6
Badan Jaliha terasa sakit-sakit. Dia tahu emak kalau tidak kena gayanya, akan naik angin tiba-tiba dan boleh memukul. Bukan sekali dua Jaliha kena. Acap kali. Kadangkala Jaliha tertanya-tanya, kenapa emak benci sangat terhadap dirinya? Tetapi dia tidak boleh melakukan apa-apa. Dia mahu bertanya, tetapi pertanyaan itu selalunya tersekat di kerongkong sahaja.
“Abang tak boleh pukul emak macam tu!”
Malam itu mereka berkumpul di dalam bilik tidur beramai-ramai. Bilik yang menempatkan nenek, Jaliha dan juga Juriah. Kali ini Johari pun turut serta.
“Sakit hati, nek. Emak selalu pukul Jaliha. Johari pun ada sekali, kenapa dia tak pukul Johari?”
Nenek menelan liur. Anak ini walau baru berusia 12 tahun, tetapi hatinya amat luhur. Kasihnya terhadap si adik begitu kukuh sekali.
“Emak dah larang Jaliha main basikal, tapi Jaliha degil.”
Sedikit takut-takut Jaliha bersuara. Dia benar-benar terperanjat dengan kelakuan Johari. Bahkan dia sendiri tidak bersetuju dengan tindakan abangnya.
“Jaliha, kau kena belajar mempertahankan diri kau daripada emak.”
“Itu emak kita, bang.”
Jaliha menyapu air mata. Nenek sudah meletakkan minyak di pipi Jaliha yang ditampar oleh emak. Sepanjang malam nenek bising kerana emak memperlakukan Jaliha begitu, menyebabkan emak berkurung sahaja di dalam bilik. Tidak makan.
Nenek mahu sahaja ketawa. Ramona sudah jadi seperti budak-budak pula. Seharusnya Jaliha yang berkurung, bukannya Ramona.
“Memang! Tapi abang tak menyesal pukul emak. Emak tak boleh pukul kau sesuka hati, tau!”
Jerkah Johari geram. Entah mengapa emak naik angin sahaja kalau berjumpa Jaliha. Emak buat Jaliha macam Jaliha bukan anak emak. Johari benar-benar tidak faham. Kadangkala dia terfikir, apakah Jaliha anak angkat? Tetapi kalau anak angkat, kenapa binnya sama dengan binti Jaliha?
“Berdosa buat emak macam tu, bang. Kau kena mintak maaf dengan dia.”
Juriah meningkah. Sakit hati Johari mendengarnya. Kadangkala bagi Johari, emak tidak adil. Kalau dengan Juriah, emak jentik pun tidak pernah. Tetapi dengan Jaliha… emak selalu marah-marah dan berani memukul.
“Memang apa yang Johari buat tu salah. Betul kata Juriah, Johari kena mintak maaf dengan mak.”
“Dengar tu kata nenek, bang.”
Panjang muncung Johari mendengar cadangan nenek dan Juriah. Bagi Johari, tindakannya terhadap emak adalah demi mempertahankan adiknya.
“Emak pukul Jaliha tanpa sebab.”
“Itu jugak betul.”
Kadangkala nenek sudah tidak berdaya melakukan apa-apa lagi. Persepsi salah Ramona benar-benar membuat Jaliha terkena tempiasnya.
“Tengok Juriah, nenek cakap apa yang emak buat tu salah jugak.”
Juriah bungkam. Senyap. Tidak menjawab. Walau di hati mengatakan tindakan emak itu tidak betul, tetapi separuh hatinya pula mengatakan yang Johari tidak patut membuat emak begitu.
“Kalau kau kena sepak dengan mak, baru kau tahu betapa sakitnya. Kadangkala benci sungguh aku dengan mak tu.”
“Abang! Mana boleh cakap macam tu!”
Mata Jaliha terbeliak. Tidak sangka yang si abang sanggup bercakap sampai begitu sekali. Nenek hanya menelan ludah. Johari walaupun lelaki, tetapi agak sensitif. Dia yang menjaga Johari dan dia tahu perangai cucunya itu. Johari dari dahulu seperti tidak sebulu dengan emak sendiri, walau Ramona tampaknya lebih fokus pada anak itu.
“Syurga di bawah tapak kaki ibu?”
Johari mengejek. Jaliha sudah duduk di sebelah abangnya. Memegang tangan Johari.
“Abang, Jaliha mintak maaf.”
“Asal kau nak mintak maaf pulak?”
“Sebab Jaliha, abang marahkan mak. Nanti Jaliha tak mahu naik basikal lagi.”
Jaliha tunduk. Dia serba salah sebenarnya. Tidak suka kerana dia, Johari berdendam dengan emak. Mengeluarkan kata-kata tersebut terhadap emak.
“Hmm… nanti Hari Raya abang mintaklah maaf dengan mak.”
Usik Johari menyebabkan wajah Jaliha menjadi ceria semula.
“Abang ni teruk. Ada ke nanti Hari Raya aje nak mintak maaf dengan mak?”
“Ai? Semua orang buat macam tu, lah! Hari Raya baru mintak maaf.”
Johari seakan mengejek. Anak itu masih lagi menyimpan rasa tidak puas hati. Nenek dapat merasakan.
“Memang semua orang mintak maaf pada Hari Raya. Tapi mintak maaf sebenarnya patut dilakukan selepas kita membuat kesalahan dan telah menyinggung perasaan orang lain.”
Nenek menerangkan. Johari tersengih.
“Tapi mak jugak telah melakukan kesalahan pada Jaliha. Tak ada pun mak mintak maaf. Kalau tanya orang kat dunia ni pun, rasanya Jaliha betul. Tak ada orang kena pukul sebab main basikal kecuali Jaliha, nek.”
Nenek hilang kata-kata. Walau baru berusia 12 tahun, tetapi pemikiran Johari menjangkau orang yang berusia dua puluh tahun.
“Emak ada alasannya sendiri.”
Lemah sahaja suara nenek, tetapi di masa yang sama dia terharu. Selama ini dia risau, kalaulah dia mati awal, bagaimana keadaan Jaliha yang didendami oleh si emak sendiri? Kini baru dia sedar, Johari boleh diharapkan untuk menjaga adiknya.
“Apa pun alasannya, emak tak boleh pukul Jaliha kerana Jaliha naik basikal. Kalau emak nak pukul Jaliha, emak tak payah beli basikal ni untuk Johari dan Johari juga tak boleh naik basikallah, nek.”
No comments:
Post a Comment