6
Zahniah masih asyik melihat hiasan dalaman rumah banglo milik Mukriz. Ketika itu dia dibiarkan sendirian di ruang tamu kerana Mukriz masuk ke biliknya untuk membersihkan diri. Di halaman tadi dia amat mengagumi hiasan laman yang berkonsepkan ala Bali. Bunyi desiran air yang menyirami batu-batu kerikil yang dijadikan alas lantainya menghasilkan bunyian yang mampu menyegarkan diri yang keletihan seharian. Lama dia di situ tadi menyentuh air dingin yang cukup menyamankan. Hiasan dalamannya pula banyak menggunakan perabot jati. Nyata pilihan Mukriz bercita rasa tinggi, sesuai dengan statusnya sebagai seorang pegawai eksekutif. Rumahnya juga kelihatan cukup bersih dan kemas.
“Hai! Tak nak mandi lagi ke?”
Mukriz menyentuh lembut bahu Zahniah dari belakang ketika gadis itu masih memerhati sekeliling ruang tamu rumahnya.
“Cantik rumah Riz, bersih dan kemas.”
Zahniah masih dengan keasyikannya. Mukriz bukan sahaja tampan dari segi paras rupa, tetapi juga pandai menghias rumah tangga. Pasti bertuah gadis yang memilikinya nanti.
“Bukan Riz yang bersihkan, tapi seminggu sekali ada pekerja yang akan datang mengemasnya dan Riz bayar mengikut jumlah jam dia bekerja.”
Mukriz kini telah pun melabuhkan punggungnya di sisi Zahniah. Haruman gel mandian yang digunakan meresap pada deria bau Zahniah. Dia terpesona. Mukriz yang hanya berseluar pendek dengan rambutnya yang basah cukup mendebarkan jiwa wanita Zahniah. Dada bidang lelaki itu yang turut ditumbuhi sedikit bulu roma bagai cuba dielak daripada memandangnya.
Zahniah semakin gelisah. Dia sesungguhnya tidak mampu menduga apa yang akan terjadi malam itu antara mereka berdua, namun masih berharap mereka berjaya mengawal diri masing-masing. Sesungguhnya dia juga tidak tahu mengapa Mukriz berpakaian begitu di hadapannya, sama ada dia memang biasa begitu atau sengaja menggodanya.
“Zah mandilah, segar nanti badan tu. Lepas mandi...”
Mukriz tidak menghabiskan ayatnya. Tubuh Zahniah kian dirapati, malah tangan kekarnya mula melingkari pinggang ramping gadis itu.
“Kalau Zah dah mandi, kenapa?”
Zahniah memberanikan diri bertanya walaupun mampu menduga jawapannya.
“Zah bukalah bungkusan hadiah Riz di atas katil… Riz harap Zah tak menghampakan Riz…”
Mukriz masih berteka-teki. Rambut Zahniah dibelainya. Zahniah bagaikan terpukau.
“Zah pergilah mandi dulu, Riz sediakan minuman panas…”
Mukriz sempat memberikan satu ciuman di pipi gebu Zahniah sebelum meninggalkan gadis itu untuk ke dapur.
Zahniah antara mahu dengan tidak melangkah jua ke tingkat atas, ke bilik tetamu seperti yang dimaklumkan oleh Mukiz tadi. Membuka sahaja daun pintu bilik, haruman lavender menyentuh deria baunya. Bilik itu yang hanya dipasang lampu tidur yang malap berbentuk reranting dengan cahaya lilin di beberapa sudut, ternyata mampu membuatkan mata yang segar bertambah layu. Katil pula kemas berbalut kain satin corak bunga tulip kecil di bahagian tengahnya dengan warna biru laut sebagai warna asasnya. Segalanya begitu mengasyikkan. Mukriz begitu pandai memilih adunan warna. Matanya turut tertancap pada sebuah bungkusan hadiah seperti yang dinyatakan oleh Mukriz tadi. Di situ juga terdapat sejambak bunga mawar. Zahniah tidak segera membuka balutan hadiah itu sebaliknya kain tuala yang tersidai dicapainya.
Sebaik sahaja keluar dari bilik mandi, matanya terus membelek hadiah yang dimaksudkan. Kata-kata Mukriz agar tidak menghampakannya bagai terngiang-ngiang. Perlahan-lahan balutan hadiah dibuka. Matanya kini terus menatap isi balutan hadiah tadi - sehelai pakaian malam yang cukup seksi. Diacu-acukan pakaian itu di hadapan cermin. Tidak dapat dibayangkan kalau dia hanya memakai pakaian yang hanya bertali halus itu dengan kain yang cukup nipis serta hanya di paras pahanya sahaja di hadapan Mukriz. Tetapi sanggupkah dia menghampakan Mukriz yang banyak berkorban untuknya seharian ini?
Begitu leka dia berfikir dengan hanya kain tuala sahaja yang membalut tubuhnya ketika itu, sehingga tidak menyedari Mukriz juga berada di bilik itu kini.
“Eh! Sayang masih tak pakai baju lagi ke?”
Mukriz kini berdiri di belakang Zahniah sebaik sahaja meletakkan minuman Zahniah yang baru dibuatnya tadi di atas meja. Zahniah tersipu-sipu malu setelah menyedari hanya sehelai kain tuala yang membalut tubuhnya ketika itu. Mukriz pula langsung tidak berkelip mata melihat tubuh gebunya. Zahniah cuba melarikan diri ke bilik air, namun pantas sahaja tangan Mukriz merangkulnya.
“Zah nak ke mana, pakailah baju yang Riz belikan ni. Pleaseee... untuk Riz malam ni...”
Bisikan lembut itu cukup hampir di telinganya. Baju yang terlepas dari tangannya kerana terkejut dengan kehadiran Mukriz, diambil oleh Mukriz dan diserahkan kembali kepada Zahniah. Wajah Zahniah yang kemerahan dengan tubuh gebu yang tersaji menyebabkan Mukriz semakin tidak keruan. Tubuh Zahniah terasa sukar untuk dilepaskan.
“Zah! Zahhh… nak ke bilik air…”
Zahniah semakin gementar berlama-lama dalam pelukan lelaki itu. Belaian dan kecupan demi kecupan yang dilakukan Mukriz menjadikan jiwanya bagai dipalu.
“Please ye, sayang… jangan hampakan Riz…”
Zahniah dilepaskan dengan rasa berat hati.
Seketika kemudian Zahniah keluar dengan pakaian malam yang dihadiahkan. Dengan rambut basah yang dilepaskan, dengan hanya pakaian nipis yang membalut tubuh gebu itu, matanya tidak mampu dikelipkan lagi meratah segala yang kelihatan samar-samar di sebalik pakaian malam nipis yang dipakai oleh Zahniah. Dalam sekelip mata sahaja Zahniah damai berada dalam pelukannya. Mereka semakin asyik dalam gelora asmara dalam syurga ciptaan mereka sendiri.
No comments:
Post a Comment