3
Dia akan tinggalkan Kampung Peria.
Dia akan pergi jauh dari negeri Johor. Jauh dari Muar. Dia mahu lupakan semuanya. ALLAH akan bersamanya. Badrul juga.
“Kau sepatutnya sambung belajar, Win.”
Kata sahabatnya, Mila di corong telefon. Mila, anak anggota polis yang berpindah-randah dan pernah tinggal di Kampung Peria selama tiga tahun. Tiga tahun itulah yang menjadikan mereka sahabat yang akrab walau kini sudah berpisah jauh.
“Aku takkan tinggalkan pelajaran, Mila.”
Ya, dia sudah menolak tawaran ke Madinah. Sepatutnya mereka sudah berada di sana sekarang. Semua persiapan sudah dibuat. Pakaian sudah dikemaskan, makanan kegemaran juga dibalut elok-elok ke dalam kotak. Ikan kering, ikan bilis dan udang geragau kering, cukup bekalan enam bulan. Keperluan hidup di rantau orang pasti lebih mudah kerana berdua. Segalanya sudah sampai ke tahap persiapan terakhir.
Walaupun ayah sudah pergi menghadap Ilahi, Mazwin bersyukur dia mempunyai Badrul sebagai pengganti. Perancangan takdir memang cukup cantik sekali.
Pada waktu itulah. Sebelum tsunami kedua melandanya…
Tsunami yang kali ini memusnahkan jiwa raganya.
Semuanya bermula apabila Badrul beria-ia hendak ke pekan membeli sesuatu. Sesuatu untuk kegunaan mereka di sana. Katanya ada di pasar raya. Apa barangnya? Rahsia, katanya. Sebuah kejutan lagi. Ah, indahnya perkahwinan. Cinta Mazwin makin membara.
Dia menaiki motosikal dan berjanji akan pulang segera.
Tetapi yang pulangnya sekujur tubuh yang kaku. Sejak hari itu Mazwin bergelar balu.
Mazwin memejamkan mata. Perit dan luka hatinya mengenang kenangan itu. Rupanya Badrul ke pekan mahu membeli sehelai tudung baharu untuknya. Sekeping kad membuktikannya. Hadiah untuk hari jadinya di tahun hadapan.
Tudung lembut berwarna ungu, warna kegemarannya.
“Awin!”
Mazwin tersentak. Lupa dirinya yang masih di talian dengan Si Mila.
“Bila ada tempat tinggal dan kerja yang boleh menampung hidup, insya-ALLAH aku akan sambung belajar. Sekurang-kurangnya aku akan ambil diploma nanti. Aku nak ke sana, boleh ke kau bantu aku?”
Mazwin mendengar sahabatnya mengeluh.
“Kau dah fikir habis-habis?”
Tanya Mila lagi.
“Tinggalkan Kampung Peria?”
Mazwin pula menanya.
“Haah… Kau baru saja bergelar balu, Mazwin. Bukan maksud aku nak memperkecilkan gelaran kau, tapi ini hakikat kita sebagai perempuan ni…”
“Aku tak mahu fikir tentang hakikat yang dicipta nenek moyang kita, Mila. Kau satu-satunya kawan aku yang berada di Perak. Aku nak mencuba nasib di sana. Aku ada sedikit simpanan, wang daripada arwah suami. Aku boleh survive beberapa bulan, tapi aku kena ada kerja. Aku nak teruskan hidup. Kerja apa pun tak apa asalkan halal.”
“Apa kata keluarga kau?”
“Aku sebatang kara sekarang, Mila. Aku balu… balu yang dianggap beban…”
“Takkanlah mereka anggap kau begitu, Win…”
“Aku… aku tak ada tempat lagi di sini, Mila… Tolonglah, bantu aku.”
Beberapa saat Mila terdiam.
“Memang ada, tapi aku tak tahu kau nak ataupun tak sebab…”
“Kedai makan ke? Eh, aku nak… aku tak memilih. Aku sekarang ni hanya boleh mempertaruhkan SPM, aku tak nak fikir apa-apa dah. Aku sanggup bermula dari bawah, aku sanggup hidup susah, Mila. Percayalah.”
“Mungkin kau boleh merayu tawaran ke luar negara tu, Win…”
Mila masih memberi cadangan.
“Mila, aku tak nak pergi mana-mana, aku dah lupakan harapan tu. Itu harapan dan impian aku dengan Badrul…”
Dan arwah ayahnya.
Suara Mazwin sebak.
Mila tahu kesedihan sahabatnya. Cinta pada suami yang dikahwininya hampir setahun bukan mudah dipadamkan begitu sahaja. Angan-angan mahu menuntut ilmu bersama-sama di luar negara berkecai apabila ajal menjenguk dahulu.
Semuanya sudah tertulis.
“Pasar raya mini ni kepunyaan bapa kepada kawan abang aku. Aku tak kenal pun mereka tapi entah macam mana abang aku ada tanya, ada tak kawan-kawan yang nak kerja sebagai kerani di situ. Gaji tak banyak, sekitar lapan ratus saja…”
“Aku nak, Mila!”
“Aku dah ambil nombor telefonnya. Kawan abang aku tu namanya Abdul Razak. Abdul Razak bin Datuk Abdul Halim. Kau telefon dia. Kata abang aku, dekat-dekat dengan pasar mini tu ada banyak bilik sewa kerana di situ dekat dengan universiti… Universiti Aksara, Teluk Manis. Lebih kurang seratus kilometer dari tempat aku tinggal ni.”
Mazwin menyebut-nyebut nama universiti dan tempat yang bakal ditujunya. Suatu tempat yang belum pernah dijejakinya. Mila sendiri tinggal di Ipoh.
“Abdul Razak namanya?”
“Ya, Abdul Razak bin Datuk Abdul Halim, anak ahli perniagaan terkemuka jugalah. Dia sebaya abang aku, jadi dua puluh satu tahun umurnya. Kau telefon dia dan katakan abang aku yang rekomen.”
No comments:
Post a Comment