PEMBERITAHUAN

Para pembaca boleh memesan buku yang diminati melalui nbkara.com.my atau email kepada admin@nbkara.com.my


Pembayaran boleh melalui pembayaran ke account no.

Maybank Norhayati Berahim 164267408855 Alliance bank account NBkara 120340010015114 Segala maklumat pembelian/transaksi perlu di e-mail kepada nbkara@yahoo.com atau admin@nbkara.com.my dan jangan lupakan sertakan alamat pembeli atau dengan menggunakan wangpos/cek/kiriman wang yang dialamat kepada

D26-GB Jalan Prima Saujana 2/B Taman Prima Saujana 43000 Kajang Selangor


Semua penghantaraan di Semanjung akan mengunakan pos laju dan tidak dikenakan sebarang bayaran.

Senarai Harga Novel boleh anda lihat di column sebelah kanan 'HARGA NOVEL' Untuk Sabah Sarawak harus mengikut harga asal SABAH/SARAWAK penghantar adalah percuma







BUNGA DI RIMBA

BUNGA DI RIMBA
RM21/RM24

PESTA BUKU SELANGOR

PESTA BUKU SELANGOR
Di Gerai N23, SACC Convec, Shah Alam Selangor

Wednesday, September 29, 2010

HUJAN PUN MENARI-SAMB


T
anah yang beberapa puluh meter di belakang rumah Cikgu Ara itu memang penuh dengan tanaman nanas. Tanah gambut itu sesuai hanya ditanam nanas. Anehnya tanah tapak rumah Cikgu Ara adalah tanah keras dan liat. Bukannya tanah gambut seperti itu. Sebab itu rumah pusaka yang sejak beberapa puluh tahun itu tetap teguh berdiri.
“Muna!”
Terdengar suara orang memanggil nama Muna. Muna yang sedang menakik batang buah nenas berpaling mencari arah suara tersebut. Tidak ada sesiapa pun?
Ahh... perasaan dia agaknya. Mona tunduk semula.
“Muna!”
Sekali lagi Muna cuba mencari-cari dari mana datangnya suara tersebut. Dia bercekak pinggang seketika. Dia tahu ada orang cuba menakut-nakutkannya.
“Weh! Siapa?”
Mata Muna tertancap pada pokok jambu air yang tumbuh merimbun tidak jauh di belakang rumah. Suara tersebut datang dari situ.
Tetapi tidak ada jawapan walaupun Muna berjeda beberapa minit menunggu-nunggu kalau dia nampak kelibat sesiapa di belakang pokok tersebut.
“Weh... siapa? Jangan nak main-main. Karang aku tebas dengan parang ni!”
Garang sahaja Muna menggertak. Namun dia tidak bergerak dari tempat dia berdiri.
“Ahh... akulah!”
Tuminah keluar sambil bercekak pinggang kemudian ketawa terkekeh-kekeh. Muna merengus sebaik sahaja melihat wajah manis sahabatnya itu.
“Aku dah agak mesti ada orang yang nak usik aku.”
Muna sudah tunduk, memangkas sekali lagi dan buah nanas sudah terkulai di perdunya.
“Kau tak takut ke?”
“Apa nak takut pulak...?”
Balas Muna sambil matanya meliar di batas pokok nanas tersebut.
“Kau tak takut, sebulan dua dulu ada orang jumpa lembaga di belakang rumah kau ni. Pakai baju berwarna putih, jalan terapung-apung. Dia orang cakap hantu penanggal.”
Muna ketawa. Memang ada cerita yang sampai ke telinganya begitu. Tetapi Muna tidak takut. Kata abah jangan takut apa-apa kecuali ALLAH. ALLAH sahaja yang perlu kita takuti.
“Orang saja je buat cerita. Kau ingat hantu penanggal nak lalu di kebun nenas? Abislah perut dia tersangkut duri pokok nenas...”
Muna sudah ketawa-ketawa. Tuminah juga ketawa sambil menggaru kepalanya. Kata-kata Muna logik juga masuk ke dalam benaknya.
“Umi aku cakap, orang dulu-dulu selalu letak pokok berduri di tingkap dan di pintu masuk rumah orang yang nak bersalin. Tak mahu hantu penanggal masuk hisap darah. Umi aku kata, hantu penanggal takut dengan duri. Cuba kau fikir, belakang rumah aku ni penuh dengan pokok nenas. Berani ke hantu penanggal tu?”
Di akhir kata-katanya Muna sambung ketawa lagi, Tuminah pun begitu. Ya... kata-kata Muna memang cukup logik. Mana hantu penanggal nak lekat di rumah Muna. Nak dekat pun takut. Depan belakang rumah Muna penuh dengan pokok nanas.
“Kau datang ni apa hal?”
Tanya Muna selepas ketawa mereka berdua usai. Tuminah tersengih sambil bibirnya menunjukkan ke arah pokok nanas.
“Mak aku mintak nenas sebiji dua, aku dah cakap dengan mak kau tadi...”
“Nah!”
Muna meletakkan parang yang dipegang sebentar tadi ke tangan Tuminah.
“Kau cari sendiri...”
Sambung Muna lagi. Mata Tuminah terkebil-kebil merenung parang yang sudah berada di tangannya.
“Kau tolonglah petikkan...”
“Banyak cantik muka kau! Dahlah mintak, nak suruh aku petik untuk kau pulak? Kau ingat aku ni kuli kau?”
Kasar sahaja kata-kata Muna tetapi Tuminah tidak kisah. Dia bukan baru kenal Muna sehari dua, dia sudah kenal Muna 15 tahun. Bahkan mereka pergi sekolah sama-sama.
Cuma ketika bersekolah menengah Muna agak pandai sedikit daripada Tuminah. Jadi bila Muna di kelas B, Tuminah berada di kelas C.
“Teruklah kau, Muna...”
“Apa pulak teruknya? Kau yang teruk. Sudahlah mintak percuma, lepas tu suruh aku petikkan. Nasib tak suruh aku kupaskan sekali, tak suruh aku masakkan...”
Tuminah tersengih lebar mendengar perlian Muna itu. Muna memang selalu bercakap lepas dengannya. Mungkin juga kerana sikap dia sendiri yang keterlaluan. Mahu nanas main minta sahaja dan suruh Muna petikkan sekali. Sebab itu kadangkala Muna kata, orang Melayu ini kadangkala sudah terlampau.
Semua benda hendak dimintanya. Hendak cili apilah, hendak buah jambulah. Mahu umbut kantanlah. Tetapi bukan mahu ambil sendiri, suruh tuan rumah ambilkan. Banyak lemak sungguh!
“Bapak kau ada rumah?”
“Takkkk...”
Panjang ‘tak’ Muna. Tuminah tidak menjawab. Dia sudah cuba menakik batang buah nanas. Muna hanya memerhatikan.
Tuminah juga budak kampung sepertinya, tetapi cara Tuminah menakik batang buah nanas macam orang tidak tahu sahaja. Macam orang bandar yang tidak kenal pokok nanas! Ah... biarkan. Tak kuasa aku menolong. Muna mencemuh dalam hati.
Hmm... aku hairan sungguh!”
Tuminah yang tercungap-cungap mahu memetik buah nanas itu mengerling Muna. Muna pura-pura tidak melihat waima mendengar.
“Apalah bapak kau kejarkan ustazah tu. Umi kau bukan tak cantik. Cantik walaupun badan dia besar sikit. Bukan tak pandai, pandai. Dia cikgu. Bukan tak baik, baik! Budak-budak kat sekolah semua suka dengan umi kau yang pandai ambik hati. Apa yang bapak kau kejarkan perempuan lain?”
Muna tidak menjawab. Bosan dia mendengar kata-kata Tuminah yang sudah berulang kali itu. Bukan sahaja dia ganar, tetapi hatinya sudah naik menyampah!
“Mak kau nak buat apa nenas ni?”
“Masak asam nenas ekor lembu.”
“Wah! Mana dapat ekor lembu?”
Tanya Muna, besar matanya. Masak asam nanas ekor lembut? Lama sungguh rasanya dia tidak makan daging.
Hmm... bapak akukan meniaga di pasar. Janganlah kau tanya dari mana dia dapat.”
Muna tersengih. Dia menyeringai. Memang dia tahu ayah Tuminah bekerja di pasar. Macam-macam ikan dibawanya balik dari pasar. Selalu kalau ikan tidak habis, emak Tuminah akan hantar ke rumah Muna.
Hmm... iye tak ye jugak.”
“Esok aku nak pergi Muar...”
Teringat Muna akan janji uminya mahu ke pekan Muar esok dan makan mi di tepi sungai Muar itu.
“Wah...! Buat apa?”
Hmm... nak beli kasut adik aku...”
Balas Muna perlahan. Tuminah sudah selesai memetik sebiji buah nanas. Muna melihat kepala buah nanas itu. Masih lagi muda!
“Kau petik buah nenas mudalah!”
Mata Muna terjegil. Tuminah panar. Penat lelah dia menakik batang buah nanas sebentar tadi, baru sekarang Muna beritahu nanas itu muda?
“Hesy... buat nama aje duduk kat kampung Parit Kejora ni! Tapi tak tahu nak pilih buah nanas...”
Muna mengambil parang dari tangan Tuminah dan tidak lama kemudian bergolek beberapa biji buah nanas yang sudah hampir masak dan sedap untuk dimasak pajeri ataupun daging masak asam nanas.

Monday, September 27, 2010

HARGA CINTA 5


DUA puluh tujuh tahun bukan masalah baginya. Dua puluh tujuh tahun hanya nombor. Ramai lagi perempuan di luar sana yang memegang nombor itu. Ramai juga yang bersendirian sepertinya. Tidak ada kekasih atau suami. Tetapi mereka tetap gembira.
Sepatutnya begitulah. Sekarang bukankah zaman moden? Wanita boleh memilih cara hidup dan masa depannya sendiri. Wanita boleh memilih untuk hidup sendiri sampai mati – jika itu ketentuan takdir. Sudah tiada jodoh, masakan hendak terima saja apa yang ada dan pejam mata pada sebarang kekurangan atau keburukan nyata. 
Dunia dan seluruh isinya sudah lebih terbuka.
Tetapi itu tidak berlaku sebenarnya. Sifat terbuka hanya tercatat di akhbar dan khabar-khabar angin semata. Mungkin di Barat tetapi tidak dalam hidupnya, dalam negaranya dan dalam rumahnya. Rumah Melati.
Kata emak, 27 tahun usia yang sudah cukup ranum, dan jika dibiarkan akan ‘terlebih ranum’. Kata emak lagi, dia takut anaknya menjadi lunyai dan busuk. Begitukah nasibnya nanti?
Ranum salah, masak pun salah. Manusia disamakan seperti buah.
Hisham tadi meletakkan fail pelajar di atas mejanya. Selepas itu, lelaki itu terus berlalu pergi. Tanpa merenung dia sedikit pun. Dia ternanti-nanti juga. Sedikit senyuman atau teguran pun jadi. Atau sekadar renungan, kosong pun tidak mengapa. Renunglah dia! Tetapi hampa. 
Ah, hati janganlah terluka.
Melati memujuk hatinya sendiri. Lelaki itu memang tidak nampak atau perasan dirinya. Dia bagai tidak ujud walhal sudah lebih lima tahun mereka berkerja di syarikat yang sama. Hisham di dalam bilik, dia di luar, di tepi pintu saja. Bukan ada orang lain pun, hanya mereka berdua.
Betul, dia hanya kerani ‘cabuk’ di situ. Tetapi dia manusia biasa yang punya perasaan. Tidakkah Hisham punya perasaan dan merasa getar jiwanya?
Adakah dia tidak cukup cantik, manis atau menarik? Burukkah wajahnya di mata lelaki itu?
Hisham juga tidak nampak segala usaha dan mutu kerjanya. Jika nampak kenapa Hisham tidak mencadangkan namanya pada penyelia kanan untuk menjadi warden asrama perempuan?
Walhal kerja-kerja itulah yang dibuatnya sepanjang bekerja di situ. Jawatannya Kerani Am cums Pembantu Warden. Dan semalam jawatan serta elaun pembantu warden telah ditarik balik sempena kemasukan warden baru, Nor Aida Shafie. Adakah kerana mutu kerjanya teruk atau dia lembab membuat kerja?
Perutnya tiba-tiba sakit. Dia tidak pernah ada gastrik tetapi kebelakangan ini itu yang di rasa. Sakit itu kemudiannya hilang.
Melati kembali mengenang nasibnya. Dia sedar, dirinya sekadar gadis yang biasa-biasa saja dan tidak pandai menonjol diri. Kelulusan yang ada tidak setinggi mana, sekadar diploma perakaunan.
Dia cukup bersyukur dapat bekerja di kolej itu walaupun di bahagian hal ehwal asrama. Zaman sekarang tidak boleh memilih kerja, asal gajinya berpatutan, dia sudah cukup berpuas hati. Di situ dia yakin, masa depannya terjamin walau jawatan yang disandang tampak rendah.
Melati ada merancang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi seperti kebanyakan kawan-kawan. Namun dia belum berkesempatan. Dia perlu terus menyimpan wang untuk tujuan itu. Setakat ini jumlah di bank tidak sebanyak mana. Hendak mengharap bantuan keluarga? Jangan bermimpi.
Banyak kali dia melihat cermin dan membelek-belek mukanya sendiri. Boleh tahan, kata hatinya. Tidak terlampau cantik atau terlalu buruk. Wajahnya manis dan kulit putih mulus membuatkan dia merasakan dirinya tidak kurang ayu. Ah, bukanlah mahu memuji diri sendiri tetapi itu yang selalu dikata teman-teman rapat padanya. Zurina sahabatnya juga berkata begitu.
“Percayalah Melati, jodoh belum sampai lagi... Nanti adalah..,” kata Zurina sambil mengunyah burger daging dua lapis yang popular di restoran makanan segera itu.  
“Ah, penantian. Zu, kenapa nasib aku begini?”
“Nasib? Salahkan nasib pulak? Nasibkan selalu baik saja aku tengok. Hah, lagi kau bukannya buruk, mesti ada yang suka. Sabar sajalah dulu.”
Zurina, hitam manis, wajahnya biasa saja, berjerawat, sedikit gempal. Berkaca mata tebal, rabun sejak zaman sekolah dahulu. Dengan segala ‘kekurangan’ itu, enam bulan lalu bertunang dengan jejaka pilihannya sendiri. Hujung tahun nanti naik pelaminlah mereka.
“Aku ni buruk agaknya, Zu?”
Soalan begitu entah berapa ratus kali ditanyanya pada Zurina. Dan setiap kalinya Zurina menidakkannya sambil ketawa berdekah-dekah. Kali ini juga Zurina ketawa kegelian, kelakar mendengar kata-kata Melati.
 “Kau ni... tak habis-habis. Tak habis-habis mengata diri sendiri buruk? Apalah....”
“Yalah, tiada siapa yang jatuh hati pada aku pun! Orang lelaki tak nampak aku agaknya.”
“Melati, kadang-kadang, orang tak perasan kita bukan kerana kita buruk atau diam tetapi banyak sebab-sebab lain lagi. Antaranya kerana kita tak menonjol. Orang mudah nampak kalau kita ni bising, bermasalah atau suka mengacau orang.”
“Takkan aku nak buat begitu juga?”
“Maksud aku, orang perasan kita bukan kerana perkara positif atau yang baik-baik saja tetapi yang tak baik pun orang perasan juga. Itu yang tak bagus tu.”
Melati mengeluh. Bagai sukar menerima pendapat Zurina itu. Dia tetap berpendapat, kekurangan diri membuatkan lelaki tak mahu mendekatinya. “Aku gemuk sangat ke, Zu...?”
“Gemuk pulak? Taklah. Kau dah slim macam tiang bendera.”
“Tapi gempalkan? Aku kena kurangkan lima hingga sepuluh kilo lagi kot...”
“Eleh... apa ni belit-belit. Kejap kata tak cantiklah, buruklah, kejap kata gemuklah. Masuk ini sudah tiga kali kau putus kasih. Semuanya kau yang tolak mereka. Kau yang putuskan. Macam-macamlah alasan kau bagi, semuanya tak mengikut selera. Mahu yang sempurna konon...”
Zurina mengingatkan apa yang terjadi.
“Yalah, mesti nak cari yang terbaik...”
“Habis tu, yang pergi jatuh hati bagai nak ‘rak’ dengan si duda tu apa fasal? Hah, kini baru kena buku dengan ruas, kau pulak yang tergila-gilakan dia. Bila dia tak layan kau jadi kecewa ‘menonggeng’ macam ni...”
Melati tidak menghiraukan kata-kata Zurina. Bagaikan kata-kata itu tidak didengarnya. Dia tahu apa dikata Zurina, betul belaka. Betul-betul mengena dirinya. Tapi hendak buat macam mana. Cinta itu buta.
“Mungkin kena kuruskan badan kot ...” katanya lagi. Ayam goreng yang dipesannya tidak jadi dimakan. Pinggan dileretnya ke arah Zurina.

Friday, September 24, 2010

HARGA CINTA 4

SYAZA Hafiz dan Murni Ahmad Razlan berlari-lari anak.
“Yeyyyy! Lega kita masih sebilik... Seronoknya!”
Gembira betul si Murni. Syaza masih tercungap-cungap.
“Aku yang taruh nama kau tadi. Kau lambat sangat datang. Walaupun tidak dapat bilik hujung menghadap jalan raya macam yang kita mahu tu tapi sekurang-kurangnya kita dapat terus bersama.”
Bangga Murni bercerita tentang misinya yang berjaya. Misi yang sudah dirancang setiap kali menghadapi semester baru.
“Iyalah, itu yang penting. Yang penting kita berdua sebilik. Tak dapat bilik hujung pun tak mengapalah. Eh, siapa lagi tiga orang?”
“Mazuin dan dua lagi junior.”
Mazuin? Syaza terkenang gadis kecil molek hitam manis berasal dari Pulau Pinang. Riuhlah suasana bilik mereka nanti. Mazuin memang terkenal dengan sikapnya yang kepoh dan ceria.
Freshies?” Tanya Syaza lagi.
“Entah. Mungkin budak tahun pertama atau dua. Kalau freshies bagus juga. Boleh buli-buli.” Gurau si Murni.
“Eh, kaki buli ni tak insaf-insaf lagi?”
“Hahaha, belum!”
Syaza tahu sahabatnya itu hanya bergurau. Mereka ketawa serentak. Macam dulu-dulu. Hati Syaza berbunga gembira.
“Aku dengar gosip tadi, waktu jumpa Faz dan Emah, kita ada warden baru!”
“Warden baru? Apa jadi warden lama? Pak Hisham pergi mana?” Terbeliak mata Murni.
“Hisham... ‘Pak Hisham’ masih ada. Cuma kita dapat warden khas jaga asrama perempuan sebab tahun ini pertambahan pelajar meningkat berganda-ganda. Haiii, semua orang nak hantar anak mereka ke Kolej Semolek. Hisham tu jaga asrama lelaki saja kot... Dan lagi, aku dengar warden asrama perempuan akan ada dua orang. Siap ada assistant lagi nanti. Terlampau ramai, kenalah ada dua orang.”
“Mana Faz dengan Emah dengar gosip tu semua? Mereka masih jadi ‘anak angkat’ Makcik Kantin ke?” Syaza tergelak besar mendengar pertanyaan Murni tanpa mempedulikan orang lain yang asyik memandangnya. Dia memang mudah menjadi perhatian orang.
Teman mereka Faz dan Emah dikatakan sebagai ‘angkat angkat’ Makcik Kantin kerana kerapatan hubungan yang terjalin, bukannya betul-betul mereka diambil sebagai anak angkat.
“Itu aku tak tahulah. Mereka tu memang pandai ambil kesempatan. Baik-baik dengan Makcik Kantin, selalu dapat lauk lebih. Hahaha.”
“Wah,” sambut Murni.
“Ini kena tengok ni. Kena buat ‘penyiasatan setempat’. Lepas letak barang kita pusing-pusing dan mengintai, nak tak? Agak-agak macam manalah orangnya warden baru tu...”
“Faz sudah jumpa. Dia kata muda sangat orangnya. Mesti belum kahwin lagi, dia katalah...”
“Baru graduate kot. Belum kahwin? Hah, ini sudah bagus. Bolehlah Pak Hisham tu mengorat! Hahaha... Pak Hisham tu mana boleh tengok ‘dahi licin’.”
Sebelah mata Murni sengaja dikenyitkan. Wajahnya tampak nakal sekali.
“Ish... kau ni... tak baik buat-buat cerita. Kata semester lepas dah berazam nak jadi perempuan Melayu terakhir, yang baik, sopan santun segala...”
“Hehe.... okey... okey... Nasib baik kau ingatkan fasal azam aku tu... Aku pun dah lupa. Eh, by the way, kau tu kenapa lambat hari ni?” Murni memperlahankan langkahnya. Sahabatnya itu sudah berjanji untuk datang awal dan sama-sama ‘berebut’ bilik. Tetapi kenapa dia lambat? Setahu murni, Syaza tidak begitu sikapnya. Syaza temannya yang setia pada janji dan paling pantang jika orang memungkiri janji. 
Sorry ya. Ada hal sikit sebenarnya...” Pendek jawapan Syaza.
“Hal apa?”
“Aduh, beratnya beg aku! Eh Murni, itu Mazuinlah. Dia tahukah dapat sebilik dengan kita?”
Syaza menukar topik cerita mereka. Murni menyedarinya, hatinya sedikit kecewa kerana pertanyaannya tidak dijawab.  
“Jom kita ajak Mazuin rebut katil dulu sebelum freshies! Jom!”
Pantas Syaza melambai-lambai ke arah Mazuin yang juga membawa beg besar seperti mereka berdua. Dia lega melihat Mazuin. Kemunculan yang umpama menyelamatkannya dari menjawab soalan Murni.
Beg yang dibawa cukup berat tetapi Syaza memaksa dirinya berlari-lari anak ke arah Mazuin. Dia harap Murni tidak akan bertanya lagi.

Thursday, September 23, 2010

HUJAN PUN MENARI- BAB 4






S
ejak akhir-akhir ini Ustaz Jalil dapat merasakan yang dirinya tidak tenang apabila ke rumah Aminah. Kenapa perasaan itu wujud? Kenapa dia berasa tidak selesa? Syaitan apakah yang telah berbisik di telinganya sehingga isteri yang seharusnya menyenangkannya seperti telah menjadi duri dalam dagingnya?
Hari ini dia dilepaskan agak lewat oleh isteri keduanya itu. Mereka keluar berjalan-jalan hari ini. Kata Aminah, penat berada di rumah sehari suntuk. Ustaz Jalil hanya akur kerana dia tahu, dia harus menyenangkan hati isterinya.
“Saya mintak maaf, saya lambat hari ni?”
Ustaz Jalil memohon kepada Cikgu Ara yang menyambut kepulangan suaminya seperti selalunya. Cikgu Ara mengerling jam di dinding. Semalam suaminya pergi dari rumah ini jam 10:00 pagi. Sekarang sudah pukul 4:00 petang. Bermakna suaminya lambat enam jam daripada yang sepatutnya.
“Tak mengapa. Ada halangan di jalan ke?”
Tanya Cikgu Ara. Menyambut bungkusan yang dihulurkan si suami. Bau rojak mendadak sahaja mengapung di udara.
“Mana dapat ni?”
“Di Parit Jawa tadi, ada orang jual.”
Wah...! Suaminya ke Parit Jawa. Sudah pasti dengan madunya. Mungkin mereka pergi memadu kasih. Rasanya sudah lima tahun suaminya berkahwin. Tetapi sampai sekarang masih tidak ada anak. Mungkin masih berbulan madu.
“Abang ke Parit Jawa?”
Tanya Cikgu Ara sekadar basa-basi. Suami yang kelihatan kepenatan tersandar di sofa, dipandang dengan perasaan simpati. Dia tidak mahu menambah beban si suami yang memang tidak sihat kerana penyakit jantungnya itu.
Hmm...”
Angguk Ustaz Jalil dan Cikgu Ara sedar dia tidak perlu terus-terusan bertanya lagi.
“Saya dah ke Muar tadi. Belikan kasut untuk Majeed. Hmm... saya belikan sekali kasut untuk Dawood.”
Beritahu Cikgu Ara. Ustaz Jalil tidak menjawab, hanya menganggukkan kepalanya sahaja. Dia terasa begitu letih sekali. Mana tidak letih, berulang-alik ke rumah isteri muda dan Cikgu Ara agak memenatkan. Walau tidak jauh, sekadar 15 kilometer, tetapi sudah membuat seorang lelaki waras berfikir berkali-kali untuk berkahwin lain.
Di sini ada isteri yang harus dilayani bersama anak-anak. Di kampung sebelah pula ada isteri walaupun masih keseorangan dan tidak punya anak, kerenahnya melebihi anak-anaknya yang lima orang itu.
“Budak-budak mana?”
Tanya Ustaz Jalil. Malam ini ada jemputan memberi ceramah di Parit Jamil. Jadi dia harus pergi walaupun dadanya terasa sesak sedikit.
“Keluar bermain. Muna tadi ke rumah Tuminah. Kata dia mahu mengulang kaji pelajaran. Hmm... abang nampak penat. Abang makan ubat tak?” Cikgu Ara bertanya.
Perlahan Ustaz Jalil mengangguk. Dikerling si isteri yang berbadan agak besar itu. Isteri yang taat. Isteri yang tidak pernah marah. Isteri yang hanya menangis apabila hatinya terusik.
Dia tahu, dia telah banyak menyakitkan hati isterinya ini. Dia tahu sikap Aminah yang selalu berkira. Bukan sahaja berkira wang ringgit, tetapi berkira waktu. Kalau terlambat lima minit sampai ke rumah, Aminah akan berkira. Lima minitlah perlu dibayar.
Syukur Cikgu Ara tidak begitu. Semalam dia pulang ke rumah Aminah jam 10:00 pagi, hari ini dia balik jam 4:00 petang. Kalau Aminah sudah pasti akan masam mukanya. Akan mengingatkan dia yang esok hari dia perlu pulang jam 4:00 petang.
Tetapi Cikgu Ara tidak begitu. Asalkan dia pulang sudah seribu syukur.
“Abang dah solat?”
Tanya Cikgu Ara. Ustaz Jalil mengangguk. Sebentar tadi dia singgah di masjid bersolat.
“Tak perlu tergesa-gesa balik kalau abang penat. Berehat di rumah sana pun tak apa. Saya tengok abang nampak macam letih saja. Jangan kejar dunia sangat, bang. Anak-anak abang tak perlu risau. Saya boleh jaga...”
Ustaz Jalil menelan air liurnya. Cikgu Ara isteri yang baik. Walau dia tidak memberitahu isterinya itu yang dia mahu berkahwin lagi dan Cikgu Ara mendapat tahu daripada kawannya sahaja, tetapi hati wanita itu terlalu tulus. Cikgu Ara tidak marah. Wanita itu hanya menangis sahaja.
“Saya dah banyak buat salah dengan awak...”
Kata-kata yang perlahan itu dapat ditangkap oleh telinga Cikgu Ara. Dia yang mahu melangkah ke dapur, mengerutkan dahinya.
“Salah apa pulak, bang?”
“Kalaulah saya tahu berkahwin dua ni meletihkan, mati hidup saya balik pun tidak akan saya lakukan.”
Akhirnya kata-kata itu terpacul dari mulut Ustaz Jalil. Panjang Cikgu Ara beristighfar walau di dalam hati gembira dengan pengakuan suaminya itu.
“Semuanya Tuhan dah takdirkan, bang. Perjalanan hidup kita, kita merancang saja. Tuhan yang menentukan. Sebagai manusia, sebagai lelaki, abang perlu bertindak adil walau saya tak tahu siapa yang abang lebih sayang!”
Hati manusia, siapa yang boleh mengukur. Sudah pasti ada yang lebih disayangi oleh si suami.
“Saya sayangkan awak. Awak terlalu baik untuk saya. Saya tahu saya selalu tak adil dengan awak. Kadangkala saya kekurangan wang tapi awak menampungnya. Sebab itu saya rasa bersalah.”
Ya... sebagai pendakwah bebas, Ustaz Jalil mempunyai pendapatan yang tidak tetap. Tetapi bukan bermakna dia tidak ada wang. Cuma Aminah kurang bertoleransi dengannya. Kalau dia memberi Cikgu Ara RM500 sebulan. Aminah pun perlukan RM500 sedangkan Cikgu Ara mempunyai lima orang anak yang perlu disara.
“Tak apalah bang, itulah fungsi suami isteri. Menutup kekurangan salah seorang.”
Ustaz Jalil tunduk. Sebak dadanya mendengar kata-kata Cikgu Ara yang tenang sahaja. Wanita ini hanya guru matematik, tetapi kebaikan dan keluhuran hatinya seperti seorang ustazah yang mempunyai ilmu agama.
“Abang pergi berehat, bang. Jangan difikirkan sangat. Abang tu ada sakit jantung. Nanti jadi tekanan pulak. Abang nak minum? Nak makan apa-apa...?”
Ustaz Jalil menggelengkan kepalanya. Matanya berlaga dengan mata Cikgu Ara yang tersenyum padanya.
“Terima kasih Ara kerana awak terlalu baik dengan saya...”
“Saya jugak abang, terima kasih kerana masih sayangkan saya walau sudah ada isteri yang lain...”


Wednesday, September 22, 2010

HARGA CINTA-3


MAKA di situlah Nor Aida Shafie akhirnya.
Aida merenung bangunan yang betul-betul berada di hadapannya. Langsung tidak menarik perhatian. Catnya lusuh, kelam, kelabu. Macam bangunan berhantu.
Puaslah hati emak dan semua orang yang menyokong. Senyum meleret emak tersimpan rapi dalam kotak memorinya. Alangkah eloknya jika dapat merakam gambar senyum itu dan kemudian meletaknya di dalam blog.
Biar ia menjadi kenangan yang boleh diingat setiap masa. Kenangan kekalahan, entah yang ke berapa kali di tangan emak.
Inilah takdirnya. Dia harus menerimanya dengan reda. Pasti ada hikmahnya. Takkanlah nasibnya begitu malang. Positiflah, wahai Aida, kata suara hatinya.
Dia memujuk hatinya setiap saat. Siapa lagi yang mahu memujuknya selain diri sendiri. Allah menyayangi insan yang sabar. Dia mahu menjadi insan sebegitu.
Segalanya demi emak. Mana mungkin dia melawan cakap emak yang bijak memainkan peranan untuk menang. Dia tahu betul taktik emak sebagaimana emak masak dengan taktik semua anak-anaknya.
Apa yang boleh dilakukannya?
Berapa bulan boleh dia bertahan? Berapa bulan dia mahu memberi peluang itu pada dirinya sendiri? Berapa bulan dia boleh memuaskan hati emak? Atau mengaburi matanya? Enam bulan atau setahun? Agaknya emak tahu atau tidak niat yang sedang tersimpan di hatinya? Yang dia tetap mahu menyelamatkan diri? Lari!!!
Rupa-rupanya inilah rancangan paling canggih yang terhasil dari buah fikiran ayah dan Abang Kamil! Rancangan yang menganaiyanya. Dia juga yang jadi mangsa. Tapi kata ayah, mereka sudah tidak ada rancangan lain. Ini satu-satunya jalan keluar yang paling selamat.
Tidak mengapalah. Dia akan cuba ‘bermain’ selagi terdaya. Supaya tidak ketara sangat, dia akan duduk diam-diam di situ. Strategi lain perlu dirancang. Yang lebih baik dan tidak menimbulkan syak tentunya. Kali ini mesti sampai berjaya. Sampai menang.
Just take it, Aida! Abang tahu Aida ada pilihan hati sendiri tetapi buat sementara ini, abang tak nampak Aida boleh buat apa yang Aida suka lagi. Memang tak boleh punya... Not for now.”
“Kenapa Abang Kamil nak ainaya Aida? Sudahlah nasib Aida malang begini...”
“Laa... apa pulak ainaya. Ish... tengok-tengok, beginikah cara orang zaman sekarang membalas budi? Dunia, dunia.”
“Eheh... Nak kena balas budi juga?”
“Aida kerja dulu di situ, tengok dulu macam mana, setahun dua...”
What! Setahun dua?” Terbeliak mata Aida. Apa akan jadi selepas setahun dua? Beku?
“Okey, okey, sebulan dua. Enam bulan ke... Tapi sekurang-kurangnya, emak senang hati dan tak nampak macam Aida nak melawan dia. Nanti perlahan-lahan abang dan ayah masuk jarumlah pujuk dia...”
Masuk jarum? Tetapi bila?
“Dalam banyak-banyak kerja...”
“Hey, apa masalah dengan kerja itu pulak? Kerjaya murni tu...”
“Ohhh... murni ya. Abanglah kerja kat situ!”
Best jugak. Hari-hari tengok perempuan cantik-cantik. Boleh saja.”
“Gatal tak habis-habis!” Aida mendengus. Dia memang tidak suka abangnya mengorat sesiapa. Dia rasa geli!
“Mungkin ada hikmahnya Aida kerja di situ…”
Bibir Kamil memuncung ke arah bangunan di hadapan mereka.
“Hikmah? Hhmmm… betul juga. Tolong abang beri dua tiga hikmah, biar seronok sikit  hati Aida.” Aida menyindir penuh sarkastik.
“Mungkin, dengan bekerjanya Aida di situ, abang dapat jodoh. Maklumlah, semuanya perempuan kan? Kah, kah, kah, bahagianya abang!”
“Malas nak layan!”
Bagaimana jika dia tidak boleh ‘survive’? Bagaimana jika dia tidak boleh menyukai tempat dan kerja itu? Dia tidak ada rancangan lain buat masa ini, belum difikirkan lagi. Idea, cepatlah datang. Kenapa kepalanya kering kontang?
Let’s go, baby!”
Kamil memberi senyuman yang paling manis. Senyuman yang amat menyakitkan hati.
Dan hari itu bermulalah kerjaya pertamanya di Kolej Semolek sebagai – Warden.

Tuesday, September 21, 2010

HUJAN PUN MENARI


 U
staz Jalil memerhatikan hidangan di atas meja. Ada ketam masak lemak, ada sambal sotong dan ikan goreng. Mendadak sahaja dia teringatkan anak-anaknya yang berlima itu. Dawood dan Muna suka ketam. Tetapi ketam amat mahal. Amat jarang dapat mereka makan. Ada tidak ada kalau Pak Karman yang bekerja di pasar membawa balik dan berikan kepada keluarga mereka. Dapatlah merasa makan ketam. Kalau mahu beli ketam untuk dimakan, paling kurang RM30 pasti akan terbang. Ara isterinya beritahu, RM30 itu lebih baik disimpan untuk pelajaran anak-anak.
Terbetik rasa sedih di hatinya melihat hidangan yang begitu mewah jarang ditemui di atas meja mereka di rumah sebelah sana.
“Makanlah, kenapa abang termenung aje?”
Tanya Aminah. Direnung wajah Ustaz Jalil yang merenung hidangan tanpa berkelip-kelip.
“Dekat sini abang jangan ingat anak-anak abang tu. Ini rumah saya...”
Ustaz Jalil menelan air liurnya. Mengerling Ustazah yang baru di awal 30-an. Wanita itu tidak mempunyai anak, mungkin perasaan keibuan tidak ada dalam diri wanita itu. Sebab itu kalau Ustaz Jalil membuka mulut bercerita mengenai anak-anak dia tidak suka.
“Kenapa abang tak makan?”
Terbeliak mata Aminah apabila melihat Ustaz Jalil yang sudah bangun tanpa menyentuh apa-apa makanan di atas meja.
“Saya tak ada selera nak makan.”
Suara Ustaz Jalil bergetar. Dia jarang membantah kata-kata Aminah. Seperti juga dia amat jarang sekali membantah kata-kata Cikgu Ara. Tetapi Aminah lain, membantah atau tidak, sama sahaja. Dia sering disergah. Bukan setakat disergah, dia kadangkala dicerca. Tidak seperti Cikgu Ara. Cikgu Ara tidak pernah menyergahnya, jauh sekali mencerca.
“Kenapa tak selera nak makan? Ingatkan anak-anak abang ke? Lantaklah! Yang lapar perut abang, bukan perut saya...”
Aminah sudah memetir. Mengerling Ustaz Jalil yang sudah beredar dari dapur. Dada lelaki itu sedikit bergetar. Ada rasa sakit di situ. Janganlah sakit jantungnya menyerang lagi.
“Awak tak boleh ke bercakap perlahan dan elok dengan suami awak?”
Tanya Ustaz Jalil lembut. Mata Aminah terbeliak. Seperti tidak suka sahaja mendengar kata-kata suaminya.
“Abang jangan nak bersyarah pasal ugama dengan saya. Saya ustazah. Saya tahu dosa pahala. Saya tahu suami yang tak adil senget bahunya bila keluar dari kubur. Abang tu kena jaga. Abang tu ketua keluarga, saya tak tanggung dosa abang. Abang yang tanggung dosa saya dan semua bini serta anak-anak abang.”
Ustaz Jalil mengerutkan dahinya. Malas dia mahu berbalah dengan isterinya. Kalau dia berbalah, ada sahaja jawapan isterinya itu.
“Janganlah marah-marah macam tu, Minah...”
“Apa saya tak marah. Tiap kali datang sini, abang buat muka macam tu. Abang tak mahu makan apa yang saya masak. Padahal bukan main sedap lagi saya masak, tau! Agaknya teringatkan janda abang tu?”
Suara Aminah sudah semakin tinggi. Ustaz Jalil beristighfar berkali-kali di dalam hati. Perkataan janda itu mengerit perasaannya. Aminah sudah sering kali menyuruh dia menceraikan Cikgu Ara. Namun sampai mati, Cikgu Ara akan tetap menjadi isterinya.
“Dia bukan janda saya. Dia isteri saya. Isteri saya yang sah. Sepertimana awak isteri saya, dia pun isteri saya.”
Tegas kata-kata Ustaz Jalil. Hairan sungguh dia dengan Aminah ini. Belajar dan mengajar mengenai ilmu agama, tetapi kadangkala perlakuannya seperti orang yang ketandusan ilmu.
“Awak orang terpelajar. Awak ada ilmu agama. Saya rasa awak tak lupa dengan hadis Rasulullah SAW riwayat Ibnu Hibban dan selainnya, disahihkan Al Bani dalam sahihnya nombor dua ratus lapan puluh dua:
Daripada kebahagiaan adalah wanita solehah, bila kamu melihatnya, maka kamu suka, dan bila dia tidak ada bersamamu, kamu merasa aman (tidak risau) pada dirimu dan hartamu, dan seburuk wanita, kamu melihatnya mendatangkan keburukan padamu dan meninggikan suara ke atasmu, dan tika mana dia tidak bersamamu, kamu tidak merasa aman (risau) pada dirinya dan juga hartamu.”
Aminah terdiam. Hatinya sakit membara dengan kata-kata suaminya. Kalau ada pertelingkahan yang terbit, ada sahaja hadis yang dikeluarkan oleh suaminya. Kadangkala sukar dia mahu mematahkan kata-kata suaminya itu.
“Awak makanlah. Saya nak mengaji sekejap.”
Melihat Aminah yang sudah sengap itu, Ustaz Jalil bersuara. Dari meneruskan hidup dengan bertengkar di rumah ini, lebih baik dia mengaji. Kalau waktu cuti begini di rumah mereka di Parit Kejora, banyak aktiviti yang boleh dijalankan bersama anak-anak terutama pada waktu makan tengah hari.
Majeed akan bergaduh dan berebut makanan dengan Zaki. Dawood dan Mariam akan melihat dan biasanya Muna yang akan meleraikan adik-adiknya itu bergaduh.
“Abang ni tak habis-habis mengaji. Kalau tiba giliran rumah saya, asyik mengaji saja. Agaknya benci tengok muka saya. Menyampah tengok saya. Mentang-mentanglah saya tak ada anak...”
Ustaz Jalil hanya diam. Tuduhan itu bukan luar biasa tiba di telinganya. Tuduhan yang sudah acap benar didengarnya. Tuduhan yang sudah tidak mempunyai apa-apa makna kepadanya.
“Tidak, saya tak kisah menghadap muka awak. Tapi awak sendiri kalau jadi suami dan saya isteri... saya asyik masam muka, asyik meninggi suara, awak pun tak selesa dengan saya, kan?”
Aminah yang sedang menyuap, mengetap bibir. Sedar akan kesilapan diri yang selalu marah-marah. Namun keinsafan itu hanya sebentar sahaja menghuni hatinya.
“Abang memang tak sayangkan saya. Abang memang bencikan saya. Mentang-mentang saya tak boleh beranak!”
Ustaz Jalil menggelengkan kepalanya. Dadanya terasa sakit. Dia mengerling jam di dinding, pantas sahaja dia melangkah masuk ke bilik air.
Mengambil wuduk bagi mengurangkan marah di hati. Dia teringatkan rumahnya di Parit Kejora.
Kalaulah dia berada di rumah itu, hatinya pasti senang dan tenang. Dia sekarang mungkin sedang berbaring dengan kaki dan tangannya dipicit oleh anak-anak.
Dia tidak perlu mendengar leteran daripada perempuan bermulut bisa seperti Aminah.