PEMBERITAHUAN

Para pembaca boleh memesan buku yang diminati melalui nbkara.com.my atau email kepada admin@nbkara.com.my


Pembayaran boleh melalui pembayaran ke account no.

Maybank Norhayati Berahim 164267408855 Alliance bank account NBkara 120340010015114 Segala maklumat pembelian/transaksi perlu di e-mail kepada nbkara@yahoo.com atau admin@nbkara.com.my dan jangan lupakan sertakan alamat pembeli atau dengan menggunakan wangpos/cek/kiriman wang yang dialamat kepada

D26-GB Jalan Prima Saujana 2/B Taman Prima Saujana 43000 Kajang Selangor


Semua penghantaraan di Semanjung akan mengunakan pos laju dan tidak dikenakan sebarang bayaran.

Senarai Harga Novel boleh anda lihat di column sebelah kanan 'HARGA NOVEL' Untuk Sabah Sarawak harus mengikut harga asal SABAH/SARAWAK penghantar adalah percuma







BUNGA DI RIMBA

BUNGA DI RIMBA
RM21/RM24

PESTA BUKU SELANGOR

PESTA BUKU SELANGOR
Di Gerai N23, SACC Convec, Shah Alam Selangor

Thursday, September 23, 2010

HUJAN PUN MENARI- BAB 4






S
ejak akhir-akhir ini Ustaz Jalil dapat merasakan yang dirinya tidak tenang apabila ke rumah Aminah. Kenapa perasaan itu wujud? Kenapa dia berasa tidak selesa? Syaitan apakah yang telah berbisik di telinganya sehingga isteri yang seharusnya menyenangkannya seperti telah menjadi duri dalam dagingnya?
Hari ini dia dilepaskan agak lewat oleh isteri keduanya itu. Mereka keluar berjalan-jalan hari ini. Kata Aminah, penat berada di rumah sehari suntuk. Ustaz Jalil hanya akur kerana dia tahu, dia harus menyenangkan hati isterinya.
“Saya mintak maaf, saya lambat hari ni?”
Ustaz Jalil memohon kepada Cikgu Ara yang menyambut kepulangan suaminya seperti selalunya. Cikgu Ara mengerling jam di dinding. Semalam suaminya pergi dari rumah ini jam 10:00 pagi. Sekarang sudah pukul 4:00 petang. Bermakna suaminya lambat enam jam daripada yang sepatutnya.
“Tak mengapa. Ada halangan di jalan ke?”
Tanya Cikgu Ara. Menyambut bungkusan yang dihulurkan si suami. Bau rojak mendadak sahaja mengapung di udara.
“Mana dapat ni?”
“Di Parit Jawa tadi, ada orang jual.”
Wah...! Suaminya ke Parit Jawa. Sudah pasti dengan madunya. Mungkin mereka pergi memadu kasih. Rasanya sudah lima tahun suaminya berkahwin. Tetapi sampai sekarang masih tidak ada anak. Mungkin masih berbulan madu.
“Abang ke Parit Jawa?”
Tanya Cikgu Ara sekadar basa-basi. Suami yang kelihatan kepenatan tersandar di sofa, dipandang dengan perasaan simpati. Dia tidak mahu menambah beban si suami yang memang tidak sihat kerana penyakit jantungnya itu.
Hmm...”
Angguk Ustaz Jalil dan Cikgu Ara sedar dia tidak perlu terus-terusan bertanya lagi.
“Saya dah ke Muar tadi. Belikan kasut untuk Majeed. Hmm... saya belikan sekali kasut untuk Dawood.”
Beritahu Cikgu Ara. Ustaz Jalil tidak menjawab, hanya menganggukkan kepalanya sahaja. Dia terasa begitu letih sekali. Mana tidak letih, berulang-alik ke rumah isteri muda dan Cikgu Ara agak memenatkan. Walau tidak jauh, sekadar 15 kilometer, tetapi sudah membuat seorang lelaki waras berfikir berkali-kali untuk berkahwin lain.
Di sini ada isteri yang harus dilayani bersama anak-anak. Di kampung sebelah pula ada isteri walaupun masih keseorangan dan tidak punya anak, kerenahnya melebihi anak-anaknya yang lima orang itu.
“Budak-budak mana?”
Tanya Ustaz Jalil. Malam ini ada jemputan memberi ceramah di Parit Jamil. Jadi dia harus pergi walaupun dadanya terasa sesak sedikit.
“Keluar bermain. Muna tadi ke rumah Tuminah. Kata dia mahu mengulang kaji pelajaran. Hmm... abang nampak penat. Abang makan ubat tak?” Cikgu Ara bertanya.
Perlahan Ustaz Jalil mengangguk. Dikerling si isteri yang berbadan agak besar itu. Isteri yang taat. Isteri yang tidak pernah marah. Isteri yang hanya menangis apabila hatinya terusik.
Dia tahu, dia telah banyak menyakitkan hati isterinya ini. Dia tahu sikap Aminah yang selalu berkira. Bukan sahaja berkira wang ringgit, tetapi berkira waktu. Kalau terlambat lima minit sampai ke rumah, Aminah akan berkira. Lima minitlah perlu dibayar.
Syukur Cikgu Ara tidak begitu. Semalam dia pulang ke rumah Aminah jam 10:00 pagi, hari ini dia balik jam 4:00 petang. Kalau Aminah sudah pasti akan masam mukanya. Akan mengingatkan dia yang esok hari dia perlu pulang jam 4:00 petang.
Tetapi Cikgu Ara tidak begitu. Asalkan dia pulang sudah seribu syukur.
“Abang dah solat?”
Tanya Cikgu Ara. Ustaz Jalil mengangguk. Sebentar tadi dia singgah di masjid bersolat.
“Tak perlu tergesa-gesa balik kalau abang penat. Berehat di rumah sana pun tak apa. Saya tengok abang nampak macam letih saja. Jangan kejar dunia sangat, bang. Anak-anak abang tak perlu risau. Saya boleh jaga...”
Ustaz Jalil menelan air liurnya. Cikgu Ara isteri yang baik. Walau dia tidak memberitahu isterinya itu yang dia mahu berkahwin lagi dan Cikgu Ara mendapat tahu daripada kawannya sahaja, tetapi hati wanita itu terlalu tulus. Cikgu Ara tidak marah. Wanita itu hanya menangis sahaja.
“Saya dah banyak buat salah dengan awak...”
Kata-kata yang perlahan itu dapat ditangkap oleh telinga Cikgu Ara. Dia yang mahu melangkah ke dapur, mengerutkan dahinya.
“Salah apa pulak, bang?”
“Kalaulah saya tahu berkahwin dua ni meletihkan, mati hidup saya balik pun tidak akan saya lakukan.”
Akhirnya kata-kata itu terpacul dari mulut Ustaz Jalil. Panjang Cikgu Ara beristighfar walau di dalam hati gembira dengan pengakuan suaminya itu.
“Semuanya Tuhan dah takdirkan, bang. Perjalanan hidup kita, kita merancang saja. Tuhan yang menentukan. Sebagai manusia, sebagai lelaki, abang perlu bertindak adil walau saya tak tahu siapa yang abang lebih sayang!”
Hati manusia, siapa yang boleh mengukur. Sudah pasti ada yang lebih disayangi oleh si suami.
“Saya sayangkan awak. Awak terlalu baik untuk saya. Saya tahu saya selalu tak adil dengan awak. Kadangkala saya kekurangan wang tapi awak menampungnya. Sebab itu saya rasa bersalah.”
Ya... sebagai pendakwah bebas, Ustaz Jalil mempunyai pendapatan yang tidak tetap. Tetapi bukan bermakna dia tidak ada wang. Cuma Aminah kurang bertoleransi dengannya. Kalau dia memberi Cikgu Ara RM500 sebulan. Aminah pun perlukan RM500 sedangkan Cikgu Ara mempunyai lima orang anak yang perlu disara.
“Tak apalah bang, itulah fungsi suami isteri. Menutup kekurangan salah seorang.”
Ustaz Jalil tunduk. Sebak dadanya mendengar kata-kata Cikgu Ara yang tenang sahaja. Wanita ini hanya guru matematik, tetapi kebaikan dan keluhuran hatinya seperti seorang ustazah yang mempunyai ilmu agama.
“Abang pergi berehat, bang. Jangan difikirkan sangat. Abang tu ada sakit jantung. Nanti jadi tekanan pulak. Abang nak minum? Nak makan apa-apa...?”
Ustaz Jalil menggelengkan kepalanya. Matanya berlaga dengan mata Cikgu Ara yang tersenyum padanya.
“Terima kasih Ara kerana awak terlalu baik dengan saya...”
“Saya jugak abang, terima kasih kerana masih sayangkan saya walau sudah ada isteri yang lain...”


No comments: