut adiknya bertukar warna beberapa bulan yang lalu.
“Ingat Ayoi! Walaupun akak tak nampak, Allah Subhanahuwataala sentiasa nampak segala perbuatan hamba-Nya. Kalau betul apa yang Ayoi cerita, akak minta maaf sebab fikir yang buruk-buruk pada Ayoi. Kalau Ayoi tipu akak, Ayoi jawablah dengan Tuhan nanti!”
“I’m telling you the truth, it’s up to you to believe it or not! Dah... dah... Siuh, siuh... keluarlah. Ayoi nak mandi ni...!”
3 comments:
saya baru baca sampai page 95 today..!
so far, i love it!!
since i'm a blogger :D
saya sudah beli dan membaca novel 'BLOG PRIASETIA' ,,
cerita nya sungguh menrik sekali. . .
suka bc nvl NB KARA.. n suka sgt krya2 kak yati ^_^
Post a Comment