PEMBERITAHUAN

Para pembaca boleh memesan buku yang diminati melalui nbkara.com.my atau email kepada admin@nbkara.com.my


Pembayaran boleh melalui pembayaran ke account no.

Maybank Norhayati Berahim 164267408855 Alliance bank account NBkara 120340010015114 Segala maklumat pembelian/transaksi perlu di e-mail kepada nbkara@yahoo.com atau admin@nbkara.com.my dan jangan lupakan sertakan alamat pembeli atau dengan menggunakan wangpos/cek/kiriman wang yang dialamat kepada

D26-GB Jalan Prima Saujana 2/B Taman Prima Saujana 43000 Kajang Selangor


Semua penghantaraan di Semanjung akan mengunakan pos laju dan tidak dikenakan sebarang bayaran.

Senarai Harga Novel boleh anda lihat di column sebelah kanan 'HARGA NOVEL' Untuk Sabah Sarawak harus mengikut harga asal SABAH/SARAWAK penghantar adalah percuma







BUNGA DI RIMBA

BUNGA DI RIMBA
RM21/RM24

PESTA BUKU SELANGOR

PESTA BUKU SELANGOR
Di Gerai N23, SACC Convec, Shah Alam Selangor

Saturday, September 18, 2010

HUJAN PUN MENARI-BAB2






2


S
ejak dari pagi hujan turun dengan lebatnya. Baru sejam tadi hujan sidang. Bau harum semerbak dari dapur terapung-apung di udara. Menyerbu masuk ke rongga hidung menyebabkan sesiapa sahaja akan teruja melangkah ke situ. Rumah kayu bercampur batu yang menghadap parit besar itu, sunyi sahaja. Hanya terdengar bunyi sudip dan bibir kuali berlaga. Kalau tidak rumah yang ramai penghuni itu riuh-rendah dengan suara anak-anak.
“Umi!”
Suara yang agak nyaring memanggilnya itu menyebabkan Cikgu Ara memusingkan kepalanya.
“Oi...”
Cikgu Ara memalingkan kepalanya. Merenung anak dara sulungnya yang sedang berdiri tercegat di belakangnya.
“Tonggek mana?”
Sesusuk tubuh kecil muncul di muka pintu. Tersenyum merenung Cikgu Ara yang sedang memasukkan kacang rebus ke dalam rempah yang baru ditumisnya sebentar tadi.
“Kamu tak habis-habis panggil adik kamu tu ‘tonggek’. Sedap-sedap umi bagi nama dia Zaki, cerdik... pandai... tonggek jugak yang kamu panggil.”
Muna tersengih. Sudah duduk di lantai dapur sambil menyandar di tiang. Memerhatikan uminya dari arah belakang.
“Memang dia tonggek. Mana ada budak lelaki tonggek macam dia!”
Lancar sahaja Muna menjawab. Sebentar tadi dia menyudahkan melipat kain di dalam bilik. Adik-beradiknya lima orang, jadi banyak kain baju yang perlu dilipatnya.
Yelah, walau dia tonggek pun, tapi jangan melekat nama tu dipanggil. Bukankah ALLAH menuntut memanggil nama yang baik-baik…”
Muna masih lagi terus-terusan tersengih. Walau dia tahu silap dirinya, tetapi entah mengapa lidahnya terasa seronok sangat memanggil adiknya itu dengan nama ‘tonggek’.
“Abah tak balik, umi?”
“Hari ni giliran orang sana.”
Muna menelan air liurnya. Dia mengerling umi lagi. Umi macam tak apa-apa. Umi tenang sahaja. Hati umi bagaimana agaknya. Ahh... abah berkahwin dua bukan menjadi rahsia. Sudah lama orang tahu. Bahkan Muna lima beradik pun tahu.
“Abah cakap nak belikan baju Majeed. Kasut dia pun dah koyak dah. Tahulah Majeed tu, umi...”
Cikgu Ara yang sudah siap memasak meletakkan kacang kuda berempah ke dalam bekasnya. Kacang kuda itu untuk kudapan anak-anaknya ketika menonton televisyen nanti dan boleh juga dimakan dengan roti canai.
“Ada dia bagi duit. Nanti kita pergi pekan Muar ramai-ramai, tak payah tunggu abah kamu. Kita makan mi rebus tepi laut.”
Muna tersengih lebar. Bukan kerana seronok dapat makan mi rebus, tetapi kerana dapat duduk tepi laut dan mencium bau laut. Bukan senang dapat mencium bau laut. Bau laut tidak sama dengan bau parit di hadapan rumahnya. Bau parit agak kelat kerana air gambutnya yang hitam itu. Kalau ke sana setakat makan mi rebus, baginya mi rebus yang umi buat lagi sedap.
“Kita pergi semua ke mak?”
“Semualah… Habis, kamu ingat ada yang nak tinggal?” Uminya bertanya.
Umi memang boleh memandu. Sebagai guru, umi memang serba boleh. Umi bukan sahaja pandai mengajar tetapi pandai menjahit dan memasak. Tetapi dalam pandai-pandai umi pun, abah berkahwin lain. Abah cari perempuan lain. Sampai sekarang Muna tidak pernah faham, apa perlunya abah berkahwin lain.
Gadis yang berusia 15 tahun itu selalu tertanya-tanya sendiri. Mereka ada adik-beradik yang ramai. Uminya bukan tidak cantik, cantik. Mewarisi sedikit darah Jawa. Umi lemah lembut orangnya. Walau bercakap agak pantas dan lantang kerana dia seorang guru, tetapi tingkah laku umi sentiasa terjaga.
“Dawood mana, umi?”
Orang kampung ramai yang bernama Daud. Tetapi kata abah nama Daud yang sebenarnya ialah Dawood. Kerana huruf wau berbaris depan, bukan mati. Setiap kali orang bertanyakan abah kenapa ejaan nama Daud seperti nama mamak, tetapi abah cakap itu nama Arab yang sebenarnya. Dawood.
“Dalam parit agaknya. Tadi emak suruh dia kejar itik...”
Dahulu parit di hadapan rumah memang tempat mereka mandi-manda. Tetapi sejak ada air paip, parit yang berwarna hitam itu hanya menjadi tempat itik berenang. Emak ada pelihara banyak itik. Walau tidak ramai orang Melayu yang sukakan itik, tetapi Cina di pekan Muar ramai yang mahu beli itik.
Pagi-pagi lagi itik sudah kelihatan tergantung di restoran Cina di pekan Muar. Muna amat suka melihat tauke restoran Cina itu memotong itik-itik yang sudah dipanggang dengan kulitnya yang keemasan. Berkilat dan amat cantik sesekali.
Tetapi Muna tidak pernah cuba untuk makan di restoran Cina itu. Restoran seperti itu sah-sah tidak menghidangkan makanan yang halal. Jadi dia hanya melihat-lihat sahaja bagaimana itik-itik yang dipotong itu diletakkan di atas pinggan nasi yang dihiasi timun bersama dengan sedikit sambal. Macam nasi ayam tetapi itu mungkin nasi itik.
Sesekali mahu sahaja Muna meminta umi memasak cara yang begitu. Tetapi Muna pasti yang umi tidak tahu. Umi cuma tahu masak rendang itik atau kari itik. Itu pun sudah cukup sedap.
“Pukul berapa kita nak pergi Muar, umi? Ini dah pukul berapa dah ni?”
Muna mengerling jam di dinding dapur. Sudah pukul 4:00 petang. Selalunya umi pergi pekan Muar awal-awal lagi.
“Bukan hari ni.”
Muna mencebikkan bibirnya. Mati-mati dia ingatkan hari ini. Rupanya tidak.
“Umi nak masak apa hari ni?”
“Tak tahu lagi tapi kamu pergi petik nenas di belakang rumah. Ada ikan masin. Kita masak nenas dengan ikan sepat masin.”
Muna diam. Umi tidak habis-habis masak nanas. Tanah gambut di belakang rumah mereka memang bagus untuk tanam nanas. Walaupun mengajar, kadangkala pada waktu petang umi akan bercucuk tanam di belakang rumah.
“Kita masak pajeri nenaslah, umi. Dah lama tak masak pajeri nenas!”
“Suka hati kamulah..”
Muna tersengih. Dia meluru ke rak dapur. Mengambil parang yang berada di rak paling bawak dan tidak lama kemudian keluar mengikut pintu dapur.
“Cari yang masak. Jangan yang muda kamu sebat!
Pesan Cikgu Ara. Muna tidak menjawab cuma kedengaran suaranya menyanyi-nyanyi kecil dan tidak lama kemudian, suara itu sudah tidak kedengaran lagi.



2 comments:

Leeza said...

best...mantap isinya. tapi belum tahu apa sebenar kisahnya yang menjadi tema.

Unknown said...

lambatnya nak kuar...