PEMBERITAHUAN

Para pembaca boleh memesan buku yang diminati melalui nbkara.com.my atau email kepada admin@nbkara.com.my


Pembayaran boleh melalui pembayaran ke account no.

Maybank Norhayati Berahim 164267408855 Alliance bank account NBkara 120340010015114 Segala maklumat pembelian/transaksi perlu di e-mail kepada nbkara@yahoo.com atau admin@nbkara.com.my dan jangan lupakan sertakan alamat pembeli atau dengan menggunakan wangpos/cek/kiriman wang yang dialamat kepada

D26-GB Jalan Prima Saujana 2/B Taman Prima Saujana 43000 Kajang Selangor


Semua penghantaraan di Semanjung akan mengunakan pos laju dan tidak dikenakan sebarang bayaran.

Senarai Harga Novel boleh anda lihat di column sebelah kanan 'HARGA NOVEL' Untuk Sabah Sarawak harus mengikut harga asal SABAH/SARAWAK penghantar adalah percuma







BUNGA DI RIMBA

BUNGA DI RIMBA
RM21/RM24

PESTA BUKU SELANGOR

PESTA BUKU SELANGOR
Di Gerai N23, SACC Convec, Shah Alam Selangor

Friday, May 27, 2011

SETELAH DILUKAI 4









4


“Kita turun sini, boleh jalan-jalan. Kalau Riz nak ambil gambar kenangan, Zah boleh ambilkan.”
Zahniah menawarkan khidmat sebagai pemandu pelancong lagaknya.
“Buat apa Zah ambil gambar Riz, kan lebih baik kita bergambar berdua...”
Mukriz mengenyit mata kepada Zahniah. Berona merah wajah Zahniah. Gelodak di jiwa sukar ditafsir.
“Mari kita jalan-jalan dulu.”
Mukriz segera memegang tangan Zahniah, kejap. Tidak membolehkan Zahniah menariknya seperti tadi. Akhirnya Zahniah membiarkan sahaja. Mereka berpimpin tangan menikmati keindahan Tasik Perdana.
“Zah tak teringin berdayung ke?”
Mukriz yang masih menggenggam jejari Zahniah, mengajak.
“Nak jugak, tapi Zah takut… Zah bukannya pandai berenang.”
Zahniah teruja apabila Mukriz mengajaknya berdayung. Dia tidak pernah melakukannya sebelum ini.
“Tak apa, Riz ada… Takkanlah Riz nak biarkan Zah lemas, lainlah kalau lemas dalam pelukan Riz.”
Mukriz semakin berani menunjukkan belangnya. Sekali lagi muka Zahniah berona merah. Dia tidak pernah serapat ini dengan mana-mana lelaki. Apabila Mukriz mengusiknya begitu, terasa jantungnya berdenyut kencang. Dia malu, tetapi mahu. Mungkin usianya yang kian meningkat, dia merasa hidup bujangnya perlu diakhiri.
Pada pandangan kasar, Mukriz dirasakan calon yang sesuai - prihatin, memahami, suka mengusik serta tampan. Segalanya ada pada Mukriz. Apakah kali ini hati Zahniah akan terbuka untuk menerima kehadiran seorang lelaki dalam hidupnya? Namun, satu yang sering mengganggu fikiran Zahniah, perkenalan dan kemesraan antara mereka rasanya terlalu pantas berkembang. Baru beberapa kali pertemuan. Adakah ini yang dikatakan cinta pandang pertama?
Segalanya bermula semasa mereka sama-sama berkursus, dimasukkan dalam satu kumpulan. Mereka sering bekerjasama sama ada ketika berbengkel mahupun ketika sesi pembentangan. Keserasian mereka menyempurnakan setiap tugasan yang diamanahkan dan sentiasa bersama sepanjang kesempatan yang ada di sepanjang kursus, akhirnya telah melahirkan bibit-bibit cinta tanpa mereka sedari.
“Marilah kita cuba, Riz ada… Zah tak perlu takut.”
Mukriz segera menarik tangan Zahniah agar mengikutnya melangkah memasuki perahu yang tersedia setelah dia menyelesaikan urusan bayaran sebentar tadi. Zahniah yang terus membisu dianggapnya sebagai tanda setuju.
Mereka duduk agak rapat. Sengaja Mukriz mendekatkan dirinya dengan Zahniah. Pada mulanya Zahniah cuba-cuba juga menjarakkan dirinya daripada Mukriz setiap kali bahu dan punggung mereka bersentuhan.
“Zah, janganlah jauh-jauh dari Riz. Nanti terjatuh, susah Riz nak tolong. Marilah dekat dengan Riz, Riz janji…”
Mukriz sengaja tidak menghabiskan ayatnya.
“Riz janji apa?”
Zahniah tidak senang dengan ayat tergantung Mukriz. Mukanya sengaja dimasamkan sedikit sebagai menandakan dia tidak senang apabila Mukriz dengan sengaja membiarkan bahu dan punggung mereka bersentuhan.
“Riz janji... Riz tak makan Zah punya.”
Mukriz cuba mengusik kerana dia tahu Zahniah tidak senang dengan sikapnya yang semakin berani menyentuh diri gadis itu, namun dia telah lali dengan permainan seorang perempuan yang mahu tetapi malu.
“Apalah Riz ni…”
Zahniah tertawa kembali dengan kelucuan yang sengaja diwujudkan oleh Mukriz. Tangannya menampar lembut paha Mukriz. Segera Mukriz menyambar tangan itu dan dibawa ke mulutnya. Dengan selamba tangan itu dikucup syahdu. Zahniah terpaku. Perlahan-lahan tangan itu dilepaskan. Zahniah tidak berganjak lagi selepas itu apabila Mukriz merapatkan kedudukan antara mereka, malah ketika tangan kekarnya melingkari pinggang Zahniah, gadis itu hanya membiarkan.
“Zah selalu ke sini...?”
Mukriz cuba memecahkan kebisuan antara mereka. Tubuh mereka cukup hampir, tetapi fikiran masing-masing melayang entah ke mana. Dia tidak tahu apa yang berlegar di fikiran Zahniah, namun dia cukup senang di samping gadis idaman, apatah lagi tangan kekarnya masih terus memeluk pinggang ramping Zahniah. Hanya sebelah sahaja tangannya yang mendayung perlahan. Bahagia dirasakan.
“Selalu jugak kalau Zah bosan… Tapi berdayung begini, pertama kalilah.”
Zahniah berkata jujur.
“Zah senang di samping Riz?”
Begitu lembut bicara yang terukir di bibir Mukriz bagi memastikan gadis idaman terus terkulai di tangan. Pautan di pinggang ramping Zahniah semakin dikejapkan.
Mmm…”
Zahniah tidak mampu mengungkap dengan pasti perasaannya ketika itu. Namun jauh di sudut hati dia bahagia dengan sikap prihatin dan kasih sayang yang ditunjukkan oleh Mukriz kepadanya.
Mereka mendarat juga ke pangkalan setelah hampir sejam berdayung berdua. Masa dirasakan terlalu pantas berlari mencemburui mereka. Senyuman bahagia sentiasa terpamer di wajah pasangan yang semakin tenggelam dalam panahan asmara. Kereta dipandu perlahan-lahan oleh Mukriz meninggalkan kawasan tasik yang telah merakam berputiknya sejarah cinta mereka.
“Kita nak ke mana selepas ni?”
Mukriz bertanya setelah melihat Zahniah lebih banyak membisu daripada berkata-kata. Entah apa yang difikirkannya.
“Riz tak lapar ke, dah pukul lapan ni?”
Zahniah mula perasan mereka tidak menjamah sebarang makanan sejak pertemuan jam 4:00 petang tadi.
Yelah… perut Riz pun dah berdondang sayang. Kita nak makan di mana ni?”
Soalan terus ditanyakan untuk menentukan hala tuju pemanduannya.
“Kita ke Restoran Nelayanlah… Di sana banyak pilihan.” Zahniah memutuskan.
Kereta meluncur laju menuju ke destinasi. Suasana di dalam kereta menjadi senyap kembali sementara radio memutarkan lagu penyanyi kecil molek, tetapi bersuara lantang dari selatan tanah air. Keasyikan lagu ‘Kau Kunci Cintaku’ nyanyian Ramlah Ram yang berkumandang semakin menghanyutkan mereka dalam dunia khayalan ciptaan mereka sendiri.
Mereka terus mengatur langkah berdua setelah Mukriz berjaya mencari tempat parkir. Mukriz dengan berani menggenggam jemari Zahniah kerana dia pasti Zahniah tidak akan menariknya lagi seperti pertama kali dia berbuat demikian. Tekaannya tepat, Zahniah hanya membiarkan sahaja.
Setelah memilih meja yang masih kosong, Mukriz dengan sopannya menarik kerusi untuk Zahniah. Zahniah senang dengan sikap gentle yang ditunjukkan oleh Mukriz.
“Zah nak makan apa?”
Mukriz segera bertanya apabila pelayan menunjukkan kad menu kepada Zahniah.
“Berikan saya kuetiau goreng dan jus oren.”
Zahniah menyatakan makanan pesanannya kepada pelayan yang setia menanti.
“Beri saya menu yang sama jugalah.”
Mukriz cuba mencari kesamaan dengan Zahniah.
“Esok hari minggu… Riz hanya ada bengkel pada sebelah pagi saja. Boleh kita keluar lagi esok?”
Mukriz cuba mengatur satu lagi pertemuan antara mereka. Dia akan cuba menggunakan semaksimum mungkin kesempatan yang ada sepanjang dia berada di Kuala Lumpur untuk bersama Zahniah. Dia tahu Zahniah sudah tertawan kepadanya. Jeratnya mengena.
“Esok…?”
Soalan berbalas soalan, Zahniah inginkan kepastian. Sebahagian daripada hatinya teruja dengan cadangan Mukriz, sementara sebahagian lagi cuba menolak.
Yelah esok… Zah takkan hampakan Riz, kan?”
Mukriz seakan merayu.
“Tapi esok Zah akan ke rumah kakak kerana ada kenduri.”
Zahniah teringat janjinya dengan kakaknya, Shamsiah.
“Betul ke? Atau Zah sengaja mereka alasan, maklumlah…”
“Betul, buat apalah Zah bohong.”
Perbualan mereka terhenti apabila pelayan membawakan menu yang mereka pesan. Makanan yang dinikmati terasa tawar kerana perasaan masing-masing yang tergores. Mukriz keruh wajahnya kerana gagal mengatur satu lagi pertemuan bagi mencapai misinya.
Zahniah pula cukup terpukul dengan kebisuan Mukriz, berasa cukup bersalah kerana telah menghampakan harapan Mukriz. Dia tahu Mukriz akan kembali ke Kuantan, Pahang selepas ini. Dia tidak tahu sama ada akan muncul atau tidak lagi pertemuan antara mereka. Namun untuk membatalkan keputusannya daripada mengunjungi Shamsiah sesuatu yang tidak mungkin. Dia tidak mahu menjadi seorang yang tidak berpegang kepada janji. Dia takut.
Sudahnya kebisuan menemani makan malam mereka sehinggalah meninggalkan Restoran Nelayan setelah selesai menikmati makan malam.
“Zah nak terus balik ke?”
Mukriz bertanya perlahan. Jelas menunjukkan kehampaannya dengan keputusan Zahniah.
“Kalau tak balik ke mana lagi Riz nak pergi?”
Zahniah cuba memujuk lembut.
“Entah, Riz pun tak tahu. Tapi Riz rasa terlalu awal untuk pulang. Malamkan masih muda.”
Mukriz masih tidak mahu berpisah dengan Zahniah.
“Kita ke kelab malam ke… menonton wayang ke… bagaimana?”
Mukriz cuba memberi cadangan.
“Kelab malam tu Zah tak biasalah… tapi menonton wayang tu bolehlah.”
Zahniah akhirnya antara mahu dengan tidak terpaksa menemani Mukriz menonton wayang untuk mengurangkan rasa hampa lelaki itu.
Thanks, sayang.”
Sekali lagi jemari Zahniah dikucupnya. Keriangan berputik semula. Zahniah hanya mampu tersenyum dengan gelagat Mukriz.
Kereta yang dipandu Mukriz meluncur laju menuju ke destinasi. Zahniah tidak tahu cerita apa yang akan mereka tonton. Dia juga bertanya kepada diri sendiri sama ada keputusannya menemani Mukriz menonton wayang malam-malam begitu sesuatu yang wajar dilakukan. Zahniah masih ragu-ragu dengan keputusan yang telah dibuat, namun untuk membatalkannya, dia takut Mukriz akan semakin kecewa.
Ketika mereka melangkah masuk ke panggung wayang, Mukriz semakin berani melingkarkan tangannya di bahu Zahniah. Zahniah walaupun agak kurang senang dengan perlakuan Mukriz, tetapi hanya membiarkan.
Keadaan di dalam panggung wayang masih terang kerana cerita bermula jam 11:00 malam. Mereka masuk lebih awal iaitu jam 10:30 malam.
“Tak ramai oranglah.”
Zahniah berbisik kepada Mukriz.
“Cerita larut malam memanglah begini.”
Mukriz juga berbisik dengan Zahniah hingga hampir terkena pipinya. Zahniah menjarakkan sedikit dirinya. Jantungnya berdebar kencang.
“Zah takut ke?”
Mukriz bertanya sambil menggenggam tangan Zahniah yang berada di pahanya. Zahniah sekali lagi terkejut. Terasa pahanya diusap lembut. Perasaannya mula resah gelisah tidak keruan.
“Tak apa, kan Riz ada di sebelah.”
Zahniah cuba berlagak tenang.
That’s my girl.”
Mukriz semakin berani merangkul Zahniah dalam kegelapan dan kesunyian panggung wayang malam itu yang telah mula dipadamkan lampunya, hanya diterangi simbahan lampu dari skrin wayang yang ditayangkan.


Thursday, May 26, 2011

SETELAH DILUKAI 3








3


Zahniah keluar dari pejabatnya awal sedikit hari itu untuk mengelakkan kesesakan supaya membolehkan dia sampai ke Hotel Merlin tepat pada masanya. Sememangnya menjadi kebiasaan Zahniah akan menepati janji yang diucapkan. Pertemuan pertamanya dengan Mukriz perlu berjalan lancar. Kadang-kadang dia hairan mengapa hatinya begitu teruja untuk segera bertemu dengan Mukriz, lelaki yang baru dikenali. Bukan tidak ada yang cuba memetik cinta hatinya selama ini, tetapi semuanya ditolak sehingga sedar tak sedar usianya kian meningkat. Bertubuh lampai, bermata galak serta gaya penampilannya berpakaiannya ala-ala model, sememangnya Zahniah ada daya tarikan tersendiri yang bisa mencairkan hati lelaki yang memandang.
Sejak di universiti lagi dia menjadi buruan siswa dan pensyarahnya. Namun siapa yang tidak mengenali Zahniah, gadis yang cukup kental dengan semangat dan sentiasa berpegang kepada janji bahawa segulung ijazah perlu digenggam dahulu, barulah memikirkan soal hati. Ketegasan dan prinsipnya itulah yang menyebabkan dia tidak berteman sehingga ke hari ini walaupun mempunyai aset yang cukup berharga - kecantikan asli yang cukup menawan.
Setelah kereta diparkir, dia segera mengatur langkah ke ruang lobi hotel, mencari-cari Mukriz seperti yang dijanjikan.
“Hai! Dah lama sampai? Riz ke tandas tadi...” Mukriz menegur dari belakang setelah melihat Zahniah melilau mencarinya.
“Eh! Riz… tak adalah… baru aja sampai.”
Zahniah agak terkejut menyebabkan debaran dadanya kian kencang. Sedaya mungkin dia cuba mengawalnya agar tidak kelihatan pada pandangan Mukriz.
“Kita nak pergi sekarang ke?”
Mukriz masih terus meratah wajah manis di hadapannya. Rasanya tidak puas-puas dia menatapnya.
“Boleh juga.”
Zahniah bersetuju. Mereka berjalan beriringan menuju ke tempat parkir.
“Biar Riz yang pandulah. Boleh, kan?”
Mukriz memberi cadangan sambil membukakan pintu untuk Zahniah di tempat duduk sebelah pemandu.
“Terima kasih, nah ini kuncinya.”
Mukriz tersenyum bangga dengan kelembutan yang ditunjukkan oleh Zahniah.
“Zah beri arahan, Riz akan ikut.”
Lunaknya Mukriz berbicara… Segalanya untuk menjayakan misi di hati, menyunting bunga mekar di taman.
“Kita ke Tasik Perdana, boleh? Di sana pun banyak tempat menarik, dekat dengan muzium, atau kita ke Kota Raya, tempat beli-belah... Manalah tahu Riz nak beli buah tangan untuk orang tersayang.”
Zahniah cuba merisik khabar.
“Siapalah yang nakkan Riz ni… Rupa tak ada, harta apatah lagi. Gadis sekarang mengejar yang bertitle Dato’, kereta besar dan gaji mesti empat atau lima angka baru dijadikan calon pilihan.”
Mukriz merendah diri, cuba menduga lautan dalam walaupun kailnya panjang sejengkal.
Don’t judge the book by it’s cover. Tak semua gadis begitu.”
Zahniah cuba membela nasib gadis sepertinya.
“Jadi lelaki bagaimana yang menjadi pilihan Zah, boleh Riz tahu?”
Mukriz begitu pandai mengatur bicara untuk mengetahui siapa sebenarnya Zahniah dan yang penting sama ada dia telah berpunya atau masih lagi solo. Kalau masih solo, peluangnya cerah. Dia tidak suka menjadi pengacau kepada hubungan cinta orang lain.
Mmm… lelaki tu mesti baik, tak kacak pun tak apa. Dia mesti ada ilmu agama agar boleh mendidik Zah, tak kaya pun tak apa. Dia tak minum minuman keras, tak kaki perempuan… dan mesti pandai mengambil hati.”
Zahniah dengan manja menyatakan ciri-ciri lelaki idamannya.
Mmm… Riz termasuk dalam ciri-ciri tu tak?”
Mukriz memberanikan diri bertanya.
“Entah… adalah kut…”
Merah muka Zahniah menahan malu. Mukriz tersenyum bangga.
“Riz rasa semacamlah...”
Riz semakin berani mendekati gadis manis di sisinya.
“Rasa apa?”
Zahniah hairan dengan kata-kata Mukriz.
“Riz takut nanti tak pasal-pasal melayang penumbuk sulung di pipi macho ni.”
Mukriz cuba menyelami hati Zahniah.
“Apa yang Riz cakap ni, siapa pulak yang nak tumbuk Riz?”
Zahniah semakin hairan, tidak dapat meneka maksud di sebalik kata-kata Mukriz.
“Manalah tahu Riz cuba menyunting mekar kemboja di taman larangan, mekar berduri milik sang kumbang perkasa.”
Mukriz cuba bermadah pula. Untuk mengucapkan kata-kata manis tersebut bukanlah satu masalah baginya. Gelaran buaya tembaga yang dianugerahkan kepadanya cukup membuktikan dia telah biasa menggunakan ayat-ayat sebegitu untuk menundukkan gadis-gadis yang menjadi idamannya sehingga tersungkur di pangkuan.
“Oh! Itu rupanya... Tak terfikir pulak Zah. Tak ada siapa yang nak marahlah.”
Zahniah cuba menerangkan situasi dirinya yang masih tidak berpunya. Sekali gus memberikan isyarat lampu hijau kepada Mukriz.
“Zah masih solo lagilah ni?”
Mukriz ingin kata pasti walau dapat membayangkannya daripada lenggok manja Zahniah dan kata-kata yang diucapkannya.
Mmm… siapalah Zah ni, orang lelaki pandang sebelah mata pun tak sudi. Bagai melukut di tepi gantang…”
Zahniah merendah diri.
“Hei! Jangan cakap macam tu… Pertemuan kita dan kehadiran Zah dalam hidup Riz membuatkan hidup Riz lebih bermakna, lebih bahagia… Malah kalau boleh siang malam Riz nak bersama Zah.”
Mukriz sedar peluang terbentang di hadapannya, pasti Zahniah akan tersenarai sebagai salah seorang teman wanita koleksi peribadinya selepas ini. Dia tersenyum dan mula merangka bagaimana untuk lebih mendekati Zahniah yang seolah-olah jinak-jinak merpati.
Mereka membisu selepas itu. Mukriz mula membayangkan bagaimana Zahniah akan jatuh ke dalam pelukannya satu hari nanti. Hanya masa yang akan menentukan sama ada cepat atau lambat. Dia cukup pasti. Senyuman kemenangan terus menghiasi bibirnya.
Zahniah pula tenggelam dalam angan-angannya yang panjang. Membayangkan bahagianya jika perhubungan mereka kelak akan berakhir di jenjang pelamin, dihiasi dengan ilai tawa anak-anak. Betapa bahagianya dia ketika itu. Mereka terus memasang impian, tetapi sayang tiada titik pertemuan yang menemukannya. Impian mereka kian terasing.
“Kita dah sampai, Zah…”
Mukriz mengusap lembut tangan Zahniah untuk menyedarkannya dari lamunan yang panjang.
“Hah! Sorry, Zah melamun tadi.”
Zahniah yang sedar tapak tangannya dalam genggaman Mukriz segera menariknya. Mukriz hanya tersenyum dengan tindak balas Zahniah. Baginya itu perkara biasa, perempuan mula-mula memang begitu.





Wednesday, May 25, 2011

SETELAH DILUKAI.2


2


“Awak okey?”
Seorang lelaki berkaca mata hitam menghampiri. Segak, tampan dan bergaya.
Zahniah masih gagal mengawal keadaan. Dia benar-benar terkejut. Lidahnya kelu untuk berkata-kata.
“Bos saya okey sangat hari ni… Dia baru dapat bulan yang jatuh ke ribanya pagi tadi.”
Marlia yang tidak tahu hujung pangkal terus menyampuk.
“Bulan mana yang jatuh, saya tak tahu pun?”
Jejaka itu masih lagi bertanya, pelik dengan jawapan gadis di hadapannya itu.
“Ala…”
Marlia masih ingin menjawab, tetapi terhenti melihat jelingan tajam Zahniah.
“Buat apa di sini?”
Zahniah yang telah mampu mengawal keadaan tiba-tiba bersuara.
“Boleh saya duduk di sini? Kerusi ni masih kosong lagi, kan?”
Jejaka itu terus menarik kerusi bertentangan dengan Zahniah. Soalan Zahniah dibiarkan sepi tanpa jawapan. Zahniah sudah tidak senang duduk.
“Marlia, ini Encik Mukriz, kawan saya… Mukriz, ini Marlia pembantu saya. Minta maaflah, dia ni gila-gila sikit. Banyak membaca Majalah Gila-Gila agaknya.”
Zahniah memperkenalkan kedua-duanya. Debaran di hati masih terasa, namun cuba dibendung sebaik mungkin agar tidak begitu terserlah.
“Oh! Dialah pemilik bulan tu tadi?”
Marlia membuka mulut. Betul-betul tidak makan saman dengan jelingan tajam bosnya. Mukriz yang mula memahami maksud bulan yang dikatakan turut tertawa.
Matanya yang tersembunyi di sebalik kaca mata hitam yang dipakainya terus-terusan menatap wajah yang kian mendapat tempat di hatinya itu. Terasa aman menatap wajah ayu yang cukup matang itu. Tidak sia-sia dia berkenalan dengan Zahniah sewaktu mereka menghadiri satu kursus tempoh hari.
Kursus itu dihadiri bagi mewakili syarikat masing-masing. Sebagai eksekutif pemasaran, mereka mempunyai tanggungjawab yang besar memastikan apa yang dihasilkan dan cuba dipasarkan oleh syarikat mereka mempunyai pasaran yang baik. Jika syarikat mendapat keuntungan, pasti mereka juga sebagai staf akan menerima tempiasnya.
“Buat apa di sini?”
Zahniah mengulangi pertanyaannya tadi, mungkin Mukriz tidak mendengar setelah debar di dadanya reda sedikit.
Marlia begitu asyik menikmati minum pagi percumanya. Segala yang berlaku antara Zahniah dan Mukriz dia tidak ambil pusing. Itu hal mereka, biarlah mereka yang menguruskannya.
“Saya menghadiri satu seminar di sini. Dah dua hari di sini.”
Mukriz menjelaskan keadaan dirinya.
“Oh! Berapa lama kursus? Menginap di hotel mana?”
Rancak Zahniah bertanya. Sapa seorang sahabat tiada salahnya.
“Seminggu. Ada lagi lima harilah… di Hotel Merlin.”
Mukriz masih berbicara lembut dengan Zahniah sambil matanya memandang keasyikan Marlia menikmati makanannya. Macam tidak makan sepuluh tahun!
“Kalau saya tak lalu makan selepas ni, mesti saya mencari Marlia. Boleh tak?”
Mukriz cuba mengusik gadis comel di hadapannya. Walaupun agak kasar, tetapi wajahnya masih menarik. Hanya gelagatnya yang agak melucukan.
“Hei! Apa hal cari saya pulak? Bos sayakan ada. Encik Mukriz mesti salah cakap ni.”
Marlia hairan dengan kata-kata yang baru sahaja diucapkan oleh Mukriz.
‘Kasi bunga pada bos aku… nak makan cari aku… Hilang akal ke apa lelaki ni! Kesian... harap muka saja kacak tapi akal biul rupanya.’
Marlia bermonolog sendiri dan terus tersenyum sinis.
“Saya kata kalau saya tak lalu makan, tengok Marlia makan, macam sedap sangat makanan tu, berselera sekali saya tengok. Orang tak lalu makan pun akan berselera kalau makan bertemankan Marlia.”
Mukriz masih lagi mengusik.
“Oh! Biasalah Encik Mukriz... Orang tua-tua kata, musuh jangan dicari, rezeki jangan ditolak. Encik kena ingat orang di negara luar sana mati kerana tak makan, tapi kita di Malaysia ni mati kerana banyak makan.”
Marlia cuba membalas usikan Mukriz tanpa menyedari dia mendedahkan keburukan diri sendiri.
“Marlia tak takut mati kerana banyak makan ke?”
Mukriz semakin galak mengusik.
“Mati, mati ni jangan cakaplah, Encik Mukriz. Kita mesti ingat ajal maut, jodoh pertemuan dan rezeki semuanya ALLAH yang tentukan. Kita perlu menikmati kehidupan ini sebelum ajal menjemput. Betul tak bos?”
Selamba Marlia menjawab usikan teman lelaki bosnya.
“Okeylah bos... makan sudah, minum pun sudah, hanya bayar yang belum lagi… Bos belanja, kan…? Saya rasa tak mahu kacau daunlah… Tengok kawan bos, asyik mengusik saya aje. Jangan sampai ayam di tangan disambar helang, bos. Saya cau dululah.”
Dalam sinis Marlia mengenakan Mukriz. Akhirnya Mukriz dan Zahniah hanya mampu tersenyum dengan kenakalan Marlia.
“Di mana awak jumpa budak loyar buruk tu?”
Mukriz yang masih dengan sisa tawanya bertanya kepada Zahniah.
“Nampak saja macam tu, tapi kerja dia tip top.”
Ulas Zahniah sambil menunjukkan tanda bagus dengan tangannya.
“Dia lulusan ITM bahagian Perakaunan. Dia banyak membantu Zah dalam soal-soal pengiraan. Cekap kerjanya.”
Zahniah menambah. Pujiannya bertempat. Sememangnya dia berpuas hati dengan prestasi kerja yang ditunjukkan oleh Marlia selama dua bulan gadis itu bertugas sebagai pembantunya.
“Okeylah juga punya pembantu gila-gila macam tu, terhibur juga hati dengan gelagatnya.”
Mukriz turut bersetuju dengan pendapat Zahniah.
“Zah suka dengan jambangan bunga tu?”
Mukriz mula berbicara sesuatu yang menyentuh hati dan perasaan dengan gadis idamannya. Sesungguhnya dia jatuh cinta pandang pertama ketika berkursus bersama dahulu.
“Terima kasih, cantik.”
Zahniah menyatakan pengakuannya secara jujur. Wajahnya merah menahan malu.
“Zah free ke petang ni? Riz tak ada apa-apa pembentangan hari ni.”
Mukriz mencuba nasib demi mengatur janji temu pertama mereka.
“Rasanya Zah tak ada apa-apa petang ni. Kenapa?” Zahniah mula diburu debaran.
“Kita keluar, Zah bawalah Riz ke tempat-tempat menarik di sekitar ibu kota ni. Boleh tak?”
Mukriz memberi cadangan. Lembut suaranya menggegar sukma.
“Kalau itu dapat menyenangkan Riz, apa salahnya.”
Zahniah berani menjawab.
“Zah ambil Riz di hotel ye?”
Mukriz tenang berbicara kerana hasrat di hati termakbul sudah. Bahagia rasanya dapat menghabiskan masa bersama insan tersayang. Namun perasaan sayang itu masih kemas tersimpan di lubuk hatinya. Dia perlu berhati-hati… mungkin menyatakan segalanya secara berkias dan cuba menyelidik serba sedikit latar belakang Zahniah mampu memberikan sedikit keberanian kepadanya untuk menyatakan hasrat di hati suatu hari nanti. Takut juga jika Zahniah telah berpunya dan dia hanya bertepuk sebelah tangan.
Memang diakui kawan perempuannya keliling pinggang, namun Zahniah yang berkenan di hati. Dengan jawatan yang disandangnya, dengan ketampanan yang dimilikinya, dengan tugasnya yang sentiasa bertemu dengan pelbagai karakter pelanggan… Mukriz sering menjadi buruan perempuan seandainya dia tidak memburu.
Baginya bertukar teman wanita bagai menukar pakaian harian. Sebab itulah dia digelar sebagai buaya tembaga di kalangan kawan-kawan lelaki yang mengenali dan rapat dengannya. Namun pertemuan dengan Zahniah sedikit kelainan dirasakan di hatinya. Apakah kali ini dia akan menjalin perhubungan yang lebih serius sehingga membawanya ke jenjang pelamin? Mukriz sendiri kurang pasti. Usianya yang telah menginjak 30 tahun rasanya adalah masa yang paling sesuai untuk dia menamatkan zaman bujangnya. Namun Mukriz masih belum membuat keputusan pasti.