PEMBERITAHUAN

Para pembaca boleh memesan buku yang diminati melalui nbkara.com.my atau email kepada admin@nbkara.com.my


Pembayaran boleh melalui pembayaran ke account no.

Maybank Norhayati Berahim 164267408855 Alliance bank account NBkara 120340010015114 Segala maklumat pembelian/transaksi perlu di e-mail kepada nbkara@yahoo.com atau admin@nbkara.com.my dan jangan lupakan sertakan alamat pembeli atau dengan menggunakan wangpos/cek/kiriman wang yang dialamat kepada

D26-GB Jalan Prima Saujana 2/B Taman Prima Saujana 43000 Kajang Selangor


Semua penghantaraan di Semanjung akan mengunakan pos laju dan tidak dikenakan sebarang bayaran.

Senarai Harga Novel boleh anda lihat di column sebelah kanan 'HARGA NOVEL' Untuk Sabah Sarawak harus mengikut harga asal SABAH/SARAWAK penghantar adalah percuma







BUNGA DI RIMBA

BUNGA DI RIMBA
RM21/RM24

PESTA BUKU SELANGOR

PESTA BUKU SELANGOR
Di Gerai N23, SACC Convec, Shah Alam Selangor

Friday, April 22, 2011

SELAMAT BERPESTA BUKU

Kawan-kawan semua selamat berpesta buku. Jumpa kami di B62, B63 ( di Dewan 3( berhadapan pintu belakang ke surau berdekatan dengan tangga bergerak ke Dewan 4.

RM 29/RM32

RM14/RM17

RM25.90/RM28.90

RM22.90/RM25.90 (Buku yang sudah banyak kali diulang cetak)

RM21/24

Friday, April 15, 2011

AKU BUKAN RABIATUL ADAWIYAH 5





4


“Awin nak ke mana ni?”
Mazwin terkejut.
“Abang…”
Lega hati Mazwin kerana si lelaki masih di hatinya. Masih jelas di hadapan matanya. Itu yang dia mahu. Biar menjadi penguat semangatnya.
“Abang dah lama memerhati Awin. Awin nampak sibuk.”
Mazwin tahu dia tidak boleh berahsia. Dia perlu beritahu semuanya kepada Badrul. Badrul berhak tahu.
“Awin nak tinggalkan Kampung Peria, bang…”
Tadi dia elok-elok sahaja. Dia sudah nekad. Dia mahu memulakan hidup baharu, jauh dari segala tekanan. Jauh dari orang yang membencinya selama ini. Biarkan, biarkan mereka dengan hati yang selama-lamanya berkeladak.
Munculnya Badrul, hatinya terus jadi sayu. Air mata Mazwin tiba-tiba merembas-rembas.
“Kenapa? Kenapa Awin nak tinggalkan abang?”
“Eh, Awin tak tinggalkan abang. Awin takkan pergi tanpa abang. Awin bawak abang sekali. Abang mesti ikut Awin. Kalau abang tak ikut Awin, Awin takkan bersemangat, takkan kuat nak harung semua ni. Tak akan pergi…”
“Ini keputusan Awin?”
“Ini keputusan yang terbaik, bang.”
Hhmm…”
“Kenapa, bang? Abang tak setuju ke?”
Mazwin risau, adakah keputusannya tidak dipersetujui Badrul? Dia memang membuat keputusan itu seorang diri. Dia tidak bertanya sesiapa pun. Siapa yang hendak ditanyanya? Marhana? Marhana masih terlalu muda.
“Okey, abang ikut Awin. Ke mana-mana pun abang ikut Awin!”
“Betul ke, bang?”
“Betullah. Kita dah berjanji nak sehidup semati, kan?”
Badrul melemparkan senyuman manis. Senyuman yang menyejukkan hati Mazwin.
“Awin suka tengok abang tersenyum.”
“Abang pun suka tengok Awin tersenyum.”
Mereka sama-sama tergelak kecil. Bahagianya.
Mazwin menunggu lagi kata-kata daripada Badrul.
“Abang akan bersama-sama Awin, selamanya…”
“Abang jangan mungkir janji, ya?”
“Awin?”
Badrul mahu mendapatkan kepastian.
“Awin pun takkan mungkir janji.”
Mazwin mengukuhkan janji.
“Jadi, Awin sanggup tinggalkan rumah ni? Tinggalkan pangkin kesayangan kita?”
Tanya Badrul tiba-tiba, bagai mahu menguji hati isterinya.
“Memang Awin tinggalkan semua tu, bang. Tapi… ia tetap kekal di hati Awin…”
Seperti kau juga, Badrul. Kata hati Mazwin.
“Tapi tudung tu…”
Badrul mengingatkan.
“Tudung ungu tu Awin takkan tinggalkan, bang. Awin akan bawa ke mana-mana, sampai bila-bila…”
Badrul tersenyum memandangnya.
“Okey, Awin kemas baju dulu, ya bang… Esok, pagi-pagi, kita dah nak bertolak ke Teluk Manis. Mila yang tolong Awin.”
Mazwin menyambung kerjanya, mengemas pakaiannya. Hanya beberapa pasang baju untuk dipakai seminggu dua. Dia melihat beg pakaian yang siap disusun untuk dibawa ke Madinah. Biarlah beg itu terus di situ. Dia tidak mahu mengusiknya.
Beg itu akan ditinggalkan di rumah pusaka bapanya. Beg dia dan Badrul untuk dibawa ke Madinah. Beg dan isinya yang tiada gunanya lagi.
Ke Teluk Manis, dia hanya membawa sebuah beg kecil. Tetapi harapannya amat besar dan menggunung tinggi.

Thursday, April 14, 2011

AKU BUKAN RABIATUL ADAWIYAH 4






3


Dia akan tinggalkan Kampung Peria.
Dia akan pergi jauh dari negeri Johor. Jauh dari Muar. Dia mahu lupakan semuanya. ALLAH akan bersamanya. Badrul juga.
“Kau sepatutnya sambung belajar, Win.”
Kata sahabatnya, Mila di corong telefon. Mila, anak anggota polis yang berpindah-randah dan pernah tinggal di Kampung Peria selama tiga tahun. Tiga tahun itulah yang menjadikan mereka sahabat yang akrab walau kini sudah berpisah jauh.
“Aku takkan tinggalkan pelajaran, Mila.”
Ya, dia sudah menolak tawaran ke Madinah. Sepatutnya mereka sudah berada di sana sekarang. Semua persiapan sudah dibuat. Pakaian sudah dikemaskan, makanan kegemaran juga dibalut elok-elok ke dalam kotak. Ikan kering, ikan bilis dan udang geragau kering, cukup bekalan enam bulan. Keperluan hidup di rantau orang pasti lebih mudah kerana berdua. Segalanya sudah sampai ke tahap persiapan terakhir.
Walaupun ayah sudah pergi menghadap Ilahi, Mazwin bersyukur dia mempunyai Badrul sebagai pengganti. Perancangan takdir memang cukup cantik sekali.
Pada waktu itulah. Sebelum tsunami kedua melandanya…
Tsunami yang kali ini memusnahkan jiwa raganya.
Semuanya bermula apabila Badrul beria-ia hendak ke pekan membeli sesuatu. Sesuatu untuk kegunaan mereka di sana. Katanya ada di pasar raya. Apa barangnya? Rahsia, katanya. Sebuah kejutan lagi. Ah, indahnya perkahwinan. Cinta Mazwin makin membara.
Dia menaiki motosikal dan berjanji akan pulang segera.
Tetapi yang pulangnya sekujur tubuh yang kaku. Sejak hari itu Mazwin bergelar balu.
Mazwin memejamkan mata. Perit dan luka hatinya mengenang kenangan itu. Rupanya Badrul ke pekan mahu membeli sehelai tudung baharu untuknya. Sekeping kad membuktikannya. Hadiah untuk hari jadinya di tahun hadapan.
Tudung lembut berwarna ungu, warna kegemarannya.
“Awin!”
Mazwin tersentak. Lupa dirinya yang masih di talian dengan Si Mila.
“Bila ada tempat tinggal dan kerja yang boleh menampung hidup, insya-ALLAH aku akan sambung belajar. Sekurang-kurangnya aku akan ambil diploma nanti. Aku nak ke sana, boleh ke kau bantu aku?”
Mazwin mendengar sahabatnya mengeluh.
“Kau dah fikir habis-habis?”
Tanya Mila lagi.
“Tinggalkan Kampung Peria?”
Mazwin pula menanya.
“Haah… Kau baru saja bergelar balu, Mazwin. Bukan maksud aku nak memperkecilkan gelaran kau, tapi ini hakikat kita sebagai perempuan ni…”
“Aku tak mahu fikir tentang hakikat yang dicipta nenek moyang kita, Mila. Kau satu-satunya kawan aku yang berada di Perak. Aku nak mencuba nasib di sana. Aku ada sedikit simpanan, wang daripada arwah suami. Aku boleh survive beberapa bulan, tapi aku kena ada kerja. Aku nak teruskan hidup. Kerja apa pun tak apa asalkan halal.”
“Apa kata keluarga kau?”
“Aku sebatang kara sekarang, Mila. Aku balu… balu yang dianggap beban…”
“Takkanlah mereka anggap kau begitu, Win…”
“Aku… aku tak ada tempat lagi di sini, Mila… Tolonglah, bantu aku.”
Beberapa saat Mila terdiam.
“Memang ada, tapi aku tak tahu kau nak ataupun tak sebab…”
“Kedai makan ke? Eh, aku nak… aku tak memilih. Aku sekarang ni hanya boleh mempertaruhkan SPM, aku tak nak fikir apa-apa dah. Aku sanggup bermula dari bawah, aku sanggup hidup susah, Mila. Percayalah.”
“Mungkin kau boleh merayu tawaran ke luar negara tu, Win…”
Mila masih memberi cadangan.
“Mila, aku tak nak pergi mana-mana, aku dah lupakan harapan tu. Itu harapan dan impian aku dengan Badrul…”
Dan arwah ayahnya.
Suara Mazwin sebak.
Mila tahu kesedihan sahabatnya. Cinta pada suami yang dikahwininya hampir setahun bukan mudah dipadamkan begitu sahaja. Angan-angan mahu menuntut ilmu bersama-sama di luar negara berkecai apabila ajal menjenguk dahulu.
Semuanya sudah tertulis.
“Pasar raya mini ni kepunyaan bapa kepada kawan abang aku. Aku tak kenal pun mereka tapi entah macam mana abang aku ada tanya, ada tak kawan-kawan yang nak kerja sebagai kerani di situ. Gaji tak banyak, sekitar lapan ratus saja…”
“Aku nak, Mila!”
“Aku dah ambil nombor telefonnya. Kawan abang aku tu namanya Abdul Razak. Abdul Razak bin Datuk Abdul Halim. Kau telefon dia. Kata abang aku, dekat-dekat dengan pasar mini tu ada banyak bilik sewa kerana di situ dekat dengan universiti… Universiti Aksara, Teluk Manis. Lebih kurang seratus kilometer dari tempat aku tinggal ni.”
Mazwin menyebut-nyebut nama universiti dan tempat yang bakal ditujunya. Suatu tempat yang belum pernah dijejakinya. Mila sendiri tinggal di Ipoh.
“Abdul Razak namanya?”
“Ya, Abdul Razak bin Datuk Abdul Halim, anak ahli perniagaan terkemuka jugalah. Dia sebaya abang aku, jadi dua puluh satu tahun umurnya. Kau telefon dia dan katakan abang aku yang rekomen.”


Wednesday, April 13, 2011

AKU BUKAN RABIATUL ADAWIYAH 3









2


“Tak manis Awin duduk di pangkin ni sampai ke senja. Semua orang bercakap-cakap…”
Hendak sahaja dia menjawab, jangan ganggu hidupnya. Pangkin itu banyak kenangan. Satunya, ia dibina oleh arwah ayahnya sendiri. Dua, ia tempat kegemaran dia dan Badrul.
Sembilan bulan, bukan lama sangat kenangan hidup alam rumah tangganya bersama Badrul, tetapi ia tetap tersimpul rapi dalam ikatan hatinya.
“Apa rancangan Awin sekarang?”
Diam.
“Awin, jawablah... mak cik tanya ni.”
Diam lagi.
“Kalau Awin tak nak sambung belajar, mak cik pun tak halang. Tapi keluarga kita dah berbincang, eloklah Awin cepat-cepat kahwin.”
Mazwin melepaskan keluhan. Kalau boleh, mahu sahaja dia menjerit, tetapi dia tidak berdaya. Dia tiada tenaga.
Gila. Semua orang gila!
“Perempuan ni Awin, bila bergelar balu atau janda, selagi tak berkahwin semula, tak selamat hidupnya. Bukan hanya dia yang tak selamat, seluruh keluarganya jugak. Percayalah cakap mak cik…”
“Mak cik…”
Kata-kata wanita itu terhenti apabila dilihatnya Mazwin mula membuka mulut. Sejak Mazwin kecil lagi dia sudah menjadi ibu tirinya, tetapi hubungan mereka tidak pernah mesra. Mungkin kerana tiada sesiapa berusaha ke arah itu.
Hubungan mereka sentiasa janggal. Sentiasa renggang.
Tambahan pula lahir tiga orang anak dari Faridah yang membuatkan dia mempunyai kumpulannya sendiri. Lagilah kerapatan tidak pernah muncul-muncul.
“Mazwin, mak cik bukan nak susahkan kamu. Tapi… mak cik rasa betul kata saudara-mara kita. Kamu elok saja dikahwinkan. Mak cik dah ada calonnya. Ingat tak Aznan, cikgu sekolah Si Marhana waktu sekolah rendah dulu? Anak saudara Pak Cik Rosli? Dia sedang mencari isteri dan berkenankan kamu… Orangnya baik dan semua orang suka. Dia dah setuju, mak cik pun suka, Win…”
“Saya tak suka!”
Jawapan daripada mulut Mazwin membuatkan Faridah tersentak. Kali ini si ibu tiri pula yang melepaskan keluhan. Keluhan yang lebih kuat. Faridah menyuruh hatinya bersabar. Ini harus ditangani dengan kuasanya sebagai ibu. Mazwin harus menerima hakikat.
Ini yang pernah dilaluinya dahulu. Ini juga yang terpaksa diterimanya tanpa banyak soal atau penolakan. Jika dia boleh, tentu Mazwin pun sama.
“Mazwin, suka atau tidak bukan persoalannya sekarang. Kamu tu janda…”
“Kenapa? Kenapa dengan diri saya yang janda? Mak cik pun janda?”
“Mazwin, nasiblah mak cik ni dah beranak-pinak, orang tak heboh sangat. Dah tua pulak tu. Tapi kamu, kamu baru sembilan belas tahun. Mak cik dah laluinya dulu. Dulu masa mak cik menjadi janda kali yang pertama. Kamu kena cepat-cepat bergelar isteri semula.”
Suaranya cuba ditegaskan seboleh mungkin.
“Supaya mak cik cepat-cepat boleh lepas tangan?”
Mazwin memintas kata-kata ibu tirinya membuatkan wanita itu terkejut.
“Mazwin! Sampai hati kamu cakap begitu?”
“Tak betul ke, mak cik?”
Faridah mengetap bibirnya.
“Memang tak betul. Apa kamu ingat mak cik ni…”
Suara Faridah mulai sebak.
“Teruk sangat ke mak cik selama ni, Mazwin? Mak cik dah berkahwin dengan arwah bapa kamu enam belas tahun lamanya…”
“Huh! Enam belas tahun memang lama. Tapi mak cik tak anggap saya seperti anak pun. Ada pernah mak cik anggap saya berharga di mata mak cik? Tak pernah, kan? Sebab tu cepat-cepat mak cik nak halau saya, nak singkir saya. Tak mahu bertanggungjawab pada saya.”
Suara Mazwin berbaur tangis. Berkaca-kaca matanya. Siapa yang memahami gelodak hatinya tika ini. Dia mengharapkan orang terdekatnya, keluarganya sendiri. Tetapi mereka cepat-cepat mahu membuangnya.
Dia memang keseorangan di dunia sekarang ini. Sebatang kara.
“Mazwin!”
“Saya tak akan bebankan mak cik. Mak cik janganlah risau…”
Berderai-derai air mata yang turun di pipi mulus itu.
Faridah terasa tekaknya sakit. Sebak kian menjadi-jadi.
“Mak cik hanya memikirkan kebaikan kamu, Mazwin. Apa lagi yang dapat memelihara wanita selain daripada sebuah perkahwinan?”
“Itu pengalaman mak cik sendiri, kenapa nak disamakan dengan saya?”
Tegas suara Mazwin.
Faridah memegang dadanya. 17 tahun dahulu, dia yang berusia 21 tahun, diceraikan suami kerana campur tangan keluarga mentua yang tidak sukakannya. Setahun selepas itu, setelah bebas daripada edah, keluarga segera mencarikan jodoh untuknya, dengan seorang duda beranak satu.
Dia akur pada ketentuan itu. Tanpa banyak soal, dia menjadi isteri Arifin dan ibu tiri kepada Mazwin.
Kini Mazwin melalui perkara yang sama, kehilangan suami di usia muda. Mazwin harus cepat-cepat diselamatkan daripada segala onak dan duri sebagai janda. Dia berkenan sekali pada Si Aznan. Sejak kecil lagi Aznan sudah dikenalinya.
“Kamu sudah ditakdirkan di bawah tanggungjawab mak cik sekarang, Mazwin. Dan kamu mesti kahwin kerana ini yang terbaik…”
Faridah cuba menunjukkan kuasanya. Dia tahu, sekiranya tidak berbuat begitu, senang-senang sahaja anak manja itu akan melawan cakapnya. Inilah bahananya terlalu memanjakan anak, Faridah menyalahkan arwah suaminya dengan apa yang terjadi.
Mazwin semakin besar kepala.
“Mak cik jangan risau kerana saya tak akan ambil sebarang harta ayah pun!”
“Kamu sangka itu yang mak cik risaukan? Mazwin, mak cik tak peduli dengan semua tu.”
“Tak perlu berlakon, mak cik. Rumah ni, tanah ni, tanah kebun, walau kepunyaan arwah ibu saya, tapi ianya dah jadi milik arwah ayah. Walau saya yang paling berhak, tapi saya tak mahu. Saya serahkan dengan ikhlas hati kepada mak cik dan adik-adik. Ambillah.”
“Mazwin???”
“Sekarang mak cik dah puas hati?”
“Mazwin!!!”
Suara Faridah menengking kuat. Tidak pernah dia rasa semarah itu.
“Sepanjang hidup saya, mak cik tak pernah puas hati dengan saya. Ingat saya tak tahu? Saya ada mata, ada telinga. Mak cik risau sangat saya dapat semua harta ayah. Tak perlu risau kerana saya tak mahu pun. Ambillah, ambillah semuanya!”
“Mak cik tak mahu pun harta-harta tu semua. Yang mak cik mahukan, kamu berkahwin dengan Aznan! Itu saja!”
Mazwin berpaling, merenung mata ibu tirinya dalam-dalam.
“Tak perlu mak cik paksa saya kahwin kerana risau kena menjaga saya lagi. Saya boleh jaga diri sendiri. Sebaik ayah mati, mak cik dah putuskan hubungan kita, tinggalkan rumah kita, tinggalkan saya. Jadi, kenapa sekarang mahu bertanggungjawab pulak?”
Faridah mengetap bibirnya. Dia tidak mungkin beralah kali ini. Sudah banyak kali dia kalah ketika arwah suaminya masih hidup. Tidak kali ini. Tidak sama sekali.


Tuesday, April 12, 2011

AKU BUKAN RABIATUL ADAWIYAH 2





1


“Siapa tu, Man?”
Alaa… Mazwin, anak arwah Abang Arifin… Takkan kau tak kenal, Rosli?”
Rosli yang agak rabun, membetulkan cermin matanya.
“Aku ni tak perasan sangat… Ohhh, Si Mazwin tu… yang suaminya baru meninggal kemalangan jalan raya tu?”
Siapa yang tidak tahu kisah tragik itu. Lelaki yang keluar sebentar untuk membeli barang tiba-tiba pulang dalam keadaan tidak bernyawa lagi. Motosikalnya dikatakan bertembung dengan lori di simpang jalan yang sunyi.
“Haah… dialah. Mazwin tu budak bijak. Paling bijak di kampung kita ni. Sayang… baru sembilan belas tahun dia tu… Tengok tu, duduk sorang diri di pangkin rumahnya. Begitulah dia, pagi petang sejak kematian suaminya. Kata bini aku, macam tulah dia sejak berbulan dah…”
Man menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Kenapalah dia tak tinggal dengan emak tirinya saja?”
Tanya Si Rosli lagi. Dia kenal seluruh keluarga arwah Arifin. Keluarga isteri pertama yang sudah meninggal dunia dan juga keluarga isteri yang kedua.
Syyy… aku dengar, ada masalah keluarga. Inilah, bab-bab harta, jangan kita pandang ringan. Dah mati Bang Arifin, itulah jadinya. Si Mazwin ditinggalkan sorang diri. Kesian…”
Suara Man berbisik-bisik, risau didengari orang. Hidup di kampung, rumah-rumahnya saling berdekatan, salah cakap, kelak menjadi pergaduhan pula.
“Kenapa nak kesian pulak? Entah-entah, dia yang menghalau mak tirinya tu... Itukan rumah dia. Rumah emak kandung dia dulu. Kita mana tahu perkara sebenar…”
Rosli lebih membela si emak tiri.
“Faridah tu baik orangnya… Takkan dia nak berebut harta pulak!”
Tambah Rosli lagi.
Man bersetuju dengan kata-kata temannya yang datang bertandang ke rumahnya untuk membeli beberapa biji kelapa. Jarak rumah mereka dengan rumah Mazwin tidak sampai pun lima puluh meter.
“Kenapa kahwin muda sangat, ya? Arwah Badrul pun muda, sebaya Si Mazwin jugak, kan? Tak tunggu habis belajar?”
Tanya Rosli lagi.
“Arwah Pak Arifin dan imamlah yang punya rancangan. Kononnya sebelum kedua-duanya ke luar negara, mesti dinikahkan dulu. Dia risau membiarkan mereka berdua di tempat orang. Mana nak sangka, Arifin dulu yang meninggal. Tak sampai setahun, menantunya pulak mengikut… Langsung tak jadi ke menara gading.”
“Kesian pulak. Sudah habis edah ke?”
Rosli masih merenung ke arah wanita muda yang duduk di pangkin.
“Sudah… Baru saja. Tak tahulah masa depan dia macam mana. Peluang ke luar negara sudah ditolaknya.”
“Kenapa pulak?”
“Kecewalah agaknya. Maklumlah berangan nak pergi berdua, kini dah tinggal sorang, tak sanggup agak hatinya…”
Cerita Man lagi. Cerita yang didengar daripada isterinya kini disampai kepada Rosli pula.
“Elok dikahwinkan saja Si Mazwin tu…”
Cadang Rosli.
“Kalau dia nak…”
Terjuih bibir Man, baginya hak berkahwin sudah di tangan wanita itu sendiri.
“Isy, perempuan, muda pulak, mana boleh dibiarkan tak berkahwin begitu. Lagi-lagi dah bergelar janda. Bahaya!”
Bukan main beria-ia Si Rosli.
Man mengangguk-angguk, senang benar dia bersetuju dengan kata-kata Rosli yang memang lebih dominan daripadanya.
“Nanti aku tanya emak tirinya… Err... aku suruh bini aku yang tanyalah…”
Tersengih Si Man sambil menggaru-garu kepala.
“Tanyalah cepat-cepat. Aku ada calonnya. Anak buah aku tu, suruh aku cari jodoh untuknya. Dia tak kisah anak dara atau janda. Asal muda. Kalau macam Si Mazwin tu, lagilah dia tak kisah!”
Dua lelaki beruban itu tergelak berdekah-dekah.


Monday, April 11, 2011

AKU BUKAN RABIATUL ADAWIYAH 1

Prolog


10 tahun yang lalu...

“Siapakah Rabiatul Adawiyah? Hari ini ustazah nak bercerita tentang seorang wanita hebat yang wajar menjadi idola kita. Cara kehidupannya, amal ibadatnya dan kecintaannya kepada ALLAH. Dia wanita yang masyhur, yang sudah diangkat tarafnya sebagai wali.”
“Ada lagu tentang Rabiatul Adawiyah, kan ustazah?”
Tanya seorang murid yang duduk di bahagian hadapan.
“Ya, benar, ada. Rasanya kamu semua pernah mendengar lagu-lagu yang merdu tentang Rabiatul Adawiyah. Sebab kamu semua dah di tingkatan tiga, umur pun dah lima belas tahun, dah jadi anak dara sunti. Eloklah kamu jadikan Rabiatul Adawiyah sebagai idola. Jangan asyik jadikan artis-artis popular saja sebagai idola.”
Sindir ustazah muda berkulit putih kuning itu.
Ada gelak-gelak kecil mula kedengaran. Manakan tidak, kata-kata Ustazah Mariam itu bagai terkena batang hidung mereka.
“Gelak ya?”
Jerkah Ustazah Mariam. Suasana kembali sunyi sepi.
“Siapa yang belum kenal atau tahu kewujudan Rabiatul Adawiyah, angkat tangan?”
Tanya Ustazah Mariam. Satu per satu wajah murid ditatapnya. Ada yang menunjukkan minat, ada yang mengelamun, ada yang mengantuk.
Tidak ada yang mengangkat tangan.
“Kamu semua mahu tak dengar cerita pasal Rabiatul Adawiyah?”
“Tentulah nak, ustazah.”
Jawab pelajar bertudung kuning muda yang duduk di kanan sekali. Ustazah Mariam tahu, itu tudung khas yang dipakai oleh pelajar yang menjadi pengawas sekolah. Dia kenal pelajar itu. Namanya Mazwin Arifin.
“Baiklah, dengar elok-elok, ya. Rabiatul Adawiyah ini anak keempat yang lahir dalam keluarga yang sangat miskin di kota Basrah. Kerana dia anak keempatlah dia dinamakan Rabiah yang bermakna nombor empat. Hidupnya sungguh sengsara kerana menjadi yatim piatu ketika kecil lagi. Kemudian dia diculik dan dijual menjadi hamba.”
“Teruknya hidup dia, ustazah!”
Kata satu suara, pelajar yang sedang menongkat dagu mendengar cerita dengan khusyuknya. Pelajar ini tadinya mengantuk, tetapi kini sudah agak terbeliak matanya.
“Walaupun permulaan hidup Rabiah sangat susah, namun dia merupakan anak yang sangat baik dan dipuji akhlaknya oleh masyarakat sekitar. Dia berbeza dengan anak-anak seusianya yang suka bermain sebaliknya asyik berzikir dan menghafal Al-Quran. Sifatnya juga tak pernah meminta-minta dan sentiasa reda dengan apa yang ada. Di usia yang masih kecil juga dia mengikut bapanya mengasingkan diri di luar kota yang jauh dari kota Basrah semata-mata mahu mengabdi diri bermunajat kepada ALLAH.”
“Rabiah ni sangat warak, ya ustazah?”
“Ya, warak sejak dari kecil lagi. Dia tidak langsung memandang keduniaan sebaliknya hanya beribadat bila ada waktu terluang. Tidurnya pun sekejap saja.”
“Dia cantik tak, ustazah?”
Tanya satu suara yang agak nakal. Ada gelak di hujung soalan itu.
“Menurut riwayat, memang Rabiah ini cantik, bersuara merdu dan pandai bersyair.”
“Wah! Mesti dia popular di zamannya…”
“Memang popular. Tapi bukanlah dia dikenali kerana kecantikan tu sangat. Dia lebih dikenali kerana kebijaksanaan dan ilmu agamanya yang tinggi, kewarakan dan kemuliaan sifatnya. Dia sangat sabar menempuh pelbagai ujian yang ALLAH turunkan. Tidak sekali pun dia menyalahkan nasib sebaliknya reda sepenuh hati. Dia hanya tumpukan pada kerja di siang hari dan sepanjang malamnya beribadat sahaja. Ramai yang mahu memperisterikannya termasuklah orang-orang kaya, ternama dan juga raja yang memerintah…”
“Rabiah pilih siapa, ustazah?”
Ustazah Mariam menggeleng.
“Rabiah tak pilih sesiapa. Semua peminangan ditolaknya dan dia kekal membujang sehingga ke akhir hayatnya di usia lapan puluh tahun…”
“Kenapa dia tak berkahwin, ustazah?”
“Sebabnya, cintanya hanya pada ALLAH. Dia tak mampu mencintai perkara lain selain ALLAH sahaja…”




Tuesday, April 5, 2011

SAMBAL KERANG NAJWA- 2 CERITA DALAM 1


AKU BUKAN RABIATUL ADAWIYAH

“Awak tak sedih ke, Hana, kakak awak buat macam tu?”
“Sedih mengapa pulak?”
“Yalah. Dia tak mahu mengaku hubungan korang berdua.”
Kedua-dua gadis itu berjalan ke kantin untuk mengisi perut yang sudah mulai berbunyi. Menu makan tengah hari Rabu sudah dihafal. Hari itu ikan masak asam dan sayur tauge.
“Bukan dia tak mengaku. Dia mengaku, cuma dia tak nak hebahkan. Lagipun, kalau fikir-fikirkan balik, betul kakak saya tu anak yatim. Ibu dan bapanya sudah meninggal dunia. Jadi, kalau dilihat dari sudut itu, dia memang ‘sebatang kara’…”
Marhana sekadar menyedapkan hati sendiri. Dia berbaris untuk mengambil pinggannya yang berlopak-lopak itu. Buah pisang diambilnya sebiji sebelum beratur untuk mengisi nasi pula.
“Sebatang kara? Semua orang yang mengenali dia hanya tahu hakikat itu. Yang Kak Mazwin itu sebatang kara. Tapi dia masih ada keluarga. Ada emak tiri, ada awak dan adik-adik. Hah, adik tiri bermakna adik kandung juga, tahu! Tak batal sembahyang dan adik lelaki awak tu boleh jadi wali dia kalau dia berkahwin nanti.”
“Biarlah apa pun pendirian dia, Hanim. Yang penting saya jumpa kakak saya kembali.”
Tetapi ada perkara lain yang lebih penting daripada itu. Dia mahu membantu menjernihkan segala kekeruhan. Kak Mazwin dan emaknya harus bertemu kembali.
“Awak pernah cerita, dia pernah berkahwin dulu?”
Tanya Norhanim yang sudah penuh pinggan berlopaknya dengan nasi dan lauk.
Marhana mengangguk.
Hhmm… lima tahun lalu, Nim. Saya ingat lagi. Mereka dikahwinkan sebab dia dan Abang Badrul sama-sama akan melanjutkan pelajaran ke luar negara. Ibu bapa kedua-dua belah pihak merasakan perlu mengahwinkan mereka. Sebab semua orang tahu, Abang Badrul sukakan kakak saya tu. Oh Hanim, waktu itu saya rasakan mereka berdua romantis sangat. Kakak saya pun suka Abang Badrul jadi, semuanya seakan terlalu sempurna. Macam…”
“Mimpi yang indah?”
Norhanim memintas.
Iya, mimpi yang menjadi kenyataan. Saya selalu usik Kak Mazwin dan dia tak kisah pun.”
“Waktu tu umur kakak awak berapa?”
Tanya Norhanim.
“Mereka kahwin bulan Januari, umur kakak saya waktu itu sembilan belas tahun. Bulan tiga ayah saya pula meninggal dunia. Semuanya bagai bertimpa-timpa apabila bulan Novembernya, abang ipar saya pulak meninggal dunia. Kemalangan jalan raya.”
Segalanya kembali jelas di mata Marhanim. Abang Badrul mahu membelikan hadiah buat kakaknya. Sehelai tudung ungu… Niat itu tidak kesampaian.

SAMBAL KERANG NAJWA
“Najwa..”

“Yeap!”
Seng merenung belakang Najwa yang sedang terbongkok-bongkok melihat ikan masin di dalam bakul. Perlahan dia menghembuskan nafasnya.
Najwa seorang gadis yang baik. Gadis yang tidak pernah mencurigai persahabatan mereka. Bahkan dari Najwa dia belajar banyak perkara.
“Firdaus!”
Seperti terkena renjatan letrik, tubuh Najwa menjadi kaku mendengar nama itu disebut. Ada kesayuan yang cukup sukar diungkap dengan kata-kata.
“Najwa, kau dengar tak?”
“Dengar..”
Najwa terus-terusan tunduk. Dia tahu sejak akhir-akhir ini terbit rasa bersalah dia terhadap Firdaus. Dia tahu Firdaus tidak bersalah. Dia yang memutuskan persahabatan mereka kerana terlalu kecewa dengan apa yang berlaku terhadap Mak Tam dan Pak Tam.
“Firdaus dah balik..”
‘Mana kau tahu?”
Aku rindukan Firdaus. Ahh. Keadaan sudah berbeza sekarang ini. Firdaus dahulu sudah berlainan dengan Firdaus sekarang. Najwa menganggar sendiri dalam hati.
“Aku yang ambil dia dari lapangan terbang. Apa pula mana aku tahu?”
“Oh..dia kontak kau lagi ke?”
Najwa kali ini suda berjaya menenang wajah Seng. Seng menganggukkan kepalanya. Rasa serba salah. Dia tahu kebencian Najwa terhadap Firdaus. Dia tahu betapa sayangnya Najwa terhadap Mak Tam dan Pak Tam.
Dia tidak boleh salahkan Najwa dan di masa yang sama Firdaus tidak bersalah.
“Kau marah akukah sebab kontak dia lagi?”
Sedikit ragu-ragu Seng. Seng selepas habis SPM terus bekerja dengan ayahnya. Kata Seng dia malas mahu belajar, nanti perusahaan ayahnya tidak ada orang yang menjaga.
“Itu hak kau Seng, apa yang berlaku antara aku dengan Firdaus tidak ada kena mengena dengan kau. Kau berhak berkawan dengan Firdaus.”