PEMBERITAHUAN

Para pembaca boleh memesan buku yang diminati melalui nbkara.com.my atau email kepada admin@nbkara.com.my


Pembayaran boleh melalui pembayaran ke account no.

Maybank Norhayati Berahim 164267408855 Alliance bank account NBkara 120340010015114 Segala maklumat pembelian/transaksi perlu di e-mail kepada nbkara@yahoo.com atau admin@nbkara.com.my dan jangan lupakan sertakan alamat pembeli atau dengan menggunakan wangpos/cek/kiriman wang yang dialamat kepada

D26-GB Jalan Prima Saujana 2/B Taman Prima Saujana 43000 Kajang Selangor


Semua penghantaraan di Semanjung akan mengunakan pos laju dan tidak dikenakan sebarang bayaran.

Senarai Harga Novel boleh anda lihat di column sebelah kanan 'HARGA NOVEL' Untuk Sabah Sarawak harus mengikut harga asal SABAH/SARAWAK penghantar adalah percuma







BUNGA DI RIMBA

BUNGA DI RIMBA
RM21/RM24

PESTA BUKU SELANGOR

PESTA BUKU SELANGOR
Di Gerai N23, SACC Convec, Shah Alam Selangor

Friday, October 22, 2010

SAYANG SEORANG QAISER-1






1


Sedikit lewat Qaiser pulang dari tempat kerja, menghampiri detik 9:00 malam. Sempat lelaki itu menunaikan solat isyak di surau ofis sebelum dihambat kesesakan jalan raya yang melampau-lampau teruknya. Sampai di rumah, Qaiser menerpa ke bilik air. Bungkusan mi goreng telur mata yang dipesan anak buahnya, Irfan, diletakkan di atas meja.
“Pak su dah makan?”
“Dah, kau makanlah... panas lagi tu.”
Sudah sebulan lebih, Irfan yang berusia 20 tahun itu menumpang di rumah pak ciknya. Perbezaan usia 10 tahun antara Qaiser dan Irfan tidak kelihatan dari segi luaran bahkan mereka dianggap adik-beradik apabila keluar bersama. Kedua-duanya sekepala sejak kecil lagi. Perangai juga saling tak tumpah. Cuma minat mereka sahaja yang berbeza. Qaiser hanya mempunyai seorang kakak dan anak buahnya cuma dua orang. Irfan dan Umairah.
Mengikut cerita Irfan, graduan diploma teater dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan itu mahu mencari peluang kerjaya seni di Kuala Lumpur. Disuruh melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, tunggu dulu pula jawabnya. Letih belajar, mahu memegang duit sendiri, hendak berdikari dan macam-macam alasan lagi menjadi modal untuk pemuda itu meneruskan rancangan hidupnya.
“Macam mana dengan uji bakat siang tadi? Okey?”
“Alhamdulillah, pak su. Rasa-rasanya Irfan diterima. Panel yang menilai pun macam tunjukkan respons yang positif je.”
“Mana boleh rasa-rasa. Itu bunyinya kau tak yakin.”
“Irfan tak mahu over-confident, nanti frust. Tapi insya-ALLAH, I’m in! By next week, mereka akan telefon Irfan untuk confirmation dan sign agreement.”
“Popularlah anak buah pak su nanti. Haha haha. Kau pegang watak apa nanti? Hero?”
“Banyaklah hero, pak su! Badan Irfan cekeding macam ni, tak ada maknanya berangan jadi hero.”
“Tapi kau handsome apa? Setakat Farid Kamil tu, kau boleh pukul mati punyalah. Haha haha.”
Qaiser suka mengusik anak buahnya itu. Terbersit rasa gembira lelaki itu mendengar cita-cita dan impian Irfan yang hampir-hampir menjadi kenyataan tidak lama lagi. Terlibat dalam sebuah produksi mega untuk persembahan teater muzikal yang bakal dipentaskan di dua buah negara adalah satu pencapaian yang amat dibanggakan. Percubaan pertama Irfan membuahkan rezeki kepada dirinya untuk beraksi di pentas berprestij seperti Istana Budaya dan Esplanade Theatres di Singapura, satu-satunya peluang yang tidak patut dilepaskan.
Sudah minatnya mendalam ke arah seni, tidak perlulah disekat-sekat dan dihalang-halang. Selagi bijak menjaga diri dan maruah agama, itu sudah memadai buat Qaiser. Sporting dirinya bukan tidak bergaris panduan. Kalau nampak di pandangan mata, Irfan melakukan sesuatu yang menyimpang dari sepatutnya, dialah orang pertama yang akan menegur secara keras. Jaminan itulah yang membuatkan kakak Qaiser, ibu kepada Irfan, sedikit lega melepaskan anak bujangnya itu kepada adik lelakinya.
“Lupa pak su nak tanya, teater kau tu apa judulnya?”
“Hikayat Bayan Budiman. Pak su familiar dengan teks hikayat ni?”
Err... kau ni bertanya macamlah pak su ni sealiran dengan kau. Kalau kau tanya teks sistem pengaturcaraan, barulah pak su boleh jawab.”
“Ya tak ya jugak. Hihihihi. Hikayat Bayan Budiman ni secara ringkasnya yang Irfan boleh ceritakan pada pak su, kisah tentang kecurangan seorang isteri bernama Bibi Zainab. Apabila suaminya keluar kota untuk berniaga in a certain period, si isteri boleh pula terpaut hati dengan lelaki lain. Dari sini munculnya watak Bayan Budiman yang cuba menasihati Bibi Zainab supaya tidak berlaku curang dan setia dengan suaminya.”
“Ooo... Bayan Budiman tu lelaki atau perempuan?”
“Dia bukan manusia tapi seekor burung. Hihihihi.”
Hah? Habis tu, siapa pulak yang pegang watak burung tu? Kena pakai kostum ek?”
Hihihihi. Tak perlu kostum, paksu. Sebab tu teater ni dipersembahkan hanya di pentas-pentas hebat seperti di IB dan Esplanade. Watak burung tu nanti dijelmakan menggunakan pendekatan high-tech. Akan ada video projections bagi menyerlahkan karakter Bayan Budiman dalam bentuk 3D. Dibantu lagi dengan lighting, illusions dan special effects yang akan memberi satu kelainan dari teater-teater yang pernah dipersembahkan sebelum ni. Pak su wajib datang tau! Beli tiket paling mahal, boleh duduk paling depan tengok Irfan berlakon. Hihihihi.”
Gurau Ifran sambil ketawa-ketawa.
Terms apalah kau cakap dengan pak su tu, Irfan? Manalah pak su kau ni faham bahasa teknikal hiburan. Insya-ALLAH, hujan ribut pun pak su akan datang beri sokongan. Lambat lagi, kan? Empat lima bulan lagi kalau tak silap. Tapi tak apa, sebelum subuh esok hari pak su apply cuti!”
Besar tawa mereka berdua. Bersemangat Irfan berkongsi kegembiraan dengan pak cik kesayangannya itu. Kalau di rumah sendiri jangan haraplah kedua-dua orang tuanya mahu mendengar cerita-cerita kejayaan yang keluar dari mulutnya.
Ayah Irfan tidak suka anak bujangnya itu meneruskan pengajian dalam bidang kesenian dan stigma tidak ada masa depan dan bermain najis dosa itulah yang digunakan berkali-kali. Abang ipar Qaiser mahu anak buahnya itu mengikut jejak langkah Umairah, mengambil bidang syariah.
Qaiser memahami hasrat seorang bapa dan barangkali suatu hari nanti apabila dia sendiri mempunyai anak, dia juga mahu mencorakkan yang baik-baik sahaja pada masa depan anak-anaknya. Namun minat Irfan terhadap seni bukan dipengaruhi atau mengikut rakan sebaya. Sedari kecil lagi Qaiser mendapati anak buahnya itu lain daripada yang lain. Suka berpuisi, suka melukis, suka mengarang, pendek kata apa sahaja kegiatan yang cenderung ke arah kefungsian otak kanan.
Berbeza dengan Umairah yang muda setahun daripada Irfan, potensi gadis itu lebih kepada perkara-perkara yang serius. Umur 12 tahun sudah menjuarai debat antara sekolah-sekolah peringkat kebangsaan. Buku-buku biografi pemimpin dunia menjadi bahan bacaan kegemarannya ketika usia 15 tahun. Sekarang gadis itu sedang mengejar cita-citanya bergelar seorang peguam syarie.
Walaupun mereka mempunyai kecenderungan minat yang menyimpang jauh bezanya, namun kedua-duanya Qaiser sayang. Baik Irfan mahupun Umairah, dua anak buahnya itu terlalu rapat dan mesra dengan dirinya.
Umairah kalau mempunyai masalah, kepadanya dicurahkan segala isi hati. Bergelar pelajar terbaik sekolah dan mempunyai raut wajah yang cantik memukau, siapa-siapa pun akan terpikat dengan gadis muda itu. Berpucuk-pucuk surat cinta dikirim pelajar lelaki sehingga kadangkala menimbulkan ketakutan pada dirinya. Takut diapa-apakan oleh mereka yang berniat jahat. Datang ke sekolah berjemput, pulang berhantar kerana Umairah bimbang akan keselamatan diri dan siapa lagi kalau tidak Qaiser yang menjadi pengawal peribadinya.
“Mira kalau nak cari bakal suami nanti, mahu cari macam pak su. Hihihihi.”
“Belajar belum habis, dah gatal sebut tentang kahwin, ya? Isy... isy... isy... Pak su ni apalah yang ada, Mira? Berharta tidak, handsome pun tak, pendek kata malanglah mana-mana perempuan yang dapat pak su kau ni.”
Hey, siapa kata? You are the best uncle in the world, okay! Walau pak su rasa diri pak su tak berharta, tapi pak su kaya dengan budi pekerti dan ilmu agama yang sudah cukup lumayannya. Kalau siapa-siapa kata pak su Mira tak handsome, memang butalah orang tu. Mira pelangkung dengan senduk.”
Itu yang selalu diguraukan oleh Mira.Kedua-dua mereka ketawa bersama.
Hish, brutalnya Mira ni! Ada-ada saja tau.”
Sayang Qaiser, seorang pak cik kepada kedua-dua anak buahnya Irfan dan Umairah tiada galang ganti. Lelaki itu akan sentiasa hadir untuk mereka berdua dalam apa jua keadaan. Andai pertolongan yang mereka perlukan, itulah yang diberi Qaiser. Kepada mereka berdualah, Qaiser menumpahkan segala kasih sayang dan perhatian yang tidak berbelah bahagi. Bagi Irfan dan Umairah, Qaiser dianggap seperti abang sendiri. Sayang sangat mereka kepada lelaki itu.

Wednesday, October 20, 2010

SAYANG SEORANG QAISER


PROLOG


Dia melihat, berbondong-bondong yang datang mengunjungi pusara itu. Rata-rata yang hadir berpakaian serba putih. Sekali-sekala haruman wangi bertiupan menusuk deria bau. Suasana di tanah perkuburan itu begitu nyaman, tidak panas malah sejuk berangin. Ternyata yang pergi itu bukan sembarangan orang, begitu ramai memberi penghormatan terakhir kepada si arwah. Sebaik tujuh langkah beredar meninggalkan pusara si mati, berzikrullah dada langit. Bergema kalam-kalam ALLAH seisi alam.
Dia mengalirkan air mata.
Ditahan sebaknya yang menyesak di dada, makin menjadi-jadi kesedihannya tidak terbendung. Dia harus kuat semangat, dia tidak boleh berputus harap. Entah kenapa, di dalam mimpi-mimpinya berulang kali bacaan talkin sayup-sayup kedengaran menusuk hati. Apabila nama lelaki itu diseru ke telinga, berdegup kencang jantungnya seperti mahu pecah saluran darahnya. Ya ALLAH, aku tahu ini semua mainan tidur yang mahu aku menyerah kalah. Astaghfirullahalazim.
Bingkas dia mengambil wuduk, sejadah dibentangkan di sebelah katil pesakit. Telekung putih disarungnya dengan tangisan yang tidak henti-henti jatuh ke pipi, kerana lelaki itulah dia mengenal ALLAH TAALA. Dia mengakui dirinya bukanlah perempuan yang baik, tidak terhitung betapa banyak kewajipannya sebagai seorang Muslimah diabaikan begitu sahaja. Lelaki itulah yang membimbingnya dan dia mengharapkan bimbingan itu berterusan. Janganlah dibawa pergi lelaki mulia ini, Ya ALLAH.
Solat taubat di hening malam didirikan penuh khusyuk dan tawaduk. Dia mahu ALLAH memperkenankan doanya, mahu dimakbulkan doanya. Lelaki itu acap kali berpesan kepadanya, doa yang diterima ALLAH datangnya dari hati yang bersih. Bertaubatlah selalu, kerana kadangkala manusia itu tidak menyedari akan perbuatannya itu mendatangkan dosa dan setiap calitan dosa itu menggelapkan hati. Hati yang kotor, tidak dipandang ALLAH akan doa-doanya.
Di sujud terakhirnya, dia bersungguh-sungguh berdoa. Memohon dosa-dosanya yang lalu diampunkan. Seusai salam diberi, disatukan telapak tangannya menadah doa kepada Al-Tawwab yang Maha Penerima Taubat.
Berjejeran air matanya sekali lagi, begitu kerdil dirasakan dirinya ketika itu. Mengharap doanya diperkenankan sedangkan siapalah dirinya, seorang perempuan yang baru mengenal sejadah. Semakin diramas-ramas hatinya mengenangkan kekhilafan lalu.
Dia menyeka air matanya, dia tidak mahu emosi menguasai ibadahnya. Ditariknya nafas dalam-dalam dan bangkit berdiri di atas sejadah penuh tertib menunaikan solat hajat kemudiannya. Dua rakaat yang membuatkan seluruh anggotanya menggigil ketakutan seusai memberi salam. Kepada Al-Samik dia terus berdoa dan mengharapkan lelaki itu bangun dan sedar. Dahi lelaki itu dikucup penuh kasih sayang. Berdenyut-denyut jantungnya melihat insan yang dicintai terkedang kaku berserkup bekalan oksigen.
“Sayang... sayang ingat tak saat-saat indah di awal perkenalan kita dulu? Kalau diingat balik, lucu, kan sayang?”
Dia ketawa dalam tangisan. Saban malam tidak jemu-jemu dia bercerita ke telinga lelaki itu, kisah percintaan mereka. Dia tahu lelaki itu mendengar, mendengar dalam komanya. Sambil bercerita, tangan lelaki itu digenggam erat. Dibawakan tangan itu ke pipinya, dicium lembut mendambakan belaian seorang lelaki bergelar suami. Dia terlalu menyayangi lelaki itu lebih daripada dia menyayangi dirinya sendiri.
“Sebenarnyakan, sayang... sejak kali pertama terpandang sayang, isteri sayang ni dah jatuh cinta. Nakal betulkan isteri sayang ni? Ramai orang cemburu bila melihat penyatuan kita dan Qis tahu sebabnya. Siapalah Qis ni kalau nak dibandingkan dengan sayang? Bertuahnya badan menjadi isteri sayang....”
Dia tertewas sekali lagi, hatinya tersentuh dan sebutir demi sebutir cecair jernih mengalir dari tubir matanya. Lepas satu, satu lagi dugaan perlu diharungi lelaki itu. Sebagai isteri, dia tidak mampu untuk melihat kesengsaraan lelaki pelindungnya itu berterusan. Seandainya boleh dialihkan sakit dan perit lelaki itu ke dalam tubuhnya, dia sanggup menerimanya dengan reda. Kenapalah ada yang sanggup berlaku kejam terhadap lelaki sebaik itu? Kenapa...?
“Sayang nak tahu, manusia tak berhati perut yang buat sayang begini dah ditangkap pihak polis semalam. Padan muka dia meringkuk dalam penjara. Setiap perbuatan jahat, kalau tak dibalas di dunia, di akhirat sana ALLAH membalasnya, kan sayang?”
Dia bercakap seolah-olah lelaki koma yang terbaring di hadapannya itu mampu berinteraksi dengannya. Luka-luka yang sudah kering dan meninggalkan parut kecil di wajah suaminya itu diusap-usapnya penuh rasa cinta yang mendalam. Sebagaimana peritnya luka dan lebam yang dialami lelaki itu, begitu jugalah parah dan tercedera hatinya.
Seboleh-bolehnya dia tidak mahu menyimpan dendam terhadap manusia kejam itu, tetapi melihat suaminya yang sedang koma, perasaan amarahnya hadir menerpa. Cuba dialihkan fikirannya dari mengingatkan perkara-perkara yang menyakitkan itu dengan membayangkan kemanisan hidup bersama si suami.
Apabila teringat saat-saat indah sewaktu berbulan madu, terasa menebal rasa malunya terhadap ALLAH SWT. Malu apabila mengenangkan si suami mengajaknya untuk membaca Al-Quran bersama-sama sedangkan dirinya seperti anak kecil yang merangkak-rangkak bacaannya.
Namun lelaki itu sedikit pun tidak mengecilkan hatinya, malah diajar dirinya mengaji saban hari. Hatinya semakin sayu mengingatkan pengorbanan si suami membimbing dirinya mengenal huruf sehingga dalam masa yang singkat, dia sudah boleh mengaji. Sudah boleh merasai nikmat manisnya menyebut kalam-kalam ALLAH di hujung lidah.
Surah Yasin dibacanya perlahan. Walau masih bersimpang-siur makhrajnya tetapi dia bersungguh-sungguh membacanya dengan linangan air mata. Terkial-kial dia menyempurnakan bacaannya, namun sudah ada kelancaran sedikit demi sedikit.
Waktu terus berputar, berdenting menghampiri detik 3:00 pagi. Dia tertidur di kerusi di sebelah katil suaminya. Pipinya kebasahan dengan air mata yang mengalir. Tersedu-sedan dia dalam tidurnya. Mudah-mudahan lenanya tidak lagi diganggu dengan mimpi-mimpi. Surah Yasin yang dibaca tidak sempat dihabiskan, terberhenti pada ayat 51.
“Dan sudah tentu akan ditiupkan sangkakala (menghidupkan orang-orang yang telah mati; apabila berlaku yang demikian) maka semuanya segera bangkit keluar dari kubur masing-masing (untuk) menghadap Tuhannya.”
Puput bayu malam menyelimuti isteri solehah itu.

Tuesday, October 19, 2010

SAYANG SEORANG QAISER

Mulai esok kami akan siarkan selama 10 hari, sedikit sedutan daripada Sayang seorang Qaiser karya terbaru dari Anuar Kamarudin. Tunggu..

Friday, October 15, 2010

BERBAHASA DENGAN BETUL

Di dalam buku Hujan Pun Menari, ada seorang pembaca mempertikaikan nama pembantu rumah Indonesia yang bernama Pepet. Kata beliau Pepet adalah 'anu perempuan.'
Sebenarnya kalau dilihat atau dirujuk kamus Pepet bermakna, mendesak, menghimpit, habis akal, habis ikhtiar atau vokal e (besar).
Di Indonesia seseorang yang bernama Pepet itu lumrah.
Orang tua dahulu sering berkias apabila mahu memanggil sesuatu yang memalukan sehingga mereka tidak menyedari penggunaan bahasa yang salah.
Jadi sebagai generasi baru, mari kita perbetulkan bahasa yang telah lama ujud.
Gunakan perkataan pepet pada ayat yang betul...

Tuesday, October 12, 2010

TIPS PENULISAN

Tidak ada kekangan untuk menulis apa-apa perkataan yang diakui ada tertulis di dalam kamus dan percakapan seharian. Ada yang bertanya sesetengah penerbit melarang mengunakan perkataan tertentu. Bagi saya sebagai penulis kita harus kaya dan tahu banyak perkataan bukannya menganak tirikan perkataan tertentu. Susah payah datuk moyang ini mengujudkan bahasa ini untuk diwarisi kita pula mengenepikannya.. Tetapi penggunakan perkataan haruslah tepat dan kena pada ayat yang dibina...

Monday, October 11, 2010

HARGA CINTA 9


HARI sudah semakin petang. Kamil sebentar tadi bertolak sebaik saja habis kerja. Di hitung-hitung sudah berpuluh kali dia melakukan perjalanan yang sama. Sudah menjadi rutin.
Asalnya dia berulang-alik dari KL ke JB, setiap Sabtu, sebulan sekali. Kemudian jadi dua kali. Sejak kebelakangan ini dia semakin kerap ke JB, kadang-kadang tiga kali sebulan dan terbaru dia ke sana setiap minggu.
Pada emak dan ayah dia memberitahu, perlu melawat tapak projek! Memang ada projek syarikatnya di situ tetapi sebenarnya tidak perlu pergi selalu!
Sejak Aida berada di JB, sudah menjadi perkara wajib Kamil melawat gadis itu.  
Kebelakangan ini Aida dan dirinya mula menjalin hubungan yang berbeza. Setelah mengetahui duduk perkara sebenar, Aida tiba-tiba berubah.
“Aida rasa seganlah, bang.”
“Segan apa pula?”
“Yalah, abang terpaksa datang JB selalu tengok Aida...”
“Habis tu, kalau abang tak tengok Aida di sini, siapa lagi yang nak tengok?”
“Iyalah... tapi...”
“Sebab kita sebenarnya bukan adik beradik? Aida rasa abang tak perlu bertanggungjawab lagi pada Aida?”
“Taklah begitu...”
“Dah tu bagaimana?”
“Aida... Aida segan sebab kena menyusahkan abang. Biarlah Aida berterus-terang, betullah, Aida segan tu sebab kita bukan adik beradik dan terpaksa susahkan abang, risaukan abang. Tapi Aida berterima kasih sebab abang ambil berat fasal Aida sampai sekarang.”
Aida berterus terang. Ya dia segan. Kami bukan abang kandungnya tetapi lelaki itu bersusah payah kerana dia.
“Kalau Aida rasa boleh hidup sendiri dan tak perlukan perhatian abang...”
“Tak... bukan itu apa yang Aida mahu. Sekarang ini Aida mana ada sesiapa lagi, hanya ada abang. Dengan keluarga... sudah ‘lari’ pulak...”
Kamil tergelak kecil. Bukan dia gembira kerana keadaan Aida yang ‘lari’ dari keluarga. Dia rasa lucu melihat gaya Aida yang memuncungkan mulutnya bagi menunjukkan rupa yang sungguh sedih.
“Gelak pulak...”
“Hmm... Kita lupakan perkara tadi, kita cakap fasal Aini.”
“Kenapa dengan Aini?”
“Dia dapat masuk UiTM, ambil Engineering macam yang dia nak tu. Dia gembira sangat dapat terima emel dari Aida.”
“Iya? Tapi kita boleh percaya pada dia tak?”
“Insya-Allah. Abang sudah brain wash dia. Dia pun faham dan janji akan tutup mulut, biar pecah perut jangan pecah mulut. Hah, itu yang dia janji. Macam biasalah, janji klasik kita semua. Sudah berapa kali dia emel Aida?”
“Tiga empat kali, lepas juga rindu pada Aini...”
Kamil tersenyum. Sambil memandu itu, hatinya teringatkan si Aida. Dia mengintai sekilas ke meter had laju kereta. Dia memandu 100 kilometer sejam tetapi kenapa terasa begitu perlahan?
Risau jika Aida ternanti-nanti. 
Tiba-tiba telefonnya berdering. Kamil tersentak. Cepat-cepat dia menekan speaker bagi menjawabnya.
“Abang Kamil, assalamualaikum!”
Suara Aida. Baru sahaja Kamil teringatkan Aida, suaranya terus menjelma. Senyum Kamil makin melebar.
“Waalaikumussalam.”
“Abang Kamil di mana?”
“Lagi setengah jam sampailah ke hotel. Malam abang ambil Aida kat rumah sewa, kita dinner sama...”
“Ohh...”
“Kenapa ‘ohh’ pula? Aida?”
Tidak senang pula hati Kamil mendengar jawapan Aida yang sebegitu.
“Saja tanya, ingat abang tak datang minggu ini...”
“Kenapa?”
“Tak ada apa. Eloklah abang datang...”
“Aiii, rindu ke....”
“Abang ni.. Aida takut abang penat, minggu lepas sudah datang kan. Tapi tak apalah, jumpa nanti. Assalamualaikum.”
Klik. Talian diputuskan. Dia mahu bercakap lagi tetapi suara Aida sudah tidak kedengaran. Aida suka atau tidak dia datang melawatnya?
Atau mungkin Aida rungsing dengan kedatangannya?
Bosan? Kedatangan yang membuatkan gadis itu rasa tidak bebas melakukan aktiviti sendiri. Mengganggu jadual dia hendak bersosial?
Mungkinkah dia kini mengambil alih tugas-tugas yang dulunya dilakukan emak. Mengongkong dan tidak pernah memberi peluang Aida membuat keputusan sendiri?
Dulu dia selalu tidak bersetuju dengan pendekatan yang dipraktikkan emak tetapi kini dia pula yang melakukan perkara yang sama.
Dia ingin tahu semua aktiviti Aida, ke mana dia pergi, dengan siapa dan siapa kawan-kawannya. Kawan-kawan rapat Aida di tempat kerja semua dia kenal. Dia yang memaksa Aida mengenalkan dengan mereka semua.
Dia juga buat spot check di tempat kerja gadis itu, pergi secara mengejut dan pura-pura tinggal di hotel atau makan di situ. Sengaja mahu melihat persekitaran dan mengesan mana-mana yang tidak kena.
Kini kalau ke JB, Kamil akan menginap di hotel berdekatan kerana Aida tidak benarkan lagi dia menginap di hotel tempat dia bekerja. Risau diketahui kawan-kawan, katanya. Risau diperli mempunyai spy.
Apa beza sikap itu dengan emak? Sentiasa risau dan memberi alasan tidak mahu Aida tersalah langkah.

Thursday, October 7, 2010

COVER HARGA CINTA

Cover Harga Cinta. Akan terbit sedikit masa lagi.  RM21.90 SEMENANJUNG 24.90 SABAH/SARAWAK.

Wednesday, October 6, 2010

HARGA CINTA 8

EMEL Mariam dibacanya berkali-kali. Dulu di universiti, dia, Mariam dan Shima bagaikan tiga serangkai. Cukup rapat, ke mana-mana pun bertiga. Kini pun rapat juga cuma keadaan sudah berubah. Dulu, sama-sama belajar di bawah bumbung yang sama, ambil peperiksaan dan keluar membeli belah bertiga. Kini, Mariam sudah ada kerjaya hebat di hotel, Shima pula menyambung pelajaran. Ambil pula tambahan bahasa asing. Masing-masing menuju arah kecenderungan sendiri.
Emel Mariam ini berbeza dari hari-hari sebelumnya. Isi emel yang lalu lebih banyak memujuknya tentang apa yang terjadi, menyuruh dia bersabar dan jangan mengambil keputusan tergesa-gesa kelak merosakkan diri sendiri. Kata Mariam, Aida anak angkat yang paling bertuah di dunia, lebih bertuah dari Nicole Ritchie!
Aida sepatutnya gembira dengan berita itu. Sekurang-kurangnya Mariam tidak pernah lupakannya. Dia antara orang terawal yang diberitahu.
Cepat-cepat Aida beristighfar dan mengurut-urut dadanya sendiri. Jangan membiarkan rasa dengki wujud dan tertanam terus. Jangan biarkan syaitan menang.
Cepat-cepat juga dia mengarang emel balasan kepada Mariam, mengucapkan tahniah di samping kembali bertanya khabar. Diselitkan juga khabar terbaru darinya. Tidak mahu terikut-ikut dengan perasaannya sendiri.
Memang hatinya rasa cemburu. Sudahlah Mariam dapat bekerja di resort lima bintang di Selatan tanah air, nasib nampaknya sentiasa menyebelahi temannya itu.
Mariam menjemputnya ke majlis pertunangannya hujung bulan depan. Bertuahnya Mariam. Dapat buat apa yang disukainya. Dapat pula bertunang. Ahhh....
Mariam turut menghantar gambar terbarunya, bergambar sekeluarga dengan keluarga bakal tunang. Bakal ibu mentua memeluk bahunya. Mariam terlentuk, manja.
Dapat dilihatnya wajah Mariam yang tambah berseri. Tentu saja wajah berseri jika dapat tunang sekacak itu. Pengurus di tempat bekerjanya, kata Mariam. Dulu bercinta dengan orang lain, putus di tengah jalan membuatkan Mariam bagai mahu mengakhiri hidup. Cinta yang disemai sejak zaman persekolahan akhirnya kecundang kerana perselisihan pendapat. Mana di sangka begitu jadinya.
Syukur, iman Mariam masih kuat dan dia kembali berserah kepada Allah.
Kini tidak sampai setahun cinta baru menjenguknya pula. Terus mereka merancang masa depan. Bahagianya Mariam.  
Bilalah dia akan segembira atau sebertuah Mariam? Adakah nasibnya untuk bertunang? Tetapi dengan siapa?
‘Seronoknya kalau dapat bertunang... Dapat cincin...,’ fikiran Aida melayang-layang. ‘Gubah hantaran cantik-cantik, hias bilik...’
Bukan Aida tidak pernah bercinta. Jatuh cinta banyak kali tetapi yang berbalas cuma dua kali. Pertama dengan rakan sekolej, tiga tahun lalu. Rashid. Tetapi teman lelakinya itu mata keranjang, dia tidak tahan. Dari menderita melawan rasa cemburu setiap hari, baik Aida cepat-cepat lari.
Terbaru, setahun lalu, Asri, lelaki yang menjadi idamannya sejak sekian lama. Rupa-rupanya Asri juga idaman beberapa orang lain. Sekali lagi Aida berundur. Dia malas berebut dan bergaduh hanya kerana lelaki.
“Yang kita minat, tidak minat kita pula.”
Begitu selalu dia bergurau dengan sahabatnya Shima. Tetapi Shima pun bakal menamatkan zaman bujangnya akhir tahun nanti. Shima dan Faizal memang sama cantik sama padan. Menurut rancangan, selepas berkahwin, Shima akan mengikut suaminya ke Jepun, berkhidmat mewakili jabatan pelancongan negara.
Tinggallah dia seorang tidak berteman.
Sebenarnya Aida malas mencari. Bercinta kemudian kecewa bukan sesuatu yang menyeronokkan. Pernah dia memikirkan untuk meminta emak sahaja mencari pasangan hidup untuknya.
Habis cerita!
Mungkin itu yang sepatutnya dilakukannya. Ini tentu saja menggembirakan hati emak.

Tuesday, October 5, 2010

HARGA CINTA 7


“ENCIK Hisham tak keluar makan?”
“Saya makan di kantin saja. Awak makan di mana?”
“Keluar, rasanya. Makan di Taman Selera. Jemulah makan lauk kantin…”
Matanya tepat memandang lelaki berbaju kemeja kotak-kotak kuning dan biru lembut. Gembira Melati melihat Hisham memakai kemeja itu. Kemeja yang dihadiahnya pada harijadi Hisham dua tahun lalu. Lelaki itu tampak sungguh segak dan perkasa.
“Jemu? Bukankah sedap lauk di kantin kita. Saya ni tak kisah Melati, tak cerewet. Kantin boleh, lauk Dewan Makan pun boleh. Asalkan dapat makan...”
“Saya keluar dengan Aida... Kot-kot Encik Hisham nak join kita orang...”
Pelawa Melati lagi. Aida yang menunggu berdekatan pintu memerhati saja sesi ‘ajak-mengajak’ dan ‘tolak-menolak’ antara Melati dan Hisham. Perlukah aku jadi saksi, tengok semua ini, kata hatinya.
“Jomlah, Encik Hisham! Join kita orang!”
Aida sekadar berbahasa. Dia tidak kisah lelaki itu mahu mengikut atau tidak. Pergi seorang pun tidak mengapa. Keadaan dirinya semakin berubah sekarang. Dia tidak lagi berharap ditemani sepanjang masa.
Tetapi nampaknya si Melati beriya-iya mahu Hisham bersama-sama mereka.
“Tak, nampaknya. Banyak kerja... You two go ahead... sudah jam satu pun, pergilah cepat... Nanti terlambat.”
Melati mengharap sangat Hisham mahu menyertai mereka. Dulu ketika tiada Aida pun dia selalu makan di luar sendirian. Bukan jauh pun Taman Selera, jalan kaki tidak sampai lima minit. Dia membayangkan dirinya berjalan-jalan, perlahan-lahan dengan Hisham. Aida tidak ada dalam bayangan itu.
Bukan dia tidak pernah mengajak. Sangkanya dulu Hisham segan untuk berjalan berdua-duaan dengannya, kini, adanya Aida mungkin Hisham setuju. Tapi tidak begitu situasinya. Tidak menjadi juga...
Selalu juga dia makan di kantin atau di dewan makan yang percuma untuk mereka semua. Dia tidaklah jemu seperti yang dikatakan tadi. Cuma malas beramai-ramai dengan pelajar-pelajar lain, berebut dan beratur panjang-panjang.
Rasa seperti begitu asing.
“Dia tak mahu mengikut?”
Aida sekadar bertanya, mahu memulakan perbualan dengan Melati yang mencuka wajahnya walau dia sendiri pun dapat mendengar penolakan Hisham tadi.
Melati menggeleng.
Hubungannya dan Melati berjalan seperti biasa. Dia menghadkan kemesraan antara mereka berdua. Walau usia Melati lebih tua darinya, dari segi jawatan dan sebagai orang atasan dia mahu dihormati sewajarnya. Itu yang dipesan penyelia kanan di awal kedatangannya ke situ.
‘Melati bekerja di bawah awak, jadi tak kiralah usianya lebih tua, awak kena bersifat profesional. Boleh mesra tapi ada had dan batas supaya tak nanti ada yang memijak kepala pula. Kalau ada masalah jangan bertangguh untuk jumpa saya, pintu pejabat sentiasa terbuka...’ Aida ingat pengajaran penyelia itu.
“Dia tu workaholic, Cik Aida. Jarang makan tengahari. Itu yang badan tu makin melengkung, kurus kering. Selalu, saya yang heboh jaga makan minum dia. Letak makanan depan mata baru dia menjamah... Entah bila dia berehat...”
Aida tersenyum mendengar kata-kata itu. Lain saja bunyinya. Tampak jelas Melati begitu mengambil berat Hisham yang sudah lama menduda, informasi itu juga diterimanya dari penyelia kanan tempoh hari.
Penyelia Kanan Siti Hanum masih bujang. Paras rupa boleh tahan, tiada yang kurang. Sejak dua minggu dia di situ sudah dua kali Siti Hanum menjenguk ke pejabatnya. Katanya, mahu bertanya khabar orang baru. Jika tidak dapat datang, Siti Hanum menelefonnya.
“Panggil saja Kak Anum,” katanya. Aida tidak pasti sama ada panggilan itu wajar kerana semua kakitangan di situ, dari pekerja asrama, pensyarah dan pengawal keselamatan memanggil wanita itu Cik Siti. Mungkin ‘Anum’ lebih mesra dan Siti Hanum merasakan hubungan mereka lebih mesra memandangkan hubung kaitnya dengan Abang Kamil.
Siti Hanum sekadar teman atau pernah menyulam kasih dengan Abang Kamil? Sesuatu yang mesti ditanyanya pada Abang Kamil nanti.
“Dulu Kamil banyak tolong saya...” ceritanya.
“Masa bila tu Cik Siti... er... Kak Anum?”
“Saya ni anak orang miskin. Masuk universiti setahun selepas Kamil. Umur kami sebaya, saya masuk selepas tingkatan enam. Waktu itu susah nak tumpukan pelajaran sebab tidak mampu hendak beli buku-buku rujukan. Hendak buat salinan fotostat pun tidak mampu. Awak tahu, Kamil pinjamkan buju-bukunya. Semua yang dia ada, dia pinjamkan. Seminggu dia, seminggu saya,” senyumnya meleret ketika bercerita dan menyebut nama Abang Kamil.
“Bila musim peperiksaan pulak kami study sama-sama!”
Wah, study sama-sama! Apa maknanya itu? Itu petanda satu hubungan istimewa telah terjalin antara dua manusia – Siti Hanum dan Abang Kamil. Kenapa Aida tidak tahu menahu tentang perkara itu dan tentang kewujudan Siti Hanum? Mungkin kerana zaman Abang Kamil di universiti dia masih di menengah rendah.
Tetapi kenapa hubungan mereka tidak menjadi?
“Abang awak memang baik, Aida. Jasanya tak terbalas saya...” Sambung Siti Hanum lagi.
Aida mesti siasat perkara ini...
“Bagaimana so far?” baru Aida teringat Melati masih di sebelahnya.
Walau mereka berjalan beriringan namun masing-masing seakan khayal di dunia sendiri.
So far?” tanyanya kembali.
“Kerja di sini. Okey semuanya? Ada yang tak okey?”
“Tidak okey? Biasalah kerja baru, jadi masih nak sesuaikan diri dan belajar. Tapi semua orang nampaknya tak kisah membantu saya.”
Kecuali awak, kata hati Aida.
Semua orang, Hisham, penyelia kanan, pihak kantin, pengawal, klinik dan pelajar-pelajar memberi kerjasama yang baik dengannya. Dia juga mula mengenali kebanyakan penghuni asrama perempuan, ada yang datang berjumpa dengannya, menghantar wakil bilik, untuk berkenalan dengan ‘warden baru’. Itu merupakan inisiatif dari ‘warden lama’ Hisham yang menampal di papan kenyataan tentang kehadiran warden baru di asrama mereka dan para penghuni asrama perempuan di minta melakukan sesi berkenalan.
Kecuali si Melati yang sedang berjalan di sebelahnya. Melati mempunyai sikap ‘kedekut ilmu’ atau lebih tepat lagi suka menyorok informasi. Dia tidak suka berkongsi dan semua fail-fail lama jabatan diletak begitu saja di atas meja Aida tanpa penerangan. Apabila Aida bertanya tentangnya dia akan menjawab, ‘Cik Aida baca sendirilah, nanti baru faham!’
Kerana terlalu banyak kali menerima jawapan negatif itu Aida mendapat idea untuk menggunakan nama Hisham ketika memberi jawapan balas kepada Melati.
‘Tak apalah kalau begitu. Saya tanya Encik Hisham saja.’
Apabila mendengar nama Hisham di sebut, wajah Melati cepat-cepat berubah dan secara automatik dia mahu bekerjasama memberi penerangan pada apa saja yang ditanya. Yang tidak ditanya pun turut diterangkan!



Monday, October 4, 2010

HARGA CINTA 6



“Aida!”
Aida terlupa dirinya tidak lagi di asrama atau pejabatnya. Dia kini sudah menjejakkan kaki di rumah keluarganya sendiri, di Petaling Jaya.
Tadi sesampainya di rumah, dia bergegas menunaikan solat Maghrib dahulu di biliknya. Selesai, emaknya memanggil turun ke ruang tamu, ayah serta Abang Kamil turut menunggunya di situ.
“Kenapa ni mak, ayah. Macam penting saja. Abang Kamil nak kahwinkah?”
Aida cuba mengurangkan ketegangan, suasana tidak seperti biasa. Bagai ada yang tidak kena.
Ayah, emak dan Abang Kamil saling berpandangan. Baru Aida perasan mata emak bengkak dan merah. Emak menangis? Kenapa?
“Aida, ayah... er... kami ada sesuatu nak beritahu Aida.”
Ayah memula bicara. Dalam tetapi perlahan nada suara ayah.
“Beritahu apa, ayah? Mak, kenapa ni? Kenapa emak menangis ni?”
Hati Aida mula berdebar-debar. Apa yang sedang terjadi pada keluarga kesayangannya? Adakah emak atau ayah atau Abang Kamil ditimpa musibah? Sakitkah?
Semua mata tertumpu pada dirinya.
“Kenapa ni ayah? Cepatlah cakap! Jangan buat Aida risau begini!” Pinta Aida.
Emak mula menangis.
“Aida, sebelum tu, ayah, emak dan seluruh keluarga kita harap Aida tabah dengan apa yang nak kami katakan ini. Aida anak kesayangan kami jadi kami tak mahu perkara ini berlanjutan tanpa Aida mengetahui kebenarannya. Aida pun sudah 23 tahun jadi sudah tiba masanya Aida dan kami saling bertanggungjawab. Ayah... er... ayah dan emak sudah fikir panjang lebar... Kami pun dah semakin tua, entah esok atau lusa...”
“Ayah, mak... apa ni? Ayah sakitkah? Atau emak...”
“Kami tak sakit, Aida. Cuma... cuma sedih…”
Suara emak tersekat-sekat. Pipinya basah. Sedih betul emak. Dia merenung ayah bagai menyuruh lelaki itu meneruskan kata-katanya. Ayah mengangguk tanda mengerti.
“Aida... dalam dunia ini, hidup ayah dan emak tak akan lengkap tanpa kamu bertiga, Kamil, Aida dan Aini. Kamu bertigalah nyawa kami, yang menggembirakan kami setiap hari. Aida tahu kan semua ni... Betapa kasih sayang kami pada setiap kamu semua menggunung tinggi, tiada tolok bandingannya pun...”
“Aida tahu, ayah. Aida pun begitu juga. Tapi kenapa tiba-tiba saja ayah dan mak beritahu semua ini pada Aida? Semua ni memang Aida sudah tahu dan sedar. Tanpa kasih sayang emak dan ayah, Aida tak mungkin jadi begini... Tapi... tapi kenapa... kenapa ni?”
“Aida..,” ayah lagi yang bersuara.
“Walau apa pun Aida mesti ingat satu perkara, ke mana pun Aida pergi atau bagaimana keadaan hidup Aida nanti, kamilah orang yang paling menyayangi Aida. Ayah dan emak harap Aida tak akan lupakan kami.”
“Ayah... kenapa cakap begini? Kalau Aida sudah bekerja pun, sudah ada kerjaya atau kalau takdirnya Aida jadi kaya raya sekalipun, Aida tidak mungkin lupa emak dan ayah. tak mungkin lupa asal usul dan keluarga kita. Kenapa ayah cakap begini? Ayah risau bila sudah bekerja, Aida tak perlukan keluarga kita lagi?”
Sedu emak semakin kuat.
Abang Kamil yang selalunya suka bergurau dan mengusik tidak seperti perangainya yang selalu. Wajahnya mencuka, serius dan diam membatu. Keadaan yang lagi membuatkan Aida bertambah resah.
“Bukan fasal kamu sudah bekerja…”
“Fasal apa, ayah?”
Ayah menarik nafas panjang-panjang.
“Err... susahnya ayah nak cakap ini tapi, aya kena cakap juga…”
“Cakaplah, ayah!”
“Aida, kami perlu jelaskan suatu perkara. Walau Aida anak kesayangan kami tetapi sebenarnya... sebenarnya... dari segi hukum, Aida bukan anak kami... bukan anak kandung kami...”