MAKA di situlah Nor Aida Shafie akhirnya.
Aida merenung bangunan yang betul-betul berada di hadapannya. Langsung tidak menarik perhatian. Catnya lusuh, kelam, kelabu. Macam bangunan berhantu.
Puaslah hati emak dan semua orang yang menyokong. Senyum meleret emak tersimpan rapi dalam kotak memorinya. Alangkah eloknya jika dapat merakam gambar senyum itu dan kemudian meletaknya di dalam blog.
Biar ia menjadi kenangan yang boleh diingat setiap masa. Kenangan kekalahan, entah yang ke berapa kali di tangan emak.
Inilah takdirnya. Dia harus menerimanya dengan reda. Pasti ada hikmahnya. Takkanlah nasibnya begitu malang. Positiflah, wahai Aida, kata suara hatinya.
Dia memujuk hatinya setiap saat. Siapa lagi yang mahu memujuknya selain diri sendiri. Allah menyayangi insan yang sabar. Dia mahu menjadi insan sebegitu.
Segalanya demi emak. Mana mungkin dia melawan cakap emak yang bijak memainkan peranan untuk menang. Dia tahu betul taktik emak sebagaimana emak masak dengan taktik semua anak-anaknya.
Apa yang boleh dilakukannya?
Berapa bulan boleh dia bertahan? Berapa bulan dia mahu memberi peluang itu pada dirinya sendiri? Berapa bulan dia boleh memuaskan hati emak? Atau mengaburi matanya? Enam bulan atau setahun? Agaknya emak tahu atau tidak niat yang sedang tersimpan di hatinya? Yang dia tetap mahu menyelamatkan diri? Lari!!!
Rupa-rupanya inilah rancangan paling canggih yang terhasil dari buah fikiran ayah dan Abang Kamil! Rancangan yang menganaiyanya. Dia juga yang jadi mangsa. Tapi kata ayah, mereka sudah tidak ada rancangan lain. Ini satu-satunya jalan keluar yang paling selamat.
Tidak mengapalah. Dia akan cuba ‘bermain’ selagi terdaya. Supaya tidak ketara sangat, dia akan duduk diam-diam di situ. Strategi lain perlu dirancang. Yang lebih baik dan tidak menimbulkan syak tentunya. Kali ini mesti sampai berjaya. Sampai menang.
“Just take it, Aida! Abang tahu Aida ada pilihan hati sendiri tetapi buat sementara ini, abang tak nampak Aida boleh buat apa yang Aida suka lagi. Memang tak boleh punya... Not for now.”
“Kenapa Abang Kamil nak ainaya Aida? Sudahlah nasib Aida malang begini...”
“Laa... apa pulak ainaya. Ish... tengok-tengok, beginikah cara orang zaman sekarang membalas budi? Dunia, dunia.”
“Eheh... Nak kena balas budi juga?”
“Aida kerja dulu di situ, tengok dulu macam mana, setahun dua...”
“What! Setahun dua?” Terbeliak mata Aida. Apa akan jadi selepas setahun dua? Beku?
“Okey, okey, sebulan dua. Enam bulan ke... Tapi sekurang-kurangnya, emak senang hati dan tak nampak macam Aida nak melawan dia. Nanti perlahan-lahan abang dan ayah masuk jarumlah pujuk dia...”
Masuk jarum? Tetapi bila?
“Dalam banyak-banyak kerja...”
“Hey, apa masalah dengan kerja itu pulak? Kerjaya murni tu...”
“Ohhh... murni ya. Abanglah kerja kat situ!”
“Best jugak. Hari-hari tengok perempuan cantik-cantik. Boleh saja.”
“Gatal tak habis-habis!” Aida mendengus. Dia memang tidak suka abangnya mengorat sesiapa. Dia rasa geli!
“Mungkin ada hikmahnya Aida kerja di situ…”
Bibir Kamil memuncung ke arah bangunan di hadapan mereka.
“Hikmah? Hhmmm… betul juga. Tolong abang beri dua tiga hikmah, biar seronok sikit hati Aida.” Aida menyindir penuh sarkastik.
“Mungkin, dengan bekerjanya Aida di situ, abang dapat jodoh. Maklumlah, semuanya perempuan kan? Kah, kah, kah, bahagianya abang!”
“Malas nak layan!”
Bagaimana jika dia tidak boleh ‘survive’? Bagaimana jika dia tidak boleh menyukai tempat dan kerja itu? Dia tidak ada rancangan lain buat masa ini, belum difikirkan lagi. Idea, cepatlah datang. Kenapa kepalanya kering kontang?
“Let’s go, baby!”
Kamil memberi senyuman yang paling manis. Senyuman yang amat menyakitkan hati.
Dan hari itu bermulalah kerjaya pertamanya di Kolej Semolek sebagai – Warden.
No comments:
Post a Comment