3
Sepanjang jalan Jaliha leka melihat ke luar, melayan perasaan kecewa di hati. Kali ini entah kali ke berapa mereka berpindah. Kawan yang baru dikenalinya di Seremban terpaksa ditinggalkan.
Kini emak mendapat tawaran mengajar di sebuah maktab di Melaka, jadi mereka sekeluarga harus berpindah.
Jaliha tidak begitu suka berpindah ke Melaka. Sudah pasti dia tidak ada kawan. Baru beberapa bulan bersekolah di Seremban, dia terpaksa berpindah ke Melaka pula.
Bencinya dia! Dia tidak suka, bahkan ketidaksukaan itu menyebabkan dia menjadi murung di sepanjang perjalanan.
“Abang, abang rasa best tak sekolah baru kita nanti?”
Tanya Juriah yang duduk di sebelah abangnya. Di hadapan, Nek Senah bersama dengan emak yang memandu.
“Mana-mana pun sama. Dah berapa kali kita berpindah, abang dah tak kisah dah pun.”
Jaliha merenung langit yang menjulang dari cermin tingkap kereta. Hatinya gundah-gulana. Meninggalkan teman-teman yang baik dan sekarang terpaksa bersekolah di sekolah baharu. Untuk menyesuaikan diri dengan orang lain, Jaliha memang tidak suka. Dia tidak suka menegur orang. Bukan bermakna dia sombong, tetapi itu sikap semula jadi dia yang lambat panas apabila berjumpa dengan orang yang baru pertama kali dikenalinya.
“Nanti di tempat orang, pandai-pandai bawak diri. Jangan pilih-pilih kawan. Kawan dengan sesiapa saja.”
Tiada sesiapa pun yang berbunyi, baik Juriah, Johari mahupun Jaliha. Pesanan itu sudah beberapa kali diutarakan oleh emak. Jadi mereka tidak berasa aneh atau berasakan ada keperluan untuk menjawabnya.
“Kalau kita tak pindah, tak boleh ke?”
Lama sepi mengisi ruang dan tiba-tiba Jaliha bersuara. Emak memandang Jaliha menerusi cermin pandang belakangnya. Mata mereka bertemu buat seketika dan Jaliha cepat-cepat membuang pandang. Takut dia pada emak yang memandangnya dengan mata yang mencerlung.
“Habis, kita nak makan apa? Nak telan rumput tepi jalan kalau mak tak kerja?”
“Kamu kalau berbahasa, elok-eloklah. Jaliha tu cuma budak-budak. Janganlah cakap kasar dengan dia macam tu.”
Nek Senah meningkah. Kadangkala geram juga dia melihat si anak yang berkeras dengan cucunya. Cucu yang tidak banyak tingkah. Sesekali si cucu bertanya kerana mahu meluahkan perasaan hati, bukan mahu berkurang ajar.
“Dia orang tak faham keadaan saya, mak.”
“Anak kamu tu faham. Dia orang tu baik-baik. Jangan kerana kematian suami, buat kamu marah dengan anak-anak. Kamu tak hidup susah, tak merempat tepi jalan. Kamu ada kerja yang baik, kamu kena bersyukur.”
Johari berpandangan dengan Jaliha. Ada senyuman di hujung bibir Johari. Bila nenek bersuara begitu, mereka gembira. Sekurang-kurangnya dapat mematahkan kata-kata emak yang sering kali amat keras di telinga mereka.
“Saya susah, mana mak dan mereka tu tahu…”
“Mana kamu ada susahnya? Kamu ada kereta, boleh mengajar, bahkan kamu ada duit. Ada orang tu, laki mati, tak berduit. Kena pinjam sana sini. Bersyukurlah.”
Johari menguis paha Juriah. Jaliha dapat melihat dengan ekor matanya. Juriah berpaling pada abangnya dan kedua-dua mereka tersenyum.
“Ada orang bersuami, tapi suaminya jahat. Selalu memukul, perabis duit isteri. Lebih baik tak kahwin. Jangan kamu rasa tak bersuami menyebabkan kamu menderita, iri hati pada orang lain.”
Nek Senah bersyarah lagi, menyebabkan senyuman anak-anak semakin melebar di bibir.
Gembira kerana nenek seperti mempertahankan mereka. Ah… nenek memang setiap masa mempertahankan mereka daripada emak yang keras dan jarang tersenyum.
Selang sejam berlepas dari Seremban, emak berhenti di hadapan sebuah rumah. Rumah batu yang agak kecil, namun di halaman rumahnya terdapat pokok rambutan dan mangga.
“Ini rumah kita ke, nek?”
Jaliha bertanya. Matanya tertancap pada buaian di hadapan rumah. Berlari dia membuka pintu pagar dan tidak lama kemudian dia sudah berbuai di buaian yang tergantung di pokok mangga.
“Kecik aje rumah ni…”
Johari berbisik di telinga Juriah, tidak berani berterus terang di hadapan emak. Kalau berterus terang, padahlah nanti. Mesti emak akan mengeluarkan kata-kata yang keras dan sukar untuk mereka terima.
“Kita akan tinggal di rumah ni.”
Kalau emak tidak bercakap pun, semua mereka tahu. Johari takut untuk menatap mata emak. Takut emak mengesan bibirnya yang mencebik. Pantas dia ke boot kereta dan membantu emak mengangkat barang.
“Lori tak sampai lagi?”
Emak sudah bercekak pinggang merenung ke lorong arah jalan utama. Semasa mereka bertolak dari Seremban tadi, lori sudah pun bertolak. Tetapi kenapa belum sampai lagi? Sesat agaknya, hati Jaliha mengandai sendiri.
“Sekejap lagi sampailah tu…”
Nek Senah sudah mengangkut barang yang mereka bawa keluar dari dalam kereta. Emak sudah membuka pintu rumah. Sesekali badan emak terpusing dan memandang ke luar.
“Lama ke tidak kita tinggal di sini nanti…”
Terdengar suara emak seakan mengeluh. Walakin amat perlahan, tetapi dapat ditangkap oleh telinga Nek Senah.
“Kamu ni, baru pindah dah cerita pasal pindah lagi.”
Oh… rupanya nenek juga mendengar. Emak senyap tidak bersuara, namun di dalam hati Jaliha berdetik, biarlah ini kali terakhir mereka berpindah.
No comments:
Post a Comment