5
Matahari sudah jatuh ke kaki langit. Keadaan sekeliling sudah semakin gelap. Kanak-kanak lelaki yang berusia 10 tahun itu berlari-lari anak menggendong sesuatu dengan baju Melayu yang dipakainya. Langkah kakinya terhenti betul-betul di hadapan pintu rumahnya. Dia mencium sesuatu. Sesuatu yang mungkin bagi orang lain berbau tengik, tetapi sedap di hidungnya.
“Nenek masak apa? Sedap baunya.”
Atan yang melangkah masuk terus ke dapur, menegur neneknya yang sedang terbongkok-bongkok menghadap dapur kayunya.
“Kamu ni Atan… salam tidak, kejutkan nenek dengan cara macam tu. Baik nenek tak mati.”
Atan ketawa mengekek. Bau yang begitu sedap itu singgah di hidungnya sekali lagi.
“Assalamualaikum nek! Sedap baunya nek. Apa yang nenek masak?”
“Nenek bakar ikan kembung asin. Hmm… tadi nenek jual telur ayam. Nenek beli ikan kembung dengan sardin. Nanti kita makan sambal sardin, ya?”
Beritahu nenek. Atan tidak menjawab. Dia membawa daun pucuk ubi yang dipetik sebentar tadi di tepi jalan dan dimasukkan ke dalam tapis. Kemudian duduk di lantai yang beralaskan tikar mengkuang dan menggetus pucuk ubi tersebut. Membuang yang tua dan diambil pucuk muda sahaja.
“Kata cikgu, telur lagi berkhasiat daripada ikan masin, nek.”
Lama sepi mengisi ruang, baru Atan bersuara.
“Tapi hari-hari makan telur pun bosan. Sesekali kita kena makan ikan masin jugak.”
Beritahu nenek. Atan senyap. Dia tahu dalam hidup ini dia tidak boleh memilih. Apa sahaja yang ada, dia makan dan dia perlu bersyukur menikmatinya. Bahkan sudah lama benar dia tidak makan sambal sardin dilawan dengan kembung masin bakar. Sebentar nanti dia akan merebus pucuk ubi. Wah, dilawan ketiga-tiganya, pasti enak!
“Nek, kalau Atan ada basikal, best, kan nek?”
Terpacul kata-kata tersebut keluar dari mulut Atan tanpa anak itu dapat berfikir. Kata-kata itu menyebabkan Nek Boyah yang sedang mengarih nasi, memalingkan muka. Wajah Atan yang tunduk sedang menggetus pucuk ubi, direnung dengan rasa simpati.
“Atan tahu kita tak ada duit, kan?”
“Atan cakap, kalaulah, nek… Atan tak mintak pun.”
Lama Atan berjeda. Nenek juga. Masing-masing melayan perasaan. Nenek dengan perasaan hiba dan simpati. Hiba seorang nenek kerana tidak dapat menggembirakan si cucu. Atan pula dengan rasa sedikit kesal. Kesal kerana dilahirkan sebagai anak yang miskin. Namun pantas sahaja dia merasa dirinya beruntung jika dibandingkan anak-anak yang terpaksa meminta sedekah untuk hidup.
“Ramai orang di rumah Tok Daud kamu?”
Sebentar tadi Atan balik dari rumah Tok Daud, guru Al-Quran yang terkenal di kampung tersebut.
“Ramai jugaklah nek, macam biasa…”
Jawab Atan hormat. Esok Kamarul, kawannya akan menghantar pulut kuning ke rumah Pak Daud. Kamarul sudah khatam Al-Quran. Kamarul sudah berjanji dengannya akan memberi dia sepiring. Kata Kamarul, dia akan menyuruh emaknya meletakkan kari daging di atas pulut tersebut banyak sedikit.
Mengingatkan pulut tersebut, Atan menelan liur. Sesekali kalau ada yang berkhatam Al-Quran, dapatlah dia makan sedap sedikit.
“Kamu kutip di mana pucuk ubi ni?”
“Hmm… tepi jalan, nek.”
Alangkah bagus dan seronoknya kalau aku ada basikal. Banyak tempat boleh aku cari pucuk ubi, pucuk paku dan mungkin boleh dijual di pasar tani. Atan berkhayal sendiri.
“Nek, kalau jual pucuk ubi ni, laku tak?”
Nenek tersenyum mendengar pertanyaan Atan. Dia tidak aneh dengan pertanyaan tersebut. Sudah masak benar dia dengan Atan yang mahukan semua benda bertukar menjadi wang.
“Pucuk ubi ni melambak-lambak di tepi jalan. Orang pun dah malas nak makan, Atan.”
“Kita jual tempat lainlah, nek.”
“Di mana?”
Atan tersengih sambil menggaru-garukan kepalanya. Yalah… di mana dia mahu berjualan?
“Pasarlah, nek? Bukan jauh sangat pun. Atan boleh jalan kaki.”
Idea itu tidak disukai oleh nenek. Dia tidak mahu kerana leka berjualan, maka pelajaran Atan akan terbengkalai.
“Tak apa, nanti kita suruh Abang Dol kamu ambil.”
“Abang Dol tu peraih, nek. Dia ambil kita punya bunga kantan, sebatang sepuluh sen, kadangkala lima sen. Dekat kedai Atan dengar, kadangkala sampai tiga puluh sen orang jual, nek.”
Nenek diam. Dia tahu, semangat Atan tidak pernah patah. Atan anak yang cerdik, bahkan kepalanya ligat berfikir untuk mencari wang. Sehingga kadangkala Nek Boyah merasakan dirinya tidak berguna sebagai seorang nenek. Namun apakan daya, kudratnya sebagai wanita tua tidak mencukupi untuk terus-terusan berusaha.
“Atan boleh jualkan tikar mengkuang nenek. Dengar-dengar, ada orang beli sampai empat puluh ringgit, nek. Ini suruh Abang Dol jualkan, dia bagi nenek sepuluh ringgit aje. Mana boleh, nek. Nenek penat-penat cari mengkuang, salai, kemudian buat tikar, dapat banyak tu aje.”
Atan tidak sudah-sudah mempertikaikan peraih yang mengambil untung berlipat kali ganda.
“Kena kira duit minyak dia, Atan.”
Begitu beralasan nenek walau dia sebenarnya kadangkala makan hati dengan peraih yang mengaut keuntungan secara berlebihan.
“Alah, duit minyak berapa sen sangat. Nanti nenek buat tikar, biar Atan jual keliling kampung. Nenek tak payah bagi lagi dekat Abang Dol!”
Atan berkata perlahan. Di matanya terbayang basikal berwarna hijau pekat dan anak perempuan bermata bundar.
Bilalah dia dapat memiliki sebuah basikal... Bukan setakat memiliki, menaiki pun tidak dapat.
Ah… jangan bermimpilah Atan! Dia berkata dengan dirinya sendiri.
No comments:
Post a Comment