DUA puluh tujuh tahun bukan masalah baginya. Dua puluh tujuh tahun hanya nombor. Ramai lagi perempuan di luar sana yang memegang nombor itu. Ramai juga yang bersendirian sepertinya. Tidak ada kekasih atau suami. Tetapi mereka tetap gembira.
Sepatutnya begitulah. Sekarang bukankah zaman moden? Wanita boleh memilih cara hidup dan masa depannya sendiri. Wanita boleh memilih untuk hidup sendiri sampai mati – jika itu ketentuan takdir. Sudah tiada jodoh, masakan hendak terima saja apa yang ada dan pejam mata pada sebarang kekurangan atau keburukan nyata.
Dunia dan seluruh isinya sudah lebih terbuka.
Tetapi itu tidak berlaku sebenarnya. Sifat terbuka hanya tercatat di akhbar dan khabar-khabar angin semata. Mungkin di Barat tetapi tidak dalam hidupnya, dalam negaranya dan dalam rumahnya. Rumah Melati.
Kata emak, 27 tahun usia yang sudah cukup ranum, dan jika dibiarkan akan ‘terlebih ranum’. Kata emak lagi, dia takut anaknya menjadi lunyai dan busuk. Begitukah nasibnya nanti?
Ranum salah, masak pun salah. Manusia disamakan seperti buah.
Hisham tadi meletakkan fail pelajar di atas mejanya. Selepas itu, lelaki itu terus berlalu pergi. Tanpa merenung dia sedikit pun. Dia ternanti-nanti juga. Sedikit senyuman atau teguran pun jadi. Atau sekadar renungan, kosong pun tidak mengapa. Renunglah dia! Tetapi hampa.
Ah, hati janganlah terluka.
Melati memujuk hatinya sendiri. Lelaki itu memang tidak nampak atau perasan dirinya. Dia bagai tidak ujud walhal sudah lebih lima tahun mereka berkerja di syarikat yang sama. Hisham di dalam bilik, dia di luar, di tepi pintu saja. Bukan ada orang lain pun, hanya mereka berdua.
Betul, dia hanya kerani ‘cabuk’ di situ. Tetapi dia manusia biasa yang punya perasaan. Tidakkah Hisham punya perasaan dan merasa getar jiwanya?
Adakah dia tidak cukup cantik, manis atau menarik? Burukkah wajahnya di mata lelaki itu?
Hisham juga tidak nampak segala usaha dan mutu kerjanya. Jika nampak kenapa Hisham tidak mencadangkan namanya pada penyelia kanan untuk menjadi warden asrama perempuan?
Walhal kerja-kerja itulah yang dibuatnya sepanjang bekerja di situ. Jawatannya Kerani Am cums Pembantu Warden. Dan semalam jawatan serta elaun pembantu warden telah ditarik balik sempena kemasukan warden baru, Nor Aida Shafie. Adakah kerana mutu kerjanya teruk atau dia lembab membuat kerja?
Perutnya tiba-tiba sakit. Dia tidak pernah ada gastrik tetapi kebelakangan ini itu yang di rasa. Sakit itu kemudiannya hilang.
Melati kembali mengenang nasibnya. Dia sedar, dirinya sekadar gadis yang biasa-biasa saja dan tidak pandai menonjol diri. Kelulusan yang ada tidak setinggi mana, sekadar diploma perakaunan.
Dia cukup bersyukur dapat bekerja di kolej itu walaupun di bahagian hal ehwal asrama. Zaman sekarang tidak boleh memilih kerja, asal gajinya berpatutan, dia sudah cukup berpuas hati. Di situ dia yakin, masa depannya terjamin walau jawatan yang disandang tampak rendah.
Melati ada merancang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi seperti kebanyakan kawan-kawan. Namun dia belum berkesempatan. Dia perlu terus menyimpan wang untuk tujuan itu. Setakat ini jumlah di bank tidak sebanyak mana. Hendak mengharap bantuan keluarga? Jangan bermimpi.
Banyak kali dia melihat cermin dan membelek-belek mukanya sendiri. Boleh tahan, kata hatinya. Tidak terlampau cantik atau terlalu buruk. Wajahnya manis dan kulit putih mulus membuatkan dia merasakan dirinya tidak kurang ayu. Ah, bukanlah mahu memuji diri sendiri tetapi itu yang selalu dikata teman-teman rapat padanya. Zurina sahabatnya juga berkata begitu.
“Percayalah Melati, jodoh belum sampai lagi... Nanti adalah..,” kata Zurina sambil mengunyah burger daging dua lapis yang popular di restoran makanan segera itu.
“Ah, penantian. Zu, kenapa nasib aku begini?”
“Nasib? Salahkan nasib pulak? Nasibkan selalu baik saja aku tengok. Hah, lagi kau bukannya buruk, mesti ada yang suka. Sabar sajalah dulu.”
Zurina, hitam manis, wajahnya biasa saja, berjerawat, sedikit gempal. Berkaca mata tebal, rabun sejak zaman sekolah dahulu. Dengan segala ‘kekurangan’ itu, enam bulan lalu bertunang dengan jejaka pilihannya sendiri. Hujung tahun nanti naik pelaminlah mereka.
“Aku ni buruk agaknya, Zu?”
Soalan begitu entah berapa ratus kali ditanyanya pada Zurina. Dan setiap kalinya Zurina menidakkannya sambil ketawa berdekah-dekah. Kali ini juga Zurina ketawa kegelian, kelakar mendengar kata-kata Melati.
“Kau ni... tak habis-habis. Tak habis-habis mengata diri sendiri buruk? Apalah....”
“Yalah, tiada siapa yang jatuh hati pada aku pun! Orang lelaki tak nampak aku agaknya.”
“Melati, kadang-kadang, orang tak perasan kita bukan kerana kita buruk atau diam tetapi banyak sebab-sebab lain lagi. Antaranya kerana kita tak menonjol. Orang mudah nampak kalau kita ni bising, bermasalah atau suka mengacau orang.”
“Takkan aku nak buat begitu juga?”
“Maksud aku, orang perasan kita bukan kerana perkara positif atau yang baik-baik saja tetapi yang tak baik pun orang perasan juga. Itu yang tak bagus tu.”
Melati mengeluh. Bagai sukar menerima pendapat Zurina itu. Dia tetap berpendapat, kekurangan diri membuatkan lelaki tak mahu mendekatinya. “Aku gemuk sangat ke, Zu...?”
“Gemuk pulak? Taklah. Kau dah slim macam tiang bendera.”
“Tapi gempalkan? Aku kena kurangkan lima hingga sepuluh kilo lagi kot...”
“Eleh... apa ni belit-belit. Kejap kata tak cantiklah, buruklah, kejap kata gemuklah. Masuk ini sudah tiga kali kau putus kasih. Semuanya kau yang tolak mereka. Kau yang putuskan. Macam-macamlah alasan kau bagi, semuanya tak mengikut selera. Mahu yang sempurna konon...”
Zurina mengingatkan apa yang terjadi.
“Yalah, mesti nak cari yang terbaik...”
“Habis tu, yang pergi jatuh hati bagai nak ‘rak’ dengan si duda tu apa fasal? Hah, kini baru kena buku dengan ruas, kau pulak yang tergila-gilakan dia. Bila dia tak layan kau jadi kecewa ‘menonggeng’ macam ni...”
Melati tidak menghiraukan kata-kata Zurina. Bagaikan kata-kata itu tidak didengarnya. Dia tahu apa dikata Zurina, betul belaka. Betul-betul mengena dirinya. Tapi hendak buat macam mana. Cinta itu buta.
“Mungkin kena kuruskan badan kot ...” katanya lagi. Ayam goreng yang dipesannya tidak jadi dimakan. Pinggan dileretnya ke arah Zurina.
No comments:
Post a Comment