5
Kehadiran cahaya mata sememangnya dinanti-nantikan oleh setiap pasangan yang mendirikan rumah tangga. Mendengar gelak tawa, melihat kenakalan dan kelincahan mereka pasti menghiburkan hati yang rawan, pasti menghilangkan kepenatan yang melingkari, dan pasti menghiburkan jiwa yang kedukaan.
Lebih sepuluh tahun mendirikan rumah tangga, namun pasangan Adnan dan Shamsiah masih sepi daripada sebarang suara tangisan. Hendak dikatakan mereka tidak pernah merasa bagaimana nikmatnya sebuah kehamilan, tidak juga. Malah lebih tujuh kali Puan Shamsiah disahkan mengandung. Setiap kali itu jugalah keriangan menguasai diri.
Kali pertama Puan Shamsiah mengalami keguguran, mereka masih boleh menerima kenyataan bahawa rezeki masih belum menjadi milik mereka. Malah semangat mereka kian marak apabila doktor mengesahkan bahawa Puan Shamsiah masih boleh mengandung pada masa depan dan mungkin kandungan yang gugur kerana masalah biasa, atau mungkin janin sendiri bermasalah. Kali kedua kandungannya gugur, mereka mula berasa kekecewaan yang berputik, kesedihan perlahan-lahan bermukim di hati, malah Puan Shamsiah seakan fobia untuk kehamilan seterusnya kerana kemungkinan sejarah akan berulang. Dia sentiasa takut, takut pisang berbuah dua kali. Namun sebagai nakhoda, Encik Adnan terus mengemudi bahtera kasihnya dengan ketabahan yang masih bersisa.
“Sabar Yah, mungkin kita masih belum ada rezeki. Segalanya milik ALLAH, Yah kena ingat tu. ALLAH hanya meminjamkan kita sekejap saja sekadar memberi peluang kita menikmati apabila kita bakal menjadi ayah dan ibu. Setakat itu agaknya rezeki kita.”
Encik Adnan menasihati dengan lembut isteri tersayang yang masih bersedih dengan dugaan yang terpaksa mereka lalui.
“Tapi kenapa, bang…? Hanya seketika Yah merasa nikmatnya mengandungkan anak kita. Rasa-rasanya Yah cukup berjaga, memastikan kehamilan Yah selamat… tapi sayang...”
Puan Shamsiah terus teresak-esak. Tidak sanggup rasanya untuk meneruskan kata-kata, sebaliknya terus menangis dengan pengalaman keguguran kali kedua yang terpaksa dilaluinya.
“Sabarlah, mungkin ada hikmah di sebalik semuanya ini. Kita harus reda. Yang penting Yah masih boleh mengandung lagi, kan? Doktor sendiri masih gagal mengesan mengapa kandungan kedua Yah juga menerima nasib yang sama. Tak apalah, kita cuba lagi.”
Encik Adnan memujuk lembut sambil memeluk bahu isteri tersayang. Bukan masanya mencari salah siapa atas musibah yang menimpa. Dia tidak mahu terlalu emosional dalam menangani masalah mereka ketika itu. Dia juga tidak mahu rasa ego seorang lelaki bermukim di sanubarinya. Dia bukannya jenis lelaki yang cepat melatah. Meletakkan semua kesilapan di bahu isteri, lantas berkahwin satu lagi sebagai membuktikan kelelakian. Dia bukan jenis lelaki sebegitu. Masalah tidak akan berkesudahan malah lebih banyak hati yang akan terluka.
Seorang isteri dijadikan daripada tulang rusuk kiri seorang lelaki. Dekat dengan hati untuk disayangi, dekat dengan lengan untuk dibimbing dan dilindungi. Dia akan melindungi dan menyayangi Shamsiah, seorang wanita yang telah dinikahinya lebih sepuluh tahun yang lalu walaupun atas pilihan orang tua. Namun jodoh mereka berpanjangan dan nyata cinta selepas berkahwin tidak kurang indahnya.
Kandungan ketiga, keempat dan seterusnya juga menerima nasib yang sama. Para doktor mula membuat kajian apa sebenarnya yang berlaku kepada pasangan Encik Adnan dan Puan Shamsiah. Pemeriksaan awal menunjukkan pasangan ini tiada masalah sama seperti pasangan lain dan mereka berpeluang untuk menimang cahaya mata.
Namun situasi yang dilalui oleh pasangan ini sebanyak enam kali kandungan Puan Shamsiah gugur pada usia kandungan masih muda iaitu sekitar dua tiga bulan jelas menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena. Pemeriksaan teliti perlu dilakukan untuk mencari punca penyakit, seterusnya mengubati dengan kaedah yang paling efektif.
“Nampaknya Encik Adnan dan Puan Shamsiah perlu menjalani beberapa ujian.”
Dr. Krishen Jet cuba memberi kaunseling sekali gus menyarankan mereka supaya bersedia dari segi mental dan fizikal dalam menjalani beberapa ujian yang akan dijalankan ke atas mereka.
“Mengapa saya sering keguguran, doktor?”
Puan Shamsiah bertanya untuk mendapatkan jawapan yang pasti. Tidak sanggup rasanya terus meneka dalam kesamaran.
“Itu yang kita tak pasti, puan. Sebab itulah kami ingin menjalankan beberapa ujian terhadap puan dan suami.”
Dr. Krishen Jet cuba menerangkan situasi pasangan itu tentang masalah yang dihadapi oleh mereka.
“Apakah ujian yang terpaksa kami jalani doktor?” Encik Adnan lebih realistik berbanding si isteri yang dikuasai emosi.
“Begini Encik Adnan, apabila isteri encik boleh mengandung, itu menunjukkan bahawa sperma encik normal dan aktif berfungsi untuk menghamilkan pasangan encik. Apabila Puan Shamsiah pula mampu mengandung tanpa perlu mengambil sebarang rawatan seperti pil penyubur, maka itu juga menunjukkan bahawa isteri encik tiada sebarang masalah dari segi kesuburan atau masalah dalaman yang mungkin menghalangnya daripada mengandung.”
Dr. Krishen Jet berhenti seketika. Dia merenung kedua-dua pasangan di hadapannya untuk memastikan sama ada mereka faham ataupun tidak dengan penjelasannya sebentar tadi.
“Kamu berdua faham ke, both of you understand what I’m trying to explain…?”
Dr. Krishen Jet bertanya untuk mendapatkan kepastian sebelum memberikan penerangan selanjutnya.
“Maksud doktor kami tiada masalah kesuburan atau sebarang penyakit dalaman seorang wanita?”
Soalan berbalas soalan. Encik Adnan bertanya untuk mendapatkan kepastian.
“Betul tu. Tapi apabila enam kandungan isteri encik gugur berturutan, itu bukan perkara biasa. Mesti ada masalah yang mungkin kita terlepas pandang. Untuk itu ujian pertama Encik Adnan dan isteri mesti jalani adalah pengambilan darah untuk dibuat kajian. Kamu berdua bersedia?”
Dr. Krishen Jet masih ragu-ragu sama ada pasangan di hadapannya bersedia menjalani ujian demi ujian yang dicadangkan.
“Buatlah apa sahaja doktor, kami akan berikan kerjasama.”
Puan Shamsiah mendahului suaminya dalam memberikan kata putus mereka. Matanya merenung sayu kepada si suami di sisi agar memberikan sokongan moral kepadanya sekali gus bersetuju dengan saranan doktor pakar di hadapan mereka itu. Encik Adnan yang memahami situasi isteri tercinta lantas mengangguk sambil tersenyum. Tangannya lembut mengusap tangan Puan Shamsiah memberi semangat kepadanya.
Dr. Krishen Jet berpuas hati dengan keputusan bijak pasangan di hadapannya demi merealisasikan harapan mereka untuk menjadi seorang ayah dan ibu.
“Baiklah, kamu berdua boleh mengikut jururawat untuk ujian darah. Keputusan hanya akan diketahui dua bulan lagi. Harap Encik Adnan dan isteri dapat bersabar.”
Dr. Krishen Jet cuba berdiplomasi.
“Baik doktor, kami akan menunggu keputusan itu.”
Encik Adnan menyatakan persetujuannya.
“Harap kamu berdua tidak terlalu memikirkan hal ini. Take rest and enjoy yourself. Remember, stres juga merupakan salah satu sebab keguguran dan kesukaran kehamilan.”
Dr. Krishen Jet masih menabur kata-kata nasihat. Kasihan juga dia kepada pasangan di hadapannya ini. Namun sebagai seorang manusia biasa, kemampuannya untuk membantu terbatas kepada ilmu kedoktoran yang dimiliki. Selebihnya mereka perlu berserah kepada yang lebih berkuasa. Hidup mesti realistik dan berpijak di bumi nyata.
Sebelum ini pelbagai usaha telah mereka lakukan. Berurut sudah, berbomoh pun sudah, malah Puan Shamsiah pernah menjalani dua kali ujian laparoscopy untuk mengesan masalah dalamannya yang mungkin telah menyebabkan keguguran berulang kali yang dialaminya. Pemeriksaan rahim dari segi bentuk dan kedudukannya normal, kedua-dua tiub Fallopionnya juga dalam keadaan sempurna dan dia disahkan tiada penyakit endometritis. Rahimnya juga kuat untuk menampung kandungannya sehingga saat kelahiran. Buntu fikiran kedua-duanya jika memikirkan malang yang menduga.
No comments:
Post a Comment