PEMBERITAHUAN

Para pembaca boleh memesan buku yang diminati melalui nbkara.com.my atau email kepada admin@nbkara.com.my


Pembayaran boleh melalui pembayaran ke account no.

Maybank Norhayati Berahim 164267408855 Alliance bank account NBkara 120340010015114 Segala maklumat pembelian/transaksi perlu di e-mail kepada nbkara@yahoo.com atau admin@nbkara.com.my dan jangan lupakan sertakan alamat pembeli atau dengan menggunakan wangpos/cek/kiriman wang yang dialamat kepada

D26-GB Jalan Prima Saujana 2/B Taman Prima Saujana 43000 Kajang Selangor


Semua penghantaraan di Semanjung akan mengunakan pos laju dan tidak dikenakan sebarang bayaran.

Senarai Harga Novel boleh anda lihat di column sebelah kanan 'HARGA NOVEL' Untuk Sabah Sarawak harus mengikut harga asal SABAH/SARAWAK penghantar adalah percuma







BUNGA DI RIMBA

BUNGA DI RIMBA
RM21/RM24

PESTA BUKU SELANGOR

PESTA BUKU SELANGOR
Di Gerai N23, SACC Convec, Shah Alam Selangor

Monday, September 20, 2010

HARGA CINTA-2

“KALAU mak tak beri Aida kerja di situ, kenapa hantar belajar tinggi-tinggi? Masuk universiti?”
Suaranya membentak-bentak. Begitu juga kakinya. Itu memang sebenar-benar kata-kata yang datang dari hatinya. Dia ingin mendengar jawapan dari emak, jawapan yang diharapnya dapat menjawab segala persoalan hatinya.
Emak tidak menjawab.
“Makk... Bukan ke elok, kalau awal-awal lagi, jangan bagi Aida ambil kursus itu pun!”
Nada suaranya sedikit tinggi. Lebih tinggi dari biasa. Dia sebenarnya bukan marah tetapi kecewa. Rasa hajatnya terbantut. Tersentak. Seperti hendak menjamah makanan kegemaran tetapi tidak sempat ditelan kerana makanan itu dirampas orang.
Dan dia tahu, tidak mungkin berdaya merampasnya kembali kalau ‘merampasnya’ adalah emak!
Emak menunduk dan memusingkan badannya, membelakangkannya. Rambut hitam pendek emak ditenungnya. Separuh dari rambut itu sudah mula memutih. Emak semakin berumur. Semakin tua dan tua setiap hari.
Kenyataan itu sedikit sebanyak merisaukan hatinya. Tetapi dia tetap kecewa dengan emak. Dia sudah tidak tahan lagi.
Lima puluh lima tahun! Tidak tuakah usia itu? Tetapi sikap emak yang selama ini periang, suka bergurau, melawak dan ketawa membuatkan dia nampak muda selalu. Nampak awet muda. Emak masih cantik, lebih cantik dari teman-teman seusianya.
Dia tidak berniat hendak meninggikan suaranya. NOR AIDA SHAFIE memang terkenal dengan sifatnya yang garang dan lantang tetapi dengan emak, dengan orang yang lebih tua, dia tahu menjaga tata susilanya. Dia diajar supaya berbudi bahasa dan tidak kurang ajar dengan sesiapa.
Entah kenapa dia boleh membentak begitu sekali dengan emak. Dia bukan anak yang degil dan suka melawan. Dia anak manja emak, anak kesayangan ayah. Mereka dunia dan hidupnya.
Emak terus menunduk. Jatuh bahu Aida. Terkedu. Tadi dadanya ke depan, dagunya tinggi, mulutnya memuncung, matanya liar. Kini semua itu jadi kontang. Hilang. Itu tanda-tanda dia mengalami kekalahan. Kekalahan yang biasa terjadi acapkali bertelingkah dengan emak.
Maka emak  pun menangis. Alahai. Makin terhinjut-hinjut bahu emak.
“Mak... maafkan Aida. Aida tak bermaksud... alahhh... mak ni...”
Dia terus memeluk emaknya. Air mata emak meruntuhkan segala semangatnya. Tadinya bagai ada semangat segarang taufan untuk melawan dan mendapatkan haknya. Dia sangka dirinya kuat dan tabah. Namun dengan emak, hati Aida cair dan mendap. Tenggelam.
Dia sudah 23 tahun. Sudah enam bulan mendapat diploma dan kini sepatutnya sudah bekerja. Dia ingin mengembangkan sayap. Dia ingin terbang. Apa yang dipelajari mahu dipraktikkan dan kelak dia akan mahir dan hebat dalam bidangnya. Itu harapan dan azamnya.
Tetapi semua hajat dan citanya hilang tatkala melihat air mata emak. Siapa dalam keluarga mereka yang boleh melawan kuasa air mata emak? Baik dia, Abang Kamil mahu pun Aini.
Dia rasa mahu berlari, masuk ke bilik dan mengunci pintunya selama-lama di situ. Biar dia tidak perlu ke mana-mana. Biar sampai mati, terkurung dan kecewa.
Semua kawan-kawan rapatnya sudah bekerja berterabur merata negara. Timur, Selatan, Utara, semuanya di hotel-hotel terkenal yang dia kenali namanya sebelum itu. Ada yang lima bintang, empat dan tiga. Ada yang bertugas di restoran terkenal dan mendapat gaji empat angka, tinggi-tinggi belaka.
Baru minggu lepas, temannya Aliah, diterima bekerja di kapal persiaran mewah luar negara. Dapat belayar di lautan luas, melihat pemandangan indah, singgah di negara orang, seluruh Asia Tenggara, dapat ramai kawan... Aida membayangkan segala-galanya hingga termimpi-mimpi. Alangkah seronoknya Aliah!
Adakah dia mahu bebas? Bukan! Aida sekadar mahu pengalaman, mahu merasainya sendiri.
Dia? Dia masih meminta wang belanja dari ayah, emak atau Abang Kamil. Dia belum merasa keseronokan memegang wang gaji sendiri. Sudah 23 tahun tetapi masih mendapat elaun bulanan daripada ayah. Seronok? Langsung tidak. Bahkan sungguh mengecewakan hati wanitanya.
 “Aida..,” suara emak bercampur sendu akhirnya didengarinya juga.
“Emak tak mahu Aida kerja hotel!”
“Mak... Aida kerja hotel bukannya buat apa-apa. Aida tukang masak mak, masak lauk, bakar kek, buat kuih, buah pastri, salad, semua-semua itulah. Itu kan yang Aida belajar di kolej, mak?” Aida melembutkan suaranya seboleh mungkin. Tidak mahu lagi menjadi punca banjir air mata emak.
Bahu emak didakapnya, digosok-gosoknya. Aida terus mencari kata-kata.
“Bukan... bukan Aida kerja hotel, buat kerja-kerja yang tak baik. Mak pun pernah pergi hotel, tinggal di hotel, hi-tea di hotel. Kalau tak ada tukang masak, siapa yang nak datang makan. Mak...”
“Mak tak mahu Aida kerja shift, tak menentu, sianglah, malamlah. Emak risau...”
“Mak... alahai mak. Kalau pun Aida kerja malam, bukan Aida seorang saja yang kerja kat dapur tu, ramai lagi. Ada beratus lagi orang lain yang kerja juga, mak...”
Kata ayah, kalau emak tidak restu, baik jangan teruskan. Yang menghairankan, ayah juga seperti bersetongkol dengan emak kali ini. Selalu ayah membelanya. Selalu ayah bertindak seperti peguam bela yang cuba memenangkannya. Ayah memang selalu memenangkannya walau jika dia bergaduh dengan adiknya si Aini.
“Ayah..,” rengeknya pada si ayah bila emak berlalu ke dapur. “
“Ayah pujuklah mak! Tolonglah ayah!” kepalanya terdongak-dongak, terintai-intai ke arah dapur.
Risau didengar emak yang sedang kelontang-kelonting mula sibuk memasak. Kalau sudah begitu bunyinya, itu tanda emak sedang marah dan mengamuk.
“Ayah nak buat macam mana?”
Balas si ayah. Sejak tadi ayah ada berdekatan tetapi pura-pura tidak mahu masuk campur. Suratkhabar dibeleknya berkali-kali tanpa membaca. Telinga cuba dipasang seluas-luasnya, mencuri dengar setiap butir yang Aida dan isterinya katakan.
Konon dia tidak tahu hujung pangkal. Tidak menyebelah mana-mana pihak.
Tetapi dalam diam mengintai, dengar!
“Ayah sejukkanlah hati mak tu...”
Lagi panjang bunyi rengek Aida. Kalau dia menangis, ayah pasti merasa sayu. Ayah tidak seperti emak. Emak lebih banyak taktik.
“Aida, kalau ibu tak restu, baik jangan langgar. Tak berkat, tak berjaya nanti!”
Ayah pula makin menakutkannya. Itu kata-kata yang sudah banyak kali diulang. Ditanam di dalam kepalanya, kepala Abang Kamil dan Aini.
“Habis tu Aida nak buat apa, yah. Aida sudah enam bulan menganggur. Semua kawan-kawan Aida sudah kerja. Takkan Aida nak memerap saja di rumah ni!”
Kamil si abang, tiba-tiba berdehem. Tadi diam saja dia, menumpu penuh pada rancangan televisyen kegemarannya – CSI Miami.
“Alah, susah-susah, kahwin saja Aida!”
Itu kata-kata yang keluar selepas dehem yang dibuat-buat.
“Banyak cantik muka abang! Nak kahwin dengan siapa?”
Kamil ketawa berdekah-dekah. Lepas, bebas. Aida tahu itu ketawa yang dibuat-buat. Lagi hatinya geram pada si abang.
“Kahwinlah dengan sesiapa pun... Iklan dalam suratkhabar ke... gerenti ramai yang hendak!” Kata Kamil.
“Ah... betul juga. Offer wang tunai sikit, huish.... buat macam realiti TV tu, pasti berderet orang datang nanti.”
Ayah pula menambah-nambah. Sama naik seronok mengusik Aida bersama anak lelaki tunggalnya.
“Itulah, garang sangat, mana ada lelaki yang hendak,” sambung Kamil lagi.
“Oh jadi, abang tu tak kahwin-kahwin sampai sekarang, sebab garang jugakah?”
Aida mahu membalas sebaik mungkin. Mana boleh dia menjadi mangsa buli Abang Kamil. Sibuk ayah dan abang mengusiknya dengan perkahwinan. Dia baru 23 tahun. Kalau yang nak dikahwinkan pun, Abang Kamillah. Abang Kamil 30 tahun, sudah lima tahun menjadi jurutera, sudah stabil, memang wajar menamatkan zaman bujangnya.
“Entah-entah tak ada siapa yang hendak...,” Aida mengomel perlahan tetapi suara itu cukup jelas di dengar ayah dan abangnya.
“Apa Aida? Aida kata abang apa?”
“Eh! Dengar juga ke?”
“Ohh... mengata orang ya...!”
Maka terjadilah adegan kejar mengejar di keliling sofa dengan Aida kemudiannya menjerit-jerit sambil ketawa mengekek. Kamil mengangkat kedua tangannya, berlagak seperti mahu mencekik leher adiknya. Tetapi seperti biasa dia hanya berlakon.
Tidak pernah  pun dia mencekik atau berlaku kasar pada Aida. Hanya gaya dan mulut saja yang bising.
 “Sudah, sudah.” Tingkah ayah.
“Baik Aida fikir jalan nak ‘lepaskan diri’ cepat-cepat.”
“Ayah tak ada idea?”
Aida cepat-cepat duduk rapat di sebelah ayahnya sebagai usaha menyelamatkan diri dari si abang.
“Idea ayah sama macam Kamil.”
“Idea apa pulak?”
“Kahwin saja, tak payah kerja....”
“Ayahhh.....” jerit dan ketawa bersilih ganti. Rumah bahagia itu tak pernah sunyi dengan gurau dan gelak tawa!

3 comments:

jon said...

bahasanya sedap...

Unknown said...

setakat ni, inilah pertama kali baca novel penulis lain yang bernaung di bawah NBKara... sedap jugak ceritanya. selama ni beli novel NB sendiri jer...

genuine1224 said...

sama la dgn saya..saya bli novel NB je..yg lain tak..cuma mingg lepas beli novel nora ismail..tu pun sebab ada yg kata crita tu best,sbb novel lama...serasi di hati...seb baik sronok...hehe