4
“Kita turun sini, boleh jalan-jalan. Kalau Riz nak ambil gambar kenangan, Zah boleh ambilkan.”
Zahniah menawarkan khidmat sebagai pemandu pelancong lagaknya.
“Buat apa Zah ambil gambar Riz, kan lebih baik kita bergambar berdua...”
Mukriz mengenyit mata kepada Zahniah. Berona merah wajah Zahniah. Gelodak di jiwa sukar ditafsir.
“Mari kita jalan-jalan dulu.”
Mukriz segera memegang tangan Zahniah, kejap. Tidak membolehkan Zahniah menariknya seperti tadi. Akhirnya Zahniah membiarkan sahaja. Mereka berpimpin tangan menikmati keindahan Tasik Perdana.
“Zah tak teringin berdayung ke?”
Mukriz yang masih menggenggam jejari Zahniah, mengajak.
“Nak jugak, tapi Zah takut… Zah bukannya pandai berenang.”
Zahniah teruja apabila Mukriz mengajaknya berdayung. Dia tidak pernah melakukannya sebelum ini.
“Tak apa, Riz ada… Takkanlah Riz nak biarkan Zah lemas, lainlah kalau lemas dalam pelukan Riz.”
Mukriz semakin berani menunjukkan belangnya. Sekali lagi muka Zahniah berona merah. Dia tidak pernah serapat ini dengan mana-mana lelaki. Apabila Mukriz mengusiknya begitu, terasa jantungnya berdenyut kencang. Dia malu, tetapi mahu. Mungkin usianya yang kian meningkat, dia merasa hidup bujangnya perlu diakhiri.
Pada pandangan kasar, Mukriz dirasakan calon yang sesuai - prihatin, memahami, suka mengusik serta tampan. Segalanya ada pada Mukriz. Apakah kali ini hati Zahniah akan terbuka untuk menerima kehadiran seorang lelaki dalam hidupnya? Namun, satu yang sering mengganggu fikiran Zahniah, perkenalan dan kemesraan antara mereka rasanya terlalu pantas berkembang. Baru beberapa kali pertemuan. Adakah ini yang dikatakan cinta pandang pertama?
Segalanya bermula semasa mereka sama-sama berkursus, dimasukkan dalam satu kumpulan. Mereka sering bekerjasama sama ada ketika berbengkel mahupun ketika sesi pembentangan. Keserasian mereka menyempurnakan setiap tugasan yang diamanahkan dan sentiasa bersama sepanjang kesempatan yang ada di sepanjang kursus, akhirnya telah melahirkan bibit-bibit cinta tanpa mereka sedari.
“Marilah kita cuba, Riz ada… Zah tak perlu takut.”
Mukriz segera menarik tangan Zahniah agar mengikutnya melangkah memasuki perahu yang tersedia setelah dia menyelesaikan urusan bayaran sebentar tadi. Zahniah yang terus membisu dianggapnya sebagai tanda setuju.
Mereka duduk agak rapat. Sengaja Mukriz mendekatkan dirinya dengan Zahniah. Pada mulanya Zahniah cuba-cuba juga menjarakkan dirinya daripada Mukriz setiap kali bahu dan punggung mereka bersentuhan.
“Zah, janganlah jauh-jauh dari Riz. Nanti terjatuh, susah Riz nak tolong. Marilah dekat dengan Riz, Riz janji…”
Mukriz sengaja tidak menghabiskan ayatnya.
“Riz janji apa?”
Zahniah tidak senang dengan ayat tergantung Mukriz. Mukanya sengaja dimasamkan sedikit sebagai menandakan dia tidak senang apabila Mukriz dengan sengaja membiarkan bahu dan punggung mereka bersentuhan.
“Riz janji... Riz tak makan Zah punya.”
Mukriz cuba mengusik kerana dia tahu Zahniah tidak senang dengan sikapnya yang semakin berani menyentuh diri gadis itu, namun dia telah lali dengan permainan seorang perempuan yang mahu tetapi malu.
“Apalah Riz ni…”
Zahniah tertawa kembali dengan kelucuan yang sengaja diwujudkan oleh Mukriz. Tangannya menampar lembut paha Mukriz. Segera Mukriz menyambar tangan itu dan dibawa ke mulutnya. Dengan selamba tangan itu dikucup syahdu. Zahniah terpaku. Perlahan-lahan tangan itu dilepaskan. Zahniah tidak berganjak lagi selepas itu apabila Mukriz merapatkan kedudukan antara mereka, malah ketika tangan kekarnya melingkari pinggang Zahniah, gadis itu hanya membiarkan.
“Zah selalu ke sini...?”
Mukriz cuba memecahkan kebisuan antara mereka. Tubuh mereka cukup hampir, tetapi fikiran masing-masing melayang entah ke mana. Dia tidak tahu apa yang berlegar di fikiran Zahniah, namun dia cukup senang di samping gadis idaman, apatah lagi tangan kekarnya masih terus memeluk pinggang ramping Zahniah. Hanya sebelah sahaja tangannya yang mendayung perlahan. Bahagia dirasakan.
“Selalu jugak kalau Zah bosan… Tapi berdayung begini, pertama kalilah.”
Zahniah berkata jujur.
“Zah senang di samping Riz?”
Begitu lembut bicara yang terukir di bibir Mukriz bagi memastikan gadis idaman terus terkulai di tangan. Pautan di pinggang ramping Zahniah semakin dikejapkan.
“Mmm…”
Zahniah tidak mampu mengungkap dengan pasti perasaannya ketika itu. Namun jauh di sudut hati dia bahagia dengan sikap prihatin dan kasih sayang yang ditunjukkan oleh Mukriz kepadanya.
Mereka mendarat juga ke pangkalan setelah hampir sejam berdayung berdua. Masa dirasakan terlalu pantas berlari mencemburui mereka. Senyuman bahagia sentiasa terpamer di wajah pasangan yang semakin tenggelam dalam panahan asmara. Kereta dipandu perlahan-lahan oleh Mukriz meninggalkan kawasan tasik yang telah merakam berputiknya sejarah cinta mereka.
“Kita nak ke mana selepas ni?”
Mukriz bertanya setelah melihat Zahniah lebih banyak membisu daripada berkata-kata. Entah apa yang difikirkannya.
“Riz tak lapar ke, dah pukul lapan ni?”
Zahniah mula perasan mereka tidak menjamah sebarang makanan sejak pertemuan jam 4:00 petang tadi.
“Yelah… perut Riz pun dah berdondang sayang. Kita nak makan di mana ni?”
Soalan terus ditanyakan untuk menentukan hala tuju pemanduannya.
“Kita ke Restoran Nelayanlah… Di sana banyak pilihan.” Zahniah memutuskan.
Kereta meluncur laju menuju ke destinasi. Suasana di dalam kereta menjadi senyap kembali sementara radio memutarkan lagu penyanyi kecil molek, tetapi bersuara lantang dari selatan tanah air. Keasyikan lagu ‘Kau Kunci Cintaku’ nyanyian Ramlah Ram yang berkumandang semakin menghanyutkan mereka dalam dunia khayalan ciptaan mereka sendiri.
Mereka terus mengatur langkah berdua setelah Mukriz berjaya mencari tempat parkir. Mukriz dengan berani menggenggam jemari Zahniah kerana dia pasti Zahniah tidak akan menariknya lagi seperti pertama kali dia berbuat demikian. Tekaannya tepat, Zahniah hanya membiarkan sahaja.
Setelah memilih meja yang masih kosong, Mukriz dengan sopannya menarik kerusi untuk Zahniah. Zahniah senang dengan sikap gentle yang ditunjukkan oleh Mukriz.
“Zah nak makan apa?”
Mukriz segera bertanya apabila pelayan menunjukkan kad menu kepada Zahniah.
“Berikan saya kuetiau goreng dan jus oren.”
Zahniah menyatakan makanan pesanannya kepada pelayan yang setia menanti.
“Beri saya menu yang sama jugalah.”
Mukriz cuba mencari kesamaan dengan Zahniah.
“Esok hari minggu… Riz hanya ada bengkel pada sebelah pagi saja. Boleh kita keluar lagi esok?”
Mukriz cuba mengatur satu lagi pertemuan antara mereka. Dia akan cuba menggunakan semaksimum mungkin kesempatan yang ada sepanjang dia berada di Kuala Lumpur untuk bersama Zahniah. Dia tahu Zahniah sudah tertawan kepadanya. Jeratnya mengena.
“Esok…?”
Soalan berbalas soalan, Zahniah inginkan kepastian. Sebahagian daripada hatinya teruja dengan cadangan Mukriz, sementara sebahagian lagi cuba menolak.
“Yelah esok… Zah takkan hampakan Riz, kan?”
Mukriz seakan merayu.
“Tapi esok Zah akan ke rumah kakak kerana ada kenduri.”
Zahniah teringat janjinya dengan kakaknya, Shamsiah.
“Betul ke? Atau Zah sengaja mereka alasan, maklumlah…”
“Betul, buat apalah Zah bohong.”
Perbualan mereka terhenti apabila pelayan membawakan menu yang mereka pesan. Makanan yang dinikmati terasa tawar kerana perasaan masing-masing yang tergores. Mukriz keruh wajahnya kerana gagal mengatur satu lagi pertemuan bagi mencapai misinya.
Zahniah pula cukup terpukul dengan kebisuan Mukriz, berasa cukup bersalah kerana telah menghampakan harapan Mukriz. Dia tahu Mukriz akan kembali ke Kuantan, Pahang selepas ini. Dia tidak tahu sama ada akan muncul atau tidak lagi pertemuan antara mereka. Namun untuk membatalkan keputusannya daripada mengunjungi Shamsiah sesuatu yang tidak mungkin. Dia tidak mahu menjadi seorang yang tidak berpegang kepada janji. Dia takut.
Sudahnya kebisuan menemani makan malam mereka sehinggalah meninggalkan Restoran Nelayan setelah selesai menikmati makan malam.
“Zah nak terus balik ke?”
Mukriz bertanya perlahan. Jelas menunjukkan kehampaannya dengan keputusan Zahniah.
“Kalau tak balik ke mana lagi Riz nak pergi?”
Zahniah cuba memujuk lembut.
“Entah, Riz pun tak tahu. Tapi Riz rasa terlalu awal untuk pulang. Malamkan masih muda.”
Mukriz masih tidak mahu berpisah dengan Zahniah.
“Kita ke kelab malam ke… menonton wayang ke… bagaimana?”
Mukriz cuba memberi cadangan.
“Kelab malam tu Zah tak biasalah… tapi menonton wayang tu bolehlah.”
Zahniah akhirnya antara mahu dengan tidak terpaksa menemani Mukriz menonton wayang untuk mengurangkan rasa hampa lelaki itu.
“Thanks, sayang.”
Sekali lagi jemari Zahniah dikucupnya. Keriangan berputik semula. Zahniah hanya mampu tersenyum dengan gelagat Mukriz.
Kereta yang dipandu Mukriz meluncur laju menuju ke destinasi. Zahniah tidak tahu cerita apa yang akan mereka tonton. Dia juga bertanya kepada diri sendiri sama ada keputusannya menemani Mukriz menonton wayang malam-malam begitu sesuatu yang wajar dilakukan. Zahniah masih ragu-ragu dengan keputusan yang telah dibuat, namun untuk membatalkannya, dia takut Mukriz akan semakin kecewa.
Ketika mereka melangkah masuk ke panggung wayang, Mukriz semakin berani melingkarkan tangannya di bahu Zahniah. Zahniah walaupun agak kurang senang dengan perlakuan Mukriz, tetapi hanya membiarkan.
Keadaan di dalam panggung wayang masih terang kerana cerita bermula jam 11:00 malam. Mereka masuk lebih awal iaitu jam 10:30 malam.
“Tak ramai oranglah.”
Zahniah berbisik kepada Mukriz.
“Cerita larut malam memanglah begini.”
Mukriz juga berbisik dengan Zahniah hingga hampir terkena pipinya. Zahniah menjarakkan sedikit dirinya. Jantungnya berdebar kencang.
“Zah takut ke?”
Mukriz bertanya sambil menggenggam tangan Zahniah yang berada di pahanya. Zahniah sekali lagi terkejut. Terasa pahanya diusap lembut. Perasaannya mula resah gelisah tidak keruan.
“Tak apa, kan Riz ada di sebelah.”
Zahniah cuba berlagak tenang.
“That’s my girl.”
Mukriz semakin berani merangkul Zahniah dalam kegelapan dan kesunyian panggung wayang malam itu yang telah mula dipadamkan lampunya, hanya diterangi simbahan lampu dari skrin wayang yang ditayangkan.
No comments:
Post a Comment