PEMBERITAHUAN

Para pembaca boleh memesan buku yang diminati melalui nbkara.com.my atau email kepada admin@nbkara.com.my


Pembayaran boleh melalui pembayaran ke account no.

Maybank Norhayati Berahim 164267408855 Alliance bank account NBkara 120340010015114 Segala maklumat pembelian/transaksi perlu di e-mail kepada nbkara@yahoo.com atau admin@nbkara.com.my dan jangan lupakan sertakan alamat pembeli atau dengan menggunakan wangpos/cek/kiriman wang yang dialamat kepada

D26-GB Jalan Prima Saujana 2/B Taman Prima Saujana 43000 Kajang Selangor


Semua penghantaraan di Semanjung akan mengunakan pos laju dan tidak dikenakan sebarang bayaran.

Senarai Harga Novel boleh anda lihat di column sebelah kanan 'HARGA NOVEL' Untuk Sabah Sarawak harus mengikut harga asal SABAH/SARAWAK penghantar adalah percuma







BUNGA DI RIMBA

BUNGA DI RIMBA
RM21/RM24

PESTA BUKU SELANGOR

PESTA BUKU SELANGOR
Di Gerai N23, SACC Convec, Shah Alam Selangor

GALAU DI HATI SERI-KUSYI HIRDAN





PROLOG


Berbuah-buah ratapnya. Siapa punya angkara? Ini kerja manusia yang sungguh durjana, berhati hitam, kotor dan busuk. Anissa merenung anaknya yang terbaring di pangkuannya. Cengkung dan kering setiap inci kulitnya. Muntah darah berkali-kali. Bagaikan setiap isi perutnya sudah terkeluar semuanya.
Lima hari sudah berlalu. Ya ALLAH, selamatkanlah anakku ini! Doanya setiap saat.
Dia rasa hendak pitam kerana sudah tidak tidur dan rehat selama hampir tiga malam. Namun dia kuatkan hati dan badan kerana yang terbaring itu anaknya sendiri, bukan orang lain. Anak itu memberinya kekuatan.
Melihat buah hati belahan jiwanya begitu merana, hatinya merintih sayu. Tangan anak itu diikat ke kepala katil supaya tidak lari dan meronta-ronta. Semalam jenuh tangannya digigit dan mukanya ditampar. Mengapa dia dibenci begitu sekali? Kenapa anak itu membenci ibunya?
Dia menyesal, kalau dia bertegas tidak membenarkan anak itu masuk ke dunia yang penuh tipu helah, hasad dengki dan syaitan bertopengkan manusia, tentu perkara itu tidak akan terjadi.
Anaknya menjerit lagi, meronta-ronta mahu dilepaskan. Menjerit dan menangis bertukar ganti. Anissa tidak takut walau anak itu bertindak ganas. Anak itu darah daging kesayangannya. Rambut anak itu dibelai dan diusap dengan penuh kasih sayang.
“Pergi! Aku benci kau! Aku nak keluar dari sini. Aku benci rumah ni!”
Suara anaknya garau, pekat, tidak seperti suara biasanya. Memang menakutkan sesiapa yang mendengarnya, tetapi tidak dia. Itu, tubuh itu adalah kepunyaan anaknya. Hanya dia sekarang dirasuk syaitan yang dihantar manusia jahil berhati binatang.
“Sayang, ingat ALLAH, sayang!”
Hanya itu yang termampu dilakukannya.
“Aku nak keluar dari rumah ni! Panas, busuk, benci. Benci!”
Jeritan anak itu menghancurluluhkan hatinya. Dia tahu yang bercakap itu orang lain. Itu bukan anaknya tetapi syaitan. Anaknya bukan begitu.
Semuanya elok-elok belaka, mereka sekeluarga duduk di ruang tamu dan saling usik-mengusik seperti biasa. Tiba-tiba anak itu, dari duduk terus berdiri. Katanya kepalanya pening, pening sangat-sangat. Kemudian badannya pula, sakit seperti dicubit-cubit. kemudian katanya lagi, dirinya disengat, disengat lebah.
Dia dan suami tidak nampak apa-apa, hanya televisyen yang sedang terbuka. Tiada binatang terbang, tiada siapa mencubit tubuh anak itu. Tetapi dia melompat, berlari ke sana ke sini. Akhirnya jatuh pengsan.
“Sayang...”
“Siapa sayang???” Jerkah suara itu, garau dan kasar. Hendak tercabut jantungnya kerana terkejut.
“Ini emaklah, sayang... Ingat ALLAH... ikut emak baca doa ni... Baca... Bismillahirahman...”
Belum sempat ayat itu dihabiskannya, anak itu menjerit-jerit lagi, meronta-ronta. Nasib baiklah ikatan tali sudah dikukuhkan anak lelakinya tadi.
“Aku nak keluarrrrr... Keluar dari rumah ini!!!!”
Anak itu meronta-ronta dan menjerit kuat, menggegarkan rumah mereka. Suaminya datang.
“Kena ikat dia kuat-kuat lagi, nanti tertanggal...”
“Bang... janganlah ikat dia, kesian...”
“Kena ikat, kalau tak...” Suaminya tidak menghabiskan ayatnya.
Si suami tahu isterinya faham apa yang dimaksudkannya. Memang kasihan mengikat manusia sedemikian rupa namun anak itu semakin ganas.
Manusia diperlakukan umpama binatang. Hati mana yang tidak berkecai.
Anissa terjelepok duduk. Apa sudah jadi pada anaknya itu? Siapa punya angkara? Dia akan bunuh manusia durjana itu.





 
1


Dia dan kuda, cukup serasi sekarang! Di luar jangkaannya. Sangkanya dia boleh meminati golf, tetapi beberapa kali mencuba, hatinya langsung tidak terpikat. Memang dia sukakan alam semula jadi, tetapi bukan di padang golf!
Sulaiman Adnan merasakan, bagai dirinya dan riadah sukan berkuda mudah sekali bergabung. Asalnya riadah ini diperkenalkan oleh Ketua Pemuda Rencam Tengah, Datuk Rahman Sagir dan kini dia bersama Arif Zamzani sering mengunjungi Pusat Berkuda Permata sekiranya kelapangan.
Pusat Berkuda Permata memang popular di bandar raya walau bayaran yurannya agak mahal. Yuran tahunan dan juga keahlian sahaja, sesiapa yang berpendapatan kurang RM2,000, jangan harap hendak merasa melepasi pintu pagarnya.
Selalu Arif Zamzani mengingatkan, tujuan masing-masing ke Pusat Berkuda Permata. Nyata tujuannya sentiasa berbeza.
“Menyihatkan badan?” Pernah Sulaiman meneka dengan penuh ikhlas di hatinya.
Arif menggeleng.
“Sunnah Nabi?”
Menggeleng lagi lelaki bermata sepet itu. Arif akhirnya tergelak kuat.
“Ramai artis lawa datang sini! Hahah!”
“Apa pula kena-mengenanya?”
“Man, macam-macam kita boleh buat. Selain mencuci mata, mengorat pun boleh!” Gelak kuat dilepaskan lagi.
“Aku berharap sangat bintang realiti, Seri Arina pun suka kuda, tapi dia tak adalah! Dia suka katak agaknya. Maklum, cium katak boleh jadi putera raja! Haha!”
Sulaiman menggeleng-geleng. Memang ada terasa lucu di hatinya. Adakah orang hendak pada Arif Zamzani yang tidak sekacak mana itu? Mungkin dia mempunyai nama tetapi cukupkah sekadar itu? Sanggupkah perempuan hidup bermadu?
“Artis saja yang kau ingatkan, Arif...”
“Aku memang suka yang comel-comel. Bertudung, lagi ayu... Oh, Seri Arina... heheh.
Mungkin Arif Zamzani ada agenda lain dan perkahwinan bukan salah satu daripadanya, fikir Sulaiman. Artis perempuan mana yang disebutnya, tidak langsung berbekas di jiwa Sulaiman.
Arif bukan teman lamanya, tetapi dikenalinya sebaik menceburi bidang politik. Arif lebih bercita-cita tinggi, semua orang pun tahu.
Dia? Dia hanya mahu bermula. Setiap perkara yang hendak dilakukan mesti mempunyai permulaan. Sebuah titik yang menjadi pendorong titik-titik seterusnya sama ada titik berjaya atau titik kecundang. Dia tidak mahu mempunyai titik yang melompat… Melompat dengan cara jahat untuk berjaya. Makanannya ialah kejujuran. Semua orang tahu pendiriannya. Arif Zamzani juga tahu.
“Ramai yang kata Bukit Gabungan jelas berbeza sejak kau menjadi ketua pemuda di situ, Man…”
Arif, orangnya sederhana tinggi, agak gempal. Ada kerjaya tetap tetapi seperti Sulaiman. Sangat meminati bidang politik. Lebih berusia. Arif sudah lama berjinak-jinak di bidang itu, memungkinkan pengalaman dikutip berguni-guni. Kerana itulah dia mengaku tahu segala-galanya. Kadang-kadang mengaku terlebih tahu sehingga bongkak jadinya dan menjengkelkan orang. Namun Arif tetap ada pengikutnya sendiri. Pengikut yang setia berdiri di belakangnya.
“Baru sangat aku di situ, Arif. Baru penggal pertama…”
Arif tidak puas hati dengan jawapan sebegitu. Ada lagi yang bersarang di hatinya.
“Kau mahu mengukir nama atau berbuat bakti?” Tanya Arif.
Sulaiman Adnan tersentak, terpaling sedikit tengkuknya, menjeling Arif di sebelah, tercungap-cungap cuba melebur lelah yang masih bersisa. Di usianya 31 tahun, soalan sebegitu bukan asing di telinganya. Banyak kali dia melontarkan soalan sama kepada dirinya sendiri. Soalan yang memungkinkan dia terus berpijak di bumi nyata, tidak terpesong ke longkang neraka.
“Dua-dua, boleh?”
Itu jawapan Sulaiman. Dia tidak mahu berpura-pura kerana memang kedua-duanya ada dalam fikirannya.
“Apa salahnya aku mengaku?” sambung Sulaiman lagi.
Arif Zamzani tersengih.
“Seronok jadi ahli politik ni, Man…”
Lelaki awal 40-an itu menarik kudanya yang bernama Silver. Tali kuda itu kemudiannya diserahkan kepada Selamat, pekerja Indonesia yang baru beberapa bulan dilihat Sulaiman bekerja di situ. Orangnya masih malu-malu tidak seperti Mahadi, juga pekerja Indonesia yang sudah lama menetap di Malaysia. Mahadi dikhabarkan pulang ke negaranya kerana masalah keluarga.
“Definisi keseronokan kau?”
Tanya Sulaiman, turut menyerahkan tali kudanya kepada Selamat. Sebaik selesai menunggang kuda, dia pasti gembira. Terasa diri semakin sihat. Rasa keserabutan otaknya terungkai dan menenangkan hati serta jiwa.
“Banyak…” jawab Arif.
“Banyak musuh?”
Sulaiman menduga lagi. Dia teringat cermin keretanya yang dipecahkan beberapa bulan lalu. Dia cuba menganggap positif tentang kejadian itu, mungkin terjadi kerana tidak sengaja. Mungkin juga kerana cermin itu berkualiti rendah.
Arif Zamzani tergelak.
“Itu pun banyak jugak, tapi ada kelebihan lain. Jangan beritahu aku, kau tak rasai lagi?”
Arif merenung Sulaiman penuh makna.
“Ramai yang jatuh cinta! Hahah!”
Gelak Arif berderai kuat.
“Perempuanlah! Petik jari saja! Hahahaaaa...”
“Huh, itu pulak! Kau nampak kuda dalam kandang tu? Malulah sikit pada kuda,” cebik Sulaiman.
Dia tidak pernah terniat untuk mabuk dengan cinta perempuan menggunakan landasan politik yang diceburinya.
“Hahaha… Kuda mana tahu apa-apa, Man.”
Arif makin seronok mengajak Sulaiman berbicara tentang segala keseronokan lain.
“Minat? Kau tak nampak dari sudut itu?” Malas suara Sulaiman.
“Tak bolehkah kita ke mari kerana minat bersukan dan naik kuda?”
“Minat pun penting jugak. Mengapa nak ditolak ‘rezeki’ yang jatuh ke riba? Rugi, Man!”
Gelak lagi Si Arif. Gelak penuh kejahatan.
Sulaiman menggeleng-geleng lagi.
“Aku memang mahu mengukir nama, tapi reda ALLAH paling penting, Arif…”
Arif Zamzani terdiam beberapa saat.
Hmmm… dunia politik kita tak perlukan ‘ustaz’, Man!”
“Maksud kau?”
“Maksud aku, jangan nak jadi alim di dunia ni kerana terlalu ramai orang yang yang dalam kumpulan kita tu tahu tentang agama. Ada yang sehebat ulamak pun ada tapi…”
“Maksud kau mereka ni kecundang?”
Arif mengangguk.
Sulaiman dapat mengesan nada sinis dari mulut lelaki itu.
“Nafsu besar, Man… Nafsu lebih besar dari takutkan dosa. Apa yang nak dihairankan, dunia politik memang menyeronokkan…”
Arif tegas dengan pendiriannya. Dosa bukan sesuatu yang dirisaukannya. Dia lebih risau sekiranya tidak menggunakan segala peluang yang ada.
Peluang yang menjamin kecerahan masa depan politiknya. Dia mahu berada di atas, paling atas.




2


“Terkejut?”
Memang Sulaiman Adnan terkejut.
“Awak ni Sulaiman, makin terkejut makin handsome!”
Usik Datuk Rahman Sagir. Wajah kacak lelaki duda itu ditenungnya. Dia tidak menafikan Sulaiman mempunyai kelebihan pada paras rupa. Pakej yang membantu untuk mudah menjadi popular. Sama seperti penyanyi dan pelakon juga, kata hatinya lagi.
Sulaiman menggaru-garu kepala.
“Datuk…”
“Apa yang terkejut sangat? Awak tengok saya seperti nampak hantu!”
Sulaiman tergelak kecil.
“Bukanlah terkejut sangat. Sebenarnya hati saya baru saja terdetik tentang Datuk kerana baru semalam saya berkuda dengan Arif Zamzani. Saya teringat, Datuklah orangnya yang memperkenalkan sukan itu kepada saya lebih setahun lalu…”
“Oh, itu. Sudah jatuh cinta dengan kuda sekarang, ya?”
“Begitulah, Datuk... Datuk sihat sekarang?”
“Sihat? Oh, pasal sakit tu? Sihat walafiat saya sekarang, Sulaiman.” Datuk Rahman tersenyum manis.
“Alhamdulillah...”
“Awak ni Sulaiman, lurus bendul sangat. Dalam politik mana boleh lurus bendul. Kenalah bengkang-bengkok sikit. Awak rapat dengan Arif Zamzani?” Tanya Datuk Rahman.
“Apa maksud Datuk ‘rapat’tu?”
“Maksudnya, berkawan baik dengan dia? Percayakan dia?”
Hmmm... satu soalan yang agak susah dijawab...” Balas Sulaiman, tenang-tenang sahaja.
“Kenapa? Awak kena tahu siapa yang bengkang-bengkok, siapa yang tidak!”
“Kena tahu ke? Sebenarnya saya berkawan dengan semua orang dan orang mudah berkawan dengan saya.”
Sulaiman tidak mahu meneruskan sembang tentang topik itu. Topik kepercayaan dan persahabatan. Baginya itu terlalu peribadi.
“Tak sangka jumpa Datuk di sini…”
“Di sini? Di tempat membaik pulih kereta ni?” Tanya Datuk Rahman kembali.
“Dulu, semua kerja-kerja ni bukan saya yang buat, Sulaiman. Ramai yang nak tolong. Servis kereta, baik pulih rumah, cakap saja apa yang diperlukan... Sakit? Berderet-deret nak menghantar ke hospital, bayar bilnya sekali...”
“Oh...!”
Iya, biasalah tu. Membodek, mengipas. Menjilat kaki pun sanggup…”
“Masakan sekarang tak ada lagi yang nak menolong, Datuk?”
Tingkah Sulaiman. Dia duduk di sebelah Datuk Rahman yang diagaknya baru melepasi usia 45 tahun. Lelaki itu tidaklah begitu tua tetapi rambutnya yang menipis dan diselangi uban membuatkan dia disangka lebih berusia.
Datuk Rahman tergelak kecil, bahunya terjongket beberapa kali.
“Takkanlah sampai jilat kaki, Datuk? Lainlah kucing...” Sulaiman bergurau.
“Atau anjing?”
Terselit marah pada nada suara Datuk Rahman.
“Saya bukan Ketua Pemuda lagi, Sulaiman. Jawatan semua sudah hilang.”
Sepatutnya ketua pemuda tidak terhenti setakat itu. Ketua pemuda biasanya naik ke jawatan menteri. Dilantik ke mana-mana lubang yang kosong atau sengaja dikosongkan. Datuk Rahman tidak sempat ke tahap itu. Kekosongan yang wujud tidak diberi kepadanya. Orang lain yang berjaya.
“Itu saja sebabnya?”
“Awak belum nampak lagi semuanya, Sulaiman. Nanti awak nampak, awak mungkin terkejut dan mungkin menyesal, mungkin mahu terbalikkan bumi agar masa boleh mengundur dan kita boleh memilih perkara yang berbeza. Tak melakukan kesilapan sama. Tapi tentu saja tak boleh sebab kita bukan dalam filem sains fantasi.”
Sulaiman pula tergelak kecil. Tampak Datuk Rahman serius tetapi dia tahu lelaki itu sedang bersenda gurau dengannya. Datuk Rahman memang suka berlawak.
“Hilang jawatan dalam politik, bukan perkara yang mengejutkan. Ramai yang menganggapnya perkara biasa, Datuk.”
“Betul sangat. Cuma penyebab kehilangan itu yang luar biasa. Setiap satu berbeza-beza penyebabnya,” penuh makna kata-kata Datuk Rahman.
Sulaiman terus mendengar. Dia tidak suka menambah-nambah.
“Selepas saya kehilangan jawatan tu awak nak tahu apa lagi yang saya hilang? Segala-galanya…”
“Kemewahan?”
Datuk Rahman melepaskan gelak, pahit dan perit. Gelak pada ketika itu tidak mempunyai makna gembira atau suka ria. Gelak lebih bermakna derita.
“Kemewahan boleh dikaup, boleh disimpan. Yang tak boleh disimpan ialah kesetiaan orang. Siapa yang tak dibeli dalam politik, Sulaiman…”
“Saya tidak!” Tegas Sulaiman.
“Bagus… bagus…”
Datuk Rahman menyeringai.
“Datuk seperti tak yakin kepada saya?”
“Bukan… baguslah sekiranya awak ada cita-cita. Saya tumpang bangga...”
Tangan kanan Datuk Rahman menepuk-nepuk dada.
Sulaiman merenung jauh. Ini bukan pertama kali dia diperli hanya kerana mahu kerjayanya halal dan putih bersih. Ramai yang menunggu hari dia mengubah prinsip. Hari tangannya dilumur lumpur dan najis atas perbuatannya sendiri.
“Saya tetap dengan prinsip...” Tegas Sulaiman.
“Prinsip tak membawa awak ke mana-mana.” Datuk Rahman mahu menduga.
“Sekiranya politik mensyaratkan saya bermain kotor dan maksiat, saya akan meninggalkannya!”
Datuk Rahman memandang lelaki yang lebih muda di sebelahnya. Dia mahu bertepuk tangan, tanda sindiran, tanda sorakannya. Geli-geleman hatinya, bagai digeletek-geletek.
Hangat-hangat tahi ayam, kata hati Datuk Rahman. Tunggu dan lihat. Dia pasti azam dan cita-cita Sulaiman Adnan bakal dihanyutkan arus deras jauh ke dasar laut. Dalam dan dalam. Terus dilupakan. Terus dimakan jerung!







3


Setiap pagi pembantu peribadi Sulaiman, Kamal Rashid akan menelefon dan mengemas kini jadual kerjanya untuk minggu-minggu yang akan datang. Perubahan, pembatalan, penambahan dan penyesuaian akan mereka lakukan bersama-sama.
Sulaiman sangat berdisiplin dalam melakukan tugasnya sebagai Ketua Pemuda Bukit Gabungan. Disiplin bukan sekadar jadual baginya. Disiplin juga amanah.
“Kenduri kesyukuran Datuk Yasmin Ghaz, Encik Sulaiman nak pergi?”
Pagi itu Kamal menelefon Sulaiman. Kebetulan Sulaiman berada di luar.
“Datuk Yasmin Ghaz? Dia jemput saya ke?” Tanya Sulaiman, kehairanan.
“Jemputan istimewa...”
Err... dia kenal saya ke?”
“Tentulah kenal, rakan seperjuangan, kan...? Hehe...”
Sulaiman makin hairan.
“Bila tu?”
“Baru petang semalam kita terima kad jemputan, dihantar dengan tangan. Istimewa tu, Encik Sulaiman. Rasanya bukan semua orang dapat jemputan dihantar tangan seperti Encik Sulaiman... Selalunya faks. Itu pun sudah cukup baik.”
“Huh,” Sulaiman tahu Kamal Rashid bergurau.
Lelaki itu sudah lama menjadi pembantunya, sejak lima tahun dahulu lagi, ketika dia baru bermula. Kamal Rashid yang juga adik seorang kenalan perniagaannya menawarkan diri ke posisi itu. Dia yakin Sulaiman mempunyai karisma di bidang politik. Keyakinan yang diteka tanpa asas kukuh yang lain. Sekadar memperjudikan nasib sendiri.
Sulaiman sendiri hairan bagaimana minat itu boleh bercambah. Siapa yang mendorongnya? Tiada siapa dalam keluarganya yang berminat sama di bidang politik.
“Bos!”
Sulaiman tersentak. Gagang telefon dijauhkan sedikit dari telinganya. Suara Kamal Rashid memang sentiasa kuat, di dalam telefon mahupun di hadapan mata.
Kini dia sudah terbiasa dengan suara lelaki tersebut. Sulaiman mengeluh.
“Mengeluh pulak. Pergi sajalah, bos!”
“Nanti jadi skandal, saya tak mahu pergilah!”
“Apa salahnya, Encik Sulaiman. Semua orang berebut-rebut nak menjadi teman baik Datuk Yasmin. Pengaruhnya berbaloi... Cerah masa depan kita errr... masa depan Encik Sulaimanlah... hehee...”
“Kamal, saya tak perlukan semua tu!”
Hehehe... Saya tahulah, cuma tanya-tanya saja, manalah tahu...”
“Saya berubah fikiran?”
Sulaiman meningkah sebelum sempat lelaki itu menghabiskan cakapnya.
“Awak ni Kamal, pandang rendah pada saya? Nanti saya cari pembantu lain, baru padan muka awak!”
“Bukanlah begitu, bos! Janganlah buang saya bos, siapa lagi yang sekepala macam kita ni!”
Kamal Rashid selalu memanggil majikannya dengan gelaran bos, kependekan dari ‘Encik Sulaiman’ yang lebih panjang. Usianya tiga tahun lebih muda.
“Mestilah saya faham prinsip, bos. Tapi apa salahnya menjalin silaturahim.”
“Sekiranya sekadar silaturahim saja tak mengapalah. Selalu sangat kita dengar cerita negatif berkenaan Datuk Yasmin tu.”
“Entah-entah fitnah, kita pun tak tahu, bos. Biasalah perempuan lebih mudah menjadi mangsa fitnah di dunia politik.”
Hmmm...” Sulaiman bersetuju dengan pendapat pembantunya.
“Encik Sulaiman betul-betul tak mahu pergi kenduri itu?”
Iyalah... betullah tu. Err... tapi dia buat kenduri apa?”
“Kenduri kesyukuran untuk bahagiannya di Putra Raya. Bukankah dia ketua wanita di situ?”
“Oh…”
“Berubah fikiran?” Kamal Rashid masih mengharap majikannya mahu pergi.
“Sekiranya nak masukkan program dia, program orang lain terpaksa ditunda atau dibatalkan. Kamal, saya takkan berubah fikiran!”
“Haii... kecewalah Datuk Yasmin, sia-sia menyuruh orangnya menghantar kad dengan tangan lagi...” Sengaja Kamal terus mengusik.
“Biarlah... Kita ada amanah yang lain...”
Tanpa disedari Kamal Rashid, Sulaiman berfikir-fikir tentang apa yang terjadi. Bagaimana tiba-tiba dia menjadi antara senarai jemputan Datuk Yasmin?
Bulu romanya meremang. Memang dia tidak mahu terpedaya dengan fitnah tetapi terlalu banyak yang didengarnya tentang wanita itu.
Sepatutnya wanita jangan menyertai politik. Mereka lagi mudah menjadi mangsa!
“Bos?” Tegur Kamal Rashid.
“Berangan? Jenuh panggil, panggil...”
Sulaiman merenung gagang telefonnya, kemudian menekap kembali ke telinga.
“Bila pulak awak panggil, ingat saya tak dengar?”
Kamal Rashid tergelak. Dia sengaja menyakat ketuanya.
“Bos, saya sudah fikirkan tentang ikon yang nak kita lantik tu... Ikon remaja, berwawasan lagi membanggakan negara... cewahh...”
“Ahli sukan badminton tu?”
Siapa yang muncul dalam kepala Sulaiman melainkan ahli sukan badminton yang baru-baru ini cemerlang di kejohanan Olimpik atau pemidato negara yang baru sahaja memenangi anugerah penghargaan daripada Universiti Harvard.
“Atau pemidato Rozalini Othman tu?”
“Isy... bos ni... Pemain badminton tu jadi duta kasut antarabangsa. Harganya juta-juta, bos. Rozalini pula ada kekangan keluarga. Maklum anak orang besar-besar ni, mereka tak mahu over exposedkan anak mereka.”
“Begitu?”
“Sayakan dah lama nak cadangkan orang ini.”
“Siapa, Kamal? Mesti artis mana-mana?”
Kamal Rashid tergelak mendengar dengus ketuanya.
“Encik Sulaiman memang pandai membaca fikiran saya. Penyanyi ni popular mendadak dan mencetus fenomena negara. Pemenang nyanyian realiti, namanya...”
Tidak sempat Kamal Rashid menghabiskan cakapnya, Sulaiman Adnan terus meningkah.
“Jangan harap saya nak lantik penyanyi sebagai ikon kita, Kamal!”
“Tapi...”
“Jangan memandai-mandai, Kamal. Cari orang lain. Bukankah saya dah tegaskan dari dulu. Jangan libatkan artis-artis semua tu...”
“Bos, dengarlah dulu penerangan saya!”
Tup.
Talian diputuskan. Kamal Rashid tahu, tidak mungkin dia dapat bertemu penyanyi pujaannya.















4


Wang Ringgit Malaysia tiga ratus, masih kekal terdampar di tempat ia diletakkan semalam. Tidak terusik. Seri Arina merenung dan terus merenung. Hatinya sedih dan sayu.
Haramkah duit itu di mata adik-adiknya? Terasa dirinya sungguh hina.
Razi dan Razlan, adik kesayangannya. Razlan lahir ketika dia berusia enam tahun. Setahun kemudian Razi pula lahir.
Kedua-duanya cukup rapat dengannya dan sering mengekorinya ke sana ke mari. Mereka tiga beradik macam belangkas. Di mana ada Seri, ada juga Razi dan Razlan.
Masa yang berlalu telah mendewasakan mereka. Kedua-dua abang dan adik itu kini mempunyai pemikiran sendiri, bertentangan dengan kakak mereka. Masing-masing mengaku diri dan prinsip mereka betul.
Wang RM300 itu ditenung lagi. Dia mendengar Razi meminta wang sejumlah itu dari ayahnya untuk membeli peralatan pelajaran, buku tambahan dan rujukan terkini. Dia yang menawarkan diri hendak memberi sebagai sumbangan seorang kakak. Nampaknya sumbangan itu tidak diterima.
“Kenapa?”
Emaknya, Anissa dapat membaca gelodak dalam hatinya.
“Sedih pasal duit tu?”
Mungkin sudah lama emak memerhati gelagatnya.
Itu bukan pertama kali Razi dan Razlan menolak sebarang pemberian daripada kakak mereka. Sekiranya pulang bercuti di rumah, bertegur sapa pun susah. Kedua-duanya lebih banyak berkurung di bilik, dan hanya keluar apabila kakak mereka tiada.
Tanda protes.
Seri Arina tidak menjawab soalan itu. Bukan hanya kesedihan yang dirasanya, dia juga kecewa. Hanya Razi dan Razlan dua adiknya dalam dunia ini.
Dia ingin membahagiakan kedua-duanya, begitu juga ayah dan emaknya. Dia mahu berkongsi segala apa yang ada, kemewahan yang sudah dikecapinya kini. RM300 apalah sangat.
Sejak Seri Arina dinobatkan sebagai juara pertandingan nyanyian Bintang-Bintang dan menjadi penyanyi terkenal, itulah pemula hubungan mereka menjadi renggang.
Kata adiknya, kerjayanya sebagai penyanyi adalah haram. Berilah fatwa dan rasionalnya, mereka tetap dengan keputusan yang berlawanan. Mereka ada hukum dan pendapat sendiri. Pada mereka yang salah tetap Seri Arina.
Begitu juga Seri Arina. Dia tegas dengan keputusannya. Dia juga bersekolah dan belajar agama... Dia nampak dari sudut yang lain, sudut yang mahu dipercayainya.
“Mereka belum boleh terima... Tunggulah dulu...”
Pujuk Anissa walau tidak menjanjikan apa-apa.
Pada si emak, ada beberapa pihak yang perlu berubah, Razi dan Razlan, Seri Arina sendiri dan juga dia dan suaminya. Dia perlu berhati-hati kerana banyak hati yang perlu dijaga.
Menarik rambut di dalam tepung bukannya mudah. Banyak kali Seri Arina mendengar emaknya berkata begitu dan dia sudah semakin berputus asa. Mungkinkah hubungan itu akan terputus terus?
“Dah empat tahun, mak...”
Empat tahun bukan jangka waktu yang singkat. Walau dia berjaya membina nama namun segalanya tidak bermakna sekiranya keadaan keluarga sendiri berkocak.
“Nak bersabar sampai bila lagi?”
“Teruslah bersabar... Walaupun sepuluh atau dua puluh tahun, Seri, kamu kena bersabar juga...”
Bagi Annisa, Seri Arina harus membuat keputusan juga nanti. Keputusan demi kebaikan mereka sekeluarga.
Razi dan Razlan bertegas tidak akan merestui jalan pilihan kakak mereka. Sejak empat tahun lalu sehingga ke hari ini apabila ilmu mereka makin bertambah, mereka tetap berpegang pada hukum yang telah dipelajari di sekolah.
Kedua-duanya dimasukkan ke sekolah agama sebaik sahaja tamat sekolah rendah, sama seperti Seri Arina dahulu.
Anissa turut merenung wang RM300 yang tidak diusik dua anak lelakinya. Kasihan Seri Arina… tetapi dia tidak boleh memaksa Razi dan Razlan sebagaimana dia juga tidak boleh memaksa Seri Arina menukar arahnya. Dia dan suaminya sekadar menasihat semampu boleh.
Kata Seri Arina, dia menyanyi untuk mencurahkan bakti suci. Anissa mengeluh, Seri Arina nampak pada kebaikan yang meluas sekali. Kebaikan yang mahu diterokainya.
Namun dia perempuan. Dunia seni tidak seratus peratus boleh disertai perempuan. Itu pendapat Anissa yang sudah beratus kali dilontarkan pada anaknya.
Namun anak perempuannya itu tetap berdegil. Bidang nyanyian bagi seorang wanita ada halal haramnya. Seri Arina mencari hanya yang halal itu. Bolehkah ditemuinya?
“Seri rasa, mak… Seri membawa pembaharuan dalam dunia seni. Masyarakat kita boleh memilih sekarang. Paling baik, yang buruk atau yang tengah-tengah. Seri hanya mahu jadi ‘yang baik’ itu...”
Itu bukan pertama kali Anissa mendengar azam dan cita-cita anaknya. Sudah banyak kali mereka berdebat, yang baik itu tidak mungkin dapat dikecap oleh seorang penyanyi wanita.
Batasan dan sekatan terlalu banyak. Namun Seri Arina tidak pernah setuju.
Seri Arina tetap berdegil dan mahu meneruskan kerjayanya sebagai penyanyi. Banyak kali dia bersuara, minatnya pada bidang nyanyian terlalu mendalam dan dia tidak mungkin berhenti menyanyi walau sudah berumah tangga nanti.
Sebagai ibu, yang terdaya dilakukannya hanya terus memelihara anak itu. Namun hati kecilnya tetap dipalit risau. Risau berdosa.

















Bila datang?”
Tanya Tania. Dia sedikit tersentak melihat Suraya sudah ada duduk di hadapannya.
“Ketuklah pintu... Kau ni...!”
Sambung Tania, pura-pura marah.
“Baru sepuluh minit saja! Terus masuk sini, tengok-tengok ada orang tengah mengelamun. Sorrylah pengarah urusan, aku ketuk bagai nak rak, kau yang tak dengar! Termenung eh, apa hal?”
Suraya mengetuk-ngetuk perlahan meja kaca yang memisahkan mereka. Lagu yang tiada irama membingitkan telinga.
“Tolonglah jangan ketuk meja... Bingit, tahu!”
“Bingit? Eleh... bingit konon... Kalau dengan aku, bingit... Kalau dengan Si Mun... er... Mike tu, tak bingit ya?”
Shut up, okay!”
Perkenalan antara Suraya dan Tania bukan baru. Mereka bersama sejak sekolah menengah dan kemudian terus menjalin persahabatan walau berlainan universiti.
Pendek kata, semua rahsia ada di tangan masing-masing. Rasa hati juga sudah dapat dibaca.
“Ini mesti bergaduh ni...”
Suraya mengenyit mata penuh makna, masih mahu mengusik temannya.
“Kau ingat aku ni tak ada kerja lain? Asyik bergaduh memanjang?”
Tania cuba beralasan, tidak mahu mencurahkan segala rahsia hati kerana bimbang ditertawakan. Suraya lebih tahu tentang dirinya berbanding keluarganya sendiri. Setakat ini, hanya perempuan itu orang yang dipercayai.
“Haiii... janganlah marah. Aku nampak Munirah... er... Mike tadi.”
Sengaja Suraya pura-pura tersasul. Seronok dia menyakat Si Tania.
“Kenapa Si Mike naik teksi, mana Harley yang berkilat dan berkilau tu?” sambungnya lagi.
“Bengkellah...”
“Ohh... rosak...! Tak apa... Kalau rosak, demi orang tersayang, Cik Tania boleh repairkan, hahahaa...!”
“Kau menyibuk ni apa hal?”
Tania mula panas hati.
Hahah... menyibuk memang kerja aku, tak faham-faham lagi? Tapi aku datang ni bukan saja-saja nak menyibuk, Tania. Kau ni nak terus bermenung atau mahu teruskan mesyuarat kita?”
“Mesyuarat?”
Tania benar-benar terkejut kali ini.
“Lupa eh? Hari ni kita sepatutnya bermesyuarat tentang album baru Seri Arina, tak ingat? Kita berempat, dengan Si Malek sekali...”
“Alamak! Aku lupalah! Ini Si Mike punya pasallah!”
“Hah... betul jangkaan aku. Pasti Mike punya angkara!”
Kedua-duanya tergelak kuat. Mereka berdua memang cukup serasi. Senang memahami hati masing-masing, tahu bila boleh bergurau dan bila pula perlu serius tentang perniagaan.
Tania menarik kotak kecil nipis dari beg tangannya. Batang kecil berwarna putih kemudiannya dikeluarkan. Dilurut-lurut kemudian terus diselitkan di bibir keringnya dan dinyalakan cepat-cepat.
“Apa pasal dia datang sini?”
Suraya masih tidak puas hati, masih mahu mengorek apa yang terjadi. Dia tahu ada berita terkini.
Asap berkepul-kepul dihembus ke muka Suraya. Perempuan itu tidak kisah malah tersenyum rela.
Tania faham maksud tersirat senyum penuh sindiran itu. Bibirnya diketap.
“Mike?” Terpacul nama itu lagi dari mulut Suraya.
“Mikelah! Takkan Michael Jackson pulak!”
Tania mengeluh.
“Aku tahulah. Michael Jackson pun sudah mati, kan? Apa hendaknya?”
“Memujuklah, apa lagi. Dia tu tak dapat terima hakikat, aku dah tawar hati dengan dia. Tapi... bila dia datang tadi, merayu-rayu, aku kesian pulak...”
Tiba-tiba Tania terbatuk-batuk. Entah sudah berapa ratus kali dia bertekad hendak berhenti merokok namun tidak pernah kesampaian. Tabiat yang menjadi rutinnya sejak sekolah menengah lagi sukar dibuang. Sukar membuang nikmat.
So?”
So... aku setuju untuk mencuba sekali lagi...”
“Laaa.... apa laaa?”
“Nak buat macam mana...! Tapi hanya sekali saja, tak boleh lebih!!”
“Habis, cinta baru macam mana?”
Tania tergelak nakal.
“Cinta baru simpan dulu, sorok-sorok, jangan sampai kau tahu...”
“Ohh... rahsia ya!”
Suraya tahu temannya mahu menyorok dahulu tentang perkara itu. Mungkin takut tidak menjadi.
Okay, let’s get to business. Sementara tunggu dua orang tu, kita bincang-bincang dulu. Album ketiga dah hampir setahun, baru sepuluh ribu unit terjual. Ciput. Apa rancangan kau, Suraya?”
“Aku buntu!”
Re-styling kita dah buat. Baju, mekap, personaliti, berpuluh ribu dah habis! Tak nampak ada perkembangan pun! Aku makin risau ni...”
Kalau tidak kerana Seri Arina laris di pentas, tentu mereka semua kecundang sama, kata hati Tania. Guli Records, gulung tikar!
“Masalahnya Tania, dengan imej Seri Arina yang bertudung tu, apa sangat yang boleh kita buat. Dia pulak tu ada banyak sekatan, seksi tak boleh, mekap tebal tak boleh, baju jarang tak boleh, asyik seluar longgar saja... Apa lagi yang boleh kita expose?”
Ini artis bertudung pertama yang diuruskan Suraya. Dia kadang-kadang sesak nafas dengan peraturan gadis itu dan keluarganya namun kerana nama besar Seri Arina, dia cuba untuk bersabar.
“Dulu kita semua setuju, imej bertudung itulah produk yang nak kita jual. Dia berbeza kerana itu, kerana tudung kepala tu. Kalau tidak, takkan dia diundi pemenang Bintang-Bintang dengan majoriti tiga kali ganda daripada pemenang kedua!”
Kedua-duanya terdiam seketika. Masing-masing sedar, jika jualan album Seri Arina yang ketiga tidak laku, masa depan gadis itu akan malap. Begitu juga Guli Records kerana hanya Seri Arina artis mereka yang paling terserlah buat masa ini.
“Dia memang unik... Sangat unik. Suaranya, gayanya, malah prinsipnya... tapi...”
Tania bagaikan sedang bercakap dengan dirinya sendiri. Matanya terpejam, bagai asyikkan sesuatu. Atau ghairah?
“Masih tak cukup?”
Suara Suraya menerjah membuatkan Tania sedikit tersentak. Rasa ghairahnya berkecai.
“Dia perlu dipanaskan, biar sentiasa disebut-sebut...”
Tania mula bersuara semula.
“Tapi dia dah popular di majalah! Muka depan majalah mana yang tak pernah dia muncul? Sepanjang tahun...! Sampai ada yang kata, bosan melihat mukanya!”
Suraya sedikit memprotes pendapat temannya itu.
Tania berfikir-fikir lagi. Ramai yang mengata bosan, tetapi kenapa Seri Arina tetap dipilih pihak media? Dia dikejar setiap hari untuk mendapatkan cerita terkini. Kelainan perempuan itu juga yang disebut-sebut, walau sudah basi!
“Tetap tak cukup! Kau tahu kenapa? Sebab ceritanya sentiasa sama. Asyik-asyik cerita prinsip, cerita tip belajar, tip bersama ibulah dan semuanya yang baik-baik belaka. Memanglah orang akan bosan! Aku pun bosan!”
Hehehe... kau memang cepat bosan! Aku tahu benar. Heheh... So?” Sempat juga Suraya mengusik.
Suraya kembali menumpukan perhatian kepada temannya.
“Mungkin apa yang dia perlukan sesuatu yang berbeza dari itu. Paling kontroversi, yang buruk dan berbeza dengan penampilan zahirnya.”
Tania menjelaskan apa yang terlintas di fikirannya tika itu.
“Yang buruk? Biar betulll!”
Suraya seakan tidak mempercayai akan apa yang didengarinya sebentar tadi.
“Betullah! Dari situ orang mahu tahu lagi dan lagi. Secara tak langsung orang rujuk lagunya dan mungkin beli albumnya. Apa macam?”
“Itu teorinya?” Suraya bertanya.
Well, my theory...”
Tania mengangguk tanda mengiakan.
But, how?”
Suraya mula berminat hendak mendalami teori temannya. Tangannya menongkat dagu.
Hmmm... mari kita fikir sama-sama...” cadang Tania.














6


Pintu diketuk perlahan dari luar. Muncul Malek, penerbit album terdahulu Seri Arina.
Malek, awal 50-an namun orangnya awet muda. Bertubuh sederhana, kalau dikata umurnya 35 tahun pun orang akan percaya. Dia selalu tampil bergaya tetapi hari itu rambutnya tampak tidak terurus kerana semalaman sibuk di studio kerana menguruskan rakaman penyanyi baru, Zaza. Hari itu, belum sempat balik ke rumah, dipanggil mesyuarat pula.
“Macam mana recording?” Tanya Tania.
Recording?” Malek seperti kehairanan pula.
“Zaza?” Tania mengingatkan.
“Ohh... Zaza... Hmmm... Zaza... She’s okay...”
“Okey saja?”
Tanya Tania lagi, tidak puas hati dengan jawapan Malek.
Malek tidak menjawab. Apa yang boleh dijawabnya. Dia mengerling ke arah Suraya yang sedang sibuk bercakap di telefon, entah dengan siapa.
Zaza memang cantik, seksi dan boleh menyanyi. Namun perempuan 20 tahun itu kena dikembangkan kelopaknya. Selagi kelopaknya kuncup, orang tidak akan sedar kewujudannya. Keistimewaan tersendiri? Zaza tidak seperti Seri Arina. Zaza tidak boleh dilitupkan seperti bintang realiti itu.
“Assalamualaikum...”
Akhirnya, sampai juga si ‘bintang’ utama. Perbincangan tentang Zaza menuju noktah, tidak dapat diteruskan. Siapalah Zaza dibandingkan Seri Arina...
Masing-masing melemparkan senyum plastik semanis mungkin kepada Seri Arina.
“Maaf lambat sikit. Ada lagu baru yang Encik Malek suruh berlatih. Jadi, tersasar waktu sikit.”
Seri Arina menjelaskan penyebab kelambatannya. Dia terus duduk di kerusi paling kanan di sebelah pengurusnya, Suraya.
Tania mengangguk-angguk. Dia tahu kelambatan Seri dan Malek kerana kedua-duanya terikat dengan jadual latihan sendiri. Seorang perlu menyiapkan rakaman penyanyi baru, seorang lagi perlu berlatih lagu baru. Studio Guli Records terletak di tingkat dua bangunan sama, senang dia turun naik menemui mereka.
Seri Arina artis mereka yang paling berdisiplin dan tidak pernah menyusahkan syarikat dengan masalah peribadinya selama ini. Seri Arina artis yang punctual, sekiranya lambat pun, jarang melebihi 10 minit.
“Wah, berseri-seri awak hari ni, jean baru?”
Pujian Tania ditujukan pada Seri Arina. Matanya merenung gadis itu dari atas ke bawah membuatkan empunya diri rasa tidak selesa. Wajahnya mendadak berubah.
Suraya yang mendengar, tersenyum sinis. Jean baru? Itu jean tajaan sejak Seri Arina baru menang pertandingan lagi! Dia tahu Tania memang suka merepek apabila gadis itu ada bersama.
“Tengah discuss apa? Sampai mana?”
Tanya Seri Arina, tidak melayan pun soalan mengada-ada Tania tadi.
Errr... belum bermula lagi. Tunggu awak berdualah!”
Jawab Suraya sambil menjeling Tania. Petanda apa yang mereka bincangkan tadi hanya untuk mereka berdua. Seri Arina tidak perlu tahu.
Tania faham benar. Dia dan Suraya, seperti ada jalinan kimia yang memungkinkan mereka dapat membaca hati masing-masing tanpa perlu berbicara.
Suraya memberi isyarat mata pula, mengingatkan Tania supaya membuang puntung rokok yang masih berbaki di tangannya. Seri Arina memang pantang asap rokok!
Apabila Seri Arina memilih untuk bernaung di bawah label Guli Records, ia umpama hujan rahmat yang selama ini dinanti-dinanti. Kegersangan Guli Records mula berakhir.
Album pertama Seri Arina selepas bergelar juara berjaya terjual lebih 500,000 unit. Dia bergelar jutawan serta-merta. Jumlah itu menurun untuk album kedua dan album ketiga semakin nazak. Laporan akhbar mengatakan peminat jelak dengan identiti lagu Seri yang tidak berubah. Ada juga yang mahu perubahan dari segi penampilan dan itu sudah pun dibuat. Dibuat dengan batasan Seri Arina sendiri.
Walau album tidak laku, Guli Records masih dapat bernafas dengan jumlah persembahan pentas yang datang ke pangkuan Seri Arina. Dari situ mereka berkongsi peratusannya bersama-sama. Setiap bulan, tidak kurang dari RM100,000 masuk ke poket Seri Arina sendiri. Begitu juga pihak syarikat.
Tania akur, kerja keras Suraya antara penyumbang yang banyak membantunya. Cuma kini, kerja keras itu kena digandakan lagi. Mungkin tiga kali ganda.
“Hari ini kita mahu berbincang tentang konsep album keempat Seri Arina... Malek? Apa cadangan awak?”
Walaupun album ketiga tidak laku, album keempat kena juga dibuat kerana kelahiran album baru akan memberi maksud kelahiran serba baru si penyanyi dari sudut imej, jenis lagu dan pembaharuan.
“Kelmarin saya ada berbincang sedikit dengan Seri. Dia setuju dengan konsep pop, lima puluh peratus rancak, tiga puluh peratus sentimental, dua puluh peratus lagi tradisional. Lagu berunsur tradisional kita ada beberapa buah dari komposer yang sedang meningkat naik. Sedap-sedap juga lagunya, Seri hanya perlu pilih...”
“Pop? Kenapa pop saja?” Tanya Tania.
Pada Tania, dia lebih suka konsep album dipelbagaikan. Dia nampak konsep ‘rojak’ telah digunakan oleh banyak penyanyi dan ternyata cara itu berkesan, dapat memancing lebih banyak kepala yang berbeza minatnya.
“Sebab, kita nak kembali pada style lagu Seri dalam album pertama dulu. Kita cuba buat R&B tapi nampaknya peminat tak boleh terima... Hanya satu lagu Seri, Mimpi, yang hit...”
Semua orang tidak mahu memberi komen panjang tentang hal ini walau di hati masing-masing meletakkan kesalahan kepada cubaan Malek yang mahu Seri Arina menyanyikan lagu R&B. Nasi sudah pun menjadi bubur.
“Lima puluh peratus, rancak?” Suraya pula bertanya.
“Sebenarnya, saya sendiri yang minta diperbanyakkan lagu rancak sebab untuk disesuaikan dengan jiwa kebanyakan peminat saya yang masih muda. Cuma, lirik lagunya masih tak berubah... Masih ada ciri-ciri dakwah dan pengajaran...”
“Rancak...? Nanti kena menari pulak...” Masih Suraya yang bersuara.
“Lagu nasyid pun banyak yang rancak, Su. Tak pulak mereka terkinja-kinja menari!” Tegas suara Seri Arina.
“Cik Tania,” Malek cepat-cepat meningkah, malas hendak mendengar ‘ceramah’ Seri Arina.
“Bila agaknya album keempat Seri ini akan dilancarkan? Bukan apa, nak tengok jadual saya...”
“Wah! Wah! Malek, saya tahu awak banyak projek lain! Jangan terlalu sibuk hingga lupakan kami pula!” Tania mengusik.
“Bukan begitulah...”
Malek malu-malu, segan apabila dikatakan dirinya menjadi rebutan. Dia kini juga melalui zaman suramnya. Sekiranya tidak kerana Seri Arina dan peluang dari Guli Records, mungkin sudah lama dia terpinggir. Dia harus berterima kasih kepada Suraya.
“Saya cuma nak lebih terancang, itu saja.”
Dia mengerling Suraya yang turut tersenyum memandangnya.
“Sekarang bulan Mei... Sementara itu, saya nak kita berusaha tingkatkan lagi jualan album ketiga ini. Kalau dapat jual lima puluh ribu pun jadilah... Hmmm.... untuk album keempat, Februari tahun depan, boleh?”
Seri Arina juga mengangguk, setuju dengan cadangan Tania. Begitu juga Malek. Bulan Februari memang Suraya telah mengosongkan sedikit aktivitinya.
“Kalau begitu, November saya kosongkan jadual untuk tumpukan pada album Seri. Hmmm... Cik Tania, saya ada satu cadangan...”
“Cadangan apa?”
“Perkara ini saya pernah cakapkan pada Suraya. Apa kata sebelum Seri Arina keluar album penuh, kita buat single dulu?”
Hmmm... cadangan yang baik. Lagipun, itu sudah jadi arah aliran di negara kita. Bagus juga... Seri, awak setuju?”
Seri Arina mengangguk-angguk. Dia juga rasa itu idea yang baik.
“Kita buat dua bulan sebelum pelancaran album penuh. Awak ada cadangan lagu... yang dijangka dan diyakini boleh hit, Malek?”
“Ada.... tetapi lagu duet...”


 





7


“Duet?”
Tiga suara serentak bertanya. Suara Seri Arina, Tania dan Suraya. Adakah Malek mahu melanggar sekatan?
“Dengar dulu.... jangan terkejut dulu...”
Malek mengangkat tangannya.
“Bukan lagu saya tetapi lagu komposer Azzat. Saya sudah dengar, memang sedap dan gerenti meletup!”
Ini bukan pertama kali mereka di dalam bilik itu mendengar janji-janji Malek tentang keyakinannya pada lagu yang dijangka meletup. Album ketiga dahulu pun begitu namun yang popular hanya sebuah lagu. Itu pun kerana lagu ‘Mimpi’ ada mencampurkan sedikit unsur pop.
“Tapi kenapa duet?”
“Bukan sebarang duet, Cik Tania. Saya cadangkan Seri Arina berduet dengan Jazz.”
“Jazz???”
Sekali lagi tiga suara perempuan dilontar serentak. Itu sekatan terbesar Seri Arina. Tidak boleh langsung menyanyi dengan lelaki.
“Jazz? Jazz Rahimi?”
Seri Arina ingin mengesahkan. Berguraukah Malek?
Malek, you’re not joking?”
Tanya Tania. Dia tahu rancangan Malek ini juga baru diketahui Suraya kerana mata perempuan itu turut terbeliak sepertinya.
“Kita bercakap tentang Seri Arina sekarang!” Tania mengingatkan lagi, memalingkan kepalanya ke arah Suraya. Mereka berbalas pandang.
Sekiranya tentang Seri Arina, semua orang, di dalam ataupun luar Guli Records tahu segala syarat dan sekatannya.
Siapa yang tidak kenal Jazz, penyanyi muda yang penuh dengan kontroversi demi kontroversi. Dari pengakuan mengukir tatu di lengan, sampailah mabuk-mabuk hingga kemalangan jalan raya. Jazz memang popular dengan lagunya yang sedap, sentiasa hangat di pasaran dan juga tingkah laku liarnya yang tiada sempadan. Namun dia tetap digilai terutama perempuan yang sanggup menghadiahkan diri secara percuma.
Azzat, komposer veteran bertanggungjawab menaikkan nama Jazz. Dia yang selalu berjaya mencipta lagu ‘meletup’ untuk penyanyi itu.
“Dalam sebulan dua ini heboh dengan cerita Jazz yang sudah insaf setelah kembali dari umrah. Imejnya juga berubah mendadak. Saya nampak imej Jazz serasi dengan Seri Arina...” kata Malek.
“Oh? Jazz insaf setelah pergi umrah?”
Suara Suraya jelas sangsi dengan apa yang didengarnya dari mulut Malek. Dia ragu pada ‘keinsafan’ Jazz. Dia bukan hanya kenal lelaki itu dari pandangan jauh malah mereka selalu bertemu di majlis sama yang melibatkan pertunjukan Seri Arina juga. Banyak yang boleh disaksi di belakang pentas!
“Takkan awak tak baca akhbar, Suraya! Sejak seminggu ini, muka dia saja yang dipaparkan setiap hari. Cerita mabuk-mabuk semua pun dah hilang.”
Seri Arina terus menggeleng. Dia tidak setuju dengan rancangan Malek kerana kelibat Jazz bukan asing pada pandangan matanya. Banyak kali mereka terserempak. Pergaulan bebas dan sikap Jazz bukan sesuatu yang mahu dia kongsi di dalam albumnya.
Sudah insaf? Terlalu awal untuk mempercayai apa yang dihebohkan media. Apa yang terjadi sungguh mendadak. Seri Arina tidak yakin. Memang mereka perlu bersangka baik tetapi keyakinan bukan mudah ditanam begitu sahaja.
Baguslah jika Jazz sudah insaf dan mahu mengubah imej, tetapi itu tidak membuatkan dia mahu berduet dengan lelaki. Dia tidak akan mengubah prinsip semata-mata kerana Jazz sudah insaf.
“Saya tak setuju...”
“Kenapa, Seri? Dia tak cukup baik untuk awakkah?”
Sinis suara Malek membuatkan wajah Seri Arina berubah. Tania dan Suraya menjeling Malek. Mereka risau kata-kata itu akan melukakan hati Seri Arina. Mesyuarat nampaknya berubah rentak. Kelancaran di permulaannya mula bertukar nada. Ombak mula melanda.
Seri Arina cuba mengawal dirinya. Dia tahu Malek memerlinya.
“Bukan dia tak cukup baik kerana saya juga tak sebaik mana. Saya hanya manusia biasa, Encik Malek...”
“Manusia boleh berubah, dari buruk ke baik dan sebaliknya. Awak tahu, kan?”
Seri Arina tidak menafikan keadaan itu cuma dia rasakan mereka perlu lebih matang. Matang bermakna bersabar. Tengok dulu perkembangan Jazz dalam sebulan dua.
“Saya dan Jazz tak mempunyai prinsip yang sama dalam muzik. Jangan salah sangka, saya bukan memandang rendah pada muzik hip hop yang dibawanya, tapi ada banyak elemen lain yang membezakan kami. Ingat lagi lagu berunsur lucah yang diharamkan kerajaan dulu? Itu sudah jelas menunjukkan prinsip dia dalam menghasilkan lagu...”
Dan juga komposer Azzat, kata hati Seri Arina.
“Tapi dia dah berubah! Awak faham tak?”
“Mana Encik Malek tahu? Dah jumpa dia? You pun hanya baca di akhbar, kan?”
Kali ini giliran Seri Arina pula memerli.
“Isy... Susahlah macam ni...!”
Malek mula naik angin. Dia risau janjinya pada Azzat tidak dapat dikotakan. Azzat hendak sangat lagunya dinyanyikan oleh Seri Arina. Entah apa yang dibanggakan benar khalayak komposer sejak empat tahun lalu pada perempuan itu. Pada mereka, jika lagu dinyanyikan Seri Arina, baru kerjaya mencapai kemuncaknya. Merepek!
“Malek!”
Tania cepat-cepat meningkah apabila dilihatnya suasana semakin panas. Malek memang dikenali dengan sifat panas baran dan tidak suka dikritik. Hendak mengkritiknya kena mempunyai cara dan diplomasi tersendiri. Seri Arina terlalu hijau dalam bidang itu.
“Saya setuju pendapat awak, yang kita boleh menggunakan Jazz untuk menaikkan nama Seri dalam keadaan kontroversi begini... Tapi saya juga setuju dengan Seri yang mereka berdua tak sesuai digabungkan.”
Seorang berimej alim dan seorang lagi berimej liar, mana keserasiannya?
“Kenapa?”
Malek masih tidak puas hati. Wajah Azzat terbayang di matanya. Dia bercakap besar, konon Seri Arina sentiasa menurut kata-katanya.
“Sebab Seri Arina ada imejnya tersendiri. Kita tak mahu imej itu tercalar...”
Jawab Tania. Dia risau jika perkara ini diperbesarkan, mereka akan kehilangan Seri Arina. Dia lebih rela kehilangan Malek dan juga lagu dari komposer Azzat. Sebaliknya dia tidak mahu kehilangan Seri Arina yang selama ini menjadi lubuk emas Guli Records. Seri Arina mesti kekal di Guli Records!
“Oleh Jazz?”
Iya!”
“Awak memandang rendah pada orang seperti Jazz, Cik Tania. Dia sudah berubah... Setiap hari kita baca di akhbar tentang perubahan yang dialami Jazz sebaik pulang dari Makkah...”
Dari merenung Tania, Malek berpaling kepada Seri Arina pula.
“Sepatutnya, orang alim macam awak ni menerima Jazz. Atau... awak nak awak sorang saja yang nampak baik dalam industri ini?”
“Apa maksud Encik Malek?”
Nada suara Seri Arina sudah semakin berubah. Kesabarannya semakin menipis.
“Yalah, manalah tahu. Awak takut Jazz jadi saingan awak ke...? Memang ada orang yang bersikap begini...”
“Memang ada, tetapi bukan saya.”
Seri Arina beristighfar di dalam hati.
“Apa yang saya rasakan, pulang dari Makkah bukan jaminan keinsafan manusia akan kekal. Sudah banyak cerita serupa yang kita dengar tentang artis dan orang biasa yang berubah sekejap, beberapa bulan saja kata bertaubat, lepas itu kembali ke sikap dan gaya asal.”
Suasana semakin tegang dan keempat-empat ahli mesyuarat menarik nafas masing-masing. Cuba meredakan ketegangan dan mencari idea untuk terus memberikan pendapat.
Malek masih tidak puas hati dan mahu berdebat lagi. Dia rasa diperkecilkan oleh penyanyi muda itu. Egonya tersentuh.
“Suraya? Diam saja, apa pendapat kau?”
Tanya Tania. Suraya tersenyum nipis.
“Bagi saya, tiada salahnya jika Jazz betul-betul sudah berubah atau tidak. Bukan kena-mengena dengan kita pun. Atau kena-mengena dengan Seri Arina. Yang penting, kontroversinya dapat membantu Seri Arina...”
Itu memang sikap Suraya. Dia tidak suka berfikir hingga ke akar umbi. Paling penting, ambil sahaja kesempatan di hadapan mata.
“Tapi bagaimana dengan imej Seri?”
Tanya Tania. Masih tidak jelas dengan kata-kata Suraya itu.
“Tania, imej Seri tetap kekal di tempatnya... Mungkin dia akan lebih dihormati kerana berani mengajak lelaki yang penuh kontroversi dan ‘jahat’ seperti Jazz, berduet dengan dia... Orang akan nampak Seri Arina sebagai insan yang bersifat terbuka...”
“Tapi saya tak mahu nampak seperti itu!”
Tegas Seri Arina. Dia tidak suka dengan apa yang didengarnya dari Suraya. Sebagai pengurus, Suraya sepatutnya lebih di pihaknya, bukan Malek.
No duet, especially with a man!” Tegas Seri Arina, nyata dia tidak mahu berkompromi.
Hmmm...”
Tania menarik nafas sambil berfikir-fikir tentang apa yang dikatakan oleh Suraya dan juga Seri Arina.
“Kita jangan terburu-buru menerima ataupun menolak. Apa kata kita semua, terutama Seri Arina berfikir dulu tentang perkara ini. Biar kita sama-sama rasional... Boleh?”
Semua mengangguk-angguk, setuju dengan cadangan Tania. Malek, Suraya dan Tania masing-masing ada perancangan sendiri. Rancangan itu akan berjaya jika Seri Arina mengikut kata mereka.














8


Hasni Abdul Ghani, nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Di kalangan pengikut setia dunia hiburan, dia wartawan yang paling popular dan disegani orang baru mahupun lama. Tulisan Hasni sentiasa tajam menikam dan mengena. Pedas, pahit dan masam semuanya cukup serba perisa. Namun semua selebriti mahu dirinya ditulis Hasni.
Popular sekadar nama tetapi tidak ramai pembaca yang mengetahui paras rupanya. Dari segi itu Hasni sangat misteri. Dia bukan wartawan yang mengejar glamor.
Kalangan penggiat seni sahaja yang mengenali rupa paras wanita itu kerana sering berdepan dengannya.
Termasuk Annisa, ibu penyanyi terkenal Seri Arina.
“Mak cik!”
Hasni yang menegur dahulu, dilihatnya wanita itu sibuk membelek buku-buku yang disusun rapi dan juga mengintai dari rak ke rak. Penuh minat dan khusyuk sekali.
Annisa berpaling.
“Hasni!”
Senyum manis dilemparkan walau sebenarnya dia agak terkejut. Tidak sangka bertemu orang yang dikenali di situ. Wartawan Hasni pula!
“Rasa macam mimpi pulak?” Kata Annisa sambil menghulur tangan bersalaman.
“Sebab jumpa di kedai buku?” Balas Hasni, lebar senyumnya.
Iyalah, selalu kita berjumpa di majlis rasmi, pertemuan media ataupun lepas konsert. Mana pernah berjumpa di kedai buku...!”
“Mak cik buat apa di sini?” Tanya Hasni.
“Cari buku, Hasni. Selalu kena menunggu Seri recording, bosan... Daripada buang masa, melopong, lebih baik membaca. Kamu?”
Hasni mendekat, melihat beberapa buku yang sudah dikumpul Annisa. Baru kini dia tahu, wanita itu minat membaca. Satu lagi cerita yang boleh dijadikan bahan dalam cabang artikelnya.
“Saya mencari kamus terkini, mak cik...”
Annisa tergelak.
“Kamus?”
“Ya, kamus. Kamus yang saya ada edisi lama, sepuluh tahun lalu. Dah lunyai, antik pun sama. Banyak ejaan baru yang saya tak pasti lagi kerana sering diubah-ubah setiap tahun. Kebetulan saya baru habis tugasan di sekitar sini dan ada sedikit masa terluang. Terlihat pula kedai buku ni, itu yang menyinggah,” cerita Hasni panjang lebar.
“Nasib baik singgah, dapat jumpa mak cik!”
“Oh, begitu... Selepas ni kena balik pejabatlah?”
“Ada tiga jam lagi sebelum tugasan seterusnya, mak cik. Saya nak makan tengah hari, kemudian solat... kemudian baru pergi. Petaling Jaya, dekat saja.”
“Kita makan tengah hari bersama?” Cadang Annisa.
“Mak cik sorang saja? Mana pak cik, mana Cik Seri kita?”
“Pak cik di rumah... Seri ada mesyuarat di atas,” Annisa menunjuk ke arah bangunan sejauh 100 meter dari tempat mereka berdiri. Di situ terletaknya Guli Records.
“Sudi tak?” Tanya Annisa.
“Mestilah sudi...”
Hasni tersenyum. Dia jarang merapatkan diri dengan ahli keluarga artis-artis pernah ditemu bualnya. Namun Seri Arina dan ibunya tidak sama, terkecuali. Mungkin kerana keikhlasan terpancar di mata wanita itu berbanding kebanyakan ahli keluarga artis yang lain, yang selalunya menjalin hubungan dengannya kerana mempunyai niat tersendiri. Niat mahu anak mereka diberi publisiti sepanjang masa supaya melonjak populariti. Ah, itu semua perkara biasa dilaluinya.
“Mak cik teringin nak makan roti nan, kedai mamak di hujung sana saja... Boleh?”
Hasni mengangguk. Perutnya lapar jadi apa sahaja dirasakan sesuai pada tekaknya ketika itu. Perjalanan ke kedai mamak di hujung bangunan tidak jauh tetapi beberapa kali langkah mereka tersekat kerana ramai orang mula keluar untuk makan tengah hari. Beberapa kali juga beberapa orang tertoleh-toleh dan berbisik-bisik kerana perasan kehadiran Annisa di laluan yang sama dengan mereka.
“Ramai yang kenal mak cik, ya?”
Dulu mak cik hairan jugak. Mak cik dan pak cik pun orang kenal?” Annisa tersenyum, kemudian tergelak kecil.
“Macam tak sesuai saja.”
“Mak cik dan pak cik selalu masuk majalah, kan? Mestilah orang kenal.” Hasni mengusik.
Iyalah. Memang mak cik tak mahu, tapi kata Suraya ia perlu untuk membantu karier Seri. Sekali-sekala saja mak cik ikutkan. Selalu jugak mak cik tolak kerana tak mahu melebih-lebih pulak... Apa pulak orang kata.”
“Melebih-lebih?”



 





9


Mereka akhirnya sampai ke restoran kari kepala ikan yang dituju. Annisa memilih tempat paling tepi sebelah kanan, selorong kaunter pembayaran. Tempat yang paling selesa kerana ada pengadang kayu serta lebih sejuk di situ. Agak tersorok tempatnya.
“Melebih-lebih?”
Tanya Hasni setelah masing-masing memesan makanan dan minuman.
“Sambung semula...” Pinta Hasni, yang meminta Annisa menyambung semula perbualan yang terhenti tadi.
“Kamu ni, Hasni, ingat saja...”
“Tentulah ingat. Mana boleh lupa. Memang saya tak buka buku nota tapi nota yang lebih kuat ada dalam kepala,” Hasni menekan-nekan kepalanya, tanda otaknya berada di situ. Dia membetulkan duduk.
“Bagus betul wartawan sorang ni...”
“Selama empat tahun saya mengenali mak cik, saya tak pernah nampak pun mak cik berlebih-lebih... Mak cik... hmmm... mak cik jarang bersuara. Tapi, walaupun begitu saya tahu mak cik dan pak cik sangat menjaga Seri Arina. Betulkan? Maksudnya, mak cik bukan jenis orang yang lepas tangan.”
Terutama dengan pengurus Seri Arina, Si Suraya. Memang tidak boleh dilepas tangan langsung, kata hati Hasni. Dia cukup mengenali perempuan itu, begitu juga Tania, tuan punya Guli Records.
Annisa mengeluh.
“Kamu nampaknya selalu memerhati mak cik...”
“Kenalah jadi pemerhati yang baik, mak cik. Bukanlah memuji diri sendiri, tapi sudah menjadi sikap saya. Pemerhatian jarang menipu mata sendiri. Kalau nak pasti lagi, saya suka bertanya berdepan saja,” Hasni menyatakan prinsipnya.
“Saya tak suka menuduh dan tak suka cakap belakang.” Sambung Hasni.
“Mak cik faham. Semua orang ada etika dan prinsip tersendiri.”
“Seri Arina pun... Betul?”
“Hidup Seri berubah tiga ratus enam puluh darjah setelah dia menjadi penyanyi...”
“Penyanyi yang popular, mak cik,” Hasni membetulkan.
“Ya, sudah rezeki dia dapat jadi popular. Dia memang bernasib baik. Mak cik tak nafikan, banyak kelebihan yang berjaya dikecap Seri, yang orang lain tak dapat. Tapi bukan kehidupan dia saja yang berubah, kami sekeluarga pun. Saudara kami yang jauh-jauh pun terkena tempiasnya,” Annisa membuka cerita.
“Yang dulu tak ada kena-mengena, sekarang mengaku saudara pun ada, kan? Tentu ada yang begitu, mak cik.”
“Ada... tapi taklah ramai. Kebetulan, mak cik dan suami memang datang dari keluarga yang kecil. Tapi, mak cik tak nafikan, keluarga yang kecil pun bukan senang nak dijaga. Saudara-mara, ipar-duai, bukan semuanya ikhlas dengan kita... Ini... off record, ya?”
Annisa mengingatkan Hasni. Dia semakin faham kaedah berbual dengan wartawan, pelajaran yang dikutipnya dari pengalaman Seri Arina.
“Saya faham. Ini sembang-sembang kita saja, ya! Saya tak akan tulis punya.” Hasni mengenyit mata.
“Mak cik percaya Hasni...” Beritahu Annisa.
“Insya-Allah, saya sentiasa berpegang pada janji...” Janji Hasni.
“Apa yang terjadi pada Seri Arina, kemewahannya, popularitinya, kejayaannya dan kedudukannya sekarang membuatkan mak cik semakin menghargai persahabatan...”
Annisa menghirup air tembikai berais yang baru dihidangkan di atas meja, kemudian menyambung lagi.
“Sahabat... susah benar mencari sahabat sekarang. Boleh dikatakan, mak cik kehilangan semua tu. Semua orang tiba-tiba mempunyai agenda tersendiri dalam menjalin persahabatan dengan kita.”
“Saya faham...” Tambah Hasni, meniup-niup teh tarik yang dipesannya. Dia menunggu sehingga air itu sedikit sejuk sebelum meminumnya. Teh panas tidak enak dinikmati.
“Hidup kami sekeluarga semakin sunyi, kami hanya ada antara satu sama lain saja... Sesama kami...”
Hasni melihat wanita di hadapannya merenung jauh. Jauh melepasi kedai mamak itu dan entah ke mana penghujungnya.
Rasa kasihan bertapak di hati. Jadual Seri Arina sentiasa sibuk, sering dikelilingi ramai orang dan setiap kalinya, ibu bapanya ada menemani. Hiruk-pikuk, riuh-rendah sudah menjadi perkara biasa tetapi wanita itu mengatakan hidupnya penuh sunyi.
“Mak cik, siapa kawan-kawan Seri Arina sekarang?”
Annisa tersentak. Dia mengelamun beberapa saat. Mengenangkan nasib diri dan pengorbanan yang perlu dilakukan sebagai ibu yang terlalu mengasihi anaknya.
“Kawan?”
“Ya. Seri Arina ada ramai kawan tak? Kawan-kawan lama ataupun sudah ada kawan-kawan baru. Sesama artis?”
Annisa berfikir-fikir. Sesuatu datang dalam fikirannya.
“Bila Hasni tanya begini baru mak cik teringat. Seri Arina juga sunyi hidupnya sepanjang empat tahun ni. Dia ada kawan-kawan dulu, tapi semuanya dah membawa diri. Gaya hidup mereka tak sama lagi dengan Seri. Kawan baik Seri? Errr... dulu ada Si Juliana, Mazni dan beberapa lagi kawan sekolahnya, tetapi mereka makin senyap sekarang.”
“Kesibukan Seri Arina agaknya menjadi punca,” Hasni memberi pendapat.
“Mungkin jugak. Sesama artis? Memang Seri tak punya sesiapa pun di sekitar itu. Sebabnya, kami sentiasa ada dan kebebasan Seri sangat terhad. Habis pertunjukan terus balik ke rumah. Tak sempat berkawan-kawan. Lelaki langsung kami tak benarkan. Banyak sangat buruknya dari yang baik.”
“Baguslah, Seri Arina anak yang menurut,” puji Hasni.
“Dia anak yang baik...” Annisa mengiakan.
“Mungkin Seri Arina sangat berhati-hati dalam memilih sahabat, mak cik?”
Annisa mengangguk.
“Dia masih muda. Dia patutnya ada rakan sebaya. Tapi yang ada sekarang hanya Suraya, pengurusnya tu.”
“Suraya?”
“Kenapa muka mak cik macam tak suka saja?” Hasni menduga.
“Kadang-kadang kita mahu membuat pilihan, tapi tak ada... Suraya...”
Annisa berkira-kira sebelum menyambung kata-katanya.
“Kenapa dengan Suraya, mak cik? Dia pengurus Seri, tentu mak cik pun rapat dengan dia.”
Annisa melepaskan keluhan.
“Sebenarnya...”
Suasana yang hening tiba-tiba terganggu dengan bunyi kaca jatuh berderai. Hasni dan Annisa sama-sama berpaling.
“Apa yang pecah?” tanya Annisa.
“Gelas kut. Ada orang terlanggar gelas tu. Alamak!” Jawab Hasni.
“Kenapa ‘alamak’? Bos kamu datang, ke?”
Hasni tergelak, ternyata Annisa pandai juga bergurau.
“Bukan boslah, mak cik. Sulaiman Adnan tu...”
Hasni memuncungkan mulutnya, menunjuk ke arah dua lelaki yang sedang berdiri di kaunter pembayaran. Mereka hendak keluar nampaknya.
“Siapa?”
“Sulaiman Adnan, mak cik tak kenal?” Tanya Hasni.
“Pernah dengar namanya, orang politik, kan?”
Iya... Hmmm... di luar lagi handsome dia....”
“Ewah, Cik Hasni kita berminat ke?” Usik Annisa.
“Minat tengok saja, mak cik.”
“Yang baju biru?” Annisa mahu mengesahkan.
“Bukan. Kemeja petak-petak, yang tinggi sasa tu...”
“Oh? Yalah, handsome orangnya...”
Hmmm... orang politik pun makan kedai mamak saja. Dia ini jenis lelaki yang merendah diri. Kata kawan-kawan saya yang bertugas di meja politik, Sulaiman Adnan memang lain daripada yang lain...”
“Sebab dia handsome?” Annisa bergurau lagi.
“Itu salah satunya. Kata kawan saya, dia memberi wajah baru dalam dunia politik. Dia ‘bersih’. Ala-ala Mr Clean.”
Annisa mengangguk, faham dengan maksud Hasni.
“Baguslah jika betul wujudnya orang sebegitu di dunia politik... Mr Clean? Macam kedai dobi pula, heheh. Bujang?”
Annisa masih mengintai-intai lelaki yang belum dapat keluar dari kedai mamak walau sudah selesai membayar harga makanannya. Ramai yang sudah mengerumuni apabila tahu kehadirannya di situ. Hebat juga Sulaiman Adnan.
“Rasanya duda. Duda anak satu. Tetap kategori bujang, kan?”
“Ya, bujang. Dia tak popular sangat, kan?” Tanya Annisa lagi.
“Tak sangat. Dia ni low profile...”
Annisa melihat Sulaiman Adnan dan temannya akhirnya keluar dari kedai mamak itu setelah bersalam dengan ramai orang yang mengelilingi mereka. Sesuatu yang sering terjadi pada Seri Arina walau di mana sahaja dia berada.
Sebelum berlalu lelaki yang seorang lagi, yang lebih rendah berbisik sesuatu dan menunjuk ke arah tempat duduk Annisa dan Hasni. Sulaiman Adnan turut mengerling, mereka bertentang mata. Tanpa sebarang reaksi, lelaki itu meneruskan langkahnya.
Apa yang dibisikkan lelaki itu? Kenapa Sulaiman Adnan merenung ke arah mereka? Hati Annisa tertanya-tanya.















10


“Emak artis pun awak kenal, Kamal?”
“Mestilah kenal, bos. Dia bukan emak sebarang artis. Dia emak Seri Arina... Dia ini satu fenomena, bos!”
Tangan Kamal Rashid sengaja didepangkan, tanda kehebatan dan kebesaran orang yang sedang disebutnya. Fenomena kononnya.
“Apa-apa sajalah...”
Ternyata Sulaiman Adnan tidak berminat hendak mengetahui lebih lanjut lagi. Dunia hiburan suatu cabang kehidupan yang tidak pernah berjaya memancing minatnya selama ini. Berbeza sungguh dirinya dan Suraya. Bagai langit dengan bumi.
“Emak penyanyi terkenal pun sanggup makan di kedai mamak? Huh, hebat!”
“Apa hairannya makan di kedai mamak. Kita pun makan...”
“Kita lainlah. Maksud saya, Encik Sulaiman yang lain. Mana ada ketua pemuda bahagian lain yang makan di kedai mamak macam bos. Carilah, tak ada. Mereka berjumpa orang bawahan pun sambil minum kopi di hotel-hotel. Paling kecil pun tarafnya, mesti tidak kurang tiga bintang. Tepi jalan? Itu waktu pilihan raya, bolehlah.”
Mengekek-ngekek Kamal Rashid melepas gelak. Sulaiman mahu gelak sama tetapi ditahannya. Dia tidak mahu memuaskan hati Kamal Rashid.
Kamal Rashid, adik kepada Idham Rashid. Idham Rashid berjaya di bidang perniagaan, adiknya pula mahu menjadi pembantu ahli politik yang baru mula mencuba nasibnya. Baru bertatih. Tawaran abangnya bekerja di syarikat sama ditolak mentah-mentah. Dasar anak manja, apa sahaja keinginannya direstui keluarga, begitulah pendapat Sulaiman terhadap pembantu peribadinya itu.
Namun Kamal Rashid umpama rahmat kepadanya. Tanpa Kamal pasti laluannya tidak selancar itu. Kamal Rashid bukan hanya profesional tetapi geliga otaknya. Pandai menggunakan kesempatan, kreatif dan tidak mudah panik. Itu sangat penting di dalam dunia politik.
“Saya baca di akhbar, Seri Arina berbeza dari artis-artis lain, bos...”
“Awak percaya?”
“Percayalah,” tegas Kamal Rashid.
“Tengoklah ibunya… Tengok ibunya begitu, saya terus percaya, bos...”
“Isy... hanya kerana dia makan di kedai mamak?”
Iyalah, bos. Bayangkan emak Miley Cyrus makan di kedai mamak. Tentu kita boleh mengandaikan sesuatu...”
“Tapi itu bukan emak Miley Cyrus?”
“Bos kenal Miley Cyrus tapi tak kenal Seri Arina? Apa raaa?”
“Anak saya punya pasallah, minat sangat Hanna Montana. Emak dia pulak ikut belikan CD dan VCD segala...”
“Oh...? Saya sangka Encik Sulaiman yang minat Hanna Montana tu... heheh...”
“Jangan merepek!”
“Dibandingkan Seri Arina dan Hanna Montana, memang Hanna Montana lebih cute, bos... Kalau Hanna Montana pakai tudung lagilah...”
“Sudahlah Kamal!”
Marah Sulaiman. Sekiranya tidak dihentikan, Kamal Rashid suka meleret-leret guraunya. Hanna Montana pula hendak ditudungkannya!
“Okey, okey. Encik Sulaiman sudah tengok kawasan sekitar kedai mamak tadi... Kelmarin kita sudah tengok versi malamnya. Hari ini versi siang pula. Siang nampak tenang, malam nampak syaitan hehehe...”
Sempat lagi Si Kamal bergurau.
“Versi siang atau malam, tetap sama juga keputusannya. Tetap kawasan di bawah majlis daerah. Saya rasa kita kena buat laporan penuh... Itu saja. Apa lagi yang boleh kita buat? Bukan kuasa kita pun!”
Kedua-duanya berjalan perlahan-lahan, menuju ke kawasan parkir kereta, 50 meter dari kedai mamak tadi. Hiruk-pikuk kenderaan membuatkan mereka perlu bercakap dengan suara yang lebih kuat agar saling didengari.
“Kenapa mereka mengadu pada kita, bos? Silap langkah, ada yang salah sangka nanti. Habislah kita.”
Sulaiman Adnan berpaling, merenung ke arah kawasan kedai mamak yang baru mereka tinggalkan. Dia mengangkat bahu, tidak pasti.
“Macam-macam yang orang mengadu pada kita, Kamal. Itu biasa... Sejak saya jadi ketua pemuda kawasan kita, rasanya lebih seribu aduan diterima. Bayangkan kalau sejuta...”
“Banyak tu,” balas Kamal.
“Memang biasa tapi... ini melibatkan kawasan di bawah kuasa majlis daerah... Mereka sebenarnya boleh buat aduan terus.”
“Mungkin aduan sudah dibuat tetapi tidak dilayan?” Kamal Rashid meneka.
Di sekitar kawasan kedai mamak tadi merupakan pertembungan dua jalan, Jalan Merak dan Jalan Penanti. Kawasan di tengahnya digelar Merak Penanti, yang tiba-tiba popular sebagai pusat perkumpulan warga asing berjualan dan mencari rezeki. Namun, aktiviti jualan barang-barang semakin lama semakin menyimpang. Ramai yang mengaitkannya dengan aktiviti pelacuran.
“Aduan dibuat berkali-kali, kenapa mereka masih bebas berniaga? Berniaga daging mentah?” Keluh Kamal Rashid sambil berkias.
Tersenyum Sulaiman mendengar perkataan ‘daging mentah’ itu.
“Ada pelindung? Selalunya siapa yang memungkinkan?”
Sulaiman seperti bercakap kepada dirinya sendiri, cukup kuat dan turut didengar Kamal Rashid.
“Kawasan ini di bawah kuasa...” Sulaiman tidak menghabiskan ayatnya.
“Tan Sri Hamid Kecum, Ketua Menteri Ibu Kota... Itu orang tertingginya.” Sambung Kamal Rashid, menyempurnakan ayat.
Sulaiman Adnan tidak memberi sebarang tindak balas. Dia memang sudah sedia maklum. Apa yang mampu dilakukannya?



No comments: