Meriah dada langit pada malam itu. Bergemerlapan dengan bintang yang bertaburan menambahkan pesona malam. Kerlipan berkemilauan itu menambat perhatian Irfan yang sedari tadi ralit menikmati keindahan yang tidak terperi cantiknya. Malam itu kelibat Irfan ada di rumah pak ciknya. Semenjak giat berlatih teater, jarang lelaki itu berada di rumah seawal jam 8:00 malam. Paling awal pun sekitar pukul 10:00 malam barulah anak muda itu akan nampak mukanya.
“Mira di rumah mak ya, pak su?”
“Haah. Dia ke sini bila ada kau saja. Macam mana dengan latihan teater? Dapat pengalaman baru?”
“Alhamdulillah, pak su. Dalam seminggu ni, macam-macam benda baru Irfan belajar. Sehari suntuk berlatih dan terus berlatih. Walaupun penat tapi tak terasa pun. Cuma malam ni saja balik awal sebab tuan director kasi rehat. Hihihihi.”
“Baguslah kau dah selesa dengan evironment baru macam tu, tapi sesibuk mana pun berlatih teater tu, curi-curi masa untuk bersolat. Kalau boleh ajak kawan-kawan sekali.”
“Insya-ALLAH pak su. Setakat ni, tak culas lagi solat lima waktu Irfan.”
“Alhamdulillah, baguslah kalau macam tu. Hah, alang-alang kau dah ada ni Irfan... teman pak su jom!”
“Ke mana?”
“Ikut sajalah. Hihihihi.”
Qaiser mengekek ketawa melihat raut wajah anak buahnya yang terpinga-pinga itu. Kunci kereta sudah dicapai dan menyusur laju Vios putih miliknya membelah malam. Tidak jauh mana pun destinasi yang ingin dituju, dua kilometer dari rumah dan sampailah mereka. Pusat membeli-belah One Utama menjadi tempat persinggahan Qaiser dan Irfan. Sudah lama Irfan tidak menjejakkan kaki ke sini. Kali terakhir pun menonton filem epik Melayu berjudul ‘Lembing Awang Pulang Ke Dayang’ bersama kawan-kawan beberapa bulan yang lalu.
“Kita mahu makan malam kat sini ya, pak su?”
“Tujuh puluh peratus tepat... tiga puluh peratus lagi jom ikut pak su.”
Kedai Universal Traveller yang terletak di tingkat dua, berdekatan panggung wayang adalah tempat yang ditujui Qaiser. Irfan mengikut sahaja dari belakang. Pelik anak muda itu apabila pak ciknya bukan sekadar mahu melihat dari jauh, tetapi siap mencuba beberapa helai baju di situ. Sehelai baju sejuk berwarna biru gelap dengan muffler scarf berwarna biru laut dibeli Qaiser.
“Pak su nak pergi oversea ek?”
“Taklah... esok pagi-pagi lagi kan pak su ke Genting Highlands, hari keluarga bank tu. Baju sejuk dalam almari warna putih tu dah lusuh, tercabut benang sana sini. Asyik belasah pakai baju tu saja kalau pergi mana-mana tempat sejuk. Itu yang beli baru punya.”
“Wah, semangat pak su nak pergi! Ada apa-apa ke ni?”
“Semangat apanya? Rela dalam paksa je ni, Irfan. Jom kita pergi makan! Kau nak makan apa?”
“Laksa Shack, boleh pak su? Teringin nak jamah laksam Kelantan... hihihihi.”
“Kau mengidam, ek? Jangan-jangan dah ada awek Kelate ni? Haha haha.”
Gurau senda Qaiser membuatkan Irfan tersengih-sengih malu. Hubungan pak cik – anak buah antara mereka berdua sememangnya rapat sejak dulu lagi. Ketika Irfan masih di bangku sekolah menengah, kawan-kawannya selalu mencemburui akan lelaki itu. Kata mereka, alangkah beruntungnya Irfan mempunyai pak cik seperti Qaiser. Mereka sendiri yang mempunyai abang kandung pun tidak serapat hubungan mereka sepertimana kamcengnya Irfan dan Qaiser.
Setiap kali cuti sekolah Sabtu dan Ahad, Qaiser selalu membawa Irfan menonton filem di panggung. Apabila bermulanya sesi persekolahan keesokan harinya, berceritalah Irfan akan filem yang ditontonnya kepada kawan-kawan. Berbulu sahaja telinga mereka yang mendengar. Tahun demi tahun, mereka meniti kedewasaan itu bersama-sama dan kedua-duanya ada impian yang mahu diburu dalam kehidupan masing-masing.
“Laksam Kelantan satu, saya pula mahu asam laksa. Add-in dua set keropok lekor sekali. Minuman pula kasi sirap bandung, kau nak minum apa, Irfan?”
“Samalah dengan pak su. Sirap bandung jugak ya...”
Pelayan restoran berlalu pergi apabila pesanan sudah diambil. Sementara menantikan hidangan sampai, mereka berbual dan tajuk yang dibualkan lebih berkisar kepada dunia teater yang sememangnya seronok didengari Qaiser. Dunia baharu yang tidak pernah dia ambil tahu sebelum ini. Mendengar cerita dari mulut anak buahnya tentang kisah belakang tabir sebuah pementasan teater, sekurang-kurangnya membuka mindanya untuk tidak terhad dalam ruang lingkup sistem dan pengaturcaraan sahaja.
Sepasang mata terpegun melihat kelibat Qaiser di restoran itu. Bersembunyi pemilik sepasang mata itu ke tempat yang tidak terjangkau untuk Qaiser melihatnya. Aduh! Berdegup kencang jantungnya. Mengenangkan pakaian yang disarung pada tubuhnya ketika itu cuma berlegging hitam berkilat dan sehelai T-shirt sendat yang melekap sehingga terserlah liuk-liuk bahagian dadanya, terbantut keinginannya untuk menyapa lelaki itu. Lelaki itu baru memesan makanan, aku masih punya masa lagi.
Berkasut tumit tinggi, berlari dia naik ke tingkat satu dan menuju ke Butik Dorothy Perkins. Melihat mana-mana sahaja pakaian yang tersarung di patung-patung butik itu yang menyerlahkan sedikit kesopanan dan menutup aurat, disambarnya tanpa mengambil peduli berapa mahal harga sekalipun baju itu. Agak-agak sesuai dengan tubuhnya yang kecil dan katik itu, dicapainya. Dia terdesak dan dia perlu cepat! Sebaik sahaja membayar di kaunter, di bilik persalinan itu juga dia bersalin kulit.
Black embroidered coat dress dari Butik Dorothy Perkins yang mencecah RM300 harganya sehelai, disarung penuh bergaya. Kot labuh berwarna hitam yang mengikut susuk tubuh, berlengan panjang, labuh melepasi paras lutut berserta tertutup bahagian dada cukup membuatkan dirinya berkeyakinan untuk tampil berdepan lelaki bernama Qaiser itu. Cukup elegan dan sopan sekali di pandangan mata. Semua mata jejaka menoleh dua tiga kali melihat kelibatnya yang persis petite model. Model katik lebih tepat lagi.
Dia berpura-pura melintasi restoran tersebut dan... 3... 2... 1... ACTION!
“Eh, Qaiser bukan? Ya ALLAH, Qaiser. What a coincidence!”
“Itulah. Cik Qistina pun baru nak dinner ya?”
“Isy, panggil saja saya Qis... Kita bukan dalam bank, Qaiser. Hihihihi. Haah... saya dah lama mengidam nak makan kat Laksa Shack, tak sangka jumpa awak di sini. Nampak sangat sudah jodoh kita, Qaiser... eh... err... maksud saya sudah rezeki untuk kita berjumpa. Sebelum ni dalam satu bangunan, selisih bahu pun tidak. Alih-alih dalam One Utama yang besar ni boleh pula terserempak. Hihihihi.”
Sungguh sopan tawa Qistina, siap bertutup mulutnya dengan tangan. Qaiser menjemput Qistina untuk duduk semeja. Seperti orang mengantuk disorongkan bantal, penuh kesantunan Qistina menarik kerusi dan duduk di sebelah Qaiser. Irfan yang duduk bertentangan, tersenyum ke arah wanita kecil molek itu.
“Ini anak buah saya, Irfan namanya. Graduan ASWARA, sekarang ni pelakon teater.”
“Wah, pelakonlah ni ya? Pak cik dengan anak buah sama hebat. Saya pun suka jugak tengok teater ni tau, Qaiser. Sebut saja teater apa, semuanya saya dah tonton.”
‘Pandailah kau reka cerita, Qistina oi! Istana Budaya pun kau tak pernah jejak!’ Satu suara entah dari mana berdegar-degar di dalam kepalanya.
“Oh betulkah Qis? Insya-ALLAH tak lama lagi bila pementasan teater Irfan nak dipersembahkan, boleh saya ajak awak tengok Irfan ni berlakon?”
“Insya-ALLAH... insya-ALLAH...”
Tidak pernah-pernah tuturnya bersulam kalimah ALLAH, automatik lidah perempuan itu seperti sudah terbiasa menyebutnya. Dramatis sungguh engkau, duhai Primadona Qistina!
Dalam hati perempuan itu, gembiranya bukan kepalang. ‘Qaiser ajak aku tengok teater tuuu!!!’
No comments:
Post a Comment