PEMBERITAHUAN

Para pembaca boleh memesan buku yang diminati melalui nbkara.com.my atau email kepada admin@nbkara.com.my


Pembayaran boleh melalui pembayaran ke account no.

Maybank Norhayati Berahim 164267408855 Alliance bank account NBkara 120340010015114 Segala maklumat pembelian/transaksi perlu di e-mail kepada nbkara@yahoo.com atau admin@nbkara.com.my dan jangan lupakan sertakan alamat pembeli atau dengan menggunakan wangpos/cek/kiriman wang yang dialamat kepada

D26-GB Jalan Prima Saujana 2/B Taman Prima Saujana 43000 Kajang Selangor


Semua penghantaraan di Semanjung akan mengunakan pos laju dan tidak dikenakan sebarang bayaran.

Senarai Harga Novel boleh anda lihat di column sebelah kanan 'HARGA NOVEL' Untuk Sabah Sarawak harus mengikut harga asal SABAH/SARAWAK penghantar adalah percuma







BUNGA DI RIMBA

BUNGA DI RIMBA
RM21/RM24

PESTA BUKU SELANGOR

PESTA BUKU SELANGOR
Di Gerai N23, SACC Convec, Shah Alam Selangor

Monday, November 1, 2010

SAYANG SEORANG QAISER








Kebetulan banyak pula tugasan yang datang secara mendadak di meja Qistina pada lewat petang itu. Hendak tak hendak, terpaksalah dia menyelesaikan mana yang lebih diberi keutamaan untuk disegerakan terlebih dulu. Kalau sudah dinamakan kerja, tiada erti habis, tamat atau seumpamanya. Kerja di jabatan itu sentiasa bertali arus, selesai yang itu bertambah yang ini. Namun Qistina sudah alah bisa tegal biasa.
Sedar tidak sedar dari jam 6:00 petang berleretan hingga ke malam, dia masih berkematu di kerusi empuknya menyemak kertas kerja. Penglibatan pihak bank dalam penganjuran satu forum kewangan yang bakal dihadiri tokoh-tokoh ekonomi sebagai panelnya dan diadakan oleh kumpulan akhbar arus perdana perlu diteliti sebaiknya. Secara tidak langsung, penganjuran ini akan menggerakkan jentera pemasaran supaya nama bank akan mendapat publisiti dan promosi yang meluas.
Bulat mata Qistina melihatkan jam tangan yang berdenting ke pukul 8:00 malam. Ada dua tiga kerani lagi yang masih berada di dalam pejabat membuat kerja lebih masa. Qistina mengemas meja dan dokumen-dokumen yang berserakan di atas meja akibat dicerai-ceraikan dari fail utama. Fail tersebut dimasukkan rapi ke dalam kabinet fail dan cepat-cepat melangkah keluar bagi memulakan satu misi pengintipan.
Jabatan pemasaran letaknya di tingkat lapan, Qistina perlu menaiki enam tingkat lagi untuk sampai ke tingkat 14. Butang lif ke atas ditekan. Berdebar-debar pula hatinya saat ini. Pada waktu inilah, cerita-cerita seram yang didengarinya dari mulut Ismail siang tadi seolah-olah dibisikkan berkali-kali ke telinganya.
...ada yang kata kepala paip terbuka sendirilah, lampu terbuka katup sendirilah, sejadah berdirilah dan macam-macam lagilah. Seriau pak cik, Qistina.
Argh, buat apa aku nak takut? Kak Rock sendiri kata tak ada apa-apa.”
Qistina mengomel sendiri. Kalau tidak kerana cabaran Dora dan Laura, jangan haraplah dia mahu membuang masa melaksanakan projek intipan kasih sayangnya itu. Lif terbuka dan tiada orang di dalamnya. Dia masuk ke dalam lantas menekan butang bernombor 14. Selang enam tingkat menuju ke tingkat atas, lif berhenti di tingkat 13. Barangkali ada staf yang mahu naik ke tingkat atas juga.
Qistina menjengukkan kepala ke luar apabila pintu lif terbuka di tingkat 13. Tiada siapa-siapa pun di luar. Semilir angin dirasakannya bertiup ke belakang tengkuk. Tidak fasal-fasal berzikrullah perempuan berambut karat itu di dalam lif. Jari telunjuk runcingnya segera menekan butang tutup. Belum sempat pintu lif tertutup, ada tangan kasar yang menahan pintu itu dari terus terkatup. Qistina tenjerit kecil.
“Kamu menjerit ni, kenapa?”
Tergamam Dato’ Haji Zakaria, pengerusi bank tersebut mendengar jeritan pegawai banknya itu. Tersipu-sipu Qistina menahan malu. ‘Aduh, bikin suspens saja Dato’ ni.’ Desis hati Qistina yang masih tidak reda debaran jantungnya. Dato’ Zakaria mahu ke tingkat 27, biliknya di situ. Tertunduk-tunduk Qistina menunjuk hormat apabila dirinya sudah sampai ke tingkat 14.
Lengang sepi tingkat 14. Seandainya jarum peniti terjatuh ke lantai koridor, rasa-rasanya boleh dengar gemanya di sepanjang laluan itu. Qistina yang memakai sepatu tinggi cuba berjalan tanpa menghentak kaki.
Perlahan bunyi detak-detuk kasut yang terhasil tetapi bunyi degup jantungnya pula yang lebih kuat kedengaran. Qistina melalui pusat sumber bank yang sememangnya sudah tutup pada waktu sebegitu. Di hujung sekali, surau Muslim dan Muslimah.
Cuping telinga beranting-antingkan subang labuhnya menangkap bunyi yang membuatkan debar jantungnya semakin rancak bergendang. Qistina mula berasa tidak sedap hati. Sampai di muka pintu surau, benarlah bunyi itu jelas bergema di seluruh tingkat 14 itu. Lututnya sudah semakin longlai.
“Ada yang kata kepala paip terbuka sendirilah...”
“Ada yang kata kepala paip terbuka sendirilah...”
“Ada yang kata kepala paip terbuka sendirilah...”
Satu kelibat tubuh tinggi lampai menderu keluar dari surau itu. Qistina menjerit macam orang kerasukan. Dia seperti diserang histeria. Kelopak matanya ditutup rapat dan mulutnya menjerit merapu menyebut bukan-bukan.
“MAK TOLONG!!! Hantu kepala paip!!! Tolong!!!”
Sejurus kemudian, dekahan tawa gegak gempita di tingkat 14 itu. Qistina membuka matanya separuh. Cepat-cepat ditutup mulut dengan tangannya, jika tidak dia sendiri tidak dapat mengawal jeritan spontan yang berlanjutan itu.
Astaghfirullahalazim... Saudari buka mata tu. Saya manusialah, bukan hantu... Hihihihi.”
Qistina rasa seperti disimbah sebaldi air tujuh jenis bunga mendengar suara garau tetapi cukup romantik menyinggahi telinganya. Perlahan-lahan dibuka matanya. Wajah seorang lelaki berada di hadapan mata. Ya ALLAH, di syurgakah aku sekarang ini?
Qistina seperti tidak menyangka melihat susuk tubuh menarik dengan wajah tampan menawan yang sedang memerhatikannya. Aduhai, jatuh saham aku menjerit macam perempuan gila tadi!
“Saudari okey tidak ni? Ya Tuhan, kenapa boleh sampai takut sangat ni? Kitakan di rumah ALLAH. Kalau ada makhluk lain selain manusia pun, cuma malaikat saja yang turut sama beribadah dengan kita.”
Qistina sudah sampai ke langit ketujuh. ‘Ya ALLAH, indahnya makhluk ciptaan Kau di depan aku ni. Sudahlah kacak rambut terpacak, tutur katanya punyalah lembut memikat. Oh, aku tergoda!’ Suis radio hati Qistina terpasang tiba-tiba.
Oh… aku tergoda, aku tergoda, terkecewa. Dari kerana mata… yang mempunyai kuasa.
Tergagap-gagap Qistina mahu menyusun kata. Putera dari syurga di hadapannya membuatkan dia terkelu lidah. Kulit wajahnya putih merah seperti orang Arab, mata hitamnya bundar seperti watak manga negara matahari terbit, rambutnya dibelah tepi tersisir rapi, hidungnya mancung cantik terletak. Aduh! Benar-benar menikam kalbu. Terima kasih, Dora. Terima kasih, Laura. Aku suka! Haha haha.
Mmm... mmmaafkan saya ya encik, sssaya ni lemah semangat sikit.”
Erk! Apa yang aku cakap ni? Argh, hentam sajalah labu!’ Qistina kalut tidak sudah.
“Ooo... tak apa. Alhamdulillah saudari dah okey. Silap saya jugak merempuh keluar tiba-tiba. Maafkan saya buat saudari terkejut. Nama saya Qaiser dari jabatan teknologi maklumat.”
“Encik Qaiser... sedap nama tu. Saya Qistina dari jabatan pemasaran, tingkat lapan.”
“Sekali lagi maafkan saya, ya Cik Qistina. Cik Qistina mahu solat isyak ya?”
Err... mmm... sssaya tak boleh solat sebab err... hah, sebab hal perempuan.”
“Jadi, Cik Qistina datang ke mari?”
“Saya nak cari telekung saya, mahu hantar dobi.”
“Sehelai telekung sampai ke dobi mahu dihantar cuci? Hihihihi. Ada-ada saja Cik Qistina ni. Baiklah, saya pun mahu beransur balik dah ni. Insya-ALLAH kita jumpa lagi. Assalamualaikum.”
Alahai manisnya kau gelak wahai putera dari syurga! Qistina menjawab salam di dalam hati. Perasaannya berbunga-bunga dipanah busur cinta. Siapa Qaiser ini ya? Jabatan teknologi maklumat? Tidak pernah pula kelibat dia kelihatan dalam mana-mana aktiviti bank sebelum ini? Terserempak di dalam bank pun tidak pernah. ‘Mustahil dalam dua tahun aku bekerja di bank ni, sekali pun berselisih bahu aku tak pernah? Pelik-pelik! Barangkali aku yang buta mata dan hati.’
Qistina bersoal jawab dengan diri sendiri. Cepatlah menjelma esok hari. Harus aku selidiki lelaki bernama Qaiser ini menerusi Dora dan Laura. Bukankah mereka paparazi di bank ini? Lama Qistina duduk termenung di kerusi panjang menanggalkan kasut, di bahagian Muslimah. Sekejap-sekejap tersenyum seorang diri. Sah, dia sudah angau!
‘Alamak, tinggal aku sorang kat tingkat empat belas ni! Nanti betul-betul pulak hantu kepala paip muncul depan mata aku. Lebih baik aku angkat kaki.’
Lebar langkah Qistina menuju ke pintu lif. Radio hatinya masih terpasang malah semakin kuat pula volumenya. Deejay masih memutarkan lagu yang sama!
Oh… aku tergoda, aku tergoda, terkecewa. Dari kerana mata… yang mempunyai kuasa.


No comments: