“ENCIK Hisham tak keluar makan?”
“Saya makan di kantin saja. Awak makan di mana?”
“Keluar, rasanya. Makan di Taman Selera. Jemulah makan lauk kantin…”
Matanya tepat memandang lelaki berbaju kemeja kotak-kotak kuning dan biru lembut. Gembira Melati melihat Hisham memakai kemeja itu. Kemeja yang dihadiahnya pada harijadi Hisham dua tahun lalu. Lelaki itu tampak sungguh segak dan perkasa.
“Jemu? Bukankah sedap lauk di kantin kita. Saya ni tak kisah Melati, tak cerewet. Kantin boleh, lauk Dewan Makan pun boleh. Asalkan dapat makan...”
“Saya keluar dengan Aida... Kot-kot Encik Hisham nak join kita orang...”
Pelawa Melati lagi. Aida yang menunggu berdekatan pintu memerhati saja sesi ‘ajak-mengajak’ dan ‘tolak-menolak’ antara Melati dan Hisham. Perlukah aku jadi saksi, tengok semua ini, kata hatinya.
“Jomlah, Encik Hisham! Join kita orang!”
Aida sekadar berbahasa. Dia tidak kisah lelaki itu mahu mengikut atau tidak. Pergi seorang pun tidak mengapa. Keadaan dirinya semakin berubah sekarang. Dia tidak lagi berharap ditemani sepanjang masa.
Tetapi nampaknya si Melati beriya-iya mahu Hisham bersama-sama mereka.
“Tak, nampaknya. Banyak kerja... You two go ahead... sudah jam satu pun, pergilah cepat... Nanti terlambat.”
Melati mengharap sangat Hisham mahu menyertai mereka. Dulu ketika tiada Aida pun dia selalu makan di luar sendirian. Bukan jauh pun Taman Selera, jalan kaki tidak sampai lima minit. Dia membayangkan dirinya berjalan-jalan, perlahan-lahan dengan Hisham. Aida tidak ada dalam bayangan itu.
Bukan dia tidak pernah mengajak. Sangkanya dulu Hisham segan untuk berjalan berdua-duaan dengannya, kini, adanya Aida mungkin Hisham setuju. Tapi tidak begitu situasinya. Tidak menjadi juga...
Selalu juga dia makan di kantin atau di dewan makan yang percuma untuk mereka semua. Dia tidaklah jemu seperti yang dikatakan tadi. Cuma malas beramai-ramai dengan pelajar-pelajar lain, berebut dan beratur panjang-panjang.
Rasa seperti begitu asing.
“Dia tak mahu mengikut?”
Aida sekadar bertanya, mahu memulakan perbualan dengan Melati yang mencuka wajahnya walau dia sendiri pun dapat mendengar penolakan Hisham tadi.
Melati menggeleng.
Hubungannya dan Melati berjalan seperti biasa. Dia menghadkan kemesraan antara mereka berdua. Walau usia Melati lebih tua darinya, dari segi jawatan dan sebagai orang atasan dia mahu dihormati sewajarnya. Itu yang dipesan penyelia kanan di awal kedatangannya ke situ.
‘Melati bekerja di bawah awak, jadi tak kiralah usianya lebih tua, awak kena bersifat profesional. Boleh mesra tapi ada had dan batas supaya tak nanti ada yang memijak kepala pula. Kalau ada masalah jangan bertangguh untuk jumpa saya, pintu pejabat sentiasa terbuka...’ Aida ingat pengajaran penyelia itu.
“Dia tu workaholic, Cik Aida. Jarang makan tengahari. Itu yang badan tu makin melengkung, kurus kering. Selalu, saya yang heboh jaga makan minum dia. Letak makanan depan mata baru dia menjamah... Entah bila dia berehat...”
Aida tersenyum mendengar kata-kata itu. Lain saja bunyinya. Tampak jelas Melati begitu mengambil berat Hisham yang sudah lama menduda, informasi itu juga diterimanya dari penyelia kanan tempoh hari.
Penyelia Kanan Siti Hanum masih bujang. Paras rupa boleh tahan, tiada yang kurang. Sejak dua minggu dia di situ sudah dua kali Siti Hanum menjenguk ke pejabatnya. Katanya, mahu bertanya khabar orang baru. Jika tidak dapat datang, Siti Hanum menelefonnya.
“Panggil saja Kak Anum,” katanya. Aida tidak pasti sama ada panggilan itu wajar kerana semua kakitangan di situ, dari pekerja asrama, pensyarah dan pengawal keselamatan memanggil wanita itu Cik Siti. Mungkin ‘Anum’ lebih mesra dan Siti Hanum merasakan hubungan mereka lebih mesra memandangkan hubung kaitnya dengan Abang Kamil.
Siti Hanum sekadar teman atau pernah menyulam kasih dengan Abang Kamil? Sesuatu yang mesti ditanyanya pada Abang Kamil nanti.
“Dulu Kamil banyak tolong saya...” ceritanya.
“Masa bila tu Cik Siti... er... Kak Anum?”
“Saya ni anak orang miskin. Masuk universiti setahun selepas Kamil. Umur kami sebaya, saya masuk selepas tingkatan enam. Waktu itu susah nak tumpukan pelajaran sebab tidak mampu hendak beli buku-buku rujukan. Hendak buat salinan fotostat pun tidak mampu. Awak tahu, Kamil pinjamkan buju-bukunya. Semua yang dia ada, dia pinjamkan. Seminggu dia, seminggu saya,” senyumnya meleret ketika bercerita dan menyebut nama Abang Kamil.
“Bila musim peperiksaan pulak kami study sama-sama!”
Wah, study sama-sama! Apa maknanya itu? Itu petanda satu hubungan istimewa telah terjalin antara dua manusia – Siti Hanum dan Abang Kamil. Kenapa Aida tidak tahu menahu tentang perkara itu dan tentang kewujudan Siti Hanum? Mungkin kerana zaman Abang Kamil di universiti dia masih di menengah rendah.
Tetapi kenapa hubungan mereka tidak menjadi?
“Abang awak memang baik, Aida. Jasanya tak terbalas saya...” Sambung Siti Hanum lagi.
Aida mesti siasat perkara ini...
“Bagaimana so far?” baru Aida teringat Melati masih di sebelahnya.
Walau mereka berjalan beriringan namun masing-masing seakan khayal di dunia sendiri.
“So far?” tanyanya kembali.
“Kerja di sini. Okey semuanya? Ada yang tak okey?”
“Tidak okey? Biasalah kerja baru, jadi masih nak sesuaikan diri dan belajar. Tapi semua orang nampaknya tak kisah membantu saya.”
Kecuali awak, kata hati Aida.
Semua orang, Hisham, penyelia kanan, pihak kantin, pengawal, klinik dan pelajar-pelajar memberi kerjasama yang baik dengannya. Dia juga mula mengenali kebanyakan penghuni asrama perempuan, ada yang datang berjumpa dengannya, menghantar wakil bilik, untuk berkenalan dengan ‘warden baru’. Itu merupakan inisiatif dari ‘warden lama’ Hisham yang menampal di papan kenyataan tentang kehadiran warden baru di asrama mereka dan para penghuni asrama perempuan di minta melakukan sesi berkenalan.
Kecuali si Melati yang sedang berjalan di sebelahnya. Melati mempunyai sikap ‘kedekut ilmu’ atau lebih tepat lagi suka menyorok informasi. Dia tidak suka berkongsi dan semua fail-fail lama jabatan diletak begitu saja di atas meja Aida tanpa penerangan. Apabila Aida bertanya tentangnya dia akan menjawab, ‘Cik Aida baca sendirilah, nanti baru faham!’
Kerana terlalu banyak kali menerima jawapan negatif itu Aida mendapat idea untuk menggunakan nama Hisham ketika memberi jawapan balas kepada Melati.
‘Tak apalah kalau begitu. Saya tanya Encik Hisham saja.’
Apabila mendengar nama Hisham di sebut, wajah Melati cepat-cepat berubah dan secara automatik dia mahu bekerjasama memberi penerangan pada apa saja yang ditanya. Yang tidak ditanya pun turut diterangkan!
No comments:
Post a Comment