Muka Ervan masih masam mencuka. Dia mengambek berat. Walau sudah ditenangkan oleh Hizar, namun hatinya masih menolak. Bukan Hizar yang seharusnya meminta maaf, tetapi sebaliknya Surihani. Tetapi cewek itu hanya diam, tidak lagi memandangnya. Apa lagi mahu meminta maaf. Siapa sih yang pongah? Ervan menggerutu di dalam hati.
“Sudahlah, Ervan… abang mintak maaf. Tadi cuma salah faham saja.”
Hizar masih berusaha memohon kemaafan bagi pihak Surihani. Kesan merah masih jelas terpampang pada kulit pipi Ervan.
“Justeru yang harus meminta maaf itu bukan abang tapi tuh… tuh cewek!”
Ervan memuncungkan bibirnya ke arah Surihani yang sedang menghidangkan minuman di atas meja. Gadis itu hanya menjelingnya sekilas ketika duduk di kerusi bersebelahan dengan Hizar.
“Minta ampun! Kalau saja dia bukan adik kamu, bang... sudah lama aku korek biji mata itu! Kasi makan sama buaya!”
Getus Ervan jelas jengkel amat sama Surihani.
“Apa lagi yang kamu mahu, hah?”
Jerkah Surihani naik angin mendengar ocehan Ervan. Walaupun sebenarnya dia berasa malu kerana telah menampar Ervan secara melulu hanya kerana menyangka Ervan bercakap tidak senonoh.
“Minta maaf sama aku sekarang!”
Tegas Ervan, menjegilkan matanya.
“Kamu sudah seenaknya nampar aku. Sok jagoan[i] kamu! Mama aku sendiri gak pernah nampar aku kayak gitu!”
“Sebab itulah kamu membesar jadi manusia pongah!”
“Siapa yang pongah? Aku atau kamu?”
“Sudahlah!”
Teriak Hizar sambil menepuk meja. Sudah tidak tahan mendengar perbalahan mulut itu.
Baik Ervan mahupun Surihani, sama-sama tersentak.
“Suri… boleh tak mengalah? Mintak maaf pada Ervan? Lagipun, memang Suri yang salah, menampar Ervan membabi buta sedangkan dia tak bermaksud seperti yang difikirkan Suri. Ini semua salah faham sebab bahasa. Bila Ervan berbahasa Inggeris, Suri jengkel. Tapi bila dia berbahasa Indonesia, Suri pulak selalu salah faham.”
******************************************************************************************
[i] 1 orang yg suka berkelahi; pendekar; samseng 2 orang yg sangat gemar thdp sesuatu (cth pesta, pertunjukan): ~ menonton wayang
Apabila Hizar sudah berbunyi, Surihani tidak berani mahu membangkang lagi. Dengan rasa sebal dia berkata.
“Okey, aku mintak maaf. Puas hati?”
Ucapan itu malah membuatkan hati Ervan semakin mendongkol. Tatapan matanya berbaur kemarahan.
“Lho? Kok segitu sih caranya kamu mohon maaf sama orang? Kamu gak ikhlas! Kamu tau enggak cewek harus kalem, lemah-lembut, and stuff like that, tapi kamu? Kasar melulu!”
“Banyak songeh!”
Surihani memandang Ervan dengan pandangan menantang, bersedia untuk membidas lagi kata-kata Ervan. Akan tetapi Hizar memandangnya tajam sambil menggeleng tanda meminta Surihani diam. Tiba masa untuk dia bertindak membela adiknya.
“Ervan, kalau kamu kata adik abang ni kasar, kamu harus tahu kenapa dia jadi kasar. Sejak kecil dia tak pernah kenal erti kasih sayang seorang ibu!”
Hizar membalas dengan tegas.
Dushh! Kata-kata itu terasa tumbukan padu ke muka Ervan. Dia terpana seketika. Matanya memandang nanar ke arah Hizar dan Surihani silih berganti. Wajah Surihani yang tadinya galak amat, mendadak berubah jadi mendung. Terus tertunduk memandang lantai. Ketika melihat Surihani bingkas meninggalkan ruang tamu, Ervan diburu rasa bersalah yang bukan sedikit.
“Ibu kami meninggal dunia semasa melahirkan Surihani. Arwah mengalami pendarahan yang teruk dan tak dapat diselamatkan lagi. Jadi, ayah yang membesarkan kami berdua dengan hasil sebagai nelayan. Tapi beberapa tahun kemudian, ayah kami pula meninggal dunia kerana bot dipukul ribut. Surihani masih kecil ketika itu, baru berusia enam tahun.”
Cerita Hizar dengan wajah redup. Di hujung kata, dia melepaskan nafas berat. Matanya jauh merenung ke tengah laut.
Ervan tertunduk bersama hati yang berantakan. Tidak punya kekuatan untuk memandang wajah Hizar yang semakin mengeruh. Ada keperitan tergambar di situ.
“Sejak itu, abang nekad berhenti sekolah.
Terus bekerja untuk membesarkan Surihani.” Hizar melanjutkan.
Sungguh Ervan terkejut mendengarnya. Lantas dia segera mengemukakan pertanyaan.
“Kamu berhenti sekolah? Emangnya berapa umur kamu ketika itu, bang?”
“Abang dah enam belas tahun waktu itu. Jadi, dah tak kisah soal pelajaran. Abang kena jaga Suri baik-baik. Kalau abang tak jaga Suri, siapa lagi? Biar abang terkandas dalam pelajaran, tapi jangan Suri. Abang mahu Suri dapat pendidikan yang sempurna. Kami dah tak ada sesiapa lagi. Hanya dua beradik. Abanglah yang jadi ibu dan ayah kepada Suri. Sebab tu ke mana abang pergi, Suri akan ikut. Semua kawan-kawan abang, dah jadi kawan-kawan dia juga. Hidupnya dikelilingi lelaki sebab tulah dia jadi agak kasar.”
Ervan mulai mengerti kini. Persekitaran hidup memang sudah banyak mempengaruhi perwatakan gadis itu.
“Ada satu cerita lucu. Ketika itu Suri datang bulan pertama kalinya. Abang menggelupur bawa dia ke Mersing kerana menyangka dia alami pendarahan. Sampai di sana, nurse gelakkan abang. Katanya, Suri cuma alami haid. Malunya abang tak terkira!” Hizar ketawa lucu.
Ervan sendiri ikut sama tertawa.
“Aduh! Masa sih kamu gak tau kalo anak gadis datang bulan?”
Hizar tersengih sambil menggaru kepala.
“Memanglah abang tau… tapi abang panik tengok dia menangis, meraung-raung cakap sakit perut. Darah punyalah banyak. Masa tu dia baru tingkatan satu. Bila nurse terangkan, baru abang tau Suri kena senggugut yang teruk. Yalah… dah yang membesarkannya lelaki yang baru nak kenal hidup. Lagipun kami bukannya ada emak yang boleh ceritakan selok-belok anak gadis, pantang larang ke apa ke…”
Kenyataan Hizar itu membuatkan Ervan terdiam lalu mematikan senyumannya.
Gimana ya rasanya gak punya ibu?
Hizar melanjutkan lagi ceritanya,
“Lagi satu, dia jadi kasar begitu pada orang tertentu saja. Mungkin itu cara dia mahu melindungi diri. Kalau dengan abang, dia sebenarnya manja habis. Senang menangis juga. Dulu, gara-gara tak mahu berpisah dengan abang, dia hampir tolak tawaran belajar di California.”
“Hah? Jadi, emang benar dia pernah belajar di luar negara? Di Amerika?”
Tanya Ervan, hampir tidak percaya mendengar kenyataan itu. Sangkanya Akhil cuma mahu mempengaruhi mindanya agar mengagumi Surihani ketika lelaki itu menceritakan tentang latar belakang gadis itu.
Hizar menoleh memandang Ervan. Melihat kerutan di dahi Ervan, tahulah dia bahawa pemuda itu pasti tidak mempercayai ceritanya. Mungkin sebelum ini Ervan telah memandang rendah kepada Surihani.
“Yalah… lima tahun dia di sana. Dia belajar di Art Center College of Design, Pasadena. Ambil B.S Fine Art. Baru enam bulan dia balik ke sini. Umur dia baru dua puluh lima tahun.”
Ervan melepaskan keluhan panjang. Dia memang tahu tentang kolej seni itu. Malah dia sendiri dari The Art Institute of California, Hollywood. Wajar saja Surihani jengkel setiap kali dia berbahasa Inggeris slanga Amerika kerana gadis itu sendiri belajar di sana, tetapi tidak pernah melupakan bahasa ibunda.
Berkali-kali Ervan mengusap mukanya diiringi helaan nafas berat.
“Aku kesal, bang…”
Bercampur malu juga rasanya.
“Tak apa-apalah… Cuma salah faham sikit aje…”
Hizar tersenyum sambil menepuk-nepuk lembut pundak Ervan.
“Makasih bang, karna kamu sudi ceritain kepadaku tentang Surihani. Kayaknya, aku harus pulang.”
Ervan meminta diri.
“Eh? Tadi kata nak tidur di sini? Dah nak maghrib ni, takkan kamu nak pulang jugak?”
Hizar kehairanan.
“Aku… aku… malu setelah jadi begini. Sebelumnya aku selalu fikir Surihani itu sok[i] jaim[ii], sok cuek, sok bete[iii].”
Ervan berterus terang dengan muka yang membera kemerahan. Memang sebelum ini dia selalu merasakan Surihani sengaja berkelakuan jengkel, mudah marah sebagai cara menghindar diri daripadanya.
Hizar mengangguk walaupun dia tidak faham maksud sok jaim, sok cuek dan sok bete itu.
“Baiklah… abang faham. Tapi lepas ni janganlah segan-segan datang ke sini.”
Ervan bangun lalu bersalaman dengan Hizar. Ketika keluar dari rumah, Ervan melihat Surihani sedang duduk di pangkin. Secara spontan, Ervan menoleh ke arah Hizar, memberi isyarat mata bahawa dia ingin menemui Surihani. Hizar sekadar membalas dengan senyuman.
Dengan hati ragu-ragu, Ervan menghampiri Surihani. Jiwanya berantakan apabila melihat Surihani mengesat air mata.
“Surihani…”
Dia memanggil.
Tetapi Surihani enggan menoleh. Dia malu kalau Ervan sampai melihat mukanya yang basah dek air mata.
“Maafin aku…” Ervan menghulur tangan tanda mahu berdamai.
Jangankan menyambutnya, menoleh pun tidak. Surihani hanya tertunduk diam. Membisu. Kaku seperti patung. Terhela keluhan panjang dari mulut Ervan.
“Aku tau kamu marah sama aku. Tapi aku harap kamu masih bisa datang nyiapin mural di rumah aku.”
Sejurus berkata demikian, Ervan berpaling dan mula mengatur langkah pergi dalam remang senja.
Barulah Surihani mahu mengangkat wajah. Memerhatikan setiap langkah jejaka tampan itu.
Tiba-tiba Ervan berpaling lalu pandangan mata mereka bertaut. Dia melemparkan senyum.
Surihani kegugupan, tidak sempat melarikan pandangan.
**********************************************
[i] 1 berlagak (suka pamer dsb); 2 merasa mampu dsb, tetapi sebenarnya tidak
[ii] merupakan singkatan dari “Jaga Image”, menjaga penampilan, menjaga tingkah laku
[iii] “bete” adalah akronim (singkatan) dari “Bored Totally”
No comments:
Post a Comment