8
Menghadiri perkahwinan pembantunya, menyaksikan kegembiraan gadis itu di samping sanak saudara meraikan hari bahagia mereka, sedikit sebanyak menyentuh hatinya. Sebagai seorang wanita yang telah cukup matang seperti dirinya, hari-hari bahagia itu begitu didambakan. Namun sehingga kini Mukriz langsung tidak penah menyentuh isu tersebut. Walaupun setelah madunya dihirup, mahkota kesuciannya diragut.
Mukriz masih seperti pertemuan pertama mereka dahulu, kaku apabila setiap kali dia mempersoalkan tentang perkahwinan mereka. Zahniah tidak boleh berlama-lama lagi di situ, sayu hatinya tidak terperi mengenangkan nasib diri yang masih tidak bersuami walaupun statusnya bukan lagi dara sekarang.
Seandainya Mukriz tidak mahu bertanggungjawab dengan memperisterikannya, dia tidak tahu entah siapa yang akan sudi menyuntingnya. Mengingatkan itu semua, hatinya bertambah kecut.
Setelah meninggalkan majlis perkahwinan tersebut, Zahniah singgah sebentar di rumah kakaknya, Shamsiah.
Ketika memakan mihun goreng yang dihidangkan oleh kakaknya, Zahniah tiba-tiba sahaja terasa mual. Tekaknya bagai tidak dapat menerima makanan kegemarannya itu. Berlari dia ke bilik air untuk memuntahkan segala isi perutnya. Lama dia di situ sehingga menimbulkan kegusaran di hati Shamsiah.
“Zah, kenapa ni…?”
Shamsiah mengetuk pintu bilik air beberapa kali. Keadaan Zahniah sedikit merisaukannya. Manakan tidak, sejak kebelakangan ini Zahniah lebih banyak mendiamkan diri dan seolah-olah menunjukkan dia mempunyai masalah.
Tetapi tidak seperti selalu, kali ini Zahniah tidak mahu berkongsi masalah itu dengannya. Hairan dia kerana selama ini segala suka duka biasanya mereka hadapi bersama.
“Zah, kenapa ni... sakit ke? Kalau sakit biar kakak bawa ke klinik…”
Shamsiah memicit kepala Zahniah yang tersandar lesu di sofa ruang tamu.
“Entahlah kak, badan Zah terasa macam tak sihat aje… Kepala pulak asyik pening-pening aje dua tiga hari ni.”
Zahniah menuturkannya dalam keadaan mata yang semakin layu. Sikap prihatin kakaknya sedikit sebanyak mengurangkan ketidakselesaan yang dialami.
“Zah muntah ke tadi?”
Shamsiah masih tidak berpuas hati dengan penjelasan Zahniah. Keadaan adiknya itu agak berlainan dirasakan. Tidak mungkin adiknya berbadan dua, walaupun dia tahu adiknya ada teman lelaki sejak akhir-akhir ini.’
“Ye kak... Agaknya perut Zah masuk angin, atau tersilap makan di rumah kenduri tadi.”
Zahniah cuba menyedapkan hati kakaknya, walaupun risau di hatinya hanya Tuhan sahaja yang tahu.
“Zah pergilah berehat dulu. Nanti kalau memandu dalam keadaan macam ni, kakak bimbang masalah lain pulak yang datang.”
Shamsiah tidak mahu bersoal panjang lagi dengan adiknya.
Di dalam bilik, Zahniah merebahkan tubuh di atas katil. Matanya dipejamkan tetapi fikirannya berfikir dan terus berfikir. Keterlanjurannya bersama Mukriz cuba diingat kembali. Sejak dia menyerahkan kesuciannya pada malam itu dengan kerelaannya sendiri, kejadian itu tidak berakhir di situ. Sebelum dia meninggalkan lelaki itu untuk pulang bersama kakak dan abang iparnya ke Kuala Lumpur, mereka sempat mengulanginya lagi.
Beberapa kali kunjungan Mukriz ke Kuala Lumpur selepas itu atas urusan kerja juga telah memberi peluang mereka mengulangi perbuatan tidak bermoral itu. Walaupun cuba ditolaknya, tetapi pujuk rayu lelaki itu akhirnya mencairkan keimanannya.
Mereka berlagak seperti suami isteri yang tinggal berjauhan, malah Mukriz juga semakin berani bermalam di apartmennya setiap kali berurusan di Kuala Lumpur. Zahniah sendiri pun tidak tahu entah berapa kali mereka pernah bersama. Sejak keterlanjuran pertama mereka, Mukriz pasti akan menidurinya setiap kali pertemuan mereka selepas itu.
Zahniah bangun dan duduk di birai katil. Kalendar yang terdapat di bilik itu menjadi sasarannya. Dia melihat tarikh hari itu. Pucat mukanya serta-merta. Kesibukan kerja membuatkan dia terlupa bahawa tarikh datang bulannya telah lama berlalu.
Baru dia sedar bahawa bulan lepas dia tidak didatangi haid seperti lazimnya. Sakit di kepalanya tiba-tiba berdenyut kembali. Segera dia mencapai beg tangannya dan bersiap-siap untuk pulang. Ketika dia melintas ruang tamu, Shamsiah yang sedang minum petang bersama suaminya menegur.
“Zah dah nak balik ke, sakit tu dah kurang ke?”
Shamsiah masih risau dengan keadaan adiknya.
“Sihat sikit, kak. Zah ingat nak ke kliniklah.”
Zahniah menjawab seadanya. Resah di dadanya cuba diselindung sebaik mungkin.
“Kalau nak abang dan kakak hantarkan, boleh juga. Kereta Zah biar aje di sini.”
Encik Adnan menawarkan bantuan.
“Eh! Tak payahlah, menyusahkan abang aje. Zah boleh drive sendiri.”
Zahniah segera meninggalkan pasangan bahagia itu. Entah mengapa hatinya sayu apabila melihatkan baiknya layanan abang ipar terhadap kakaknya tadi. Mengapa Mukriz tidak segera memperisterikannya dan melayannya sebaik itu, tambah-tambah lagi dalam keadaan dirinya…
Tidak sanggup Zahniah meneruskan kata-katanya. Dia masih berharap ada sebab lain yang menyebabkan mengapa tekaknya terasa mual dan sering pening-pening sejak akhir-akhir ini. Doa terus dipanjat agar nasib menyebelahinya. Sebuah klinik swasta dijejakinya.
Dalam keadaan diri yang masih kurang sihat… dalam hujan yang rintik-rintik ketika senja petang perlahan-lahan melabuhkan tirainya merangkak mengejar malam… ketika itulah Zahniah meneruskan pemanduannya mencari Mukriz. Satu-satunya lelaki yang harus dikongsi masalah yang sedang dihadapinya kini. Kata-kata doktor muda tadi kembali berputar di kotak fikirannya.
“Saya rasa pening-pening aje sejak kebelakangan ini, doktor…”
Zahniah menceritakan keadaan kesihatannya yang agak kurang memuaskan.
“Puan ada muntah-muntah ke?”
Doktor muda itu ramah bertanya.
“Ada juga sekali dua, kenapa doktor?”
Zahniah mula dibaluti resah dan gelisah.
“Bagaimana dengan kitaran haid puan, bila tarikh akhirnya?”
Doktor itu terus bertanya sambil mencatat sesuatu di kad rawatannya.
“Saya tak pasti doktor, tetapi rasanya dah lewat dari biasa.”
Zahniah masih cuba berselindung. Hatinya masih cuba menolak kemungkinan yang satu itu.
“Tak mengapa, puan boleh buat ujian air kencing dengan pembantu saya di luar.”
Zahniah tiada pilihan lain. Setelah sampel air kencingnya diambil, dia diminta menunggu seketika di luar. Seketika kemudiannya namanya dipanggil dan sekali lagi dia terpaksa berhadapan dengan doktor muda itu.
“Tahniah! Puan sah hamil. Dari jangkaan saya, kandungan puan sekarang ini berusia sembilan minggu, masih di peringkat awal. Puan perlu menjaga pemakanan dan banyakkan berehat. Suami puan tak datang sama?”
Doktor muda itu mungkin ingin berkongsi berita gembira itu dengan suaminya, seseorang yang tidak pernah wujud dalam hidupnya.
“Saya datang sendiri, suami saya outstation.”
Zahniah menjawab dengan tenang. Sebak di dadanya kian memuncak. Dia tidak mahu berlama-lama lagi di situ, takut dia gagal mengawal perasaan sedihnya. Setelah menyelesaikan segala bil ubat-ubatan yang turut dibekalkan, dia terus memandu. Mukriz perlu segera dicari. Lelaki itu mesti bertanggungjawab dengan apa yang terjadi.