PEMBERITAHUAN

Para pembaca boleh memesan buku yang diminati melalui nbkara.com.my atau email kepada admin@nbkara.com.my


Pembayaran boleh melalui pembayaran ke account no.

Maybank Norhayati Berahim 164267408855 Alliance bank account NBkara 120340010015114 Segala maklumat pembelian/transaksi perlu di e-mail kepada nbkara@yahoo.com atau admin@nbkara.com.my dan jangan lupakan sertakan alamat pembeli atau dengan menggunakan wangpos/cek/kiriman wang yang dialamat kepada

D26-GB Jalan Prima Saujana 2/B Taman Prima Saujana 43000 Kajang Selangor


Semua penghantaraan di Semanjung akan mengunakan pos laju dan tidak dikenakan sebarang bayaran.

Senarai Harga Novel boleh anda lihat di column sebelah kanan 'HARGA NOVEL' Untuk Sabah Sarawak harus mengikut harga asal SABAH/SARAWAK penghantar adalah percuma







BUNGA DI RIMBA

BUNGA DI RIMBA
RM21/RM24

PESTA BUKU SELANGOR

PESTA BUKU SELANGOR
Di Gerai N23, SACC Convec, Shah Alam Selangor

Monday, May 30, 2011

SETELAH DILUKAI 7









7


Setelah genap dua bulan, kedua-dua mereka menemui Dr. Krishen Jet kembali seperti tarikh janji temu yang tercatat pada kad yang tersimpan. Dr. Krishen Jet membuka helaian demi helaian fail hijau yang terhampar di hadapannya.
Dia kemudiannya mengangkat muka merenung pasangan di hadapan sambil membetulkan duduknya. Itu tandanya dia telah bersedia untuk mengkhabarkan keputusan ujian darah pasangan Adnan dan Shamsiah.
Tiba-tiba Dr. Krishen Jet tunduk kembali. Sekali lagi dia membuka helaian demi helaian kertas yang terdapat di dalamnya. Kali ini dengan lebih hati-hati lagi supaya perkhabaran yang akan disampaikan nanti adalah maklumat yang sahih.
Debaran jantung Puan Shamsiah kian kuat. Kegelisahan Dr. Krishen Jet dan raut wajah yang dipamerkan menunjukkan seolah-olah nasib tidak menyebelahi dia mahupun suami. Dia hampir sahaja menangis tetapi ditabahkan hati. Dikuatkan semangat agar butir-butir mutiara itu terus terkepung di tubir matanya.
Malah untuk memandang suami tercinta di sisinya pun dia tidak sanggup. ‘Apakah mungkin aku sebenarnya yang bermasalah? Apakah aku rela untuk dimadukan selepas ini? Balasan payung emas di akhirat kelak, adakah itu yang aku dambakan selama ini? Tegakah suamiku memperlakukan diri ini sebegitu...?’
Puan Shamsiah terus tenggelam dalam kepiluan yang kian menghambat rasa.
“Encik Adnan, Puan Shamsiah…”
Dr. Krishen Jet mula bersuara tetapi berhenti seketika.
“Puan… puan bersediakah mendengar laporan ujian darah tempoh hari?”
Dr. Krishen Jet berhenti lagi daripada meneruskan kata-katanya. Matanya tepat memandang Puan Shamsiah. Keadaan masih sepi.
Encik Adnan hairan mengapa isterinya tidak menjawab pertanyaan doktor di hadapan mereka. Perlahan-lahan dia menoleh ke arah isteri kesayangan yang seolah-olah berada di alamnya sendiri. Diusap lengan si isteri dengan penuh kasih sayang.
“Ada apa bang?”
Puan Shamsiah yang seolah-olah baru terjaga dari alam mimpinya memandang wajah si suami yang masih setia menatapnya.
“Doktor tanya tu…”
Encik Adnan memecahkan kebuntuan si isteri. Mata si isteri segera dialihkan kepada doktor yang memandangnya dengan tenang.
“Puan dah bersediakah mendengar laporan ujian darah tempoh hari?”
Dr. Krishen Jet mengulangi pertanyaan yang sama kepada Puan Shamsiah.
“Ya, kami dah bersedia.”
Encik Adnan dan Puan Shamsiah menjawab serentak.
“Sebagai manusia kita perlu menerima kenyataan.”
Dr. Krishen Jet menarik nafas seketika sebelum meneruskan kata-katanya. Encik Adnan dan Puan Shamsiah sabar menanti ucapan seterusnya walaupun mereka cukup pasti berita sedih yang menanti.
“Hasil daripada pemeriksaan ujian darah yang diambil membuktikan bahawa Encik Adnan adalah pembawa gen atau virus down syndrome.”
Sekali lagi Dr. Krishen Jet berhenti seketika daripada meneruskan kata-katanya.
“Ya ALLAH, bang…!”
Hanya kalimah Maha Agung itu yang mampu diucapkan oleh Puan Shamsiah.
Encik Adnan dengan tenang terus memujuk isterinya yang menangis teresak-esak. Dr. Krishen Jet yang melihat turut tersentuh hati.
“Sabar puan…”
Dr. Krishen Jet memandang pasangan di hadapannya penuh simpati. Suasana hening seketika, hanya diwarnai sedu-sedan Shamsiah.
“Apabila si suami adalah pembawa virus down syndrome, ini bermakna semua anak yang akan dilahirkan adalah bayi down syndrome. Hanya tahap down sahaja yang tidak dapat ditentukan sama ada minima atau pada tahap serius. Kandungan yang mengandungi bayi yang bermasalah seperti kecacatan atau down seperti bayi kamu berdua biasanya akan gugur dengan sendiri. Kita boleh menganggap itu satu kebaikan.”
Bulat mata Adnan dan Shamsiah merenung wajah si doktor. Dr. Krishen Jet sedar pasangan di hadapannya telah tersalah tafsir akan kata-katanya.
“Harap encik berdua tidak salah faham. Maksud saya kebaikan di sini adalah kebaikan kepada kedua-dua pihak iaitu ibu bapa dan bayi itu sendiri. Bayi atau kanak-kanak bermasalah biasanya memerlukan penjagaan yang lebih teliti berbanding bayi normal yang lain. Kesibukan ibu bapa, dan keadaan bayi yang kadang-kadang cukup mencabar kesabaran mungkin boleh mengundang kejadian yang tidak diingini. Mungkin berlaku kes dera tanpa diduga. Kelahiran bayi cacat yang tidak diharapkan…”
Kata-kata doktor itu terhenti. Wajah suami isteri itu dipandang dengan teliti.
“Tapi kami tak sekejam itu, doktor. Doktor tidak boleh menyamakan kami seperti orang lain. Kami tetap menerima walau bagaimanapun anak kami kerana dia darah daging kami.”
Puan Shamsiah agak emosi ketika menyatakan pendapatnya. Dr. Krishen Jet hanya mengangguk sebagai tanda dia faham akan perasaan Puan Shamsiah.
“Maaf jika puan tersinggung dengan kata-kata saya. Saya hanya menyatakan pendapat berdasarkan pengalaman dan pengamatan saya selama ini.”
Dr. Krishen Jet segera memohon kemaafan apabila menyedari pendapat ikhlasnya menyinggung perasaan pesakit.
“Tak apa, doktor. Doktor tak salah. Semua orang ada pendapat mereka masing-masing. Kanak-kanak kurang upaya dan kanak-kanak istimewa seperti bayi down syndrome juga ada hati dan perasaan. Mereka tidak minta dilahirkan ke dunia. Walau siapa pun mereka… walau bagaimanapun mereka, mereka perlu dihargai, doktor. Insya-ALLAH jika kami diberi kesempatan, kami akan menjaga anugerah Ilahi itu dengan sebaik-baiknya.”
Encik Adnan tenang menyatakan pendirian setelah menyedari semua masalah mereka berpunca daripada dirinya.
“Jika itu keputusan kamu berdua… saya ucapkan syabas! Berdoalah semoga kandungan Puan Shamsiah selepas ni akan kekal dan bertahan seterusnya memenuhi harapan dan impian kamu berdua untuk menimang cahaya mata.”
Dr. Krishen Jet mengakhiri pertemuan mereka pada hari itu dengan harapan semoga impian pasangan di hadapannya itu menjadi kenyataan satu hari nanti dan mereka mampu menjadi ayah dan ibu yang terbaik kepada bayi mereka biarpun bayi mereka tidak sempurna, namun itulah anugerah terindah.
“Bagaimana Yah?”
Encik Adnan terus bertanya kepada isterinya sebaik sahaja dia melabuhkan punggungnya ke sofa buatan Itali yang menghiasi ruang tamu rumah mereka. Pendingin udara yang dihidupkan tidak mampu mengurangkan bahang dirinya ketika itu. Encik Adnan merenung tepat wajah isteri tercinta.
“Bagaimana apa pulak bang?” Puan Shamsiah tidak mengerti dengan pertanyaan suaminya yang tergantung.
“Masalah kita semuanya berpunca daripada abang...”
Encik Adnan tidak mampu meneruskan kata-katanya. Bagai ada batu besar sedang menghempap kepalanya ketika itu.
“Kenapa jika masalah kita berpunca daripada abang?”
Nyata Puan Shamsiah tidak berpuas hati dengan pertanyaan suaminya.
“Tak apalah, dah nak masuk waktu maghrib ni. Mandilah, boleh kita berjemaah.”
Encik Adnan terus meninggalkan Puan Shamsiah termangu-mangu sendiri. Puan Shamsiah terus diburu tanda tanya yang tiada penghujung.
Panjang wirid dan doa dipohonkan ke hadrat Yang Maha Esa. Encik Adnan berpaling ke belakang memberi peluang Puan Shamsiah menyalami dan mencium tangannya seperti yang sering mereka lakukan. Sendu hatinya melihat isteri yang telah sekian lama dinikahinya itu.
‘Perlukah aku menceraikannya untuk memberi peluang dia menjadi seorang ibu? Mampukah aku melihat dia bersama lelaki lain selepas ini…? Bagaimana pula ingin aku habiskan sisa-sisa hidup ini bersendirian tanpa isteri yang selama ini mengharungi suka duka bersama?’
Encik Adnan terus berbicara bisu merenung sayu wajah si isteri. Tanpa disedari menitis jua air mata lelakinya mengenangkan dugaan dari Yang Maha Esa.
Rasanya tidak mampu dia sebagai insan kerdil menanggungnya. Tetapi segera dia sedar supaya tidak terus dihanyutkan hasutan syaitan yang sentiasa ingin menyesatkan anak Adam. Segera dia ingat bahawa dunia ini adalah pentas dugaan dan ALLAH hanya menduga hamba-NYA setakat kemampuannya. Kalau dia diduga sedemikian, tentulah ada hikmah yang tidak terduga dek akalnya yang cetek. Segera dia beristighfar memohon keampunan.
“Mengapa bang…? Mengapa abang menangis? Masalah ini masalah kita bang, jangan abang pendamkan sendiri…” Puan Shamsiah diburu sendu melihat kedukaan si suami.
“Masalah ini tak akan selesai selagi kita masih bersama, Yah. Impian Yah untuk menjadi seorang ibu juga mungkin tidak kesampaian jika kita masih bersama.”
Tenang Encik Adnan meluahkan segala yang terbuku di hatinya sejak mendengar perkhabaran duka daripada doktor siang tadi.
“Apa yang abang cakap ni? Apa maksud abang…?”
Puan Shamsiah sangsi dengan kata-kata suami tercinta. Gerakan jantungnya lebih cepat daripada biasa. Dia mula gelisah.
“Sudah terang lagi bersuluh, Yah. Segala punca masalah daripada abang. Selagi Yah bersuamikan abang, tak mungkin Yah akan mencapai impian Yah selama ini. Mungkin jodoh kita hanya sampai di sini…”
Encik Adnan tidak dapat meneruskan kata-katanya apabila tapak tangan Puan Shamsiah segera menutup mulutnya.
“Sampai hati abang… Ke mana Yah nak pergi, bang? Kepada siapa Yah nak mengadu, bang…? Abang tak sayangkan Yah lagi ke?”
Puan Shamsiah teresak-esak menangis. Dia tidak sanggup mendengar lagi rancangan gila suaminya. Baginya cadangan itu langsung tidak masuk akal.
“Yah terimalah kenyataan. Sebab abang sayangkan Yahlah abang ingin memberi peluang kepada Yah membina kehidupan yang baharu bersama suami yang sempurna dan siapa tahu Yah dikurniakan cahaya mata yang comel dan sempurna selepas itu.”
Encik Adnan terus menyatakan hasrat hatinya walaupun apa yang terluah lain daripada yang diinginkannya. Dia sebenarnya ingin terus bersama isterinya dan menghadapi masalah mereka bersama.
“Tidak bang… Walau apa pun yang terjadi, Yah tetap akan bersama abang.”
Puan Shamsiah bertegas dengan keputusannya.
“Tapi Yah, abang tak mahu menyekat kebahagiaan Yah.”
Encik Adnan mahu isterinya berfikir secara rasional, bukan dibelenggu emosi dalam menerima pandangan ikhlasnya.
“Demi ALLAH, bang... tak pernah terlintas di hati Yah untuk meninggalkan abang. Walaupun memang Yah teringin menimang cahaya mata, tapi kebahagiaan Yah bukanlah semata-mata terletak pada anak. Yah sayangkan abang, jangan tinggalkan Yah, bang… Jangan tinggalkan Yah…”


No comments: