2
“Tak manis Awin duduk di pangkin ni sampai ke senja. Semua orang bercakap-cakap…”
Hendak sahaja dia menjawab, jangan ganggu hidupnya. Pangkin itu banyak kenangan. Satunya, ia dibina oleh arwah ayahnya sendiri. Dua, ia tempat kegemaran dia dan Badrul.
Sembilan bulan, bukan lama sangat kenangan hidup alam rumah tangganya bersama Badrul, tetapi ia tetap tersimpul rapi dalam ikatan hatinya.
“Apa rancangan Awin sekarang?”
Diam.
“Awin, jawablah... mak cik tanya ni.”
Diam lagi.
“Kalau Awin tak nak sambung belajar, mak cik pun tak halang. Tapi keluarga kita dah berbincang, eloklah Awin cepat-cepat kahwin.”
Mazwin melepaskan keluhan. Kalau boleh, mahu sahaja dia menjerit, tetapi dia tidak berdaya. Dia tiada tenaga.
Gila. Semua orang gila!
“Perempuan ni Awin, bila bergelar balu atau janda, selagi tak berkahwin semula, tak selamat hidupnya. Bukan hanya dia yang tak selamat, seluruh keluarganya jugak. Percayalah cakap mak cik…”
“Mak cik…”
Kata-kata wanita itu terhenti apabila dilihatnya Mazwin mula membuka mulut. Sejak Mazwin kecil lagi dia sudah menjadi ibu tirinya, tetapi hubungan mereka tidak pernah mesra. Mungkin kerana tiada sesiapa berusaha ke arah itu.
Hubungan mereka sentiasa janggal. Sentiasa renggang.
Tambahan pula lahir tiga orang anak dari Faridah yang membuatkan dia mempunyai kumpulannya sendiri. Lagilah kerapatan tidak pernah muncul-muncul.
“Mazwin, mak cik bukan nak susahkan kamu. Tapi… mak cik rasa betul kata saudara-mara kita. Kamu elok saja dikahwinkan. Mak cik dah ada calonnya. Ingat tak Aznan, cikgu sekolah Si Marhana waktu sekolah rendah dulu? Anak saudara Pak Cik Rosli? Dia sedang mencari isteri dan berkenankan kamu… Orangnya baik dan semua orang suka. Dia dah setuju, mak cik pun suka, Win…”
“Saya tak suka!”
Jawapan daripada mulut Mazwin membuatkan Faridah tersentak. Kali ini si ibu tiri pula yang melepaskan keluhan. Keluhan yang lebih kuat. Faridah menyuruh hatinya bersabar. Ini harus ditangani dengan kuasanya sebagai ibu. Mazwin harus menerima hakikat.
Ini yang pernah dilaluinya dahulu. Ini juga yang terpaksa diterimanya tanpa banyak soal atau penolakan. Jika dia boleh, tentu Mazwin pun sama.
“Mazwin, suka atau tidak bukan persoalannya sekarang. Kamu tu janda…”
“Kenapa? Kenapa dengan diri saya yang janda? Mak cik pun janda?”
“Mazwin, nasiblah mak cik ni dah beranak-pinak, orang tak heboh sangat. Dah tua pulak tu. Tapi kamu, kamu baru sembilan belas tahun. Mak cik dah laluinya dulu. Dulu masa mak cik menjadi janda kali yang pertama. Kamu kena cepat-cepat bergelar isteri semula.”
Suaranya cuba ditegaskan seboleh mungkin.
“Supaya mak cik cepat-cepat boleh lepas tangan?”
Mazwin memintas kata-kata ibu tirinya membuatkan wanita itu terkejut.
“Mazwin! Sampai hati kamu cakap begitu?”
“Tak betul ke, mak cik?”
Faridah mengetap bibirnya.
“Memang tak betul. Apa kamu ingat mak cik ni…”
Suara Faridah mulai sebak.
“Teruk sangat ke mak cik selama ni, Mazwin? Mak cik dah berkahwin dengan arwah bapa kamu enam belas tahun lamanya…”
“Huh! Enam belas tahun memang lama. Tapi mak cik tak anggap saya seperti anak pun. Ada pernah mak cik anggap saya berharga di mata mak cik? Tak pernah, kan? Sebab tu cepat-cepat mak cik nak halau saya, nak singkir saya. Tak mahu bertanggungjawab pada saya.”
Suara Mazwin berbaur tangis. Berkaca-kaca matanya. Siapa yang memahami gelodak hatinya tika ini. Dia mengharapkan orang terdekatnya, keluarganya sendiri. Tetapi mereka cepat-cepat mahu membuangnya.
Dia memang keseorangan di dunia sekarang ini. Sebatang kara.
“Mazwin!”
“Saya tak akan bebankan mak cik. Mak cik janganlah risau…”
Berderai-derai air mata yang turun di pipi mulus itu.
Faridah terasa tekaknya sakit. Sebak kian menjadi-jadi.
“Mak cik hanya memikirkan kebaikan kamu, Mazwin. Apa lagi yang dapat memelihara wanita selain daripada sebuah perkahwinan?”
“Itu pengalaman mak cik sendiri, kenapa nak disamakan dengan saya?”
Tegas suara Mazwin.
Faridah memegang dadanya. 17 tahun dahulu, dia yang berusia 21 tahun, diceraikan suami kerana campur tangan keluarga mentua yang tidak sukakannya. Setahun selepas itu, setelah bebas daripada edah, keluarga segera mencarikan jodoh untuknya, dengan seorang duda beranak satu.
Dia akur pada ketentuan itu. Tanpa banyak soal, dia menjadi isteri Arifin dan ibu tiri kepada Mazwin.
Kini Mazwin melalui perkara yang sama, kehilangan suami di usia muda. Mazwin harus cepat-cepat diselamatkan daripada segala onak dan duri sebagai janda. Dia berkenan sekali pada Si Aznan. Sejak kecil lagi Aznan sudah dikenalinya.
“Kamu sudah ditakdirkan di bawah tanggungjawab mak cik sekarang, Mazwin. Dan kamu mesti kahwin kerana ini yang terbaik…”
Faridah cuba menunjukkan kuasanya. Dia tahu, sekiranya tidak berbuat begitu, senang-senang sahaja anak manja itu akan melawan cakapnya. Inilah bahananya terlalu memanjakan anak, Faridah menyalahkan arwah suaminya dengan apa yang terjadi.
Mazwin semakin besar kepala.
“Mak cik jangan risau kerana saya tak akan ambil sebarang harta ayah pun!”
“Kamu sangka itu yang mak cik risaukan? Mazwin, mak cik tak peduli dengan semua tu.”
“Tak perlu berlakon, mak cik. Rumah ni, tanah ni, tanah kebun, walau kepunyaan arwah ibu saya, tapi ianya dah jadi milik arwah ayah. Walau saya yang paling berhak, tapi saya tak mahu. Saya serahkan dengan ikhlas hati kepada mak cik dan adik-adik. Ambillah.”
“Mazwin???”
“Sekarang mak cik dah puas hati?”
“Mazwin!!!”
Suara Faridah menengking kuat. Tidak pernah dia rasa semarah itu.
“Sepanjang hidup saya, mak cik tak pernah puas hati dengan saya. Ingat saya tak tahu? Saya ada mata, ada telinga. Mak cik risau sangat saya dapat semua harta ayah. Tak perlu risau kerana saya tak mahu pun. Ambillah, ambillah semuanya!”
“Mak cik tak mahu pun harta-harta tu semua. Yang mak cik mahukan, kamu berkahwin dengan Aznan! Itu saja!”
Mazwin berpaling, merenung mata ibu tirinya dalam-dalam.
“Tak perlu mak cik paksa saya kahwin kerana risau kena menjaga saya lagi. Saya boleh jaga diri sendiri. Sebaik ayah mati, mak cik dah putuskan hubungan kita, tinggalkan rumah kita, tinggalkan saya. Jadi, kenapa sekarang mahu bertanggungjawab pulak?”
Faridah mengetap bibirnya. Dia tidak mungkin beralah kali ini. Sudah banyak kali dia kalah ketika arwah suaminya masih hidup. Tidak kali ini. Tidak sama sekali.
No comments:
Post a Comment