3
Zahniah keluar dari pejabatnya awal sedikit hari itu untuk mengelakkan kesesakan supaya membolehkan dia sampai ke Hotel Merlin tepat pada masanya. Sememangnya menjadi kebiasaan Zahniah akan menepati janji yang diucapkan. Pertemuan pertamanya dengan Mukriz perlu berjalan lancar. Kadang-kadang dia hairan mengapa hatinya begitu teruja untuk segera bertemu dengan Mukriz, lelaki yang baru dikenali. Bukan tidak ada yang cuba memetik cinta hatinya selama ini, tetapi semuanya ditolak sehingga sedar tak sedar usianya kian meningkat. Bertubuh lampai, bermata galak serta gaya penampilannya berpakaiannya ala-ala model, sememangnya Zahniah ada daya tarikan tersendiri yang bisa mencairkan hati lelaki yang memandang.
Sejak di universiti lagi dia menjadi buruan siswa dan pensyarahnya. Namun siapa yang tidak mengenali Zahniah, gadis yang cukup kental dengan semangat dan sentiasa berpegang kepada janji bahawa segulung ijazah perlu digenggam dahulu, barulah memikirkan soal hati. Ketegasan dan prinsipnya itulah yang menyebabkan dia tidak berteman sehingga ke hari ini walaupun mempunyai aset yang cukup berharga - kecantikan asli yang cukup menawan.
Setelah kereta diparkir, dia segera mengatur langkah ke ruang lobi hotel, mencari-cari Mukriz seperti yang dijanjikan.
“Hai! Dah lama sampai? Riz ke tandas tadi...” Mukriz menegur dari belakang setelah melihat Zahniah melilau mencarinya.
“Eh! Riz… tak adalah… baru aja sampai.”
Zahniah agak terkejut menyebabkan debaran dadanya kian kencang. Sedaya mungkin dia cuba mengawalnya agar tidak kelihatan pada pandangan Mukriz.
“Kita nak pergi sekarang ke?”
Mukriz masih terus meratah wajah manis di hadapannya. Rasanya tidak puas-puas dia menatapnya.
“Boleh juga.”
Zahniah bersetuju. Mereka berjalan beriringan menuju ke tempat parkir.
“Biar Riz yang pandulah. Boleh, kan?”
Mukriz memberi cadangan sambil membukakan pintu untuk Zahniah di tempat duduk sebelah pemandu.
“Terima kasih, nah ini kuncinya.”
Mukriz tersenyum bangga dengan kelembutan yang ditunjukkan oleh Zahniah.
“Zah beri arahan, Riz akan ikut.”
Lunaknya Mukriz berbicara… Segalanya untuk menjayakan misi di hati, menyunting bunga mekar di taman.
“Kita ke Tasik Perdana, boleh? Di sana pun banyak tempat menarik, dekat dengan muzium, atau kita ke Kota Raya, tempat beli-belah... Manalah tahu Riz nak beli buah tangan untuk orang tersayang.”
Zahniah cuba merisik khabar.
“Siapalah yang nakkan Riz ni… Rupa tak ada, harta apatah lagi. Gadis sekarang mengejar yang bertitle Dato’, kereta besar dan gaji mesti empat atau lima angka baru dijadikan calon pilihan.”
Mukriz merendah diri, cuba menduga lautan dalam walaupun kailnya panjang sejengkal.
“Don’t judge the book by it’s cover. Tak semua gadis begitu.”
Zahniah cuba membela nasib gadis sepertinya.
“Jadi lelaki bagaimana yang menjadi pilihan Zah, boleh Riz tahu?”
Mukriz begitu pandai mengatur bicara untuk mengetahui siapa sebenarnya Zahniah dan yang penting sama ada dia telah berpunya atau masih lagi solo. Kalau masih solo, peluangnya cerah. Dia tidak suka menjadi pengacau kepada hubungan cinta orang lain.
“Mmm… lelaki tu mesti baik, tak kacak pun tak apa. Dia mesti ada ilmu agama agar boleh mendidik Zah, tak kaya pun tak apa. Dia tak minum minuman keras, tak kaki perempuan… dan mesti pandai mengambil hati.”
Zahniah dengan manja menyatakan ciri-ciri lelaki idamannya.
“Mmm… Riz termasuk dalam ciri-ciri tu tak?”
Mukriz memberanikan diri bertanya.
“Entah… adalah kut…”
Merah muka Zahniah menahan malu. Mukriz tersenyum bangga.
“Riz rasa semacamlah...”
Riz semakin berani mendekati gadis manis di sisinya.
“Rasa apa?”
Zahniah hairan dengan kata-kata Mukriz.
“Riz takut nanti tak pasal-pasal melayang penumbuk sulung di pipi macho ni.”
Mukriz cuba menyelami hati Zahniah.
“Apa yang Riz cakap ni, siapa pulak yang nak tumbuk Riz?”
Zahniah semakin hairan, tidak dapat meneka maksud di sebalik kata-kata Mukriz.
“Manalah tahu Riz cuba menyunting mekar kemboja di taman larangan, mekar berduri milik sang kumbang perkasa.”
Mukriz cuba bermadah pula. Untuk mengucapkan kata-kata manis tersebut bukanlah satu masalah baginya. Gelaran buaya tembaga yang dianugerahkan kepadanya cukup membuktikan dia telah biasa menggunakan ayat-ayat sebegitu untuk menundukkan gadis-gadis yang menjadi idamannya sehingga tersungkur di pangkuan.
“Oh! Itu rupanya... Tak terfikir pulak Zah. Tak ada siapa yang nak marahlah.”
Zahniah cuba menerangkan situasi dirinya yang masih tidak berpunya. Sekali gus memberikan isyarat lampu hijau kepada Mukriz.
“Zah masih solo lagilah ni?”
Mukriz ingin kata pasti walau dapat membayangkannya daripada lenggok manja Zahniah dan kata-kata yang diucapkannya.
“Mmm… siapalah Zah ni, orang lelaki pandang sebelah mata pun tak sudi. Bagai melukut di tepi gantang…”
Zahniah merendah diri.
“Hei! Jangan cakap macam tu… Pertemuan kita dan kehadiran Zah dalam hidup Riz membuatkan hidup Riz lebih bermakna, lebih bahagia… Malah kalau boleh siang malam Riz nak bersama Zah.”
Mukriz sedar peluang terbentang di hadapannya, pasti Zahniah akan tersenarai sebagai salah seorang teman wanita koleksi peribadinya selepas ini. Dia tersenyum dan mula merangka bagaimana untuk lebih mendekati Zahniah yang seolah-olah jinak-jinak merpati.
Mereka membisu selepas itu. Mukriz mula membayangkan bagaimana Zahniah akan jatuh ke dalam pelukannya satu hari nanti. Hanya masa yang akan menentukan sama ada cepat atau lambat. Dia cukup pasti. Senyuman kemenangan terus menghiasi bibirnya.
Zahniah pula tenggelam dalam angan-angannya yang panjang. Membayangkan bahagianya jika perhubungan mereka kelak akan berakhir di jenjang pelamin, dihiasi dengan ilai tawa anak-anak. Betapa bahagianya dia ketika itu. Mereka terus memasang impian, tetapi sayang tiada titik pertemuan yang menemukannya. Impian mereka kian terasing.
“Kita dah sampai, Zah…”
Mukriz mengusap lembut tangan Zahniah untuk menyedarkannya dari lamunan yang panjang.
“Hah! Sorry, Zah melamun tadi.”
Zahniah yang sedar tapak tangannya dalam genggaman Mukriz segera menariknya. Mukriz hanya tersenyum dengan tindak balas Zahniah. Baginya itu perkara biasa, perempuan mula-mula memang begitu.
No comments:
Post a Comment