PEMBERITAHUAN

Para pembaca boleh memesan buku yang diminati melalui nbkara.com.my atau email kepada admin@nbkara.com.my


Pembayaran boleh melalui pembayaran ke account no.

Maybank Norhayati Berahim 164267408855 Alliance bank account NBkara 120340010015114 Segala maklumat pembelian/transaksi perlu di e-mail kepada nbkara@yahoo.com atau admin@nbkara.com.my dan jangan lupakan sertakan alamat pembeli atau dengan menggunakan wangpos/cek/kiriman wang yang dialamat kepada

D26-GB Jalan Prima Saujana 2/B Taman Prima Saujana 43000 Kajang Selangor


Semua penghantaraan di Semanjung akan mengunakan pos laju dan tidak dikenakan sebarang bayaran.

Senarai Harga Novel boleh anda lihat di column sebelah kanan 'HARGA NOVEL' Untuk Sabah Sarawak harus mengikut harga asal SABAH/SARAWAK penghantar adalah percuma







BUNGA DI RIMBA

BUNGA DI RIMBA
RM21/RM24

PESTA BUKU SELANGOR

PESTA BUKU SELANGOR
Di Gerai N23, SACC Convec, Shah Alam Selangor

Saturday, January 22, 2011

DARI KERANA MATA 6










6


Badan Jaliha terasa sakit-sakit. Dia tahu emak kalau tidak kena gayanya, akan naik angin tiba-tiba dan boleh memukul. Bukan sekali dua Jaliha kena. Acap kali. Kadangkala Jaliha tertanya-tanya, kenapa emak benci sangat terhadap dirinya? Tetapi dia tidak boleh melakukan apa-apa. Dia mahu bertanya, tetapi pertanyaan itu selalunya tersekat di kerongkong sahaja.
“Abang tak boleh pukul emak macam tu!”
Malam itu mereka berkumpul di dalam bilik tidur beramai-ramai. Bilik yang menempatkan nenek, Jaliha dan juga Juriah. Kali ini Johari pun turut serta.
“Sakit hati, nek. Emak selalu pukul Jaliha. Johari pun ada sekali, kenapa dia tak pukul Johari?”
Nenek menelan liur. Anak ini walau baru berusia 12 tahun, tetapi hatinya amat luhur. Kasihnya terhadap si adik begitu kukuh sekali.
“Emak dah larang Jaliha main basikal, tapi Jaliha degil.”
Sedikit takut-takut Jaliha bersuara. Dia benar-benar terperanjat dengan kelakuan Johari. Bahkan dia sendiri tidak bersetuju dengan tindakan abangnya.
“Jaliha, kau kena belajar mempertahankan diri kau daripada emak.”
“Itu emak kita, bang.”
Jaliha menyapu air mata. Nenek sudah meletakkan minyak di pipi Jaliha yang ditampar oleh emak. Sepanjang malam nenek bising kerana emak memperlakukan Jaliha begitu, menyebabkan emak berkurung sahaja di dalam bilik. Tidak makan.
Nenek mahu sahaja ketawa. Ramona sudah jadi seperti budak-budak pula. Seharusnya Jaliha yang berkurung, bukannya Ramona.
“Memang! Tapi abang tak menyesal pukul emak. Emak tak boleh pukul kau sesuka hati, tau!”
Jerkah Johari geram. Entah mengapa emak naik angin sahaja kalau berjumpa Jaliha. Emak buat Jaliha macam Jaliha bukan anak emak. Johari benar-benar tidak faham. Kadangkala dia terfikir, apakah Jaliha anak angkat? Tetapi kalau anak angkat, kenapa binnya sama dengan binti Jaliha?
“Berdosa buat emak macam tu, bang. Kau kena mintak maaf dengan dia.”
Juriah meningkah. Sakit hati Johari mendengarnya. Kadangkala bagi Johari, emak tidak adil. Kalau dengan Juriah, emak jentik pun tidak pernah. Tetapi dengan Jaliha… emak selalu marah-marah dan berani memukul.
“Memang apa yang Johari buat tu salah. Betul kata Juriah, Johari kena mintak maaf dengan mak.”
“Dengar tu kata nenek, bang.”
Panjang muncung Johari mendengar cadangan nenek dan Juriah. Bagi Johari, tindakannya terhadap emak adalah demi mempertahankan adiknya.
“Emak pukul Jaliha tanpa sebab.”
“Itu jugak betul.”
Kadangkala nenek sudah tidak berdaya melakukan apa-apa lagi. Persepsi salah Ramona benar-benar membuat Jaliha terkena tempiasnya.
“Tengok Juriah, nenek cakap apa yang emak buat tu salah jugak.”
Juriah bungkam. Senyap. Tidak menjawab. Walau di hati mengatakan tindakan emak itu tidak betul, tetapi separuh hatinya pula mengatakan yang Johari tidak patut membuat emak begitu.
“Kalau kau kena sepak dengan mak, baru kau tahu betapa sakitnya. Kadangkala benci sungguh aku dengan mak tu.”
“Abang! Mana boleh cakap macam tu!”
Mata Jaliha terbeliak. Tidak sangka yang si abang sanggup bercakap sampai begitu sekali. Nenek hanya menelan ludah. Johari walaupun lelaki, tetapi agak sensitif. Dia yang menjaga Johari dan dia tahu perangai cucunya itu. Johari dari dahulu seperti tidak sebulu dengan emak sendiri, walau Ramona tampaknya lebih fokus pada anak itu.
“Syurga di bawah tapak kaki ibu?”
Johari mengejek. Jaliha sudah duduk di sebelah abangnya. Memegang tangan Johari.
“Abang, Jaliha mintak maaf.”
Asal kau nak mintak maaf pulak?”
“Sebab Jaliha, abang marahkan mak. Nanti Jaliha tak mahu naik basikal lagi.”
Jaliha tunduk. Dia serba salah sebenarnya. Tidak suka kerana dia, Johari berdendam dengan emak. Mengeluarkan kata-kata tersebut terhadap emak.
Hmm… nanti Hari Raya abang mintaklah maaf dengan mak.”
Usik Johari menyebabkan wajah Jaliha menjadi ceria semula.
“Abang ni teruk. Ada ke nanti Hari Raya aje nak mintak maaf dengan mak?”
“Ai? Semua orang buat macam tu, lah! Hari Raya baru mintak maaf.”
Johari seakan mengejek. Anak itu masih lagi menyimpan rasa tidak puas hati. Nenek dapat merasakan.
“Memang semua orang mintak maaf pada Hari Raya. Tapi mintak maaf sebenarnya patut dilakukan selepas kita membuat kesalahan dan telah menyinggung perasaan orang lain.”
Nenek menerangkan. Johari tersengih.
“Tapi mak jugak telah melakukan kesalahan pada Jaliha. Tak ada pun mak mintak maaf. Kalau tanya orang kat dunia ni pun, rasanya Jaliha betul. Tak ada orang kena pukul sebab main basikal kecuali Jaliha, nek.”
Nenek hilang kata-kata. Walau baru berusia 12 tahun, tetapi pemikiran Johari menjangkau orang yang berusia dua puluh tahun.
“Emak ada alasannya sendiri.”
Lemah sahaja suara nenek, tetapi di masa yang sama dia terharu. Selama ini dia risau, kalaulah dia mati awal, bagaimana keadaan Jaliha yang didendami oleh si emak sendiri? Kini baru dia sedar, Johari boleh diharapkan untuk menjaga adiknya.
“Apa pun alasannya, emak tak boleh pukul Jaliha kerana Jaliha naik basikal. Kalau emak nak pukul Jaliha, emak tak payah beli basikal ni untuk Johari dan Johari juga tak boleh naik basikallah, nek.”

Friday, January 21, 2011

DARI KERANA MATA 5










5


Matahari sudah jatuh ke kaki langit. Keadaan sekeliling sudah semakin gelap. Kanak-kanak lelaki yang berusia 10 tahun itu berlari-lari anak menggendong sesuatu dengan baju Melayu yang dipakainya. Langkah kakinya terhenti betul-betul di hadapan pintu rumahnya. Dia mencium sesuatu. Sesuatu yang mungkin bagi orang lain berbau tengik, tetapi sedap di hidungnya.
“Nenek masak apa? Sedap baunya.”
Atan yang melangkah masuk terus ke dapur, menegur neneknya yang sedang terbongkok-bongkok menghadap dapur kayunya.
“Kamu ni Atan… salam tidak, kejutkan nenek dengan cara macam tu. Baik nenek tak mati.”
Atan ketawa mengekek. Bau yang begitu sedap itu singgah di hidungnya sekali lagi.
“Assalamualaikum nek! Sedap baunya nek. Apa yang nenek masak?”
“Nenek bakar ikan kembung asin. Hmm… tadi nenek jual telur ayam. Nenek beli ikan kembung dengan sardin. Nanti kita makan sambal sardin, ya?”
Beritahu nenek. Atan tidak menjawab. Dia membawa daun pucuk ubi yang dipetik sebentar tadi di tepi jalan dan dimasukkan ke dalam tapis. Kemudian duduk di lantai yang beralaskan tikar mengkuang dan menggetus pucuk ubi tersebut. Membuang yang tua dan diambil pucuk muda sahaja.
“Kata cikgu, telur lagi berkhasiat daripada ikan masin, nek.”
Lama sepi mengisi ruang, baru Atan bersuara.
“Tapi hari-hari makan telur pun bosan. Sesekali kita kena makan ikan masin jugak.”
Beritahu nenek. Atan senyap. Dia tahu dalam hidup ini dia tidak boleh memilih. Apa sahaja yang ada, dia makan dan dia perlu bersyukur menikmatinya. Bahkan sudah lama benar dia tidak makan sambal sardin dilawan dengan kembung masin bakar. Sebentar nanti dia akan merebus pucuk ubi. Wah, dilawan ketiga-tiganya, pasti enak!
“Nek, kalau Atan ada basikal, best, kan nek?”
Terpacul kata-kata tersebut keluar dari mulut Atan tanpa anak itu dapat berfikir. Kata-kata itu menyebabkan Nek Boyah yang sedang mengarih nasi, memalingkan muka. Wajah Atan yang tunduk sedang menggetus pucuk ubi, direnung dengan rasa simpati.
“Atan tahu kita tak ada duit, kan?”
“Atan cakap, kalaulah, nek… Atan tak mintak pun.”
Lama Atan berjeda. Nenek juga. Masing-masing melayan perasaan. Nenek dengan perasaan hiba dan simpati. Hiba seorang nenek kerana tidak dapat menggembirakan si cucu. Atan pula dengan rasa sedikit kesal. Kesal kerana dilahirkan sebagai anak yang miskin. Namun pantas sahaja dia merasa dirinya beruntung jika dibandingkan anak-anak yang terpaksa meminta sedekah untuk hidup.
“Ramai orang di rumah Tok Daud kamu?”
Sebentar tadi Atan balik dari rumah Tok Daud, guru Al-Quran yang terkenal di kampung tersebut.
“Ramai jugaklah nek, macam biasa…”
Jawab Atan hormat. Esok Kamarul, kawannya akan menghantar pulut kuning ke rumah Pak Daud. Kamarul sudah khatam Al-Quran. Kamarul sudah berjanji dengannya akan memberi dia sepiring. Kata Kamarul, dia akan menyuruh emaknya meletakkan kari daging di atas pulut tersebut banyak sedikit.
Mengingatkan pulut tersebut, Atan menelan liur. Sesekali kalau ada yang berkhatam Al-Quran, dapatlah dia makan sedap sedikit.
“Kamu kutip di mana pucuk ubi ni?”
Hmm… tepi jalan, nek.”
Alangkah bagus dan seronoknya kalau aku ada basikal. Banyak tempat boleh aku cari pucuk ubi, pucuk paku dan mungkin boleh dijual di pasar tani. Atan berkhayal sendiri.
“Nek, kalau jual pucuk ubi ni, laku tak?”
Nenek tersenyum mendengar pertanyaan Atan. Dia tidak aneh dengan pertanyaan tersebut. Sudah masak benar dia dengan Atan yang mahukan semua benda bertukar menjadi wang.
“Pucuk ubi ni melambak-lambak di tepi jalan. Orang pun dah malas nak makan, Atan.”
“Kita jual tempat lainlah, nek.”
“Di mana?”
Atan tersengih sambil menggaru-garukan kepalanya. Yalah… di mana dia mahu berjualan?
“Pasarlah, nek? Bukan jauh sangat pun. Atan boleh jalan kaki.”
Idea itu tidak disukai oleh nenek. Dia tidak mahu kerana leka berjualan, maka pelajaran Atan akan terbengkalai.
“Tak apa, nanti kita suruh Abang Dol kamu ambil.”
“Abang Dol tu peraih, nek. Dia ambil kita punya bunga kantan, sebatang sepuluh sen, kadangkala lima sen. Dekat kedai Atan dengar, kadangkala sampai tiga puluh sen orang jual, nek.”
Nenek diam. Dia tahu, semangat Atan tidak pernah patah. Atan anak yang cerdik, bahkan kepalanya ligat berfikir untuk mencari wang. Sehingga kadangkala Nek Boyah merasakan dirinya tidak berguna sebagai seorang nenek. Namun apakan daya, kudratnya sebagai wanita tua tidak mencukupi untuk terus-terusan berusaha.
“Atan boleh jualkan tikar mengkuang nenek. Dengar-dengar, ada orang beli sampai empat puluh ringgit, nek. Ini suruh Abang Dol jualkan, dia bagi nenek sepuluh ringgit aje. Mana boleh, nek. Nenek penat-penat cari mengkuang, salai, kemudian buat tikar, dapat banyak tu aje.”
Atan tidak sudah-sudah mempertikaikan peraih yang mengambil untung berlipat kali ganda.
“Kena kira duit minyak dia, Atan.”
Begitu beralasan nenek walau dia sebenarnya kadangkala makan hati dengan peraih yang mengaut keuntungan secara berlebihan.
“Alah, duit minyak berapa sen sangat. Nanti nenek buat tikar, biar Atan jual keliling kampung. Nenek tak payah bagi lagi dekat Abang Dol!”
Atan berkata perlahan. Di matanya terbayang basikal berwarna hijau pekat dan anak perempuan bermata bundar.
Bilalah dia dapat memiliki sebuah basikal... Bukan setakat memiliki, menaiki pun tidak dapat.
Ah… jangan bermimpilah Atan! Dia berkata dengan dirinya sendiri.

Friday, January 14, 2011

DARI KERANA MATA 4







4


Pagi itu emak membelikan basikal untuk abang sebelum emak pergi ke tempat kerjanya. Bukan sahaja Johari teruja, sudah pasti Jaliha juga teruja. Basikal Raleigh berwarna hijau pekat itu benar-benar meruntun jiwanya. Tetapi di hadapan emak, Jaliha tidak berani berkata apa-apa. Takut emak akan marah dan memetir tanpa sebab.
“Abang, pinjam bang.”
Pinta Jaliha pada abangnya apabila melihat Johari berpusing-pusing ke sana ke mari dengan basikal baharunya.
Johari seperti biasa, tidak pernah lokek dengan adiknya. Dia turun lalu menyerahkan basikal tersebut kepada adiknya.
“Baik-baik, karang jatuh.”
Ingatan Johari itu dijawab dengan sengihan oleh Jaliha. Dia tidak pernah memiliki basikal sejak dari dahulu lagi walau dia benar-benar teringin.
“Tak apa… jatuh, bangunlah.”

“Memanglah jatuh, bangun… Kalau Lucille Ball tahu, habis kau, dik!”

Jaliha sudah ketawa terkekeh-kekeh. Tidak tahu kenapa si abang cukup suka menggelar emak mereka Lucille Ball, pelakon komedi yang selalu ditonton emak yang beraksi di dalam ‘The Lucy’. Ketika itulah baru mereka boleh melihat emak ketawa. Kalau tidak, emak sentiasa serius dan jarang tersenyum.
Hmm emak tak balik lagi.”
Mata Jaliha terus memandang ke pintu pagar rumah. Ya, emak mungkin akan pulang sejam dua lagi. Sebab itu Jaliha berani meminjam.
“Kau hati-hati. Basikal ni keras sikit. Tak macam basikal dulu.”
Johari sudah duduk di buaian, mengingatkan sambil memerhati Jaliha yang terkial-kial mencuba menaiki basikal.
“Aduh!”
Kaki Jaliha yang pendek itu tersadung di pedal basikal dan dia bersama dengan basikalnya jatuh timpa bertimpa.
“Kan… itulah, abang dah cakap kau kena hati-hati. Basikal ni besar sikit daripada basikal di Seremban tu.”
Johari sudah terjun dan menerpa pada si adik yang sudah berada di bawah basikal. Tersengih-sengih Jaliha sambil mengibas tangannya yang terkena rumput. Nasib baik dia jatuh di atas rumput. Kalau di atas jalan raya, sudah pasti dia akan luka-luka.
“Jomlah kita main basikal di luar. Abang tolong pegang.”
Ajak Johari. Sudah pasti ajakan itu mudah sahaja bersambut. Jaliha benar-benar teruja dengan ajakan si abang.
“Pedal tu, baik-baik kayuh!”
Pesan Johari. Dia memang sayangkan Jaliha, jadi apa sahaja untuk si adik akan dilakukan. Si adik yang baik dan tidak banyak onar.
Berkali-kali Jaliha mengayuh dengan dipandu oleh abangnya, sehingga mereka sudah agak jauh dari rumah.
“Budak tu buat apa, bang?”
Tanya Jaliha pada Johari apabila melihat seorang kanak-kanak sedang mengutip sesuatu daripada pokok renek di jalan yang mereka lalui.
“Entah, tanyalah…”
Suruh Johari sambil tersenyum pada kanak-kanak lelaki yang berambut gondrong itu.
“Seganlah.”
Jaliha tersenyum-senyum. Senyuman tersebut dibalas oleh kanak-kanak lelaki tersebut yang kemudian memalingkan mukanya. Mungkin malu dipandang begitu oleh Jaliha.
“Dik, kita dah jauh ni. Nanti Lucille Ball balik, matilah kita.”
Sebenarnya Johari mahu bertegur sapa dengan kanak-kanak lelaki itu. Tetapi disebabkan tiba-tiba sahaja wajah emaknya mendadak muncul di ruang mata, pantas sahaja dia mengambil keputusan untuk pergi.
Seperti yang mereka jangka, emak sudah pulang. Dada Jaliha berdebar-debar apabila dengan bercekak pinggang emak sudah menunggu di muka pintu.
“Kamu ke mana?”
Jerkah emak sebaik sahaja melihat wajah Jaliha takut-takut berhadapan dengannya.
“Main basikal, mak.”
Ya, Jaliha tidak pernah berbohong dan sebenarnya anak kecil itu tidak reti mahu berbohong.
“Bukan ke mak dah cakap, jangan main basikal. Kenapa kamu degil sangat? Kenapa?”
Pantas sahaja telapak tangan Puan Ramona menyepak muka Jaliha yang mulus itu. Hampir terpusing muka Jaliha. Jaliha diam. Menangis tidak, jauh sekali mengaduh.
Sudah tidak hairan dengan perangai emak yang mudah naik angin secara tiba-tiba.
“Bodoh! Emak dah cakap, jangan main basikal. Basikal untuk orang lelaki. Bukan untuk perempuan. Orang perempuan mana boleh naik basikal!”
Jari-jemari emak pantas sahaja mencubit lengan, badan, bahkan dada Jaliha. Jaliha mengetap bibir menahan sakit. Matanya terkebil-kebil menahan perit.
“Menyusahkan betul! Kalau dah jatuh berdarah, macam mana? Kalau mati, baru kamu tahu!”
Hati Puan Ramona tidak puas. Kesalahan Jaliha seperti menyerap satu kuasa jahat ke dalam tubuhnya. Tangan Jaliha direntap dan sekali lagi pipi Jaliha ditamparnya. Jaliha tersungkur.
“Mak!”
Johari menjerit. Tidak sanggup melihat si adik dikasari oleh si emak. Benar, hatinya seperti dihiris. Kesalahan Jaliha tidak banyak mana. Jaliha bermain basikal bersama dengannya, bukan dengan orang lain.
“Nenek, tolong!”
Apabila si adik ditendang oleh si emak, Johari sudah tidak mampu bertahan. Sekuat hati dengan tangannya dia memukul si emak. Biarlah. Dia sudah tidak dapat menahan rasa melihat adiknya dikasari sampai begitu sekali.
“Johari!”
Nenek yang muncul di muka pintu tidak percaya melihat Johari sedang memukul emak tanpa ada rasa hormat dan simpati.
“Kenapa kamu ni, Ram? Apa yang kamu dah buat dengan Jaliha?”
Johari tidak akan memukul emak sendiri tanpa sebab. Nenek tahu itu. Sudah pasti ada kemarahan yang berkumpul di dada Johari menyebabkan dia bertindak begitu sekali.
Puan Ramona tidak menjawab. Dia masuk ke dalam dengan jelingan marah dan perasaan tidak bersalahnya.



Thursday, January 13, 2011

DARI KERANA MATA 3








3


Sepanjang jalan Jaliha leka melihat ke luar, melayan perasaan kecewa di hati. Kali ini entah kali ke berapa mereka berpindah. Kawan yang baru dikenalinya di Seremban terpaksa ditinggalkan.
Kini emak mendapat tawaran mengajar di sebuah maktab di Melaka, jadi mereka sekeluarga harus berpindah.
Jaliha tidak begitu suka berpindah ke Melaka. Sudah pasti dia tidak ada kawan. Baru beberapa bulan bersekolah di Seremban, dia terpaksa berpindah ke Melaka pula.
Bencinya dia! Dia tidak suka, bahkan ketidaksukaan itu menyebabkan dia menjadi murung di sepanjang perjalanan.
“Abang, abang rasa best tak sekolah baru kita nanti?”
Tanya Juriah yang duduk di sebelah abangnya. Di hadapan, Nek Senah bersama dengan emak yang memandu.
“Mana-mana pun sama. Dah berapa kali kita berpindah, abang dah tak kisah dah pun.”
Jaliha merenung langit yang menjulang dari cermin tingkap kereta. Hatinya gundah-gulana. Meninggalkan teman-teman yang baik dan sekarang terpaksa bersekolah di sekolah baharu. Untuk menyesuaikan diri dengan orang lain, Jaliha memang tidak suka. Dia tidak suka menegur orang. Bukan bermakna dia sombong, tetapi itu sikap semula jadi dia yang lambat panas apabila berjumpa dengan orang yang baru pertama kali dikenalinya.
“Nanti di tempat orang, pandai-pandai bawak diri. Jangan pilih-pilih kawan. Kawan dengan sesiapa saja.”
Tiada sesiapa pun yang berbunyi, baik Juriah, Johari mahupun Jaliha. Pesanan itu sudah beberapa kali diutarakan oleh emak. Jadi mereka tidak berasa aneh atau berasakan ada keperluan untuk menjawabnya.
“Kalau kita tak pindah, tak boleh ke?”
Lama sepi mengisi ruang dan tiba-tiba Jaliha bersuara. Emak memandang Jaliha menerusi cermin pandang belakangnya. Mata mereka bertemu buat seketika dan Jaliha cepat-cepat membuang pandang. Takut dia pada emak yang memandangnya dengan mata yang mencerlung.
“Habis, kita nak makan apa? Nak telan rumput tepi jalan kalau mak tak kerja?”
“Kamu kalau berbahasa, elok-eloklah. Jaliha tu cuma budak-budak. Janganlah cakap kasar dengan dia macam tu.”
Nek Senah meningkah. Kadangkala geram juga dia melihat si anak yang berkeras dengan cucunya. Cucu yang tidak banyak tingkah. Sesekali si cucu bertanya kerana mahu meluahkan perasaan hati, bukan mahu berkurang ajar.
“Dia orang tak faham keadaan saya, mak.”
“Anak kamu tu faham. Dia orang tu baik-baik. Jangan kerana kematian suami, buat kamu marah dengan anak-anak. Kamu tak hidup susah, tak merempat tepi jalan. Kamu ada kerja yang baik, kamu kena bersyukur.”
Johari berpandangan dengan Jaliha. Ada senyuman di hujung bibir Johari. Bila nenek bersuara begitu, mereka gembira. Sekurang-kurangnya dapat mematahkan kata-kata emak yang sering kali amat keras di telinga mereka.
“Saya susah, mana mak dan mereka tu tahu…”
“Mana kamu ada susahnya? Kamu ada kereta, boleh mengajar, bahkan kamu ada duit. Ada orang tu, laki mati, tak berduit. Kena pinjam sana sini. Bersyukurlah.”
Johari menguis paha Juriah. Jaliha dapat melihat dengan ekor matanya. Juriah berpaling pada abangnya dan kedua-dua mereka tersenyum.
“Ada orang bersuami, tapi suaminya jahat. Selalu memukul, perabis duit isteri. Lebih baik tak kahwin. Jangan kamu rasa tak bersuami menyebabkan kamu menderita, iri hati pada orang lain.”
Nek Senah bersyarah lagi, menyebabkan senyuman anak-anak semakin melebar di bibir.
Gembira kerana nenek seperti mempertahankan mereka. Ah… nenek memang setiap masa mempertahankan mereka daripada emak yang keras dan jarang tersenyum.



Selang sejam berlepas dari Seremban, emak berhenti di hadapan sebuah rumah. Rumah batu yang agak kecil, namun di halaman rumahnya terdapat pokok rambutan dan mangga.
“Ini rumah kita ke, nek?”
Jaliha bertanya. Matanya tertancap pada buaian di hadapan rumah. Berlari dia membuka pintu pagar dan tidak lama kemudian dia sudah berbuai di buaian yang tergantung di pokok mangga.
“Kecik aje rumah ni…”
Johari berbisik di telinga Juriah, tidak berani berterus terang di hadapan emak. Kalau berterus terang, padahlah nanti. Mesti emak akan mengeluarkan kata-kata yang keras dan sukar untuk mereka terima.
“Kita akan tinggal di rumah ni.”
Kalau emak tidak bercakap pun, semua mereka tahu. Johari takut untuk menatap mata emak. Takut emak mengesan bibirnya yang mencebik. Pantas dia ke boot kereta dan membantu emak mengangkat barang.
“Lori tak sampai lagi?”
Emak sudah bercekak pinggang merenung ke lorong arah jalan utama. Semasa mereka bertolak dari Seremban tadi, lori sudah pun bertolak. Tetapi kenapa belum sampai lagi? Sesat agaknya, hati Jaliha mengandai sendiri.
“Sekejap lagi sampailah tu…”
Nek Senah sudah mengangkut barang yang mereka bawa keluar dari dalam kereta. Emak sudah membuka pintu rumah. Sesekali badan emak terpusing dan memandang ke luar.
“Lama ke tidak kita tinggal di sini nanti…”
Terdengar suara emak seakan mengeluh. Walakin amat perlahan, tetapi dapat ditangkap oleh telinga Nek Senah.
“Kamu ni, baru pindah dah cerita pasal pindah lagi.”
Oh… rupanya nenek juga mendengar. Emak senyap tidak bersuara, namun di dalam hati Jaliha berdetik, biarlah ini kali terakhir mereka berpindah.

Wednesday, January 12, 2011

DARI KERANA MATA 2


2


Tidak ramai orang di kedai basikal yang tidak bernama dan juga tidak pernah ada papan tanda itu. Semua orang kampung kalau ada masalah dengan basikal, akan berkunjung ke kedai basikal yang bukan sahaja membaiki basikal, tetapi juga menjual basikal walaupun tidak banyak.
“Kamu nak naik basikal?”
Lelaki yang sedang membetulkan rantai basikal itu bertanyakan seorang kanak-kanak lelaki yang berada di hadapannya. Kanak-kanak lelaki itu hanya menggeleng perlahan.
“Kalau kamu nak naik basikal, ambillah basikal tu. Ada orang tinggalkan suruh repair, dah berbulan tak diambilnya.”
Kanak-kanak lelaki tu hanya diam sahaja. Tetapi matanya sempat mengerling pada basikal yang ditongkat di sudut kedai tersebut. Dia teringin, tetapi apabila mendengar itu basikal orang yang ditinggalkan, tidak tergamak untuk dia menggunakannya.
Dia teringat pesan nenek, apa sahaja barang orang, jangan dicuit. Apatah lagi diambil tanpa kebenaran.
“Tak apalah Pak Badar.”
Lemah sahaja suara tersebut. Pak Badar yang sedang sibuk itu mengerling seketika pada kanak-kanak lelaki yang sudah duduk di bangku kayu yang ada di kedai tersebut.
“Kamu kena belajar naik basikal. Basikal ni boleh ajar kamu erti sabar.”
Pak Badar seperti menggumam sahaja. Tangannya berlumur dengan minyak hitam, mungkin hasil daripada rantai basikal itu.
“Atan tu budak yang sabar, Pak Badar.”
Seorang lelaki yang berdiri memerhatikan Pak Badar bekerja, berkata separuh berseloroh.
“Memang Atan ni bagus. Dia seimbang macam kayuh basikal jugak. Ada sifat sabar, tak berputus asa dan sentiasa mahu belajar. Kalau dia naik basikal nanti, mesti mudah saja.”
Atan tunduk mendengar kata-kata Pak Badar. Malu kerana diri dijadikan topik perbualan.
“Naik basikal ni nak kena sabar, Atan. Jatuh sekali, kena cuba lagi. Luka sikit tak boleh dijadikan alasan untuk tidak mengayuh lagi. Kayuh basikal ni, kamu kena belajar macam mana nak seimbangkan badan kamu. Belajar macam mana mahu meredah lopak, menaiki dan menuruni bukit. Kamu kena tenang, sabar, gigih dan tak perlu berputus asa. Insya-ALLAH kamu akan berjaya.”
Atan diam. Itu bukan pertama kali Pak Badar mengatakan begitu. Setiap kali dia datang ke situ memerhatikan Pak Badar bekerja, Pak Badar akan mempelawa dia menaiki basikal.
Namun sayang, basikal yang dipelawa oleh lelaki itu bukan basikal Pak Badar. Pak Badar tidak mempunyai basikal sendiri walaupun lelaki itu bekerja sebagai tukang baiki basikal.
“Kamu tau tak?”
Pak Badar bertanya. Lelaki yang berdiri tadi menggelengkan kepala, begitu juga dengan Atan.
“Beratus-ratus dah basikal dihantar ke kedai aku ni. Macam-macam jenis basikal. Dari basikal mahal, sampailah basikal murah. Tapi semua basikal tu harus dikayuh. Jadi apa kesimpulan yang kau dapat daripada kata-kata Pak Badar ni, Atan?”
Atan menggelengkan kepala. Dia tidak faham sebenarnya apa yang cuba disampaikan oleh Pak Badar.
“Bukan Atan saja tak faham, saya pun tak faham, Pak Badar.”
Lelaki yang berusia dua puluhan itu tergelak. Pak Badar dan Atan juga ketawa.
“Semua manusia hidup di muka bumi ni, perlu berkayuh. Berkayuh dengan cara mereka. Siapa mahu hidup yang lebih pantas, akan kayuh dengan lebih laju. Siapa yang mahu hidup sambil lewa dan seperti orang bersiar, kayuhlah dengan perlahan macam orang makan angin.”
Pak Badar macam berfalsafah. Suka pula Atan mendengarnya.
“Mana satu bagus, Pak Badar? Kayuh laju ke bagus, atau kayuh perlahan?”
Terpacul pertanyaan daripada mulut Atan. Lelaki yang berdiri itu menganggukkan kepalanya. Seperti bersetuju sahaja pertanyaan itu diajukan.
“Kayuh dengan sederhana. Karang kayuh laju-laju, kamu jatuh, naya aje. Kalau jatuh tengah jalan, takut digelek dengan kereta, kenderaan lain. Kalau jatuh terperosok dalam semak, kamu akan sakit tercucuk duri. Kayuh laju-laju pulak, akan merosakkan basikal kamu. Kayu perlahan pun tak boleh jugak. Perlahan sangat, bila nak sampainya? Biarlah sederhana. Kayuh yang tak cepat dan tak perlahan. Kamu sampai dengan cara yang cukup selamat.”
Atan tekun mendengar kata-kata Pak Badar, lelaki yang cukup arif dengan keadaan basikal. Yalah, sudah berpuluh tahun bergelumang dengan basikal.
“Hidup pun macam basikal, kan Pak Badar? Kalau kita berhenti mengayuh, pasti kita akan jatuh.”
“Betul, Musang… Betul sangat.”
Atan tersengih apabila Pak Badar memanggil lelaki itu Musang. Dahulu Atan hairan juga kenapa lelaki yang berpeluk tubuh itu dipanggil Musang. Tidak adakah nama yang lebih elok dan manis lagi bagi seorang manusia? Rupanya itu nama gelaran sahaja.
Lelaki itu sejak dari kecil tidak suka tidur pada waktu malam. Kadangkala orang berjumpa dia berjalan seorang diri di tengah malam. Sebab itu dipanggil Musang dan nama itu lekat sampai sekarang.
Apatah lagi sekarang lelaki itu bekerja sebagai pengawal keselamatan di salah sebuah kilang. Maka bertambah lekatlah gelaran ‘musang’ itu.
“Pak Badar, Abang Musang, saya balik dulu, ya…”
Atan tiba-tiba teringat janjinya pada nenek. Nenek mahu menyuruh dia memotong daun mengkuang yang ada di paya.
“Kamu tak mahu tiub basikal ke?”
Tanya Pak Badar pada Atan yang sudah mengheret selipar nipisnya keluar dari kedai tersebut.
“Oh… nak, nak. Saya lupa.”
Heasy… kamu ni macam orang ada anak sepuluh, sampai lupa.”
Atan menyeringai lebar mendengar kata-kata lelaki itu.
“Kalau nak pinjam basikal tu, ambillah Atan.”
Sekali lagi Pak Badar menawarkan. Atan diam tanpa kata. Walau Pak Badar menyuruh dia menggunakan basikal tersebut, tetapi dia sedar, basikal itu bukan basikal Pak Badar, jauh sekali basikal dia.
Jadi dia tidak boleh memakai hak orang lain tanpa izin.



Monday, January 10, 2011

Friday, January 7, 2011

DARI KERANA MATA- NORHAYATI BERAHIM

 AKAN MUNCUL TIDAK LAMA LAGI..








1


Mata anak kecil yang bundar dan bulat itu terkebil-kebil membaca majalah yang berada di tangan. Majalah yang dijumpai di ruang tamu rumah. Di dalamnya, banyak menyiarkan kisah mengenai wanita dan juga diletakkan beberapa resipi. Rasanya itu majalah nenek. Nenek yang suka membeli majalah. Kata nenek mudah mencari resipi di dalamnya.
“Nek!”
“Ya…”
Harum bau pisang nangka goreng menusuk ke hidung. Gadis cilik yang bermata bundar itu sedang merenung si nenek yang membelakangkannya. Sebentar nanti sudah pasti pisang goreng itu akan dimakan dengan gula dan sedikit mentega.
“Nek… betul tak kata pepatah, dari mana datangnya cinta, dari mata turun ke hati?”
Jaliha bertanya nenek yang sedang menghadap kuali. Kedengaran suara nenek ketawa. Menoleh pada kanak-kanak berusia 8 tahun yang berada di belakangnya.
Heasy… pandai sungguh! Mana dapat kata-kata tu?”
Kelakar pula mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut cucunya itu. Comel sungguh!
“Ini... baca majalah ni… Kata dia, mengg…ung…ap. Macam-macam makna.”
Kanak-kanak itu menunjukkan majalah di tangan.
“Mengg…ung…ap… apa tu?” nenek bertanya.
Gadis cilik itu menggaru kepalanya. Membaca sekali lagi perkataan tersebut dan akhirnya ketawa sendiri.
“Mengungkaplah nek… Ungkap tu apa, nek?”
“Mengungkap tu macam melahirkan perasaanlah.”
Nenek tersenyum. Gadis cilik itu ada sahaja yang ditanyanya. Tetapi nenek tidak pernah marah. Bahkan nenek selalu bangga dengan cucu yang rajin membaca walaupun bukanlah ulat buku.
“Mata jugak melahirkan macam-macam perasaan, ya nek?”
Nenek yang sudah meletakkan pisang goreng panas di dalam pinggan, menganggukkan kepalanya.
“Ya, kita boleh lihat mata orang gembira atau tidak. Kita melihat kesedihan orang daripada matanya jugak, sayang.”
Nenek memang tidak pernah lokek dalam ilmu. Nenek akan beritahu dan ajar apa sahaja yang nenek tahu.
“Oh, iye ke, nek? Kalau orang tu sukakan kita, kita dapat lihat daripada mata dia?”
Nenek sekali lagi menganggukkan kepalanya.
“Kata orang, rahsia seseorang itu dapat kita lihat daripada matanya.”
Sedikit mentega diambil oleh nenek lalu digaul pada goreng pisang itu dan kemudian nenek taburkan gula ke atasnya.
“Macam mana tu, nek?”
Nenek merenung mata cucunya yang bundar. Mata itu selalu ceria walau kadangkala mata itu menangis.
“Daripada keadaan mata orang, kita akan tahu sama ada dia seorang yang baik, seorang pemaaf atau jenis orang yang suka berbohong.”
“Oh iye ke, nek? Tengok! Mata Jaliha ni macam mana, nek?”
Nenek tersenyum. Direnung mata cucunya yang bundar. Mata itu kadangkala terkedip-kedip. Sungguh comel sekali.
“Mata Jaliha menggambarkan, Jaliha seorang yang pemaaf, senang dibawak berbincang, memahami dan seorang yang sangat sabar.”
“Baik ke tak baik, nek?”
Pisang goreng yang sudah ada di depan mata, disambar dengan tangan kecil gadis cilik itu dan dimasukkan perlahan-lahan ke dalam mulutnya.
“Baik... Mata yang macam mata tu adalah mata seorang perempuan yang baik.”
Tersenyum-senyum gadis cilik itu dengan kata-kata si nenek. Sudah pasti dia gembira mendengar pujian tersebut.
“Mata orang lelaki yang baik, macam mana nek?”
“Renungan matanya tak tajam, tapi dia seolah-olah memandang jauh. Dia seorang yang bijak berfikir, ikhlas dan dia akan menjadi seorang yang berjaya nanti.”
“Oh… macam tu ke, nek?”
Iye sayang, macam tulah...”