9
Hantu mana hantu
Hantu mana hantu
Hantu mana hantu
Nampak hantu jangan merapu
Mulut cabul baru tahu
Jangan dikawan nanti dimakan.
Fairuz terus mendendangkan lagu ‘Ceplos’ kegemarannya berulang kali. Seni kata lagu itu amat menarik baginya kerana menunjukkan bahawa kehidupan manusia ini tidak dapat dipisahkan dengan dunia halus yang juga mempunyai makhluk ciptaan Tuhan yang lain. Jin dan orang bunian mahupun hantu yang mempunyai pelbagai jenis walaupun tidak pernah ditemui, tetapi sebagai manusia, Fairuz percaya semua makhluk itu ada. Kadang-kadang seram juga apabila memikirkannya. Serta-merta Fairuz menggerak-gerakkan badannya dan mengusap batang tengkuknya yang dirasakan berdiri tegak bulu romanya.
“Hei…! Hei…!” Fairuz terasa seram.
“Ha! Kenapa pulak tu…? Dah buang tebiat?”
Aidil yang melihat teman sebiliknya berkelakuan pelik, menegur.
“Tak… tak baik kau doakan benda yang tak baik untuk aku. Apa punya kawanlah kau ni!”
Fairuz menunjukkan protes dengan keceloparan kata-kata Aidil.
“Habis, malam-malam buta nyanyi lagu hantu… lepas tu asyik pulak mengusap lengan dan batang tengkuk kau… apa hal?”
Aidil memandang wajah temannya itu dengan wajah yang diselubungi pertanyaan.
“Alah kau ni… Kalau kita bercakap pasal hantu, mestilah bulu roma di lengan dan batang leher ni akan berdiri… Seram, kan…” Fairuz menerangkan apa yang dirasakan sebentar tadi.
“Dah tahu malam ni malam Jumaat, yang kau pergi menyanyi lagu hantu terlalak-lalak tu apa hal! Suara tu kalau bagus sangat tak apalah, ni tak pasal-pasal macam suara… Annie!!! Angkat kain, hujan… Jemuran dah turun!!!”
Pada bahagian hujung ayatnya dia sengaja mengulangi ayat-ayat yang pernah dituturkan dalam filem ‘Seniman Bujang Lapuk’.
“Kau ni memang tak sayang mulut. Tak apa… tak apa… Ada ubi ada batas, ada lori ada bas… Ada hari aku balas.”
Fairuz terus menepuk kuat belakang Aidil sambil melangkah meninggalkannya.
“Tu kau nak ke mana pulak? Tadi kata takut hantu.”
Aidil menegur sambil menggosok-gosok bahunya yang terasa perit.
“Aku nak cari hantulah.”
Selamba Fairuz menjawab meninggalkan Aidil sendirian.
Aidil tersenyum sendiri melihat gelagat kawannya yang seorang ini. Fairuz tidak pernah serius dengan pelajarannya, tetapi nasibnya baik kerana tetap lulus dalam semua kertas yang diambilnya walaupun sekadar cukup-cukup makan.
Tiap-tiap tahun dia masih mampu mencatat kejayaan, walau tidak secemerlang mana, tetapi dia tidak perlu mengulang. Sememangnya Fairuz boleh dikategorikan sebagai pelajar yang pintar, tetapi sikapnya sekarang lebih kepada menunjukkan protes terhadap daddynya yang dianggap mengongkong kehidupannya. Segalanya kerana kursus Pengurusan Perniagaan yang diambil oleh Fairuz bukanlah kursus pilihannya. Fairuz lebih berminat untuk menjadi peguam.
No comments:
Post a Comment