PEMBERITAHUAN

Para pembaca boleh memesan buku yang diminati melalui nbkara.com.my atau email kepada admin@nbkara.com.my


Pembayaran boleh melalui pembayaran ke account no.

Maybank Norhayati Berahim 164267408855 Alliance bank account NBkara 120340010015114 Segala maklumat pembelian/transaksi perlu di e-mail kepada nbkara@yahoo.com atau admin@nbkara.com.my dan jangan lupakan sertakan alamat pembeli atau dengan menggunakan wangpos/cek/kiriman wang yang dialamat kepada

D26-GB Jalan Prima Saujana 2/B Taman Prima Saujana 43000 Kajang Selangor


Semua penghantaraan di Semanjung akan mengunakan pos laju dan tidak dikenakan sebarang bayaran.

Senarai Harga Novel boleh anda lihat di column sebelah kanan 'HARGA NOVEL' Untuk Sabah Sarawak harus mengikut harga asal SABAH/SARAWAK penghantar adalah percuma







BUNGA DI RIMBA

BUNGA DI RIMBA
RM21/RM24

PESTA BUKU SELANGOR

PESTA BUKU SELANGOR
Di Gerai N23, SACC Convec, Shah Alam Selangor

Monday, September 20, 2010

HARGA CINTA-2

“KALAU mak tak beri Aida kerja di situ, kenapa hantar belajar tinggi-tinggi? Masuk universiti?”
Suaranya membentak-bentak. Begitu juga kakinya. Itu memang sebenar-benar kata-kata yang datang dari hatinya. Dia ingin mendengar jawapan dari emak, jawapan yang diharapnya dapat menjawab segala persoalan hatinya.
Emak tidak menjawab.
“Makk... Bukan ke elok, kalau awal-awal lagi, jangan bagi Aida ambil kursus itu pun!”
Nada suaranya sedikit tinggi. Lebih tinggi dari biasa. Dia sebenarnya bukan marah tetapi kecewa. Rasa hajatnya terbantut. Tersentak. Seperti hendak menjamah makanan kegemaran tetapi tidak sempat ditelan kerana makanan itu dirampas orang.
Dan dia tahu, tidak mungkin berdaya merampasnya kembali kalau ‘merampasnya’ adalah emak!
Emak menunduk dan memusingkan badannya, membelakangkannya. Rambut hitam pendek emak ditenungnya. Separuh dari rambut itu sudah mula memutih. Emak semakin berumur. Semakin tua dan tua setiap hari.
Kenyataan itu sedikit sebanyak merisaukan hatinya. Tetapi dia tetap kecewa dengan emak. Dia sudah tidak tahan lagi.
Lima puluh lima tahun! Tidak tuakah usia itu? Tetapi sikap emak yang selama ini periang, suka bergurau, melawak dan ketawa membuatkan dia nampak muda selalu. Nampak awet muda. Emak masih cantik, lebih cantik dari teman-teman seusianya.
Dia tidak berniat hendak meninggikan suaranya. NOR AIDA SHAFIE memang terkenal dengan sifatnya yang garang dan lantang tetapi dengan emak, dengan orang yang lebih tua, dia tahu menjaga tata susilanya. Dia diajar supaya berbudi bahasa dan tidak kurang ajar dengan sesiapa.
Entah kenapa dia boleh membentak begitu sekali dengan emak. Dia bukan anak yang degil dan suka melawan. Dia anak manja emak, anak kesayangan ayah. Mereka dunia dan hidupnya.
Emak terus menunduk. Jatuh bahu Aida. Terkedu. Tadi dadanya ke depan, dagunya tinggi, mulutnya memuncung, matanya liar. Kini semua itu jadi kontang. Hilang. Itu tanda-tanda dia mengalami kekalahan. Kekalahan yang biasa terjadi acapkali bertelingkah dengan emak.
Maka emak  pun menangis. Alahai. Makin terhinjut-hinjut bahu emak.
“Mak... maafkan Aida. Aida tak bermaksud... alahhh... mak ni...”
Dia terus memeluk emaknya. Air mata emak meruntuhkan segala semangatnya. Tadinya bagai ada semangat segarang taufan untuk melawan dan mendapatkan haknya. Dia sangka dirinya kuat dan tabah. Namun dengan emak, hati Aida cair dan mendap. Tenggelam.
Dia sudah 23 tahun. Sudah enam bulan mendapat diploma dan kini sepatutnya sudah bekerja. Dia ingin mengembangkan sayap. Dia ingin terbang. Apa yang dipelajari mahu dipraktikkan dan kelak dia akan mahir dan hebat dalam bidangnya. Itu harapan dan azamnya.
Tetapi semua hajat dan citanya hilang tatkala melihat air mata emak. Siapa dalam keluarga mereka yang boleh melawan kuasa air mata emak? Baik dia, Abang Kamil mahu pun Aini.
Dia rasa mahu berlari, masuk ke bilik dan mengunci pintunya selama-lama di situ. Biar dia tidak perlu ke mana-mana. Biar sampai mati, terkurung dan kecewa.
Semua kawan-kawan rapatnya sudah bekerja berterabur merata negara. Timur, Selatan, Utara, semuanya di hotel-hotel terkenal yang dia kenali namanya sebelum itu. Ada yang lima bintang, empat dan tiga. Ada yang bertugas di restoran terkenal dan mendapat gaji empat angka, tinggi-tinggi belaka.
Baru minggu lepas, temannya Aliah, diterima bekerja di kapal persiaran mewah luar negara. Dapat belayar di lautan luas, melihat pemandangan indah, singgah di negara orang, seluruh Asia Tenggara, dapat ramai kawan... Aida membayangkan segala-galanya hingga termimpi-mimpi. Alangkah seronoknya Aliah!
Adakah dia mahu bebas? Bukan! Aida sekadar mahu pengalaman, mahu merasainya sendiri.
Dia? Dia masih meminta wang belanja dari ayah, emak atau Abang Kamil. Dia belum merasa keseronokan memegang wang gaji sendiri. Sudah 23 tahun tetapi masih mendapat elaun bulanan daripada ayah. Seronok? Langsung tidak. Bahkan sungguh mengecewakan hati wanitanya.
 “Aida..,” suara emak bercampur sendu akhirnya didengarinya juga.
“Emak tak mahu Aida kerja hotel!”
“Mak... Aida kerja hotel bukannya buat apa-apa. Aida tukang masak mak, masak lauk, bakar kek, buat kuih, buah pastri, salad, semua-semua itulah. Itu kan yang Aida belajar di kolej, mak?” Aida melembutkan suaranya seboleh mungkin. Tidak mahu lagi menjadi punca banjir air mata emak.
Bahu emak didakapnya, digosok-gosoknya. Aida terus mencari kata-kata.
“Bukan... bukan Aida kerja hotel, buat kerja-kerja yang tak baik. Mak pun pernah pergi hotel, tinggal di hotel, hi-tea di hotel. Kalau tak ada tukang masak, siapa yang nak datang makan. Mak...”
“Mak tak mahu Aida kerja shift, tak menentu, sianglah, malamlah. Emak risau...”
“Mak... alahai mak. Kalau pun Aida kerja malam, bukan Aida seorang saja yang kerja kat dapur tu, ramai lagi. Ada beratus lagi orang lain yang kerja juga, mak...”
Kata ayah, kalau emak tidak restu, baik jangan teruskan. Yang menghairankan, ayah juga seperti bersetongkol dengan emak kali ini. Selalu ayah membelanya. Selalu ayah bertindak seperti peguam bela yang cuba memenangkannya. Ayah memang selalu memenangkannya walau jika dia bergaduh dengan adiknya si Aini.
“Ayah..,” rengeknya pada si ayah bila emak berlalu ke dapur. “
“Ayah pujuklah mak! Tolonglah ayah!” kepalanya terdongak-dongak, terintai-intai ke arah dapur.
Risau didengar emak yang sedang kelontang-kelonting mula sibuk memasak. Kalau sudah begitu bunyinya, itu tanda emak sedang marah dan mengamuk.
“Ayah nak buat macam mana?”
Balas si ayah. Sejak tadi ayah ada berdekatan tetapi pura-pura tidak mahu masuk campur. Suratkhabar dibeleknya berkali-kali tanpa membaca. Telinga cuba dipasang seluas-luasnya, mencuri dengar setiap butir yang Aida dan isterinya katakan.
Konon dia tidak tahu hujung pangkal. Tidak menyebelah mana-mana pihak.
Tetapi dalam diam mengintai, dengar!
“Ayah sejukkanlah hati mak tu...”
Lagi panjang bunyi rengek Aida. Kalau dia menangis, ayah pasti merasa sayu. Ayah tidak seperti emak. Emak lebih banyak taktik.
“Aida, kalau ibu tak restu, baik jangan langgar. Tak berkat, tak berjaya nanti!”
Ayah pula makin menakutkannya. Itu kata-kata yang sudah banyak kali diulang. Ditanam di dalam kepalanya, kepala Abang Kamil dan Aini.
“Habis tu Aida nak buat apa, yah. Aida sudah enam bulan menganggur. Semua kawan-kawan Aida sudah kerja. Takkan Aida nak memerap saja di rumah ni!”
Kamil si abang, tiba-tiba berdehem. Tadi diam saja dia, menumpu penuh pada rancangan televisyen kegemarannya – CSI Miami.
“Alah, susah-susah, kahwin saja Aida!”
Itu kata-kata yang keluar selepas dehem yang dibuat-buat.
“Banyak cantik muka abang! Nak kahwin dengan siapa?”
Kamil ketawa berdekah-dekah. Lepas, bebas. Aida tahu itu ketawa yang dibuat-buat. Lagi hatinya geram pada si abang.
“Kahwinlah dengan sesiapa pun... Iklan dalam suratkhabar ke... gerenti ramai yang hendak!” Kata Kamil.
“Ah... betul juga. Offer wang tunai sikit, huish.... buat macam realiti TV tu, pasti berderet orang datang nanti.”
Ayah pula menambah-nambah. Sama naik seronok mengusik Aida bersama anak lelaki tunggalnya.
“Itulah, garang sangat, mana ada lelaki yang hendak,” sambung Kamil lagi.
“Oh jadi, abang tu tak kahwin-kahwin sampai sekarang, sebab garang jugakah?”
Aida mahu membalas sebaik mungkin. Mana boleh dia menjadi mangsa buli Abang Kamil. Sibuk ayah dan abang mengusiknya dengan perkahwinan. Dia baru 23 tahun. Kalau yang nak dikahwinkan pun, Abang Kamillah. Abang Kamil 30 tahun, sudah lima tahun menjadi jurutera, sudah stabil, memang wajar menamatkan zaman bujangnya.
“Entah-entah tak ada siapa yang hendak...,” Aida mengomel perlahan tetapi suara itu cukup jelas di dengar ayah dan abangnya.
“Apa Aida? Aida kata abang apa?”
“Eh! Dengar juga ke?”
“Ohh... mengata orang ya...!”
Maka terjadilah adegan kejar mengejar di keliling sofa dengan Aida kemudiannya menjerit-jerit sambil ketawa mengekek. Kamil mengangkat kedua tangannya, berlagak seperti mahu mencekik leher adiknya. Tetapi seperti biasa dia hanya berlakon.
Tidak pernah  pun dia mencekik atau berlaku kasar pada Aida. Hanya gaya dan mulut saja yang bising.
 “Sudah, sudah.” Tingkah ayah.
“Baik Aida fikir jalan nak ‘lepaskan diri’ cepat-cepat.”
“Ayah tak ada idea?”
Aida cepat-cepat duduk rapat di sebelah ayahnya sebagai usaha menyelamatkan diri dari si abang.
“Idea ayah sama macam Kamil.”
“Idea apa pulak?”
“Kahwin saja, tak payah kerja....”
“Ayahhh.....” jerit dan ketawa bersilih ganti. Rumah bahagia itu tak pernah sunyi dengan gurau dan gelak tawa!

Saturday, September 18, 2010

HARGA CINTA DAN HUJAN PUN MENARI..

Novel Harga Cinta dan Hujan Pun Menari akan keluar serentak dua minggu dari sekarang. Cover dan juga harganya akan kami beritahu sedikit masa lagi. Sebarang pertanyaan boleh di hantar kepada admin@nbkara.com.my

HARGA CINTA-BAB 1






1


“NAMANYA?”
“Belum bernama lagi, kak. Ikut suka kakaklah... Saya serahkan pada kakak..,” suara wanita itu tidak langsung teragak-agak.
 Seperti dia memang sudah mahukan begitu. Tidak mahu kena mengena memberi nama.
“Sudah berapa hari?” tanya Rosmaria.  
“Seminggu. Jumaat ini genap seminggu... Akak tolong daftar dia, ya… Saya tak larat nak ke mana-mana, suami pulak mengikut orang berjualan, tak dapat cuti. Kalau cuti, tak makanlah kami.”
Wanita itu memberitahu tulus. Wajahnya mengambarkan kegembiraan.
“Siapa lagi saudara mara yang dia ada?”
Rengekan dari si kecil membuatkan wanita itu lambat menjawab. Matanya tertumpu pada si kecil. Ada sejalur air tumpah dari sisi matanya.
Tidak sangka mereka dapat bertemu juga. Kalau tidak kerana teman rapatnya yang bercerita tentang nasib malang anak kecil itu sudah pasti dia teragak-agak untuk mengambilnya.
“Lapar agaknya.... ini susunya..,” wanita itu mengunjukkan botol yang masih ada separuh lagi isinya. Mungkin lebihan dari tadi.
 Rosmaria memerhati mulut kecil itu menikmati susu yang disuakan padanya.
“Saya seorang saja yang tinggal, kak. Saya dan bapanya hanya dua beradik. Emaknya pulak keturunan Siam. Saya tak tahu banyak tentang keluarga sebelah sana. Tapi keluarga ipar saya tu sudah lama tinggal sekampung dengan kami. Dari dulu lagi.”
Bayi itu kemudiannya  Rosmaria ambil dan diletak atas ribanya. Cukup kecil. Disangkanya si kecil sudah mengantuk kekenyangan tetapi sebaliknya matanya terbuka sedikit, semakin lama semakin besar, mata itu kemudiannya terbuka luas, memandang tepat ke wajahnya.
Wajah kecil comel itu kemudiannya bergerak-gerak. Bibirnya menguntum senyum, senyum padanya. Mereka saling berpandangan. Hatinya terus tersentuh. Disentuh senyuman maha manis itu.
Masya-Allah, besarnya kuasa Allah!
“Betul nak beri pada kami?”
Akhirnya dia bertanya soalan itu. Hajat hendak bersedekah entah ke mana. Lain pula jadinya. Semuanya kerana sekuntum senyuman...
“Betullah. Saya susah, kak. Lebih baik dia tinggal dengan orang macam kakak. Insya-Allah hidupnya lebih senang. Saya harap kakak jaga dia seperti anak sendiri. Ikhlas sayangi dia, kak. Dia… yatim piatu….”
“Saya cuma nak membantu. Itu niat saya...”
Jika pada awalnya dia rasa berbelah bagi tetapi kini tidak lagi. Dia tahu itu yang mahu dilakukannya. Itu takdir yang sudah tersurat. Dia tidak akan berundur lagi. Hatinya bulat mahu mengambil bayi itu. Memeliharanya.
“Suami kakak setuju?”
Ada kerisauan pada wajah perempuan itu.
“Dia pun sama. Niat kami nak membantu, Khatijah.”
Mata wanita itu berlaga dengan mata suaminya. Anggukan si suami menandakan kata sudah sepakat, hati sudah terpikat.
“Nah... kalau begitu, saya serahkan anak ini pada kakak! Saya amanahkan dia pada kakak. Biar dia jadi anak yang soleh, orang yang baik-baik. Saya diberitahu kakak dan suami, orang yang baik hati, berpekerti tinggi...”
Wanita itu mengelap air mata yang makin berjurai di pipi. Sedih dia hendak berpisah dengan anak saudaranya, zuriat adik lelakinya sendiri. Tetapi dia terpaksa. Perutnya semakin memboyot mengandung anak kedua.
Beberapa kali si wanita menerangkan, keadaan tidak membenarkan dia menambah mulut untuk disuap. Suaminya hanya bekerja kampung. Makan minum mereka pun sering dicatu. Kais pagi makan pagi, petang belum tentu lagi. Mereka amat susah.
Dalam perjalanan pulang, sambil meriba bayi yang lena, dia tidak henti-henti teringat pada kata wanita tadi. Terngiang-ngiang di telinganya.
Tidak pernah dia melihat bayi secomel itu. Tatkala mata mereka bertentang, hatinya terus tertawan. Dia terus memeluk dan mencium pipi halus mulus, yang cukup harum. Kasih sayang terus tertumpah.
Suami di sisi hanya tersenyum. Syukur mereka sama-sama setuju untuk memelihara anak yatim piatu itu. Ibu bapanya meninggal dalam kemalangan kereta. Cukup tragik. Menurut cerita, si bapa menyewa teksi sapu untuk membawa isteri dan bayi yang baru dilahirkan balik ke rumah mereka.
Dalam perjalanan pulang, teksi mereka terbabas dan bertembung kereta lain. Pemandu teksi, si bapa dan ibu yang baru melahirkan terus meninggal di tempat kejadian tetapi bayi yang baru berusia dua hari terpelosok di bawah tempat duduk, tidak langsung cedera atau pun luka. Allah mahu dia terus hidup dan dikasihi. Allah memeliharanya.
Kini bayi itu milik mereka sekeluarga.
Peristiwa yang berlaku cukup bersejarah. Ketika bayi itu diserahkan, azan berkumandang. Serentak, dia nampak warna pelangi menghiasi langit kerana sebelum itu hujan renyai membasahi alam. Cukup indah sekali.
Bayi itu memerlukan perlindungan mereka sekeluarga. Dia akan mengasihinya bagai darah dagingnya sendiri.
Mereka sekeluarga akan memulakan hidup baru di kota raya. Bersama bayi ini segala-galanya pasti lebih ceria dan bahagia. Sinar bahagia itu mahu dikecapinya, selama-lama.

HUJAN PUN MENARI-BAB2






2


S
ejak dari pagi hujan turun dengan lebatnya. Baru sejam tadi hujan sidang. Bau harum semerbak dari dapur terapung-apung di udara. Menyerbu masuk ke rongga hidung menyebabkan sesiapa sahaja akan teruja melangkah ke situ. Rumah kayu bercampur batu yang menghadap parit besar itu, sunyi sahaja. Hanya terdengar bunyi sudip dan bibir kuali berlaga. Kalau tidak rumah yang ramai penghuni itu riuh-rendah dengan suara anak-anak.
“Umi!”
Suara yang agak nyaring memanggilnya itu menyebabkan Cikgu Ara memusingkan kepalanya.
“Oi...”
Cikgu Ara memalingkan kepalanya. Merenung anak dara sulungnya yang sedang berdiri tercegat di belakangnya.
“Tonggek mana?”
Sesusuk tubuh kecil muncul di muka pintu. Tersenyum merenung Cikgu Ara yang sedang memasukkan kacang rebus ke dalam rempah yang baru ditumisnya sebentar tadi.
“Kamu tak habis-habis panggil adik kamu tu ‘tonggek’. Sedap-sedap umi bagi nama dia Zaki, cerdik... pandai... tonggek jugak yang kamu panggil.”
Muna tersengih. Sudah duduk di lantai dapur sambil menyandar di tiang. Memerhatikan uminya dari arah belakang.
“Memang dia tonggek. Mana ada budak lelaki tonggek macam dia!”
Lancar sahaja Muna menjawab. Sebentar tadi dia menyudahkan melipat kain di dalam bilik. Adik-beradiknya lima orang, jadi banyak kain baju yang perlu dilipatnya.
Yelah, walau dia tonggek pun, tapi jangan melekat nama tu dipanggil. Bukankah ALLAH menuntut memanggil nama yang baik-baik…”
Muna masih lagi terus-terusan tersengih. Walau dia tahu silap dirinya, tetapi entah mengapa lidahnya terasa seronok sangat memanggil adiknya itu dengan nama ‘tonggek’.
“Abah tak balik, umi?”
“Hari ni giliran orang sana.”
Muna menelan air liurnya. Dia mengerling umi lagi. Umi macam tak apa-apa. Umi tenang sahaja. Hati umi bagaimana agaknya. Ahh... abah berkahwin dua bukan menjadi rahsia. Sudah lama orang tahu. Bahkan Muna lima beradik pun tahu.
“Abah cakap nak belikan baju Majeed. Kasut dia pun dah koyak dah. Tahulah Majeed tu, umi...”
Cikgu Ara yang sudah siap memasak meletakkan kacang kuda berempah ke dalam bekasnya. Kacang kuda itu untuk kudapan anak-anaknya ketika menonton televisyen nanti dan boleh juga dimakan dengan roti canai.
“Ada dia bagi duit. Nanti kita pergi pekan Muar ramai-ramai, tak payah tunggu abah kamu. Kita makan mi rebus tepi laut.”
Muna tersengih lebar. Bukan kerana seronok dapat makan mi rebus, tetapi kerana dapat duduk tepi laut dan mencium bau laut. Bukan senang dapat mencium bau laut. Bau laut tidak sama dengan bau parit di hadapan rumahnya. Bau parit agak kelat kerana air gambutnya yang hitam itu. Kalau ke sana setakat makan mi rebus, baginya mi rebus yang umi buat lagi sedap.
“Kita pergi semua ke mak?”
“Semualah… Habis, kamu ingat ada yang nak tinggal?” Uminya bertanya.
Umi memang boleh memandu. Sebagai guru, umi memang serba boleh. Umi bukan sahaja pandai mengajar tetapi pandai menjahit dan memasak. Tetapi dalam pandai-pandai umi pun, abah berkahwin lain. Abah cari perempuan lain. Sampai sekarang Muna tidak pernah faham, apa perlunya abah berkahwin lain.
Gadis yang berusia 15 tahun itu selalu tertanya-tanya sendiri. Mereka ada adik-beradik yang ramai. Uminya bukan tidak cantik, cantik. Mewarisi sedikit darah Jawa. Umi lemah lembut orangnya. Walau bercakap agak pantas dan lantang kerana dia seorang guru, tetapi tingkah laku umi sentiasa terjaga.
“Dawood mana, umi?”
Orang kampung ramai yang bernama Daud. Tetapi kata abah nama Daud yang sebenarnya ialah Dawood. Kerana huruf wau berbaris depan, bukan mati. Setiap kali orang bertanyakan abah kenapa ejaan nama Daud seperti nama mamak, tetapi abah cakap itu nama Arab yang sebenarnya. Dawood.
“Dalam parit agaknya. Tadi emak suruh dia kejar itik...”
Dahulu parit di hadapan rumah memang tempat mereka mandi-manda. Tetapi sejak ada air paip, parit yang berwarna hitam itu hanya menjadi tempat itik berenang. Emak ada pelihara banyak itik. Walau tidak ramai orang Melayu yang sukakan itik, tetapi Cina di pekan Muar ramai yang mahu beli itik.
Pagi-pagi lagi itik sudah kelihatan tergantung di restoran Cina di pekan Muar. Muna amat suka melihat tauke restoran Cina itu memotong itik-itik yang sudah dipanggang dengan kulitnya yang keemasan. Berkilat dan amat cantik sesekali.
Tetapi Muna tidak pernah cuba untuk makan di restoran Cina itu. Restoran seperti itu sah-sah tidak menghidangkan makanan yang halal. Jadi dia hanya melihat-lihat sahaja bagaimana itik-itik yang dipotong itu diletakkan di atas pinggan nasi yang dihiasi timun bersama dengan sedikit sambal. Macam nasi ayam tetapi itu mungkin nasi itik.
Sesekali mahu sahaja Muna meminta umi memasak cara yang begitu. Tetapi Muna pasti yang umi tidak tahu. Umi cuma tahu masak rendang itik atau kari itik. Itu pun sudah cukup sedap.
“Pukul berapa kita nak pergi Muar, umi? Ini dah pukul berapa dah ni?”
Muna mengerling jam di dinding dapur. Sudah pukul 4:00 petang. Selalunya umi pergi pekan Muar awal-awal lagi.
“Bukan hari ni.”
Muna mencebikkan bibirnya. Mati-mati dia ingatkan hari ini. Rupanya tidak.
“Umi nak masak apa hari ni?”
“Tak tahu lagi tapi kamu pergi petik nenas di belakang rumah. Ada ikan masin. Kita masak nenas dengan ikan sepat masin.”
Muna diam. Umi tidak habis-habis masak nanas. Tanah gambut di belakang rumah mereka memang bagus untuk tanam nanas. Walaupun mengajar, kadangkala pada waktu petang umi akan bercucuk tanam di belakang rumah.
“Kita masak pajeri nenaslah, umi. Dah lama tak masak pajeri nenas!”
“Suka hati kamulah..”
Muna tersengih. Dia meluru ke rak dapur. Mengambil parang yang berada di rak paling bawak dan tidak lama kemudian keluar mengikut pintu dapur.
“Cari yang masak. Jangan yang muda kamu sebat!
Pesan Cikgu Ara. Muna tidak menjawab cuma kedengaran suaranya menyanyi-nyanyi kecil dan tidak lama kemudian, suara itu sudah tidak kedengaran lagi.



Friday, September 17, 2010

HARGA CINTA-PROLOG

KARYA KUSYI HIRDAN - BAKAL TERBIT


PROLOG



 “ASSALAMUALAIKUM! Cik Aida? Cik Aida kan?”
Aida terkejut melihat wajah yang menegur di depannya. Wajah yang masih sama berberapa tahun lalu. Masakan dia boleh lupa wajah yang satu itu.
Wajah itu bertambah jelita dan berseri.
Aida terus memerhati ke pelusuk tubuh wanita itu. Ada sinar bahagia yang terpancar dari matanya dan dengan bukti perut membuyut, mungkin lima atau enam bulan, tekanya, pasti wanita itu hidup bahagia. 
“Cik Aida tak ingat saya?”
“Eh, ingat. Ingat... ingat... Takkan saya tak ingat!”
Mereka akhirnya bersalam dan dia agak terkejut apabila wanita itu memeluknya, erat.
“Lamanya kita tak jumpa... Apa khabar?”
Wanita muda itu terus merapat dan akhirnya duduk tanpa di jemput di kerusi berdekatannya.
“Cik Aida buat apa kat sini?”
“Khabar baik. Alhamdulillah. Saya tunggu seseorang. Baru pukul 2... Sebenarnya janji kami selepas office hour tetapi saya yang datang awal, sengaja nak window shopping dulu. Ini, sebab sudah penat, duduk sekejap di kerusi rehat... Awak pula?”
Tanya Aida sambil memandang wanita tersebut.
“Saya memang selalu shopping di sini. Rumah saya dekat sini saja. Saya tak kerja Cik Aida, suri rumah sepenuh masa. Sekarang ni hamil anak kedua.”
Mengecil matanya bercerita tanpa di pinta.
Syaza tampak gembira. Wah, sudah anak kedua, fikir Aida. Sudah berapa tahu berlalu?
Aida cuba mengira dalam hati.
Banyak yang Syaza lalui sebagai seorang wanita dan isteri.
“Hisham?”
“Iyalah Cik Aida, dengan siapa lagi. Dengan segala susah payah selepas itu, kami kahwin juga. Tapi... tapi... saya terpaksa membayar harganya sekarang...”
“Kenapa Syaza?”
Mendung tiba-tiba berarak mendatangi mereka. Tetapi Syaza tetap tersenyum manis dan tenang.
Tidak pernah dia menyangka akan menemui Syaza lagi. Mereka berpisah dulu pun tanpa sebarang ucapan selamat tinggal. Segalanya berlaku dengan drastik sekali. Pertemuan dan perkenalan juga singkat, tiga bulan cuma tetapi kenangan di situ dan apa yang turut berlaku sepanjang tiga bulan dalam hidupnya masih berbekas hingga kini.
“Err... maaflah sebab bertanya. Saya ni, baru saja jumpa terus nak tanya kisah peribadi orang...”
“Oh... Tak apa. Saya tak kisah. Saya anggap Cik Aida bagaikan kenalan lama pula.”
“Hmm... setengah orang tak suka ditanya begitu. Itu yang saya risau tu...”
Syaza menggeleng-geleng, tanda dia tidak tergolong dalam golongan yang disebut Aida.
“Tentang ‘harga’ yang saya maksudkan tadi, sudah beberapa tahun hubungan saya dan emak putus, Cik Aida. Cik Aida tahukan, keluarga menentang hubungan kami dulu..,”
Aida mengangguk. Dia masih ingat lagi betapa waktu itu heboh satu asrama dan kolej tentang skandal perhubungan Syaza dan juga tentangan keluarganya.
Dia juga teringat bagaimana emak Syaza memaksa anaknya berhenti belajar. Dia hanya tahu setakat itu...
“Syaza kahwin lari? Err... maaf... mungkin saya tak patut tanya...”
Aduh.
Itulah Aida yang mulutnya tidak berubah-ubah lagi. Sukar sekali mengawal diri dari bertanya soalan panas seperti itu. Syaza ketawa kecil.
“Ish... tak apa, saya tak marah. Tak, Cik Aida, kami bukan kahwin lari. Ayah saya masih setuju untuk nikahkan kami. Tapi setakat itu sajalah, lepas itu emak tak mahu jumpa saya lagi. Saya tetap habiskan pelajaran dan lulus Cik Aida. Enam bulan selepas kahwin, saya mengandung, jadi tak sempat cari kerja. Anak kecil lagi, mengandung. Jadi suri rumah...”
“Encik Hisham apa khabar?”
“Dia baik. Dia tak kerja di Kolej Semolek lagi.”
“Oh, iya?”
“Dia sendiri yang letak jawatan. Bukan mengalah atau rasa bersalah tetapi sengaja tak mahu mencipta kontroversi dan menekan diri sendiri. Kami cuma mahu bahagia, Cik Aida. Sekarang suami saya bekerja dengan syarikat keluarganya, dia jadi pengurus di situ.”
Syaza berterus terang sekali.
“Mungkin nanti, kalau anak-anak sudah besar atau saya tak mengandung rapat-rapat macam sekarang, saya pun akan bekerja di sana...”
“Ohh...”
Aida tidak tahu apa hendak dikatanya lagi. Menurut Syaza lagi, anak sulungnya ada di kampung suaminya. Anak itu sangat disayangi neneknya dan meminta untuk bermanja seketika dengan cucunya.
“Minggu depan baru kami pergi ambil anak saya tu...”
“Syaza nampak bahagia... gembira...”
“Sekarang baru bahagia, baru gembira Cik Aida. Sebelum ini, terutama waktu awal perkahwinan, kami puas menderita. Banyak cabarannya Cik Aida. Alhamdulillah, suami saya matang dan mengajar saya erti ketabahan. Kalau tidak, entahlah. Mungkin bercerai berai juga. Apabila disisih keluarga memang rasa sedih dan kecewa... Tetapi hingga sekarang saya tak henti berdoa dan berharap keluarga menerima kami kembali. Saya tahu saya bersalah, engkar cakap emak. Jiwa saya tak tenteram selagi tak dapat peluk dan cium emak. …”
Aida tersentuh hati mendengar kisah Aida. Hatinya rasa sebak.
“Syaza pernah balik rumah?”
“Selalu. Selalu telefon dan singgah rumah. Tetapi emak tak pernah buka pintu pagar. Dia tukar kunci pagar supaya saya tak boleh buka. Kemudian... Kemudian, tukar nombor telefon juga. Tetapi saya pergi juga. Tengok rumah dari luar pagar pun jadi. Dapat juga hilangkan rindu pada emak. Kami dulu rapat, Cik Aida. Sangat rapat...”
“Sedihnya... Kasihan awak...”
Aida memerhati jika ada jurai air mata yang menuruni pipi halus Syaza. Namun tiada. Wanita itu cekal hatinya walau Aida pasti hati itu hancur berdarah. Hancur apabila hubungan dengan ibu terputus... terpisah.
“Eh... Cik Aida... kenapa ni? Kenapa Cik Aida menangis?”


HUJAN PUN MENARI-BAB 1

KARYA NORHAYATI BERAHIM-BAKAL TERBIT


1


H
ujan renyai-renyai membasahi bumi kampung Parit Kejora itu. Seorang kanak-kanak perempuan sedang mendongak, merenung seorang kanak-kanak lelaki yang sedang duduk di atas pokok manggis.
“Qurban, sudahlah. Dah, turun...! Nak hujan ni. Pokok manggis ni licin, nanti kau jatuh!”
Kanak-kanak perempuan itu menjerit menyuruh kanak-kanak lelaki yang sebaya dengannya turun.
“Sikit lagi. Banyak lagi yang masak ni. Hmm... sekejap aje lagi. Kau yang nak makankan, buah manggis ni?”
Degil!
Kanak-kanak lelaki yang dipanggil Qurban itu tidak mengendahkan suruhan si kanak-kanak perempuan. Seolah-olah hujan tidak mendatangkan apa-apa mudarat buatnya.
“Tak apa, aku tak mahu lagi. Kau turunlah. Nanti kau jatuh, susah. Tinggi ni. Pokok manggis ni rapuh.”
Ya, antara pokok rambutan dan pokok manggis, pokok manggis agak pemurah. Suka memberi tumbuhan lain menumpang tetapi batang dan rantingnya cukup rapuh.
Tidak macam pokok rambutan yang agak liat batangnya dan cukup lokek membenarkan tumbuhan lain menumpang di tubuhnya.
“Ini banyak lagi buah yang masak ranum. Kau sabarlah, sekejap aje lagi.”
Balas Qurban sambil memasukkan buah manggis yang sudah dikutip ke dalam bakul yang dibawa.
Hujan semakin lama semakin lebat tangisnya dan semakin deras tarinya. Anak perempuan yang kebimbangan itu sudah menadah tangannya untuk merasai hujan yang turun.
“Tak payahlah, Qurban. Tak payahlah. Aku tak mahu lagi. Turun. Nanti kau jatuh. Turunlah...”
Sedikit merayu anak kecil itu. Ngeri dia memikirkan kalau sahabat sepermainannya itu jatuh tergelincir atau tersalah paut di mana-mana ranting. Kelak akan menderitalah sahabatnya itu.
“Kau nikan, dah ikut jejak langkah nenek aku tu. Membebel aje. Yalah aku turun. Aku turunlah ni.”
Bingit telinga Qurban mendengar.
“Kau nikan, Nek Siah pun tak kecoh macam kau. Aku tahulah nak turun ke tak...!”
Sambung Qurban.
“Kau jahat! Aku suruh kau turun kau cakap aku kecoh. Turunlah...!”
Muna sudah separuh membebel. Sakit hatinya melihat Qurban yang ketawa-ketawa sambil menari-nari.
Gila sungguh! Menari atas pokok. Kalau jatuh bedebuk, padan muka! Eksyen sangat! Muna menggerutu dalam hati.
“Aduh!”
Muna terpinga-pinga. Mulutnya melopong apabila melihat Qurban sudah terjelepok tidak jauh dari kakinya.
“Qurban...!”
Muna berlari mendapatkan Qurban yang sudah tidak bergerak-gerak.
“Qurban!”
Muna menjerit kuat. Dia sudah mahu menangis. Menyesal kerana sebentar tadi, meniatkan yang bukan-bukan terhadap sahabatnya itu.
“Qurban bangunlah, Qurban. Bangunlah. Ya ALLAH... tolonglah. Jangan kau matikan sahabat baikku ini. Tuhan, aku berjanji aku akan lakukan apa saja untuk sahabatku ini. Ya ALLAH, aku minta ampun Ya ALLAH, hati aku jahat. Ya ALLAH, dia kawan aku, Ya ALLAH... jangan matikan dia!”
Muna sudah menangis teresak-esak. Sedih hati apabila mengingatkan kemungkinan dia akan kehilangan seorang sahabat baik. Sahabat yang sama-sama ke sana ke mari dengannya.
“Ya ALLAH, hidupkan kawan aku. Jangan bagi dia mati. Huhhh... huhh...”
Uwek!”
Qurban bingkas bangun menjelirkan lidahnya. Muna yang menangis terbeliak matanya dan kemudian mengejar Qurban yang sudah ketawa terbahak-bahak.





ANDA MAHU MEMBACA KARYA PENULIS MANTAP

Biasanya E-Novel adalah karya-karya penulis yang belum diketengahkan lagi atau belum diketahui mutu penulisannya. Ramai penulis baru membaca E novel untuk mendapatkan teknik penulisan dan idea menulis. Cara tersebut adalah salah kerana E-Novel banyak melakukan kesalahan dari segi bahasa dan ianya belum diedit lagi. Tetapi di blog Jom Baca, NB Kara, anda bukan sahaja dapat membaca karya yang bermutu tetapi dapat mempelajari bagaimana menulis dengan baik. Teknik penulisan setiap penulis adalah berbeza tetapi pengekalan dari sudut bahasa adalah amat dititik beratkan.

Di samping itu pembaca yang mungkin berfikir berkali-kali mahu membeli karya-karya kami, boleh membaca novel-novel kami di sini dan boleh membuat penilaian anda.

Selamat membaca.