PEMBERITAHUAN

Para pembaca boleh memesan buku yang diminati melalui nbkara.com.my atau email kepada admin@nbkara.com.my


Pembayaran boleh melalui pembayaran ke account no.

Maybank Norhayati Berahim 164267408855 Alliance bank account NBkara 120340010015114 Segala maklumat pembelian/transaksi perlu di e-mail kepada nbkara@yahoo.com atau admin@nbkara.com.my dan jangan lupakan sertakan alamat pembeli atau dengan menggunakan wangpos/cek/kiriman wang yang dialamat kepada

D26-GB Jalan Prima Saujana 2/B Taman Prima Saujana 43000 Kajang Selangor


Semua penghantaraan di Semanjung akan mengunakan pos laju dan tidak dikenakan sebarang bayaran.

Senarai Harga Novel boleh anda lihat di column sebelah kanan 'HARGA NOVEL' Untuk Sabah Sarawak harus mengikut harga asal SABAH/SARAWAK penghantar adalah percuma







BUNGA DI RIMBA

BUNGA DI RIMBA
RM21/RM24

PESTA BUKU SELANGOR

PESTA BUKU SELANGOR
Di Gerai N23, SACC Convec, Shah Alam Selangor

Wednesday, November 10, 2010

SAYANG SEORANG QAISER



Qaiser demam panas malah sesendinya berasa bisa-bisa seperti dicucuk-cucuk. Lemah sahaja keadaan lelaki itu, cuma mampu terbaring di atas katil. Awal pagi tadi, Qaiser sempat bangun untuk mengambil wuduk menunaikan solat subuh. Disentuh air paip dari salur getah yang mengalir, terketar-ketar dia menggelupur kesejukan teramat. Dari situ, dia dapat mengagak ada yang tidak kena pada badannya. Usai bersolat, Qaiser berbaring semula dan terus terlena sehinggalah kembali sedar jam 9:00 pagi.
Telefon bimbit dicapainya. Tidak larat hendak bercakap, sistem pesanan ringkas dihantar kepada Fikri, keraninya di bank supaya memberitahu Puan Faridah akan keadaan kesihatannya sekarang. Irfan pula sudah dua hari tiada di rumah, menurutnya bermalam di rumah kawan. Kalau anak muda itu ada, bolehlah meminta tolong untuk menghantarnya ke klinik. Berat pula hatinya mahu menghantar mesej kepada anak buahnya itu, tidak mahu menyusahkan. Qaiser memang begitu. Sudah sakit teruk, baharu ibu ayah di kampung dihubunginya. Dia tidak mahu mereka risau.
Telefon bimbit Qaiser berbunyi mengalunkan sepotong lagu nasyid. Antara dengar tidak dengar, Qaiser bercakap seperti berbisik. Perlahan.
“Pak su sakit ya? Aduh! Kenapa tak beritahu Mira. Mira datang dengan mak sekali. Pak su jangan bergerak mana-mana tau!”
Mujurlah tergerak hati Umairah untuk menelefon pagi-pagi itu. Gadis itu sudah masak akan perangai pak cik kesayangannya yang kalau sakit, jangan haraplah akan diberitahunya kepada orang lain. Apabila sudah sihat sedikit, barulah terbuka cerita yang rupa-rupanya dia sakit sebelumnya. Macam-macam hal.
Dari kediaman Suzaily, satu-satunya kakak kepada Qaiser yang menetap di Puchong ke Bandar Utama, kediaman Qaiser tidaklah memakan masa perjalanan yang lama. Sebaik sahaja Proton Saga yang dipandu Suzaily memasuki pekarangan rumah Qaiser, Umairah sudah meloncat keluar dari dalam kereta dan membuka pintu rumah pak ciknya. Kunci simpanan memang ada pada gadis itu. Ke bilik Qaiser, dia menerpa.
“Ya ALLAH, panas ni pak su! Mak, pak su demam panas ni. Kita kena hantar ke hospital.”
“Tak...ppp...ppa...payahlah Mira, hantar pak su ppp...ppe...pergi klinik sssudah.”
“Eee... degilnya orang tua ni, mak! Cakap dah tergagap-gagap, degil lagi!”
“Pak su kau ni memang degil, Mira kalau bab nak pergi hospital. Tak apa, kita angkut dia masuk dalam kereta.”
Suzaily juga sudah masak akan perangai adik bongsunya itu. Dalam sebulan, pasti sekali atau dua kali lelaki itu diserang demam panas. Kadang-kadang dirinya juga pelik dengan keadaan kesihatan Qaiser. Mudah benar dijangkiti penyakit, lemah betul imunisasi tubuh adiknya yang seorang itu.
Tidak sampai 10 minit melalui Lebuh raya Sprint dari rumah Qaiser terus menuju ke Hospital Pakar Damansara, mereka bertiga telah pun tiba di hospital tersebut. Doktor Aiman yang merawat di situ sudah rapat dengan mereka. Setiap kali Qaiser atau ahli keluarganya yang lain mendapat rawatan biarpun sekadar pemeriksaan biasa, doktor itulah yang memberi khidmatnya.
“Demam panas biasa jugak, doktor? Takkan kerap sangat?”
“Imun badan Qaiser lemah, Puan Suzaily. Pantang kena panas sikit, boleh demam. Tapi saya dah periksa keadaannya, tak ada apa-apa yang perlu dibimbangkan.”
“Betul pak su okey, doktor? Mira tahu doktor dengan pak su rapat, mana tahu macam drama-drama Melayu yang Mira tengok dalam TV. Kononnya pesakit tu tak sakit sebab mahu sedapkan hati keluarganya. Bila pesakit tu dah teruk, barulah doktor nak maklumkan perkara sebenar sebab sebelum ni terpaksa pegang amanah rahsia yang disuruh pesakit. Doktor Aiman tak macam tu, kan?”
Qaiser yang sedikit lega selepas memakan ubat dalam bentuk cecair, tergelak mendengar kepetahan anak buahnya itu. Doktor Aiman cuma tersenyum.
“Haha haha. Kau ni Mira, tengok TV terlebih sangat! Tak pun, kau ni selalu menghadap novel Melayu... Itu yang fikiran kau boleh terfikir jauh sampai macam tu. Mira... Mira...”
Yelah, pak su ni susah sangat nak beritahu Mira kalau diri tu demam. Mira sedih tau tengok pak su sakit-sakit macam ni.”
Alolololo... Mira kesayangan pak su ni. Pak su okeylah... Kan Doktor Aiman dah beritahu semuanya okey tadi.”
Pipi merah Umairah dicubitnya lembut. Perlahan-lahan Qaiser cuba bangun dan berdiri. Tidaklah seteruk tadi hinggakan kepalanya berasa berat. Sekarang, sedikit ringan tubuhnya dan boleh berjalan tanpa perlu dipapah. Selepas mengambil bekalan ubat-ubatan, sijil sakit dari hospital dan melakukan pembayaran, mereka bertiga beredar dari hospital. Sebelum itu, Qaiser bersalaman dengan Doktor Aiman. Doktor itu sempat berbisik di telinga Qaiser.
Your niece got sixth sense, Qaiser.”
Qaiser meletakkan jari telunjuknya ke bibir. Lelaki itu terus melangkah keluar dari bangunan hospital dan memasuki Proton Saga kakaknya, Suzaily. Dia mengambil tempat di belakang, menyandarkan tubuhnya. Manakala Umairah yang duduk di hadapan bersebelahan tempat memandu, asyik-asyik melihat ke belakang untuk memastikan pak sunya tidak apa-apa.
“Wan dengan atuk kalau tahu pak su selalu sakit-sakit macam ni, mesti mereka risau tau!”
“Betul cakap Mira tu, Qaiser! Kau bila mahu balik kampung, jenguk ibu ayah?”
“Sebab tu, tak perlu beritahu mereka. Nanti saya okey, ibu ayah pulak yang tak okey sebab asyik fikir yang bukan-bukan. Bulan ni tak sempat pulak nak menjenguk mereka, sibuk di bank dengan projek sistem. Insya-ALLAH, ada kelapangan ke sanalah saya nanti.”
Melirik mata Qaiser melihat perut si kakak yang sarat mengandung anak ketiga. Walaupun usia kandungan baru masuk bulan ketujuh, namun besarnya seperti sudah mencukupi sembilan bulan. Suzaily masih berani lagi memandu ke sana ke mari. Nasihat doktor supaya tidak banyak bergerak suka benar dilanggar pantangnya. Lasak benar perempuan itu. Menyelinap rasa syukur di sudut hati Qaiser melihat kebahagiaan kakaknya bersama pasangan cinta hati. Qaiser berdoa setiap hari supaya anak buahnya yang ketiga ini dapat dilahirkan dengan selamat. Membesar menjadi manusia berguna sama seperti abang kakaknya, Irfan dan Umairah.
“Bila due date ni, Su?”
“Insya-ALLAH dua bulan lagi... tapi tak tahulah kalau dia nak keluar awal. Hah, kau Mira! Sampai bila kau bercuti?”
Suzaily menembak soalan kepada anak daranya pula. Terkebil-kebil mata Umairah ingin menjawab. Cepat-cepat Qaiser menolong anak buahnya itu.
“Kau ni pun Su, kan sekarang ni musim H1N1... mana-mana kampus pun tutup sekarang ni.”
“Itu aku tahu, Qaiser... tapi anak buah kau ni cuti-cuti siap bekerja pulak tu!”
“Hah, Mira bekerja? Saya tak tahu pun? Mira tak cakap pak su Mira bekerja pun? Mira kerja apa? Mira kalau perlukan duit, cakap sajalah dengan pak su. Pak su boleh tolong...”
Terus menegak postur duduk Qaiser, terperanjat bukan kepalang. Umairah bekerja? Pekerjaan apa yang dilakukan gadis muda itu? Hilang demamnya mendengar perkhabaran tersebut. Mujurlah kakaknya memaklumkan, jika tidak sampai bila-bilalah tidak diketahuinya.
“Mira bukan kerja full time pun. Mira kerja part-time saja, pak su. Mira jadi guru tuisyen untuk budak-budak sekolah rendah dekat kawasan Puchong. Pak su janganlah terperanjat sangat.”
“Mira bekerja sebab perlukan duit ya? Berapa banyak Mira nak? Pak su boleh bantu...”
“Saja menimba pengalaman sajalah pak su. Bukan tujuan nak mengumpul duit pun.”
Umairah memukul mati. Bijak gadis itu memberi alasan supaya pak ciknya tidak mengesyaki apa-apa. Sebenarnya memang dia bekerja untuk mencari duit. Mencari duit bagi meringankan beban Kamal yang siang malam terpaksa berhempas-pulas mahu mencukupkan kos rawatan ibunya. Mak Cik Anggerik perlu dibedah kakinya segera sebelum dijangkiti kuman yang akan memasuki dan merebak ke bahagian atas kakinya itu. Berpunca dari diabetes, kedua-dua belah kaki wanita tua itu sudah hancur seperti dimamah dari dalam. Hitam dan membusuk.
Mengikut anggaran, kos pembedahan ke atas kedua-dua kaki Mak Cik Anggerik dan memasang kaki palsu bagi membolehkan wanita tua itu bergerak memakan jumlah RM10,000. Berapa sangatlah yang terkumpul sehingga sekarang bagi mencukupkan amaun sebanyak itu dalam masa yang terhad. Umairah sudah berkira-kira, dia dan Kamal memerlukan RM5,000 sahaja lagi bagi merealisasikan pembedahan itu. RM2,000 dari wang simpanannya di bank manakala RM3,000 adalah hasil simpanan sejak kecil dan kegigihan Kamal bekerja sana sini.

No comments: