AKU BUKAN RABIATUL ADAWIYAH
“Awak tak sedih ke, Hana, kakak awak buat macam tu?”
“Sedih mengapa pulak?”
“Yalah. Dia tak mahu mengaku hubungan korang berdua.”
Kedua-dua gadis itu berjalan ke kantin untuk mengisi perut yang sudah mulai berbunyi. Menu makan tengah hari Rabu sudah dihafal. Hari itu ikan masak asam dan sayur tauge.
“Bukan dia tak mengaku. Dia mengaku, cuma dia tak nak hebahkan. Lagipun, kalau fikir-fikirkan balik, betul kakak saya tu anak yatim. Ibu dan bapanya sudah meninggal dunia. Jadi, kalau dilihat dari sudut itu, dia memang ‘sebatang kara’…”
Marhana sekadar menyedapkan hati sendiri. Dia berbaris untuk mengambil pinggannya yang berlopak-lopak itu. Buah pisang diambilnya sebiji sebelum beratur untuk mengisi nasi pula.
“Sebatang kara? Semua orang yang mengenali dia hanya tahu hakikat itu. Yang Kak Mazwin itu sebatang kara. Tapi dia masih ada keluarga. Ada emak tiri, ada awak dan adik-adik. Hah, adik tiri bermakna adik kandung juga, tahu! Tak batal sembahyang dan adik lelaki awak tu boleh jadi wali dia kalau dia berkahwin nanti.”
“Biarlah apa pun pendirian dia, Hanim. Yang penting saya jumpa kakak saya kembali.”
Tetapi ada perkara lain yang lebih penting daripada itu. Dia mahu membantu menjernihkan segala kekeruhan. Kak Mazwin dan emaknya harus bertemu kembali.
“Awak pernah cerita, dia pernah berkahwin dulu?”
Tanya Norhanim yang sudah penuh pinggan berlopaknya dengan nasi dan lauk.
Marhana mengangguk.
“Hhmm… lima tahun lalu, Nim. Saya ingat lagi. Mereka dikahwinkan sebab dia dan Abang Badrul sama-sama akan melanjutkan pelajaran ke luar negara. Ibu bapa kedua-dua belah pihak merasakan perlu mengahwinkan mereka. Sebab semua orang tahu, Abang Badrul sukakan kakak saya tu. Oh Hanim, waktu itu saya rasakan mereka berdua romantis sangat. Kakak saya pun suka Abang Badrul jadi, semuanya seakan terlalu sempurna. Macam…”
“Mimpi yang indah?”
Norhanim memintas.
“Iya, mimpi yang menjadi kenyataan. Saya selalu usik Kak Mazwin dan dia tak kisah pun.”
“Waktu tu umur kakak awak berapa?”
Tanya Norhanim.
“Mereka kahwin bulan Januari, umur kakak saya waktu itu sembilan belas tahun. Bulan tiga ayah saya pula meninggal dunia. Semuanya bagai bertimpa-timpa apabila bulan Novembernya, abang ipar saya pulak meninggal dunia. Kemalangan jalan raya.”
Segalanya kembali jelas di mata Marhanim. Abang Badrul mahu membelikan hadiah buat kakaknya. Sehelai tudung ungu… Niat itu tidak kesampaian.
SAMBAL KERANG NAJWA
“Najwa..”
“Yeap!”
Seng merenung belakang Najwa yang sedang terbongkok-bongkok melihat ikan masin di dalam bakul. Perlahan dia menghembuskan nafasnya.
Najwa seorang gadis yang baik. Gadis yang tidak pernah mencurigai persahabatan mereka. Bahkan dari Najwa dia belajar banyak perkara.
“Firdaus!”
Seperti terkena renjatan letrik, tubuh Najwa menjadi kaku mendengar nama itu disebut. Ada kesayuan yang cukup sukar diungkap dengan kata-kata.
“Najwa, kau dengar tak?”
“Dengar..”
Najwa terus-terusan tunduk. Dia tahu sejak akhir-akhir ini terbit rasa bersalah dia terhadap Firdaus. Dia tahu Firdaus tidak bersalah. Dia yang memutuskan persahabatan mereka kerana terlalu kecewa dengan apa yang berlaku terhadap Mak Tam dan Pak Tam.
“Firdaus dah balik..”
‘Mana kau tahu?”
Aku rindukan Firdaus. Ahh. Keadaan sudah berbeza sekarang ini. Firdaus dahulu sudah berlainan dengan Firdaus sekarang. Najwa menganggar sendiri dalam hati.
“Aku yang ambil dia dari lapangan terbang. Apa pula mana aku tahu?”
“Oh..dia kontak kau lagi ke?”
Najwa kali ini suda berjaya menenang wajah Seng. Seng menganggukkan kepalanya. Rasa serba salah. Dia tahu kebencian Najwa terhadap Firdaus. Dia tahu betapa sayangnya Najwa terhadap Mak Tam dan Pak Tam.
Dia tidak boleh salahkan Najwa dan di masa yang sama Firdaus tidak bersalah.
“Kau marah akukah sebab kontak dia lagi?”
Sedikit ragu-ragu Seng. Seng selepas habis SPM terus bekerja dengan ayahnya. Kata Seng dia malas mahu belajar, nanti perusahaan ayahnya tidak ada orang yang menjaga.
“Itu hak kau Seng, apa yang berlaku antara aku dengan Firdaus tidak ada kena mengena dengan kau. Kau berhak berkawan dengan Firdaus.”
No comments:
Post a Comment