4
“Awin nak ke mana ni?”
Mazwin terkejut.
“Abang…”
Lega hati Mazwin kerana si lelaki masih di hatinya. Masih jelas di hadapan matanya. Itu yang dia mahu. Biar menjadi penguat semangatnya.
“Abang dah lama memerhati Awin. Awin nampak sibuk.”
Mazwin tahu dia tidak boleh berahsia. Dia perlu beritahu semuanya kepada Badrul. Badrul berhak tahu.
“Awin nak tinggalkan Kampung Peria, bang…”
Tadi dia elok-elok sahaja. Dia sudah nekad. Dia mahu memulakan hidup baharu, jauh dari segala tekanan. Jauh dari orang yang membencinya selama ini. Biarkan, biarkan mereka dengan hati yang selama-lamanya berkeladak.
Munculnya Badrul, hatinya terus jadi sayu. Air mata Mazwin tiba-tiba merembas-rembas.
“Kenapa? Kenapa Awin nak tinggalkan abang?”
“Eh, Awin tak tinggalkan abang. Awin takkan pergi tanpa abang. Awin bawak abang sekali. Abang mesti ikut Awin. Kalau abang tak ikut Awin, Awin takkan bersemangat, takkan kuat nak harung semua ni. Tak akan pergi…”
“Ini keputusan Awin?”
“Ini keputusan yang terbaik, bang.”
“Hhmm…”
“Kenapa, bang? Abang tak setuju ke?”
Mazwin risau, adakah keputusannya tidak dipersetujui Badrul? Dia memang membuat keputusan itu seorang diri. Dia tidak bertanya sesiapa pun. Siapa yang hendak ditanyanya? Marhana? Marhana masih terlalu muda.
“Okey, abang ikut Awin. Ke mana-mana pun abang ikut Awin!”
“Betul ke, bang?”
“Betullah. Kita dah berjanji nak sehidup semati, kan?”
Badrul melemparkan senyuman manis. Senyuman yang menyejukkan hati Mazwin.
“Awin suka tengok abang tersenyum.”
“Abang pun suka tengok Awin tersenyum.”
Mereka sama-sama tergelak kecil. Bahagianya.
Mazwin menunggu lagi kata-kata daripada Badrul.
“Abang akan bersama-sama Awin, selamanya…”
“Abang jangan mungkir janji, ya?”
“Awin?”
Badrul mahu mendapatkan kepastian.
“Awin pun takkan mungkir janji.”
Mazwin mengukuhkan janji.
“Jadi, Awin sanggup tinggalkan rumah ni? Tinggalkan pangkin kesayangan kita?”
Tanya Badrul tiba-tiba, bagai mahu menguji hati isterinya.
“Memang Awin tinggalkan semua tu, bang. Tapi… ia tetap kekal di hati Awin…”
Seperti kau juga, Badrul. Kata hati Mazwin.
“Tapi tudung tu…”
Badrul mengingatkan.
“Tudung ungu tu Awin takkan tinggalkan, bang. Awin akan bawa ke mana-mana, sampai bila-bila…”
Badrul tersenyum memandangnya.
“Okey, Awin kemas baju dulu, ya bang… Esok, pagi-pagi, kita dah nak bertolak ke Teluk Manis. Mila yang tolong Awin.”
Mazwin menyambung kerjanya, mengemas pakaiannya. Hanya beberapa pasang baju untuk dipakai seminggu dua. Dia melihat beg pakaian yang siap disusun untuk dibawa ke Madinah. Biarlah beg itu terus di situ. Dia tidak mahu mengusiknya.
Beg itu akan ditinggalkan di rumah pusaka bapanya. Beg dia dan Badrul untuk dibawa ke Madinah. Beg dan isinya yang tiada gunanya lagi.
Ke Teluk Manis, dia hanya membawa sebuah beg kecil. Tetapi harapannya amat besar dan menggunung tinggi.
No comments:
Post a Comment