PEMBERITAHUAN

Para pembaca boleh memesan buku yang diminati melalui nbkara.com.my atau email kepada admin@nbkara.com.my


Pembayaran boleh melalui pembayaran ke account no.

Maybank Norhayati Berahim 164267408855 Alliance bank account NBkara 120340010015114 Segala maklumat pembelian/transaksi perlu di e-mail kepada nbkara@yahoo.com atau admin@nbkara.com.my dan jangan lupakan sertakan alamat pembeli atau dengan menggunakan wangpos/cek/kiriman wang yang dialamat kepada

D26-GB Jalan Prima Saujana 2/B Taman Prima Saujana 43000 Kajang Selangor


Semua penghantaraan di Semanjung akan mengunakan pos laju dan tidak dikenakan sebarang bayaran.

Senarai Harga Novel boleh anda lihat di column sebelah kanan 'HARGA NOVEL' Untuk Sabah Sarawak harus mengikut harga asal SABAH/SARAWAK penghantar adalah percuma







BUNGA DI RIMBA

BUNGA DI RIMBA
RM21/RM24

PESTA BUKU SELANGOR

PESTA BUKU SELANGOR
Di Gerai N23, SACC Convec, Shah Alam Selangor

Saturday, November 6, 2010

SAYANG SEORANG QAISER












Hingar-bingar keadaan di dalam restoran TGI Fridays apabila ada sambutan hari lahir diraikan di dalam restoran tersebut oleh sepasang kekasih berbangsa India. Sebuah meja bulat di tengah-tengah restoran diduduki oleh pasangan tersebut bersama-sama tiga sahabat yang lain, walaupun cuma berlima tetapi satu restoran itu bingit dengan ilai tawa mereka. Qistina, Dora dan Laura mengambil tempat paling hujung di sebelah kiri restoran. Sengaja mereka mahu menghindar dari suasana yang memekakkan telinga itu.
“Kecoh macam restoran ni mereka yang punya! Huh!”
“Isy kau ni, Dora! Tak ada semangat Satu Malaysia betul! Biarlah... Lagipun dah nak habis pun majlis mereka tu. Kau ontok-ontok sajalah.”
Ontok-ontok tu apa?”
“Senyap-senyap sudah...”
Pelayan restoran datang ke meja tiga perawan yang dua daripadanya bersolek tebal dan berbulu mata palsu seperti merak kayangan. Qistina yang memandang pun berkerut dahi. Mahu menyumpah, kawan-kawan sendiri. Makanya, dia berdiam diri sahaja. Setiap kali Dora dan Laura mahu mengelipkan mata, seakan payah kedua-duanya mahu membuka dan mengatup kelopak mata mereka. Bulu merak yang digam pada hujung kelopak, terlalu berat dan merimaskan pandangan mata Qistina.
“Buku menu dah depan mata, orderlah apa saja yang kau berdua nak makan.”
Dora dan Laura masih lagi berkongsi buku menu dan merenung berjenis-jenis hidangan yang terpapar di dalam buku itu. Berbelit-belit lidah mereka hendak menyebut satu per satu nama hidangan yang berbunyi kebaratan. Melihat gambar di dalam buku menu, semua nampak sedap-sedap belaka. Penyudahnya buku itu ditutup. Kedua-duanya seperti berdemonstrasi mogok lapar.
Psst Qistina... sini ada mi goreng tak?”
“Ya ampun minah berdua ni! Kau ingat sini restoran mamak?”
“Kau order sajalah apa-apa untuk kami. Kami makan apa yang kau makan... senang cerita!”
Menggeleng-geleng kepala Qistina melayan keletah kawan-kawannya yang berpakaian punyalah mengalahkan ikon fesyen tetapi apabila menyentuh bab makanan di tempat sedikit eksklusif, kalut kedua-duanya. Memandangkan Dora dan Laura mahu memakan mi goreng, manalah boleh dapat di restoran tersebut.
Qistina menggantikannya dengan memesan tiga jenis pasta berbeza untuk mereka bertiga. chicken and shrimp diablo pasta, chili and garlic shrimp pasta dan garlic chicken primavera pasta dipesan Qistina. Strawberry lemonade slush pula minuman untuk mereka bertiga. Pelayan restoran yang mengambil pesanan di meja itu, tersenyum-senyum sahaja melayan kerenah yang pelbagai pengunjung restoran.
Sementara menantikan hidangan dimasak dan dihantar ke meja mereka, Dora dan Laura sudah mula mencungkil perkembangan terkini kisah cinta Qistina yang baru berputik itu. Mereka kalau sudah bertemu, tidak lain tidak bukan bergosip tentang pemuda bernama Qaiser yang menjadi tajuk perbualan. Seolah-olah tiada topik lain yang mahu dijadikan perbualan. Manakan tidak, Qaiser kalau mahu diukur dari segi fizikal, lelaki itu ada auranya yang tersendiri. Cuma lelaki itu tidak menonjol di bank itu. Kalau lelaki-lelaki lain, muka tidak setampan mana tetapi ada hati mengayat tiga jelitawan di bank tersebut.
“Kau jangan bertepuk sebelah tangan pulak nanti. Cinta tu takkan terzahir kalau tak ada yang mengungkapnya.”
“Amboi...! Cik Laura, pakar falsafah cinta sudah bersuara. Aku tahulah, mesti kau berdua fikir aku syok sendiri, kan? Suka hati akulah!”
“Kau kalau nak mendekati lelaki macam Qaiser tu, perlukan perancangan dan strategi yang mantap! Dia bukan seperti lelaki-lelaki lain yang mudah tergoda dengan keseksian, kelembutan luaran seorang wanita.”
“Heloooo... semua lelaki sama sajalah! Pak imam pun boleh tercabut kopiah kalau tengok perempuan pasang badan tau!”
“Itulah kau, Qistina! Kau kalau bab memasarkan produk bank memang nombor satu, tapi kalau nak memasarkan diri sendiri, mesti fail! Kan aku dah mentioned banyak kali, Qaiser tu istimewa. Kalau jantan lain, mereka akan berbangga kalau awek dia seksi, dedah sana dedah sini tapi Qaiser tidak. Eh, aku macam mengata diri sendirilah pulak! Astaghfirullahalazim.”
Kahkahkah... Kau Dora memang lawak tau! Habis tu, kau nak aku pergi bank berjubah macam perempuan Arab?”
“Kenapa tidak? Asalkan boleh memancing perhatian Si Qaiser yang hati beku tu. Kalau dalam Facebook tu, kau tengok gambar-gambar Si Qaiser harus kau tawaduk, insaf terus. Aku rasa semua masjid dekat KL ni dia pergi. Setiap gambar mesti berlatarkan masjid yang berbeza.”
“Qaiser ada akaun Facebook? Aku mahu add dialah!”
“Eh, jangan... jangan! Kau tak boleh terburu-buru, Qistina oi.”
“Kenapa pulak?”
“Kau mahu biji mata Qaiser terjojol keluar bila tengok gambar-gambar kau yang macam perempuan kelab tak cukup kain dalam Facebook tu? Block user Qaiser terus tengok profile kau tau!”
“Wah, wah, wah...! Sedap mengata aku perempuan kelab, ya? Tapi betul jugak, mujur kau ingatkan aku. Balik nanti, aku nak buat photoshoot dekat rumah. Nak tangkap gambar aku pakai baju kurung dan berselendang ala-ala wanita paling sopan dalam Malaysia tu. Kahkahkah. And then barulah aku add Qaiser. Kau berdua doakanlah untuk aku supaya lembut hati Qaiser tu.”
“Kau jangan risau, doa kami sentiasa mengiringi perjuangan kau, Qistina. Haha haha!”
Hidangan pasta yang dipesan sudah sampai. Seperti orang berpuasa mahu berbuka, Dora dan Laura berselera menjamah ‘mi goreng’ yang diminta mereka tadi. Sementara itu, Qistina sudah mulai memasang angan-angan. Tersenyum simpul sambil menyuap pasta ke dalam mulutnya. Terbayang-bayang wajah Qaiser sedang makan malam bersamanya. Oh... begitu indah! Mulai malam ini, dia sudah merangka segala macam perancangan mahu merebut cinta lelaki bernama Qaiser.
Pertama sekali, haruslah dia membuang semua sekali gambar-gambar dirinya yang bergaya seperti model antarabangsa di dalam akaun Facebooknya. Tidak padan katik, tetapi kalau bergambar angle kamera mesti mahu menampakkan kononnya dia sahajalah yang mempunyai sepasang kaki yang panjang. Mahu tercekik Si Qaiser melihat akan gambarnya berskirt pendek, sengaja menayangkan betis yang halus mulus untuk tatapan kawan-kawan di Facebook.
“Qistina... pandang sana, pandang sana!”
Kelihatan pelakon terkenal, Kuzyril baru memasuki restoran tersebut. Terlopong Dora dan Laura memandang wajah tampan pelakon itu, tidak berkelip-kelip mata mereka. Qistina tidak hairan.
Handsome lagi Qaiser aku!”
“Memanglah Qaiser tu handsome, tapi Kuzyril tu handsome plus popular okay!”
“Eh, siapa lelaki sebelah dia? Macam budak lepasan U je. Jangan-jangan anak ikan dia!”
Dora dan Laura kalau sudah bergosip mengundang dosa fitnah. Qistina tidak kuasa melayan! Dunia artis baginya terlalu banyak drama dan pura-pura. Tetapi bukankah dirinya juga akan berpura-pura alim berdepan Qaiser nanti?
‘Ah, kau jugak plastik Qistina!’ Kutuk suara hatinya.


No comments: