BAB 5
Qistina ralit membelek-belek templat-templat promosi bank yang diletakkan di atas tray in. Selalunya setiap kali apa sahaja bentuk promosi dan tawaran berkaitan produk dan perkhidmatan yang mahu dihebahkan kepada pelanggan-pelanggan bank, dialah antara yang terawal mengetahui akan perkara itu. Sudah menjadi tanggungjawab Qistina memimpin anak-anak buahnya dalam menggerakkan jentera pemasaran untuk diuar-uarkan kepada masyarakat di luar sana.
Sekarang ini, pihak bank sedang giat merancakkan promosi akaun premier yang disasarkan kepada pelanggan-pelanggan yang terdiri daripada golongan eksekutif dan ke atas. Pada 200 pembuka akaun premier yang baharu, akan menerima beg komputer riba eksklusif dari pihak bank dengan syarat deposit minima sejumlah RM5,000 perlu ada di dalam akaun pelanggan dan perlu mengekalkan baki amaun di dalam akaun pada jumlah itu selama tiga bulan.
Walaupun kadang-kadang promosinya sedikit mengelirukan, namun itulah peranan staf di jabatan pemasaran untuk menyampaikan sekali gus menerangkan kepada kumpulan sasaran dengan kelebihan-kelebihan berbentuk privilege yang boleh dinikmati kepada pemegang akaun premier berbanding akaun biasa. Qistina yang sememangnya bijak dalam selok-belok perhubungan awam, petik jari sahaja mengendalikan bahagian pemasaran dengan ayat-ayat manisnya.
Hebat!
Dalam masa yang sama, kepala Qistina ligat memikirkan kata-kata Dora dan Laura tadi. Menurut mereka soul-matenya boleh ditemui di tingkat empat belas pada waktu malam nanti. Apa sahajalah yang mereka merepek tetapi entah kenapa teruja pula Qistina ingin mengetahui siapakah gerangan yang disebut-sebutkan itu. Kacakkah?
Tampan sangatkah orangnya?
Tetapi bila difikir-fikir semula, meremang pula bulu romanya tidak semena-mena apabila bercakap tentang tingkat empat belas.
Semenjak dirinya berkhidmat di bank itu, meniti dari bibir ke bibir kisah seram yang kononnya banyak kali berlaku di tingkat empat belas. Tingkat yang jarang-jarang disinggahi staf-staf bank itu digambarkan sebagai kawasan keras dek kerana ramai yang sering diusik ketika melaluinya. Begitulah menurut soksek-soksek sebahagian pembawa mulut, kebenarannya masih tidak dapat dipastikan. Tetapi apabila sudah lebih 40 orang yang bercerita, paling tidak berdiri juga bulu roma.
Namun tidak pula pada bulan Ramadhan, tingkat 14 adalah tingkat yang paling ramai orang menyerbu ke situ kerana mahu menunaikan solat lima waktu secara berjemaah. Habis bulan puasa, keadaan kembali lengang. Beberapa kerat sahaja yang akan mendirikan solat di sana, selebihnya lebih gemar bersolat di jabatan sendiri. Ada bilik kecil yang muat-muat dihamparkan sehelai sejadah di setiap jabatan.
“Kak Rock, saya tanya sikit boleh?”
Puan Rokiah, kerani paling senior di jabatan itu bahkan penerima anugerah khidmat setia selama 25 tahun itu disapa Qistina. Perempuan tua yang sedang laju menggerakkan jari-jemari runcingnya menaip tanpa memandang sepicing pun di papan kekunci, membuang pandangan dari skrin komputer ke wajah polos Qistina.
“Ada apa-apa Kak Rock boleh tolong, Qis?”
“Mmm... nak bertanya ni... betulkah saya dengar tingkat empat belas tu berhantu, kak?”
“Hah, Qis pun percaya dengan cerita-cerita ni semua? Dengar boleh, percaya jangan. Masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Kak Rock dah dua puluh lima tahun berkhidmat di bank ni, tak pernah kena sakat pun dengan perkara-perkara pelik ni. Mulut orangkan memang suka jadi nasi tambah, Qistina.”
“Kak Rock tu pendindingnya kuat, Qistina! Memanglah benda-benda tu takut nak kacau dia. Tapi saya dengar memang tingkat empat belas tu berpenunggu!”
Ismail yang melintasi tempat Puan Rokiah dan Qistina yang awalnya mahu membuat salinan fotokopi beberapa dokumen, boleh pula berhenti dan menepek di situ apabila telinganya menangkap sesuatu. Lelaki yang berusia pertengahan 40-an itu memang gemar bercerita itu ini apatah lagi kalau perbualan itu menyentuh perkara yang bersifat khabar angin. Terbalik pula kaum lelaki yang suka bergosip. Macam-macam hal!
“Apa maksud Pak Cik Mail?” Qistina beria-ia mahu mengetahui cerita sebenar.
“Kalau Qis nak tahu, benda-benda nikan memang benci dan menyampah orang-orang yang suka sembahyang. Jadi untuk menghalang pekerja-pekerja bank ni dari beribadah di situ, dikacaulah orang-orang yang mahu sembahyang kat surau tu. Ada yang sampai terkencing-kencing disakat, tau.”
“Pak Cik Mail sendiri pernah kena?”
“Err... pak cik tak pernahlah kena tapi pak cik dengar dari mulut orang. Ada yang kata kepala paip terbuka sendirilah, lampu terbuka katup sendirilah, sejadah berdirilah dan macam-macam lagilah. Seriau pak cik, Qistina.”
Meremang bulu roma Qistina di siang hari. Menyesal pula mulutnya bertanya kalau itu jawapan yang perlu didengari. Jadi, benarlah gosip yang menyubur saban tahun tentang tingkat 14 yang keras dan kadangkala menerawang bau semacam di situ. Tetapi kenapa pula Dora dan Laura bersemangat menyuruh dirinya ke sana pada waktu malam? Entah-entah mereka hendak mempermain-mainkan aku. Awas kau, Dora! Siap kau, Laura!
“Haha haha. Kamu dengarlah Pak Cik Ismail ni merapu, Qistina! Si Mail ni mengalahkan mulut perempuan. Dulu waktu Si Siti Nurhaliza bujang, dialah orang pertama yang lebih advance tahu kononnya penyanyi tu nak berkahwin dengan si polan-si polan. Wartawan hiburan tak tahu, dia pulak dapat sumbernya dulu. Akhirnya, auta saja lebih! Haha haha.”
Puan Rokiah ketawa besar tetapi masih terkawal. Nanti ketawa berlebih-lebihan, dikatakan mencuri tulang pula. Perempuan tua itu sudah masak benar akan perangai Ismail yang sudah lama dikenalinya.
Dari sepuluh poin lelaki itu bercakap, satu poin pun masih waswas untuk disahihkan kebenarannya. Ismail beredar menuju ke mesin fotostat untuk menyambung kerjanya yang tertangguh tadi.
“Qistina betul-betul nak tahu cerita tingkat empat belas ni?”
“Mestilah nak tahu, Kak Rock. Sementara bos meeting ni, akak berceritalah sampai habis.”
“Sebenarnya, perkara bukan-bukan yang dimomokkan oleh mulut-mulut warga bank ni sejak tahun pertama akak bertugas lagi akak dah dengar.”
“Ooo... kira cerita tingkat empat belas ni legendary folktalelah ya, Kak Rock?”
“Macam itulah kiranya. Mana ada makhluk halus, hantu atau jin Islam pun dekat situ. Momokan ni dibuat bersebab. Dulu staf-staf bank kita ni suka sangat buat OT sampai lewat malam kononnya banyaklah sangat kerja mereka tu tapi niat sebenar mahu claim OT saja. Tingkat empat belas itulah dijadikan tempat persinggahan untuk melelapkan mata sejam dua kemudian kembali ke tempat masing-masing, buat kerja sikit-sikit dan kemudian baru nak punch out. Bila CCTV dapat mengesan staf-staf bank ni asyik tertumpu di tingkat empat belas, maka timbullah cerita mahu menakut-nakutkan mereka sampailah sekarang. Sejak itu, Qis pun boleh tengok sendiri jarang ada staf yang mengada-ada nak buat kerja lebih masa sebab takut dengan fenomena cerita tingkat empat belas tu. Bagus jugak sebab hanya yang betul-betul sibuk dan banyak kerja saja yang akan buat OT. Bukan sewenang-wenangnya boleh buat OT tapi sebenarnya goyang kaki saja lebih.”
Panjang ‘O’ Qistina apabila kisah seram tingkat 14 disingkap kebenarannya oleh orang lama di bank itu. Lega hatinya. Qistina kembali ke tempat asal dan tangannya terus mencapai gagang telefon di meja. Nombor sambungan Dora di jabatan korporat dan kesetiausahaan didailnya pantas.
“Hello, Miss Dora Secretary Department speaking. May I help you?”
“Hoi mak cik! Akulah! Wei, kau beritahulah aku siapa yang aku akan jumpa kalau aku pergi tingkat empat belas pukul lapan malam ni?”
“It’s secret ‘bebeh’... see for yourself! Haha haha.”
“Fine! Kalau aku tengok muka pecah rumah, siap kau berdua aku ganyang!” Qistina geram, Dora meledak tawanya di hujung talian.